Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 36

BAB 36: Kenangan


Daniel melantangkan suaranya, “Macam mana lah orang lelaki tak cari perempuan lain?!! Dah perangai awak asyik macam ni saja!! Kalau awak berterusan perangai macam ni!! Tak nak layan saya sebaiknya… baik saya kahwin lain lagilah!!... Dekat ‘U’ tu ada saja yang nak dekat saya tau, cuma saya berkawan saja dengan dia!! Sebab sikap awak macam ni!! Baik saya kahwin dengan dia!”.


“Kahwin lain?!!! Awak jangan nak macam-macam ya Daniel Haikal! Awak masih tak sedar diri lagi ke?!! Gaji awak pun kecil ada hati nak kahwin lagi!! Saya yang banyak menyumbang untuk rumah tangga kita ni!! Awak tak ada hak nak buat saya macam ni!! Awak jangan nak jadi suami dayus ya!!”, jerit Nadirah sambil air matanya mulai berderas. Nadirah juga sudah terduduk mengelap-lap air matanya.


Tetapi itu semua hanya jeritan batinnya. Nadirah terkelu saat suaminya mengucapkan kata-kata sedemikian. Nadirah tidak mampu untuk membalas. Dia terdiam seribu bahasa. Nadirah masih dalam keadaan terkejut sehinggalah suaminya menghempas pintu untuk keluar. Pada saat itu, air mata Nadirah jatuh makin laju. Nadirah menangis. Esak tangis kedengaran juga.


Nadirah sedar akan kesalahannya bertutur kata sedemikian tetapi perlukah suaminya berhasrat untuk menduakannya? Suaminya juga punya kesalahan! Kenapa segala kesalahan seakan-akan datang daripadanya?! Nadirah tidak boleh terima keadaan itu! Nadirah sudah hilang arah tuju dalam perkahwinannya. Fikirannya tidak dapat menetapkan keputusan siapa yang salah atau tindakan apa yang seharusnya dilakukan.


Sudah namanya manusia kan? Hati mereka tidak tetap. Punya hasrat untuk menduakan seseorang itu bukanlah sesuatu yang jarang. Tuhan sahaja yang tidak akan pernah menduakan kita, cuma kita manusia biasa sahaja yang sering terlupa dan menduakan-Nya tanpa kita sedar. Biarlah kali ini dan seterusnya, hanya kepada tuhan sahaja kita berserah. Fikir Nadirah.


Nadirah masih dengan tangisannya.


**

Daniel menunggang motornya laju seiring dengan perasaannya. Wajah Nadirah marah, kata-kata Nadirah yang kasar, wajah manis Nadirah dan senyuman Nadirah semuanya bercampur aduk dalam kepala Daniel. Air matanya terasa kering. Namun, tekaknya masih terasa sakit kerana menahan tangis.


Setelah tiba di kawasan rumah, Daniel memakirkan motornya di bawah dan naik ke rumah maknya. Setibanya di depan pintu rumah, Daniel mengetuk pintu.


Mak Esah kelihatannya sedang membasuh pinggan. Hampir usai, pintu rumahnya berbunyi ketukan. Lantas Mak Esah mempercepatkan pekerjaannya lalu ke pintu untuk melihat gerangan siapa yang mengetuk pintu.


“Eh? Danny… Buat apa malam-malam datang rumah mak? Nad mana?”, Mak Esah tertanya-tanya.   

    

“Nad tak ada… dia emm… ada kerja”, tipu Daniel sambil melarikan pandangan ke arah lain.


Mak Esah hanya memerhatikan raut wajah anak lelakinya. Dia merasakan kedatangan anak lelakinya bukan saja-saja. Pasti ada sesuatu yang terjadi kepada Daniel.


“Masuklah…”, Mak Esah membuka pintu pagar.


Daniel masuk ke dalam rumah setelah maknya membuka pintu rumah. Daniel menyalami maknya lalu merebahkan diri di sofa ruang tamu rumahnya.


“Kalau nak minum…itu ada air teh dalam peti ais ya”, beritahu Mak Esah.


“Hmmm…”, angguk Daniel. Dia masih di sofa, berbaring dengan kedua tangannya menutup wajah. Stokin di kaki juga tidak ditanggalkan.


“Kalau ya nak rehat pun buka stokin tu dulu”, tegur Mak Esah apabila melihat gelagat anak lelakinya.


“Kejap mak… Danny baring untuk seminit je”, perlahan suara Daniel.


Mak Esah hanya melihat kerenah anak lelakinya. Mungkin penat dalam perjalanan untuk balik ke rumahnya. Fikir Mak Esah. Mak Esah masih di meja makan melihat-lihat telefonnya.


‘Tak ada pula Nad whatsapp aku apa-apa?...’, Mak Esah tertanya-tanya.


Setelah seminit berlalu, Daniel bangun dan membuka stokin untuk letak di kawasan kasut.


“Danny tak beritahu mak lagi… kenapa Danny datang rumah mak?”, tanya Mak Esah memandang anak lelakinya.


“Lah… mak tak suka ke anak mak datang?”, tanya Daniel.


“Mak bukan tak suka… Cuma mak lagi suka kalau ada anak menantu mak sekali”, kata Mak Esah lalu merenung anak mata lelakinya dengan wajah yang curiga.


Daniel mengeluh lalu berkata, “kan Danny dah kata yang Nad ada kerja”.


“Yalah kalau begitu”, Mak Esah malas hendak mendesak anaknya. Namun yang pasti, Mak Esah dapat merasakan ada sesuatu antara anaknya dan menantunya. Hal ini kerana riak wajah Daniel sangat lain. Wajah Daniel yang matanya sembap seakan baru lepas bersedih. Apabila ditanyakan tentang Nadirah pula jawapannya tidak melegakan hati Mak Esah.


“Nak duduk rumah mak sampai bila?”, tanya Mak Esah.


“Sampai Isnin”,jawab Daniel pantas.


“Esok Ahad tak balik rumah?”, tanya Mak Esah.


Daniel menggeleng lalu berkata tipu, “Danny nak rehat dan relakskan minda dekat rumah mak sekejap. Bukan apa… sejak dah nak masuk tahun akhir ni, rasa makin stress pula”.

Padahal kedatangannya ke rumah maknya adalah untuk melapangkan diri dari urusan rumah tangganya sebentar.


“Hmm…”, angguk Mak Esah. Dia hanya memerhatikan anaknya. Walaupun Daniel tidak mahu menceritakan, tetapi Mak Esah sendiri dapat merasakannya. Sebagai ibu dia tahu jika anaknya dalam masalah. Baik masalah apa sekalipun. Memang sahlah masalah rumah tangga! Fikir Mak Esah.


Jarum jam menunjukkan 11.30 malam. Daniel termenung sambil memegang cawan yang berisi coklat panas. Lalu dihirup sebentar dan kembali termenung.


Mak Esah hanya memerhatikan sahaja anaknya. Lalu dia mendekati anaknya.

“Danny dah solat Isya’?”, tanya Mak Esah.


“Dah”, jawab Daniel apabila tersedar dari lamunannya.


“Emmm…”, Mak Esah bergerak ke arah almari di bawah televisyen lalu dibukanya. Daniel pula memerhati apa yang maknya hendak lakukan.


Mak Esah membelek lagi koleksi foto-foto lalu dipilihnya album-album tertentu. Kemudian, album-album itu dibawa ke arah Daniel.


“Kenapa ni mak?”,tanya Daniel apabila maknya membawakannya beberapa album.


“Tak ada apa… mak nak tengok album-album ni dengan kamu”, kata Mak Esah.


Daniel hanya diam. Dia juga mengambil satu album lalu dibukanya.


Mak Esah tersenyum lalu berkata, “ingat tak gambar yang kamu tengok tu. Masa tu kamu nak akad nikah Nad… Mak rasa tak percaya saja kamu kahwin awal macam mak dengan ayah masa muda-muda dulu. Macam mana perasaan Danny masa nak lafaz akad tu ya?”.


Daniel tersenyum kecil apabila maknya bertanya soalan sebegitu. Dia hanya memerhati gambar itu. Daniel terkenang. Dia teringat situasi dirinya dan Nadirah akad nikah di masjid. Saat itu, dia segak berbaju melayu. Namun, disebabkan tangannya juga asyik berpeluh. Dia asyik mengesat tangannya yang berpeluh di sampin. Sengihan Daniel makin lebar. Sewaktu hendak akad juga, dirinya asyik mengintai-intai Nadirah yang sangat cantik berbaju pengantin. Lebih-lebih lagi Nadirah sedang duduk bersimpuh, sememangnya kelihatan sangat ayu.


Di sebalik, rasa berdebarnya sebagai pengantin lelaki. Perasaan yang menguatkan dirinya untuk mengatasi rasa debaran itu adalah saat dia melihat diri bakal isterinya.


‘Kau boleh Danny! Wanita dambaan kau dah ada depan mata dah! Nak takut apa lagi?!’, getus hati Daniel tegas saat itu.


“Emm haha..gementarlah. Haha… entah rasa berdebar. Rasa teruja, seronok… Tak tahu nak gambarkan macam mana”, Daniel sudah ketawa kecil.


Mak Esah tersenyum apabila melihat anak lelakinya sudah mula ketawa kecil.


“Cuba tengok yang ni…”, Mak Esah menunjukkan beberapa foto dari album yang lain pula.


Daniel masih tersenyum melihat foto-foto itu. Foto-foto sewaktu keluarga Nadirah dan keluarganya di masjid. Foto dirinya dan Nadirah bersama kawan-kawan sekolah menengahnya dan ada juga foto bersama rakan-rakan sepejabat Nadirah.


“Ini pula masa Danny dengan Nad punya raya pertama bersama… ini tahun kedua… yang ini pula ketiga. Dah tiga tahun dah kan rupanya perkahwinan Danny dengan Nad? Kalau masuk raya tahun ni dah jadi empat tahunlah! Cuma tak rasa sangatkan sebab bila masa rayalah kerja kursus Danny berlambak ya tak?”, teruja Mak Esah sambil menepuk peha anak lelakinya.


“Haha haah mak”, setuju Daniel. Itu memang lumrah pelajar. Saat semua orang beraya sakan, mereka raya secara sederhana. Maklumlah seronok beraya boleh juga, tetapi kerja tertangguh universiti jangan di lupa. Nanti menangis tak berlagu. Masa raya lah ada kerja kursus yang harus di hantar. Masa itu jugalah, ada peperiksaan akhir hampir tiba.


Daniel sedikit terhibur melihat reaksi Mak Esah yang sangat teruja melihat gambar rayanya bersama Nadirah. Dia hampir ketawa melihat maknya. Daniel tersengih. Dia teringat saat-saat dia bertembung dengan makcik bawang di kampung Nadirah saat beraya dibelah Nadirah.


**

“Ohhh muda laki kau Nad!”, usik saudara mara Nadirah.


“Aah hahaha”,Nadirah hanya ketawa sambil menggaru belakang tudungnya yang tidak gatal. Daniel juga hanya senyum.


“Bila nak ada anak? Masa-masa muda ni lah ada tenaga! Ya tak?!”, tanya seorang makcik saudara Nadirah sambil keningnya diangkat-angkat memandang Daniel.


Kening Daniel berkerut. Namun senyuman di bibirnya masih cuba untuk dikekalkan. Hati Daniel berbisik, ‘dah mula dah soalan mak cik bawang raya’.


“Ohh… suami saya masih sambung belajar. Jadi nak fokuskan benda lain dulu. Lagipun kami ada perancangan keluarga tersendiri”, jawab Nadirah dengan wajah yang cemas.


Apabila mendengarkan jawapan Nadirah, makcik-makcik itu berpandangan antara satu sama lain.


“Alah macam-macamya pasangan muda zaman sekarang ni… Mereka dah moden! Siap ada perancangan keluarga bagai. Kalau dulu kita tak ada kan perancangan-perancangan macam tu”,kata seorang makcik.


“Kita ni kan orang lama… mereka orang muda. Dah zaman yang berbeza ya tak!”, kata yang lain pula.


“Alah! Orang dulu elok saja… tak ada nak buat cara advance advance macam sekarang”.


Daniel dan Nadirah berkerut kening memandang antara satu sama lain. Seakan-akan mereka dapat merasakan hal yang sama.


‘Cara advance apa pula yang makcik bawang ni cakap?... Apa kejadah?!’, pening Daniel. Rasa geli hati juga ada. Daniel hanya menjelingkan matanya memandang atas disertai sedikit sengihan.


Tidak pasal-pasal soal perancangan keluarga pasangan muda menjadi isu yang hangat untuk diperbahaskan dalam kalangan makcik-makcik bawang itu. Mereka saling mengeluarkan pendapat dan teori falsafah masing-masing sesama lain.


Tiba-tiba antara makcik-makcik itu ada seorang yang menghampiri Nadirah lalu menepuk bahunya.

“Alahh tak payah risaulah soal perancangan keluarga bagai… Kumpul harta ni sampai bila-bila pun tak habis. Tapi kalau dikurniakan anak ya ada rezeki. Orang kata apa tu… Hah rezeki anak macam tu”.


Nadirah hanya diam mengangguk dengan senyuman. Jelas Nadirah berwajah pasrah menghadap kerenah-kerenah makcik-makciknya.


Daniel terasa geli hati melihat keadaan itu lalu dia turut menyampuk, “terima kasih atas doa makcik-makcik semua. Kami bukanlah nak kumpul harta yang terlalu banyak pun…Cuma kami belum ada rezeki anak buat masa sekarang. Kalau ada rezeki untuk ada anak… sepuluh atau belas-belas anak saya boleh tunaikan. Kan sayang?”, senyum Daniel memandang isterinya. Jauh di sudut hati Daniel sudah ketawa terbahak-bahak. Namun, dia masih cuba untuk menahan ketawa dan control macho di hadapan makcik-makcik itu.


Nadirah mengecilkan matanya dan tersenyum memandang Daniel. Jelas Nadirah hendak ketawa kecil.


Makcik-makcik yang mendengar jawapan Daniel tadi tergamam dan mula berpandangan antara satu sama lain. Mereka seakan kagum dengan jawapan Daniel.


Lalu datang seorang makcik lagi menghampiri Daniel dan Nadirah sambil membuat thumbs up seraya berkata, “dah namanya orang mudalah kan. Makcik doakan kamu dimurahkan rezeki dan dikurniakan anak-anak yang baik”.


Nadirah dan Daniel senyum memandang makcik itu lalu senyum berpandangan antara satu sama lain. Pegangan tangan mereka dieratkan.


Jika pandang dari sudut positif, makcik-makcik ini kadangkala tidak berniat untuk terlalu menjaga tepi kain orang. Cuma lumrahlah manusia ini terasa ambil berat untuk mengetahui hal orang lain. Kalau ada pendapat atau nasihat yang boleh diberikan kepada orang muda, mereka akan berikan. Mungkin mereka tidak tahu hendak berbual topik apa terhadap pasangan muda seperti Nadirah dan Daniel. Jadi hanya soalan mengenai anak sahaja yang ada di dalam fikiran mereka.


**

Daniel ketawa kecil lagi lalu meletakkan album gambar-gambar rayanya bersama Nadirah di tepi. Kemudian gambar yang lain juga dibeleknya.


Ada juga gambar-gambar saat Nadirah dan Mak Esah mencium pipinya dua-dua belah saat menghadiri hari pendaftaran kemasukan ke UPM. Mata Daniel terasa sejuk memandang foto-foto itu. Di saat rakan sebayanya yang lain ditemani ibu dan bapa, dirinya pula ditemani maknya dan isterinya. Terasa sangat berbeza tetapi bila dilihat secara mata hati, sememangnya sangat bermakna.


Hati Daniel tersentuh sedikit demi sedikit. Saat Mak Esah memandang ke arah lain, Daniel mengusap gambar yang ada wajah Nadirah.


‘Kenapa ya dulu lain sekarang lain?’, getus hati Daniel.


Apa yang salah?Apa yang berbeza? Apa yang berubah? Salah siapa? Bermacam persoalan bermain difikiran Daniel. Daniel percaya dirinya dan isterinya masih ada rasa cinta antara satu sama lain, tetapi apa yang tidak kena dengan rumah tangganya sekarang? Bukankah rumah tangga itu akan kekal bahagia jika masih ada rasa sayang antara satu sama lain? Tetapi kenapa rumah tangganya terasa berbeza padahal mereka saling mencintai? Ada yang salahkah?


'"Okaylah… aku cakap ni berdasarkan kenyataan. Aku tak bermaksud nak merendahkan kau tau. Sebagai kawan, aku beritahu benda yang terus terang. Kadang-kadang kita selalu rasa pasangan kita tu bermasalah. Dia garanglah, dia dinginlah, dia tak hormat kitalah. Tapi sebelum kita cari salah pasangan kita tu, cuba tengok diri kita sendiri dulu… Ada tak masalah dengan diri kita? Kau tengok diri kau, kau rasa kau ada masalah tak? Maksud aku… kau pun ada tak buat benda yang dia tak suka? Cuba kau ingat balik. Kalau dah ingat, kau kena berubahlah terhadap benda yang bini kau tak suka tu"'.


Kata-kata Jai terjengah di ingatan. Daniel berfikir sedalam-dalamnya. Mungkin memang salah dirinya. Selama ini Nadirah melayan dirinya dengan baik sekali. Nadirah juga melayan maknya dengan baik sekali. Mungkin juga kerana sikapnya yang membuatkan Nadirah berubah.


‘ “Awak ni kenapa?! Masa awal-awal kita kahwin dulu elok saja awak buatkan semua kerja rumah… tak ada pun nak mengungkit ke?! bahagi-bahagi housechores macam sekarang ni. Apa?! Jijik sangat ke nak basuh pinggan mangkuk sisa saya makan?!! Hahh?!! Awak tak boleh ke jadi macam isteri yang lain-lain?! Yang tak bergantung dekat suami untuk hal-hal kerja rumah ni?!Awak tu dah berubah Nadirah!... Awak ni dikira mengabaikan tanggungjawab awak tahu tak?! Pentingkan sangat profesion tu sampai rumah terabai!,,, Bila rumah terabai, salahkan saya pula”’.


‘Mungkin kerana itukah?’, getus hati Daniel.


Setelah selesai sesi melihat foto, Mak Esah dan Daniel masing-masing masuk tidur ke bilik masing-masing.


“Masuk bilik terus tidur! Nanti kalau lambat tidur… terlajak pula Subuhnya”, pesan Mak Esah.


“Baik mak…”,angguk Daniel lalu masuk ke dalam bilik bujangnya. Lalu Daniel merebahkan dirinya di atas katil.


Walaupun Mak Esah menyuruhnya tidur awal, tetapi Daniel sememangnya tidak dapat melelapkan mata. Daniel asyik terkenangkan foto-foto yang dilihatnya tadi. Daniel meletakkan kedua tapak tangannya ke belakang kepala sambil matanya memandang siling bilik.


Daniel sudah tahu ada salahnya juga, cuma sebelum-sebelum ini dia terlalu ego untuk mengiakan hal itu. Status suami yang harus ditaati oleh isteri membutakan dirinya. Daniel rasa menyesal atas sikapnya yang terdahulu. Daniel teringat yang maknya pernah bercerita tentang bagaimana arwah ayahnya sering membantu maknya dalam meringankan tangan untuk membuat kerja rumah. Mungkin kedengaran remeh, tetapi kerana itulah maknya masih mencintai arwah ayahnya sampai sekarang walaupun ayahnya sudah lama meninggalkannya. Padahal maknya menjadi janda di usia muda dan masih ada yang berkenan kepada maknya untuk dijadikan isteri.


Daaniel mengeluh. Dia sememangnya sangat sayang akan isterinya dan perkahwinannya. Dia sememangnya tidak mahu mereka asyik berbalah. Daniel terfikir.


Jika dia menabahkan diri untuk meringankan kerja Nadirah, mungkin layanan Nadirah terhadapnya sekarang pasti lebih baik. Tetapi apa yang harus dia lakukan? Dia harus bermula dari mana? Perkahwinan mereka sudah di ambang klimaks, di mana sudah tidak ada persefahaman dan asyik bertikam lidah. Jika dia memulakan dengan maaf, adakah Nadirah boleh menerimanya? Jika Nadirah menerima maafnya sekalipun, langkah apa yang harus dilakukan seterusnya agar perkahwinannya menjadi baik seperti di awal perkahwinan mereka dahulu?



Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.