Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 32

BAB 32: Perasaan Terpendam


Sarah termenung di ruang tamu. Dia melihat sahaja Alia dan Qis sedang mengemas-ngemas barang untuk berpindah keluar. Dia juga melihat-lihat telefonnya jika ada yang menghubunginya untuk menjadi housemate baru.


“Masih tak ada orang contact ke Sarah”, kata Qis.


Sarah hanya menggeleng.


“Hmm kau dah pertimbangkan ke cadangan aku? Yang aku suruh kau duduk dengan Susanti tu?”,tanya Qis.


Sarah mengeluh lalu berkata, “aku tak kenal sangatlah Susanti tu. Lagipun rumah dia tak ada orang Malaysia… Cuma ada orang Indonesia, Pakistan dengan Nigeria. Aku seganlah. Semuanya orang asing”.


“Tapi setidaknya mereka perempuan Muslim. Lagipun aku pernah sama kelas dengan Susanti… Serius dia okay”, kata Qis lagi.


“Hmm tengoklah macam mana”, kata Sarah kembali termenung.


“Hah… takpun kau minta tolong James carikan rumah!”, Alia tiba-tiba menyampuk.


Sarah mengerutkan kening lalu berkata, “kenapa tiba-tiba nama James pula yang keluar ni?”.


Alia ketawa. Qis pula tertanya-tanya. Alia menepuk bahu Qis lalu bercerita dengan teruja,“petang tadikan… James hantar Sarah sampai depan rumah kita! Aku tanya James…jadi bodyguard Sarah ke? Lepastu dia jawab ketawa-ketawa sikit macam ni… well yes… an unpaid bodyguard. So sweeeettt!”.


“Cehhhh!!!Wahhh!!! Sweet nya!! Seriuslah Alia,James kata macam tu?”, Qis turut teruja mendengar cerita Alia.


Alia mengangguk teruja.


Sarah mengeluh melihat keletah rakan-rakannya yang asyik teruja sesama mereka.


“Apa korang ni?Aku kawan sajalah dengan James tu”.


“Yalah… dulu mak kawan dengan ayah kamu. Mak kenal ayah kamu dari kelab kebudayaan masa dekat University Queensland. Ayah kamu dulu baik… hantar mak sampai depan rumah. Itu yang melekat sampai sekarang… dapat kamu lagi. Ohok ohok ohok!!”, Alia mengajuk. Kononnya itu cara Sarah berkata kepada anaknya di masa hadapan.


Qis ketawa. Sarah turut ketawa kecil lalu berkata, “korang ni memanglah. Ada saja ragam...sebelum pindah pun menyempat lagi nak buat aku ketawa. Baru nak rasa sedih, korang nak tinggalkan aku… tapi bila kau buat lawak macam ni, dah tak jadi nak sedih dah”.


“Aku rasa James tu memang ikhlas dengan kaulah Sarah”, kata Qis secara tiba-tiba.


“Kalau dia ikhlaspun kenapa? Aku kena buat apa? Terima dia? Luahkan perasaan aku kepada dia?”,kata Sarah.


“Weyyhhhh!!! Jadi kau pun suka James jugalah sebenarnya?!!!”, teruja Qis.


“Kan aku pernah beritahu yang aku suka je dekat James… tapi apa aku boleh buat? Aku dengan dia cuma boleh jadi kawan saja. Dia non-muslim…Aku tak boleh langgar sempadan tu”, kata Sarah.


“Hmm betullah kau cakap tu. Tapi tulah jodoh Allah dah tentukan. Kalau ada adalah, kalau tak ada nak buat macam mana. Ya tak?”, kata Alia.


Qis mengangguk lalu berkata, “yalah tu… kalau ada jodoh. Semoga dipermudahkanlah. Cehhh!!!”.


Alia ketawa. Sarah tersengih lalu mengubah topik, “hehh! Dahlah tu! Hah cepatlah… apa yang aku boleh tolong korang kemas ni?”.


Alia dan Qis ketawa.


“Hah ya ya. Tolong kami kemas ni…”.


**

Nadirah kini sudah boleh digelar suri rumah sepenuh masa. Walaupun kerja pejabat, semua kerja rumah juga dilakukannya. Suaminya memang tidak akan membuat apa-apa selagi tidak disuruh. Kalau disuruh, nanti dibandingkan dengan isteri orang lain pula. Pernah juga hatinya berbisik, ‘rehatlah Nadirah tak payah buat dah’.


Tetapi bagaimana?

Bagaimana dia hendak berehat?

Jika dibiarkan rumahnya akan makin bersepah. Ini semua kerana suaminya yang tidak reti untuk mengemas balik.


‘Nak kemas balik konon?!’, bisik hati Nadirah.


Nadirah pernah membiarkan sepah yang dibuat Daniel tidak berkemas. Nadirah ingin menanti waktu suaminya hendak mengemas balik sepah yang telah dibuat. Namun, sudah masuk dua hari pun masih tidak dikemas. Malah ditambah dengan sampah yang baru. Ada juga sampah keropok yang suaminya selit di tepi sofa.


Nadirah mengeluh. Dia hanya mampu bersabar. Bagaimana dia hendak memendam perasaan sakit hatinya? Larat tak larat, hadap jugalah. Pernah dia berhasrat untuk meluahkan apa yang dirasa kepada Daniel. Tetapi suaminya Daniel. Daniel boleh memahami ke isi hatinya? Orang lelaki selalu memandang remeh hal-hal sebegini. Dia sudah dapat baca perangai suaminya.


Kalau penat tak payahlah buat.

Kenapa nak susahkan diri sendiri.

Berhenti dulu… bila-bila boleh kemas.

Biasalah rumah sepah sikit-sikit… bukannya sepah banyak sangat pun.

Pasti Daniel akan menjawab sebegini. Fikir Nadirah.


Kalau awak penat tak apa. Awak rehat, biar saya buat kerja rumah.

Biar saya tolong, awak tak payah buat dah.

Hari ini saya basuh pinggan dan sidai baju. Awak fokus kerja pejabat awak saja.

Nadirah ketawa kecil sinis. Memang tidaklah suaminya nak mengucapkan perkataan-perkataan sebegitu. Tunggu putih gagak hitam itu pun belum tentu suaminya boleh berbicara sedemikian! Apatah lagi melakukannya!


Nadirah kelihatannya sedang membasuh pinggan sementara dia melihat suaminya sedang makan mi segera sambil melihat-lihat telefon di meja makan. Nadirah mengeluh,‘dah makan tengahari… makan maggi pula lepastu?’.


Setelah selesai membasuh pinggan, Daniel menghampirinya dengan tergopoh-gopoh.


“Awak basuhkan ni sekali”, kata Daniel lalu meletakkan mangkuknya ke dalam singki dan beredar naik ke atas.


Nadirah mengeluh,‘Ya Allah… Sabar Nad, Sabar… sabar’. Baru saja selesai membasuh pinggan, suaminya menambah lagi mangkuk lain. Ingatkan suaminya hendak membasuh sendiri?...


Sewaktu Nadirah sedang duduk bersantai di sofa, Daniel memanggilnya.


“Nad… awak boleh tak tolong basuhkan baju kemeja saya yang warna hitam tu secepat mungkin? Saya nak pakai lusa lah”, pinta Daniel.


“Baju awak tu dekat mana?”, tanya Nadirah.


“Cubalah cari dekat dalam longgokan baju kotor tu”, kata Daniel.


Nadirah terdiam. Lalu dia senyum mengangguk memandang suaminya. Daniel turut senyum lalu beredar pergi.


Setelah Daniel pergi, Nadirah kembali berkerut. Entah kenapa dia terasa geram. Suaminya meminta tolong basuhkan baju, tetapi bajunya suruh dicari di dalam longgokan baju kotor. Sebolehnya suaminyalah yang memberi baju itu dan dia akan membasuhkannya. Ini tidak! Bagaimana dia hendak mencarinya? Baju kemeja Daniel berwarna hitam bukannya satu.


Nadirah tidak tahu mengapa dia rasa sakit hati, tetapi dia cuba untuk bersangka baik.

‘Tak apa Nad… ini memang tanggungjawab kau’.


Saat Nadirah berbaring di katil, Daniel menghampirinya lalu berkata, “Sayang! Saya ada dapat popcorn segera ni… Awak boleh tolong masakkan tak? Saya nak pergi mandilah”.


“Saya penatlah…nak baring. Esok-esok sajalah”, keluh Nadirah.


“Alah… bolehlah sayang. Dah nak tarikh luput dah ni”, Daniel merayu.


Nadirah mengeluh,“yalah!”.


Daniel tersenyum melihat isterinya yang mecebik lalu Daniel memeluk isterinya dari belakang,“sayang janganlah marah macam ni. Awak marah-marah lagilah comel”.


“Ya ya! Dahlah jangan peluk saya. Awak busuk, pergi mandi sana!”, keras suara Nadirah.


Daniel melepaskan pelukannya. Dia masih tersengih melihat isterinya.


Nadirah pula berlalu pergi dengan wajahnya yang masih masam mencuka.


Anda rasa hati wanita Nadirah terusik dengan pelukan dan kata pujukan Daniel?

Sudah semestinya tidak!!!


Kalau dulu dia boleh berlembut hati tetapi sekarang dia sudah lali dengan keadaan itu.Suaminya suruh itu suruh ini, dia masih lagi boleh lakukannya dek kerana memikirkan tanggungjawabnya sebagai isteri. Tetapi Daniel? Hmm…


Nadirah dan Daniel duduk di sofa menonton televisyen bersama. Tiba-tiba satu habuk kipas jatuh dihidung Nadirah lalu Nadirah bersin.


Nadirah menggosok-gosok hidungnya dan melihat kipas siling. Kemudian dia memandang suaminya seraya berkata, “awak… kipas kita ni dah berhabuk sangatlah”.


“Ohh yeke?”, kata Daniel sambil mengunyah kerepek dan matanya tertancap saja pada televisyen.


‘Ohh yeke je??!!’,Nadirah mula rasa geram. Tak ada rasa nak cucikan kipas ke? Fikir Nadirah.


“Danny tolonglah cucikan kipas…”, pinta Nadirah seakan merayu.


Daniel memandang isterinya lalu tersenyum, “ya nanti saya cucikan ya”.


Nadirah tersenyum apabila suaminya memberi jawapan yang menyedapkan hati.


Namun senyumannya itu tidak bermakna. Penantian Nadirah menunggu suaminya untuk cuci kipas sudah hampir 2 minggu. Nadirah berwajah monyok saja di meja makan. Kemudian, Daniel turun dari tangga dan lalu di hadapan Nadirah.


“sayang!”, pantas Nadirah memanggil suaminya.


Langkah Daniel terhenti lalu memandang isterinya.


“Jangan lupa cuci kipas…”, pinta Nadirah lagi.


“Hah ya ya. Nantisaya cucikan. Sekarang saya kena keluar dulu”, jawab Daniel.


‘Nanti nanti! Bila tu nantinya?!’, getus hati Nadirah.


Nadirah kembali monyok. Baiklah! Kalau suaminya tidak ambil peduli hal rumah… dia juga malas hendak memikirkannya lagi!


Nadirah sedang duduk di sofa ruang, makan kerepek sambil menonton televisyen. Baru saja memegang kerepek, dia terasa benda yang lembut. Nadirah melihat plastik kerepeknya.


“Ya Allah!...”,Nadirah melihat habuk juga sudah terjatuh dalam makanannya. Nadirah mendengus. Maklumlah sudah sebulan menanti Daniel untuk mencuci kipas, tetapi masih tidak dicuci.


‘Tak boleh jadi ni!’, Nadirah berhenti dari menonton televisyen. Nadirah bangkit lalu mencari tangga lipat untuk dibawa ke ruang tamu.


Kain basahan juga dibawanya. Kipas dimatikan lalu Nadirah memanjat tangga lipat untuk mula mengelap kipas yang sudah sangat berhabuk itu. Setelah hampir setengah jam,pekerjaan Nadirah sudah selesai.

Daniel membuka pintu rumah kerana dia baru pulang dari sesuatu tempat. Kemudian dia melihat isterinya yang sudah selesai mengelap kipas dan hendak menuruni tangga. Baru sahaja Nadirah hendak menuruni tangga, kakinya tersilap langkah lalu terjatuh.


Tangga lipat itu sudah tumbang di tepi meja makan. Nadirah pula sempat disambut Daniel.

“Ya Allah…Sayang!!”, Daniel risau. Mujur dia sempat menyambut isterinya.

“Kenapa awak buat macam ni?! Mujur saya sempat sambut awak”.


Nadirah bergegas menurunkan dirinya dari sambutan Daniel. Entah kenapa dia rasa hendak menangis.Dia mula rasa emosional. Lagipula, jika suaminya sudah bersihkan kipas awal,pasti dia tidak perlu bersusah payah untuk bersihkan kipas sehingga terjatuh sebegini.


“Saya buat macam ni apa??!! Tak nampak ke saya nak lap kipas tu?!! Nak tunggu awak sampai bila-bila pun tak buat!! Nak tunggu saya jatuh macam tadi hah?!! Nak tunggu kaki saya patah… Peranakan jatuh buat semua ni! Baru awak nak tolong saya ke?!!”, Nadirah sudah menangis berjurai air mata. Mungkin kata-katanya berlebihan, tetapi Nadirah sudah tidak dapat menahan perasaannya. Setelah meluahkan isi hati yang dipendam lama sebegitu, pantas Nadirah naik atas ke bilik.


Daniel terdiam. Wajahnya rasa bersalah dan dia mengeluh.



Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.