Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 33

BAB 33: Perasaan Terpendam II


Sejak Daniel pulang ke rumah setelah hampir 3 hari tidur di asrama, suasana rumah terasa lebih baik. Pada mulanya agak janggal memandangkan dia dan Nadirah terdapat pergaduhan kecil. Namun apabila hal itu diabaikan, lama-kelamaan mereka boleh berkomunikasi seperti biasanya.


Malah Daniel terasa lebih selesa dan seronok apabila isterinya sudah tidak lagi menyuruhnya melakukan kerja rumah seperti dulu. Isterinya melayannya dengan baik sekali. Isterinya membuat semua untuknya dan sentiasa senyum saja dengannya apabila disuruh berbuat sesuatu. Cuma ada saja kadangkala isterinya bermasam muka, mungkin kerana keletihan fikirnya. Tetapi tidak apa, dia masih sayangkan isterinya walau masam macam mana sekalipun wajah isterinya.


Namun, semua itu tidak bertahan lama sehinggalah…


“Saya buat macam ni apa??!! Tak nampak ke saya nak lap kipas tu?!! Nak tunggu awak sampai bila-bila pun tak buat!! Nak tunggu saya jatuh macam tadi hah?!! Nak tunggu kaki saya patah… Peranakan jatuh buat semua ni! Baru awak nak tolong saya ke?!!”, Nadirah sudah menangis berjurai air mata. Setelah meluahkan perasaannya yang dipendam lama sebegitu, pantas Nadirah naik atas ke bilik.


Daniel terdiam. Wajahnya rasa bersalah dan dia mengeluh. Dia naik ke atas juga untuk mengikuti isterinya yang merajuk itu. Jujur hati lelakinya terasa gundah apabila melihat tangisan dan mendengar kata-kata Nadirah sebegitu.


Apabila masuk ke bilik, Daniel dapat melihat Nadirah yang sedang duduk di bawah sambil wajahnya menekup lutut. Bunyi esak tangis masih kedengaran. Kening Daniel masih berkerut. Dia mengeluh lalu memegang isterinya. Lalu dia perlahan-lahan memeluk isterinya yang sedang menangis itu.


“Sayang… jangan menangis macam ni. Saya minta maaf okay…Saya nak tolong cuma nanti-nanti. Lagipun saya sibuk, ada banyak kerja nak kena hantar. Saya minta maaf sekali lagi okay…Awak jangan macam ni... Bila saya tengok awak sedih macam ni, saya pun tak senang”, pujuk Daniel mengusap-usap belakang isterinya.


Apabila suaminya memujuknya sebegitu, tangisan Nadirah semakin reda diselit dengan sedu sendawa.

“Hicc… hicc...”, sedu Nadirah sambil menggosok-gosok matanya yang berair.


Cute gila!!!’, Daniel semakin memeluk isterinya erat apabila melihat isterinya bersedu sebegitu.


Nadirah hanya diam dan masih dengan sedu sendawanya bagi memujuk hatinya sendiri. Walaupun Nadirah dipujuk dan dipeluk Daniel sebegitu, tetapi sebenarnya hatinya terasa kosong. Sudah lama sebenarnya hatinya terasa kosong sebegini. Cuma perasaan rasa kosong ini ditampal-tampal dengan perasaan lain. Namun hakikatnya, perasaan kosongnya sudah semakin membesar sehingga menyebabkan perasaan lain yang ditampalnya turut gugur. Umpama lubang yang semakin membesar sehingga kertas-kertas yang ditampal turut luruh.


Kata-kata maaf, kata-kata cinta sudah tidak mempan lagi baginya. Itu hanyalah kata-kata kosong tanpa tindakan. Suaminya hanya mampu mengucap, tetapi tiada tindakan. Nadirah sudah tidak berharap.


Hubungan mereka kembali seperti sedia kala. Cuma Daniel semakin pelik, layanan Nadirah selama ini yang sudah sedia berbeza terasa semakin berbeza. Isterinya sudah seakan dua kali ganda tidak berperasaan. Kalau dahulu isterinya masih boleh tersenyum, tetapi kini wajah isterinya mendatar sahaja seakan-akan robot yang sudah tidak berperasaan. Nadirah membuat semua seperti biasanya, tetapi Daniel tidak dapat mengagak apa sebenar-benarnya isi hati isterinya.


Sejak itu juga, isterinya selalu tiada mood sahaja. Isterinya tidak meluahkan atau mengucapkannya secara lantang, tetapi ada saja kata-kata yang berbaur sinis ditujukan kepadanya.


Sebagai suami, dia sememangnya tidak suka dengan kata-kata sentap yang diberikan isterinya. Entah kenapa dia berasa kata-kata sentap itu lebih mengguris dua kali ganda dari bebelan marah-marah. Kalau marah tandanya masih ada sayang, kalau menyindir itu bagaimana? Pasti ada satu perasaan menyampah tahap tinggi sehingga sudah malas hendak marah tetapi hanya menyindir saja.


Daniel dengan tabiat biasanya, sedang makan kerepek di depan televisyen. Apabila menyedari sepah yang dibuatnya, dia berniat untuk membersihkan kembali. Baru sahaja hendak membersihkan, perutnya memulas. Langsung Daniel membatalkan niatnya untuk mengemas dan lantas pergi ke tandas untuk membuang air.


Apabila sudah hampir satu jam di tandas, Daniel keluar. Dia berasa lupa apa yang hendak dilakukannya. Itulah apabila syaitan menghembus atau berbisik, hasrat baik sekecil-kecil amalan pun boleh terlupa. Jika tiada tekad yang tinggi, senang saja untuk lupa melakukan perkara baik yang dihajatkan. Sekecil-kecil amalan kebaikan boleh membawa kepada kebaikan besar. Sekecil-kecil amalan keburukan boleh membawa kepada keburukan besar.


Jadi Daniel turun untuk ke dapur apabila tekak terasa haus. Saat menuruni tangga, Daniel melihat lagi isterinya sedang mengutip sampah sepah yang dibuatnya. Baru dia ingat yang dia berhasrat untuk mengemas sepah yang telah dibuat.


‘Takkanlah semut hurung lagi? Sekejap betul’, getus hatinya.

Daniel berbicara kepada isterinya, “susah-susah je awak kemaskan. Saya nak kemas cuma tadi pergi tandas sekejap”.


“Tak apalah awak saya kemaskan. Inikan tugas isteri juga… Disamping melayan awak, saya jadi bibik juga dekat rumah ni. Ya tak?”, kata Nadirah dengan wajah menyampah.


Apabila mendengar bait-bait kata Daniel, Nadirah rasa meluat. Sudah berpuluh-puluh kali perkataan sebegitu didengarinya. Jauh di lubuk jiwanya yang dalam, dia sudah muntah-muntah hijau. Sudah muak dengan kata-kata Daniel yang hanya menanam tebudi tepi bibir itu. Nadirah juga kebetulan saja lalu disitu dan melihat sepah yang dibuat oleh suaminya. Memandangkan Nadirah sudah terbiasa dengan keadaan itu, Nadirah mengemaskannya tanpa memikirkan kalau-kalau suaminya hendak mengemas sendiri.


Daniel terdiam apabila isterinya menyindirnya sebegitu. Wajahnya yang asalnya tadi biasa-biasa menjadi muram sedikit. Yalah, baru lepas disindir.


Pada suatu malam, Daniel baru lepas menggunakan tandas. Dia melihat isterinya sedang berbaring sambil membelek-belek telefonnya. Daniel menggaru-garu belakang kepalanya sambil memikirkan perbualan apa yang hendak dimulakan.


“Emm sayang… saya rasa kita kena beli pewangi untuk tandas juga kan. Tandas kita tu kadang dah nampak bersih pun ada je bau kan?”, kata Daniel. Dia tidaklah terlalu memaksudkannya pun. Dia hanya mahu berbicara sekadar untuk memulakan perbualan dengan Nadirah.


“Tak apalah tandas itu saya basuh esok. Kalau nak harapkan awak, memang tahu beli pewangi sajalah… Lantai tandas, mangkuk jamban… memang tidaklah awak nak menggosoknya. Saya juga yang kena gosokkan ya tak?”, kata Nadirah dengan nada sindiran sambil membelek telefonnya.


Daniel mengeluh. Wajahnya tidak puas hati. Nadirah berkata sekali lagi dengan sindirannya.


Bukan itu sahaja…


Daniel meletakkan mangkuk dan cawannya ke dalam singki. Dia terasa lebih baik kerana jika sebelum ini, dia hanya akan membiarkan sahaja mangkuk dan cawannya di atas meja untuk dikutip.


“Sayang!... saya letak mangkuk dan cawan saya dalam singki ya”, kata Daniel kepada Nadirah yang sedang menjemur kain di luar. Kononnya dia hendak menunjukkan, yang isterinya tidak perlu lagi mengutip mangkuk dan cawannya di atas meja.


Nadirah masih meneruskan sidai baju sambil berkata, “Memanglah letak dalam singki. Beritahu saya buat apa?... Awak letak dalam singki ke? Tak letak dalam singki ke? Saya juga yang kena basuhkan akhirnya kan?”, kata Nadirah dengan sindiran lagi.


Daniel merengus apabila mendengar jawapan isterinya sebegitu.


“Suka hati awaklah… Saya ni kan bibik dekat rumah ni”.


“Memang kerja saya pun. Awak goyang kaki pun tak apa”.


“Alah… awak ada ke tak ada ke. Tak ada apa yang berubah pun! Memang saya saja yang kena buat semua”.


“ARGHHH!!!”,Daniel sudah stress kerana sering mendengar perkataan sedemikian. Bagi Daniel, ucapan Nadirah semakin melampau. Kata-kata sebegitu seakan sudah tidak hormat kepadanya yang berstatus sebagai suami. Di mana perginya, senyuman isteri dan tutur kata lembut belaian manja itu semua?!! Kata-kata yang diucapkan Nadirah saban hari, tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menyakitkan hatinya. Ada saja ucapan Nadirah yang membuatkannya geram.


Nadirah juga sudah makin kurang melayannya. Kalau layan pun seakan mahu tidak mahu saja. Kalau sekali-sekala tiada mood itu boleh dipertimbangkan lagi, tetapi ini sudah selalu sangat. Ada sahaja yang ingin ditolak. Kalau tidakpun, Nadirah selalu saja berkata sesuatu yang membuatkannya turut hilang mood.

“Suka hati awaklah! Buat jelah apa-apa! Kenapa nak paksa paksa saya untuk ada mood! Buat sajalah apa yang awak nak! Awak kan raja dekat rumah ni?!!”, kasar suara Nadirah.


Daniel panas hati dengan kata-kata isterinya. Sangat panas hati!!! Kata-kata yang sememangnya mencabar egonya sebagai lelaki! Baiklah isterinya berkata begitu! Nak mencabar dirinya ya?! Fikir Daniel.


Nadirah juga turut ego untuk menunjukkan perasaan sebenar. Kadangkala dia terasa sakit, tetapi sakitnya tidak mahu ditunjuk. Dia sudah tidak mahu terpamer lemah lagi dihadapan suaminya. Tanpa dilihat Daniel atau sewaktu Daniel tidur, kadangkala Nadirah menangis sendiri sambil badannya mengiring ke tepi membelakangi suaminya.



Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.