ERENAdan Dr. Qasyiful bagaikan batu-batu
besar di tepi jalan. Mereka berdiam tanpa sebarang bicara walaupun sejak tadi
bersandar di tepi kereta Toyota Vios berwarna hitam milik Dr. Qasyiful. Macam
ada jongkong emas di dalam mulut mereka. Sehingga menyukarkan mereka untuk
melontarkan kata-kata. Erena mencebik sambil menjeling geram. Hisy… dari tadi
asyik diam aje. Mulut kau tu berkunci ke, hah? Ke kau dah jadi bisu? Apa, kau
ingat aku ni tunggul kayu ke, hah? Buang masa aku ajelah. Hisy, bencinya!
Dr. Qasyiful masih lagi diam. Langsung tiada tanda-tanda
untuk bersuara. Errr… nak cakap ke tak nak cakap? Aduh, kalut sungguh! Hisy!
Memikirkan hubungan mereka yang sedingin iceburg itu, membuat Dr. Qasyiful serba
salah untuk bersuara. Kalau aku mulakan dulu, nak cakap apa, ya? Dia mengeluh.
Entah mengapa, lidahnya seakan menjadi kelu. Aneh sungguh!
Tiba-tiba, Erena mendengus geram. Tidak tahan lagi
apabila berhadapan dengan situasi itu. “Doktor…”
Dr. Qasyiful memandang wajah Erena. Serentak bibirnya
terukir senyuman hambar. “Hmm…” balasnya. Nada suara itu kedengaran gugup.
Erena menarik nafas panjang. Wajah itu kelihatan serius.
“Saya nak bagitahu sesuatu pada awak, Dr. Qasyiful. Awak dengar baik-baik, ya!
Walaupun papa beria-ia nak saya kahwin dengan awak, tapi awak jangan berangan
saya akan jatuh cinta pada awak. Faham?” Dia bersuara lantang. Nada suaranya
juga kedengaran agak tegas.
Dr. Qasyiful terkedu.
Erena memandang Dr. Qasyiful. Sinis sekali pandangannya.
“Tak pernah terdetik walau sedikit pun dalam hati saya untuk berkahwin dengan
awak, Dr. Qasyiful. Saya tak teringin nak jadi isteri awak tau. Hisy! Saya tak
tahu kenapa papa boleh terfikir untuk kahwinkan saya dengan awak? Punya banyak
lelaki yang ada dalam dunia ni, mamat serius macam awak juga yang papa mahukan.
Hei, apa yang awak dah buat kat papa saya, hah?” katanya kasar.
Dr. Qasyiful masih diam. Membiarkan Erena meluahkan apa
yang terbuku di hatinya.
“Kalau ikutkan hati saya ni, nak aje saya lari dari rumah
tau. Tak naklah saya kahwin dengan awak! Dahlah tak reti nak senyum, asyik
serius 24 jam aje. Tak romantik langsung! Awak tau tak, saya tak suka lelaki
yang serius macam awak ni!”
Walaupun bertubi-tubi ayat yang dituturkan Erena umpama
mesin gan itu, namun Dr. Qasyiful sedikit pun tidak membalas.
Dahi Erena berkerut. Dia memandang wajah Dr. Qasyiful.
Ah, wajah itu masih serius. Eh, Dr.
seriousni ada masalah pendengaran ke? Punyalah lebar aku bersyarah, tapi
boleh pula dia diam macam kayu? Hantu betullah!
Erena mendengus. “Awak ni pekak ke? Ataupun, mulut awak
tu dah kena bius sampai jadi bisu? Saya bercakap dengan tiang elektrik ke?”
jerkahnya kuat.
Tiba-tiba, Dr. Qasyiful tersenyum. Membuat dahi Erena
semakin berkerut Eh, aku tengah buat lawak ke? Berkhutbah panjang lebar ada la.
Habis tu, kenapa pula tiba-tiba dia tersenyum? omel hati Erena kehairanan.
Erena menjeling tajam. Geram melihat riak tenang yang
terlukis di wajah Dr. Qasyiful. “Saya membebel kat awak punyalah panjang lebar,
macam orang tengah berkhutbah. Tapi, awak boleh tersenyum pulak? Saya rasa,
saya tak buat lawak pun. Apa yang lawak?” bidasnya keras.
Dr. Qasyiful menggeleng. Bibirnya masih lagi terukir
senyuman. “Awak membebellah panjang lebar sekalipun, tak ada gunanya, Rena.
Untuk pengetahuan awak, kita tetap akan bertunang dan akan bernikah tak lama
lagi. Jadi, simpan ajelah bebelan awak tu. Buat membazir air liur awak aje
membebel kat saya.”
Erena tergamam. Wajahnya cemberut. Ewah, sedap-sedap aje
kau perli aku, ya? Hah… tak apa… tak apa… kita tengok siapa lagi hebat! bentak
hatinya semakin geram.
“Saya tak nak kahwin dengan awak! Jadi, awak nak buat apa
kat saya? Hei, sikit pun saya tak ada perasaan kat awak tau! Iyyuuu… siapalah
nak bersuamikan lelaki serius macam awak? Tak hinginlah!” bidas Erena kasar.
Dr. Qasyiful mengukir senyuman sinis. Keningnya
terjungkit sebelah. “Saya pun tak pernah impikan untuk beristerikan seorang
gadis manja macam awak ni, Erena Amani! Sebab Uncle Harris dan Auntie Katrina, saya terima awak. Jadi, jangan fikir
lelaki macam saya ni nak beristerikan gadis manja, gedik dan keanak-anakan
macam awak. Sorry!”
Mata Erena membulat. Dia menggenggam buku limanya.
“Eeii!” jeritnya geram. Serentak itu, dia terus berjalan masuk ke dalam dengan
seribu satu kemarahan di hati. Malas hendak bertegang urat dengan Dr. Qasyiful
lagi. Huhh, dapat sakit hati ada la!
Dr. Qasyiful mengeluh panjang. Kepalanya tergeleng-geleng
apabila mengenangkan sikap Erena. Tak apalah, insya-ALLAH suatu hari nanti aku
mampu membentuk kau, Erena.