ERENA menggaru-garu
kepalanya yang tidak gatal. Aduh… nak tanya ke… tak nak tanya? gumamnya dalam
hati. “Err… Ana, boleh akak tanya sesuatu?” tanyanya kelihatan teragak-agak.
Waktu itu, mereka dalam bilik tidur Diana.
Dahi Diana berkerut seribu. Memek muka hairan terpancar
di wajah gadis cantik itu. “Apa dia, kak? Tanya ajelah,” jawabnya sambil
matanya memandang wajah bakal kakak ipar yang umurnya hanya beza dua tahun tua
daripadanya.
Erena terdiam sejenak. Sebuah keluhan terhembus keluar
dari bibir gadis itu. Nak tanya ke tak nak? Kalau aku tanya… jatuhlah maruah
aku. Yalah, aku kan tak sukakan dia. Tapi, sibuk-sibuk aje nak ambil tahu. Hisy,
macam mana ni? Aduh, kusutnya! bentak hatinya keliru.
Hmm… sekali lagi keluhan panjang dilepaskan. Dia
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tapi kalau tak tanya, aku juga yang
serba tak kena nanti. Aduh! Kau ni dah kenapa, Erena Amani? Lagipun, kau kan
tak sukakan dia. Jadi, yang sibuk sangat nak ambil tahu pasal mamat serius 24
jam tu, buat apa? Puiih! Hati Erena membebel untuk kesekian kalinya.
“Akak? Err… akak okey ke ni?” tanya Diana. Dahinya
berkerut hairan.
Erena tersentak. Spontan, lamunannya terbang menghilang.
Dia tersenyum, walaupun kelat. “Err… akak okey, Ana.”
Dahi Diana semakin berkerut. “Dah tu, kenapa akak
termenung? Jauh pula menungnya. Macam gaya orang baru lepas putus cinta aje.
Padahal akak baru aje bertunang. Haa… apa yang akak sedang fikirkan?” desaknya
lagi. Mahu tahu apa sebenarnya yang sedang bersarang di dalam fikiran Erena.
Erena mengeluh. Dia menguntum senyuman kelat. “Tak ada
apa-apalah, Ana. Err… Ana lupakanlah soalan yang akak nak tanya tadi tu.
Anggaplah akak tak pernah tanya apa-apa pada Ana, ya,” balasnya
bersungguh-sungguh.
Diana tercengang. Lalu, dia menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal. “Aik? Akak ni peliklah! Tadi beria-ia akak nak tanya, sekarang tak
jadi pula?” Dia tersenyum. “Akak tanya ajelah. Bukannya Ana nak marah pun.”
Sekali lagi Erena mengeluh. “Sebelum Qasy bertunang
dengan akak, err… dia pernah ada sesiapa tak sebelum ni? Maksud akak, kekasih
ke?” Teragak-agak dia bertanya.
Aduh, aku sanggup menjatuhkan maruah aku semata-mata
kerana nak tahu kisah silam mamat serius 24 jam tu! Apa dah jadi dengan kau ni,
Erena? Kenapa tiba-tiba aje sibuk nak ambil tahu pasal dia? desis hatinya.
Diana tergelak. Dia menggeleng. “Akak ni… nak tanya pasal
Abang Qasy pun, takut-takut. Akak, tak salah kalau nak ambil tahu pasal Abang
Qasy. Lagipun diakan tunang akak, jadi akak berhak tahu.”
Erena menguntum senyuman kelat. Memang dia berhak ambil
tahu. Tapi, dia tak nak ambil tahu pun. Cuma… sejak dua menjak ini, dia
seakan-akan menjadi berminat untuk mengambil tahu kisah encik tunangnya. Kenapa
ya? Takkanlah dah jatuh cinta kot? Huh, no
way!Minta simpanglah!
Diana menarik nafas panjang lalu dia membetulkan
duduknya. Dia duduk bersila sambil matanya menatap wajah kakak iparnya itu.
Erena diam. Walaupun hatinya meloncat-loncat kerana tidak
sabar ingin tahu, namun dia sedaya upaya mengawal gelojak perasaannya.
Takkanlah nak melebih-lebih pula? Malu kot!
Diana menguntum senyuman nipis. Dia masih terbayang raut
wajah cantik milik Kak Zehan. Wanita itu sungguh cantik. Malah, wanita itu juga
sangat baik hati. Namun malang, takdir tidak berpihak pada mereka. Di hari
pernikahan yang hampir tiba, tiba-tiba sahaja mereka menerima perkhabaran yang
langsung tidak diduga. Perkhabaran yang sekali gus merentap sanubari mereka
sekeluarga.