Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 60

BAB 60: Keringat


               Daniel sudah penat. Hari cuti hujung minggu yang sepatutnya diluangkan bersama keluarganya di rumah digunakan sepenuhnya untuk mencari kerja sambilan.

               Daniel berehat sebentar di motornya. Dia hampa kerana sudah 12 kedai dia kunjungi tetapi tiada kerja kosong untuk separuh masa. Jelas wajah Daniel sedih. Perasaannya tidak bersemangat untuk pergi mencari kedai lain meminta kerja.Takut semangatnya lagi menjatuh apabila pihak kedai asyik kata tiada kerja kosong. Wajah-wajah pekerja kedai yang menolak hasratnya terimbau-imbau di ingatan. Hatinya sudah malu.

               ‘Ya Allah… kenapa susah ya nak dapat kerja sambilan kali ini. Aku minta kerja sambilan saja Ya Allah… Gaji kerja sambilan pun bukanlah banyak mana… tapi aku sangat perlukan Ya Allah. Kau sahajalah yang boleh memelihara aku dan keluargaku’, getus hati Daniel merenung memandang bawah.

               “Kalau tak dapat hari ini tak apa Danny… Kau dah pergi 12 kedai minta kerja untuk hari ini, itu pencapaian yang hebat! Kau boleh Danny… Mungkin rezeki kau bukan hari ini. Nanti boleh cari lagi esok”, kata Daniel memujuk diri sendiri. Lalu dia menghidupkan enjin motor untuk pulang ke rumah. Wajah keluarga terbayang-bayang.

               Tiba-tiba tekaknya terasa haus dan berhenti sebentar di sebuah kedai runcit yang tak pernah disinggahnya. Masuk sahaja kedai itu dia mengambil air tin minuman dan pergi ke kaunter pembayaran untuk membayar.

               “Haiyaa…ini apa macam? Muka banyak sedih wo…”, tanya seorang lelaki cina tua 60-an yang menjaga kaunter pembayaran itu.

               Daniel tersenyum kecil, “cari kerja uncle… tak dapat-dapat. Dah 12 tempat saya pergi untuk satu hari ini, tapi tak ada yang melekat. Susah betul nak dapat kerja sekarang ni”.

               “Haiyaaa lu orang muda yang banyak pilih kerja maaa… Tempat saya ini ada kosong, saya tampal itu kertas vacancy dekat depan kedai, tapi orang banyak lalu saja. Sudah seminggu tampal, tapi tak ada yang call”, kata pakcik cina tua itu.

               “Kerja part time pun ada ke uncle?”, tanya Daniel dengan rasa berdebar.

               “Ada-ada…RM5 per hour”, jawab pakcik cina itu.

               “Kalau macam itu saya nak kerja sini boleh uncle?”,tanya Daniel dengan wajah yang berharap.

               Pakcik tua itu terdiam melihat wajah Daniel yang sangat berharap sebegitu.

               “Boleh…saya punya pekerja Indon tu balik kampung dia… Jadi saya kekurangan pekerja”,kata pakcik tua itu lagi.

               “Betul boleh tauke? Bila saya boleh mula?”,tanya Daniel bersungguh-sungguh.

               “Esok boleh mari. Pukul 7 petang kamu masuk, nanti kamu timbang bungkus itu onion and garlic. Sampai pukul 12.30 malam kita tutup kedai. Mampu ka?”, tanya pakcik cina itu lagi.

               “Mampu!”,senyum Daniel.

               Daniel keluar dari kedai dengan perasaan gembira. Dia pergi ke arah motosikalnya, kemudian hatinya terdetik untuk melihat kertas vacancy yang ditampal pakcik itu di hadapan kedai.

               Apabila pergi ke tiang hadapan kedai, Daniel ketawa kecil. Kertas vacancy yang ditampal pakcik itu pun terbalik. Mungkin kerana itu,tiada siapa perasan akan kewujudan kertas itu. Fikir Daniel. Pada masa yang sama dia bersyukur.

               Pernah tak disaat kita merasakan tuhan tidak memberikan apa yang kita perlu, kemudian kita sedih melampau, perasaan sedih itu sehingga berasa putus asa. Padahal permintaan itu mungkin nampak remeh di mata manusia, tetapi hanya diri sendiri saja tahu betapa kita sangat mengharapkan. Namun, walaupun berasa hendak putus asa, masih ada sekelumit rasa berharap kepada tuhan.

               Dengan sekelumit harapan itulah, tiba-tiba tuhan memberikan kita rezeki yang tidak diduga. Mungkin tidak sebiji dengan yang kita pinta, tapi ada sama jugalah. Bila sudah dapat, perasaan syukur itu tak mampu diungkap dengan kata. Terasa makin rendah di hadapan tuhan, rasa macam bersyukur yang amat sangat nak sujud syukur. Berasa diri kita tak mampu nak beri apa-apa kepada tuhan. Iman tidaklah sehebat sahabat atau tabiin, tetapi tuhan masih memberi.

               Sesungguhnya Allah itu memang Maha Memelihara hamba-hambanya.

               Membuatkan rasa syukur ini seakan berkali ganda syukur dari syukur yang sebelum-sebelumnya.


**

               Hari-hari Daniel mula sibuk. Dia masuk ke tempat kerja L.I. pukul 8 pagi dan pulang pukul 5 petang. Pukul 7 pula masuk ke kedai runcit Uncle Lim dan sampai ke rumah selalu hampir 1 pagi. Rutin Daniel selalunya menimbang bawang serta sayuran lalu membungkus ke dalam plastik jernih. Dia juga menyusun-nyusun barang di rak kedai. Memang sangat banyak barang-barang yang perlu disusunnya. Kadangkala dia menjadi juruwang di kaunter juga. Ada juga beberapa pekerja asing yang bekerja di situ tetapi tidak ramai. Mujur Uncle Lim memahami, Daniel dibenarkan solat di tempat kerjanya di bahagian bilik belakang.

               “You solat ka? Banyak rajin ma… Pekerja saya yang macam you sebelum ini tak ada yang solat wo. Kalau you nak solat… you kasi doa sama tuhan you, minta kasi bisnes saya maju. Hahaha”, seloroh Uncle Lim.

               Daniel hanya tersengih dan mengangguk. Setelah selesai solat Maghrib, Daniel duduk di kaunter. Beberapa orang pelanggan meletakkan minuman 100 plus di atas kaunter. Daniel yang menjaga kaunter mengambil barang-barang itu untuk di semak. Alang-alang itu Daniel melihat-lihat juga pelanggan yang di hadapannya. Pelanggan di hadapannya seakan sebaya dengannya.

               “Memang kaki gym lah kau ni… Badan ketak-ketak idaman semua perempuan dekat kampus”.

               “Itu bonus… tapi aku malas nak bermakwe-makwe ni, nanti masa aku dengan gym aku terganggu”.

               “Kau ni nak kahwin dengan gym ke dengan perempuan? Memang gila gym betullah”.

               “Aku tak tahulah kalau aku ni gila gym ke apa… tapi sementara kita masih muda ni manfaatkanlah masa bujang ni kan. Nanti dah kahwin dah tak boleh rutin sama macam masa bujang”.

               “Betul juga tu. So, jom esok tengok wayang…”.

               “Hahahhaah…”.

               Daniel melihat sahaja gelagat pelanggannya yang sudah pergi dengan belian mereka.

               Daniel terfikir bagaimana dirinya jika masih bujang. Adakah fikirannya dan hidupnya bebas seperti mereka?

               Senyuman Nadirah terimbau di ingatan.

               Bukan kebebasan bujang yang dia inginkan, tetapi jalan perkahwinanlah yang dia lebih pilih. Dia sudah pun berada di jalan perkahwinan. Dia tahu inilah yang dia inginkan dan dia perlu menanggung risiko dan tanggungjawabnya. Dia tidak perlu berasa beban. Tuhan memberi rezeki pekerjaan pun pasti untuk keluarganya. Fikir Daniel.

               Kemudian, pekerja lain pula yang mengambil gilirannya menjaga kaunter. Daniel pergi menyusun barang di rak. Tiba-tiba dia terlihat seseorang yang sangat dikenalinya. Daniel tergamam dan cepat-cepat menyorok. Dia terlihat Abang Din,iaitu supervisor di tempatnya membuat latihan industri. Abang Din itulah yang selalu tegas dan garang saat membimbingnya di tempat kerja. Daniel tidak berani untuk memberitahu yang dia melakukan kerja separuh masa di tempat lain. Takut-takut Abang Din itu cerewet.

               Din dapat merasakan ada orang yang memerhatikannya. Bila diperhatikan, kelibat itu seperti Daniel.

               ‘Hmm’,fikir Din.

**

               Sudah empat minggu dia bekerja di Kedai Runcit Uncle Lim. Daniel berasa puas kerana gaji diberikan setiap hujung minggu, dapatlah dia belikan barang rumah dan simpanan untuk isterinya bersalin nanti. Sejujurnya badannya sudah letih, maklumlah dua pekerjaan satu hari. Siang pakai otak, malam pakai tenaga. Tetapi bagi Daniel alah bisa tegal biasa, kalau sudah lama pasti akan jadi biasa. Positif Daniel.

               Daniel berasa sangat penat pada pagi ini. Semalam dia mengangkat beras-beras masuk ke dalam kedai. Badan belakangnya lenguh-lenguh. Di makmal, tengok kultur di papan petri dish pun terasa samar goyang-goyang begitu. Daniel menggeleng-geleng kepalanya. Tanpa disedarinya, beberapa susunan petri dish yang disusun di atas meja itu berterabur kerana sikunya yang terlanggar. Daniel tersedar dan pantas menyusun petri dish itu. Mujur jatuh biasa-biasa, tidak jatuh ke lantai.

               “Hei hei!”, kerut Abang Din.

               Daniel mencantikkan susunan petri dish itu.

               “Apa ni Danny? Abang dah cakap suruh hati-hati kan! Kultur ni mahal! Ini... nak kena masuk freezer dah ni!”, tegas Abang Din.

               Daniel hanya memandang bawah dengan lalu berkata, “maaf bang. Saya tak sengaja”.

               Kening Abang Din berkerut, “muka kau letih ni… Kau pening tadi kan? Itu yang sampai tak peka dengan piring tu”.

               “Maaf bang… saya rasa tak sedap badan hari ini”, kata Daniel.

               Abang Din mengeluh.

               “Kau ada kerja sambilan kan lepas habis pukul 5 petang?”, taya Abang Din.

               Daniel memandang Abang Din.

               “Abang tahulah… abang nampak kau kerja dekat kedai tauke cina tu”, kata Abang Din.

               “Abang tak tahulah nak cakap apa, mungkin kau ada alasan tersendiri… tapi abang nak beritahu… sekarang ni kau tengah berlatihan industri. Bila berlatihan industri, kau kena komited lah dengan kerja kau. Ini kau kerja sambilan dekat luar, penatnya terkesan masa dekat sini… Abang tak naklah macam itu, sekarang ni kau masih kategori belajar. Jadi fokus waktu L.I. ni untuk belajar bidang kerja kau di makmal ni. Manfaatkan pelajaran waktu intern ni betul-betul. Kalau dah habis latihan industri ni, kau nak kerja mana kau kerja lah”, kata Abang Din.

               “Baik bang… tapi saya memang suka kerja dekat makmal ni”, kata Daniel.

               “Abang tahu kau ni memang pekerja dan pelajar yang bagus, tapi abang nak nasihatkan kau. Kau berhenti jelah kerja situ. Apalah sangat gaji dekat situ, nak dibandingkan dengan ilmu yang kau dapat dekat sini. Kalau nak kumpul duit ni sampai bila-bila tak habis. Abang tak nak kecuaian ni terjadi lagi… Kalau abang tahu kau masih kerja dekat situ. Abang tak tahulah nak cakap apa dengan pensyarah kau”, kata Abang Din dengan gaya stress.

               Daniel hanya diam. Sejujurnya dia berasa agak tertekan dengan kata-kata Abang Din. Dia tahu kata-kata Abang Din tu ada betulnya, tetapi Abang Din juga tidak tahu akan keadaannya. Daniel juga tidak berasa hendak menceritakan keadaannya memandangkan hanya diri sendiri sahaja dapat memahami masalah yang dihadapi. Jika diceritakan kepada orang lain, belum tentu mereka boleh faham.



Previous: Bab 59
Next: Bab 61

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.