Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 1
DATIN KATRINA yang baru sahaja melangkah keluar dari dapur segera berjalan menuju ke arah meja makan. Lalu, wanita itu melabuhkan duduk di atas bangku. Ringan tangannya menceduk mi goreng ke dalam pinggan suaminya, Datuk Harris.

Datuk Harris hanya memerhati tingkah lalu isteri yang sudah dinikahinya 20 tahun yang lalu. Pinggan yang dihulurkan isterinya segera disambut. “Terima kasih, Katrina,” ucapnya sambil tersenyum kecil.

Datin Katrina mengukirkan senyuman. “Sama-sama kasih, bang,” jawabnya ringkas.

Datuk Harris meletakkan pinggannya ke atas meja. Lalu, bola matanya terarah ke arah Datin Katrina. “Katrina, anak manja awak tu dah bangun? Ke… masih membungkam lagi atas katil kesayangannya itu?” soalnya ingin tahu.

Datin Katrina melepaskan keluhan kecil. “Kena simbah dengan air sejuk, baru nak bangun. Kalau tak, sampai ke petanglah membungkus dengan kain selimut dia tu. Jenuh jugalah saya membebel kat dia. Tak pasal-pasal dia kena tazkirah pagi,” balasnya geram.

Datuk Harris menggeleng apabila mendengar jawapan isterinya. “Apalah nak jadi dengan anak kita tu, Katrina? Umur dah 21 tahun, tapi perangai masih lagi keanak-anakan. Pening kepala saya dibuatnya,” balasnya geram.

Sekali lagi Datin Katrina mengeluh kecil. “Entahlah bang, saya sendiri pun tak faham. Dah berbuih mulut saya nasihatkan dia. Tapi, macam tulah juga perangainya. Saya tak tahulah bila dia nak berubah, bang,” balas Datin Katrina lagi.

Sejenak mereka terdiam, menikmati hidangan masing-masing.

“Hah Katrina, awak ingat lagi tak Dr. Qasyiful Hakim?” soal Datuk Harris sambil memandang wajah Datin Katrina. Bibirnya terukir senyuman penuh makna. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang bermain di benak fikirannya.

Datin Katrina mengukir senyuman. Wanita itu mengangguk sebagai jawapan. “Masakan saya tak ingat dia, bang. Doktor peribadi kita yang baik hati, kacak pula tu. Sejuk hati saya tengok cara dia bekerja. Penuh berkarisma,” balasnya bersungguh-sungguh.

Terbayang wajah kacak Dr. Qasyiful yang sangat beretika ketika menjalankan tugasnya merawat setiap pesakit. Pemuda kacak itu sangat berhemah, malah berhati-hati ketika melaksanakan tugas yang tergalas di bahunya. Beruntung kalau dapat bermenantukan lelaki kacak itu.

Datuk Harris tersenyum penuh makna. Spontan, perbualannya bersama Dr. Qasyiful tempoh hari menerjah ke layar ingatannya.

SEDANG Dr. Qasyiful membelek-belek fail milik pesakitnya yang tertulis nama Lizawati binti Nordin itu, tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pintu dari luar.

Dr. Qasyiful tersentak kecil. Spontan, dahinya berkerut seribu. “Siapa pula yang datang ni?” tanyanya hairan. Lalu, ringan mulutnya menyebut perkataan ‘masuk.

Pintu biliknya terkuak dari luar. Tersembul muka Datuk Harris di muka pintu. “Assalamualaikum, Qasy,” sapanya lembut. Bibirnya tergaris senyuman lebar.

Dr. Qasyiful terkejut apabila melihat kedatangan Datuk Harris ke kliniknya. Aik, tiba-tiba aje datang ni. Hah, ada apa-apa ke ni? desisnya di dalam hati.

“Waalaikumussalam… Eh, uncle? Err… masuklah!” ajak Dr. Qasyiful ramah. Segaris senyuman kelihatan terukir di bibir lelaki kacak itu.

Datuk Harris melangkah masuk ke dalam bilik Dr. Qasyiful. Lalu, lelaki itu melabuhkan duduknya di atas sofa.

Dr. Qasyiful bangun dari bangku kerjanya lalu berjalan ke arah sofa. Seraya itu, dia melabuhkan duduk di hadapan Datuk Harris. Dia memandang wajah Datuk Harris. Uncledatang ke klinik saya ni, mesti ada apa-apa, kan?” tekanya. Bibirnya masih lagi terukir senyuman kecil.

Datuk Harris tergelak kecil. “Doktor ni… macam tau-tau aje, kan? Doktor memang pandai meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran uncle,” balas Datuk Harris beria-ia.

Dr. Qasyiful tersenyum kecil. “Saya dah lama berkhidmat dengan keluarga uncle.Saya dah masak dengan keluarga uncle. Jadi, mestilah saya dapat meneka apa yang sedang bersarang dalam kepala uncle,” balasnya selamba.

Sekali lagi Datuk Harris tergelak kecil. “Doktor ni memang pandai membaca isi hati saya, ya,” pujinya bersungguh-sungguh. “Sebenarnya, tujuan uncleke sini bersebab, doktor.” balasnya. Siap tersenyum penuh makna lagi.

Dahi Dr. Qasyiful berkerut seribu. “Tujuan apa, uncle?”tanyanya ingin tahu. Semacam aje dia ni. Siap tersenyum penuh makna lagi. Sahlah, mesti ada sesuatu. Tapi, apa dia, ya? Terdetik di hatinya rasa ingin tahu.

Datuk Harris masih lagi tersenyum penuh makna. “Sebenarnya doktor, uncleada hajat. Uncleharap, doktor boleh tunaikan hajat uncle,” balasnya bersungguh-sungguh. Raut wajahnya kelihatan penuh mengharap.

Kening Dr. Qasyiful terjungkit sebelah. Memek muka hairan terlukis di wajah lelaki kacak itu. “Hajat? Hajat apa, uncle?”soal Dr. Qasyiful ingin tahu. Dah macam dalam cerita zaman Melayu klasik pula. Kedatangan hamba ke sini ada hajat. Diharapkan supaya tuanku dapat memenuhi hajat hamba. Ha ha ha…

Datuk Harris mengukir senyuman penuh makna. “Uncle nak meminang kamu untuk jadi suami pada anak uncle,Erena Amani,” balasnya bersungguh-sungguh. Siap menayang muka serius lagi.

Dr. Qasyiful tayang muka terkejut. “Apa?”

“ABANG?” Tiba-tiba kedengaran suara Datin Katrina menegur Datuk Harris lembut. Diiringi dengan seribu kerutan yang terlukis di dahi wanita cantik itu.

Datuk Harris tersentak kecil. Serta-merta, lamunannya terbang menghilang. “Hah?” balasnya, terpinga-pinga memandang Datin Katrina.

Berkerut dahi Datin Katrina. “Amboi… bang, jauh benar menungnya. Apa yang abang tengah fikirkan tu?” tanyanya ingin tahu. Bibirnya terukir senyuman nipis.

Datuk Harris mengukir senyuman kecil. “Tak ada apa-apalah, Katrina,” balasnya lembut.

Datin Katrina seakan baru teringatkan sesuatu. “Tadi awak ada sebut nama Dr. Qasyiful. Kenapa dengan dia, bang?” tanyanya ingin tahu.

Datuk Harris tersenyum penuh makna. Raut wajahnya juga kelihatan serius bagai nak rak. “Sebenarnya, saya nak jodohkan Rena dengan dia,” balasnya tegas dan serius.

Erena yang baru sahaja tiba di ruang makan terkejut biawak apabila mendengar kata-kata papanya. Matanya membulat, mulutnya ternganga luas. “Apa, kahwin?” jeritnya sambil menayang muka terkejut.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.