Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 53

BAB 53: Affectionate


Nadirah memerhatikan Daniel yang sedang membelek telefon bimbitnya dengan tekun. Katanya, ada perbincangan untuk pembentangan bersama rakan-rakan di group whatsapp.  

   

Senyuman Nadirah terukir dan makin melebar dengan malu-malu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, perasaannya sangat terikat dengan Daniel. Perasaan terikat yang lain macam. Perasaan ini susah untuk digambarkan kerana Nadirah tidak pernah merasakan perasaan sebegini.


Nadirah memang sayangkan suaminya. Namun sejak-sejak Daniel berusaha untuk menjadi suami yang lebih baik ini, perasaan sayangnya bertambah-tambah. Susah nak cakap.


Rasa macam dipukau… Rasa macam selalu nak dekat dengan Daniel… Rasa macam selalu nak tengok muka Daniel. Daniel bersin pun nampak comel di mata Nadirah. Rambut Daniel yang berserabut pun nampak kacak saja di mata Nadirah.


Daniel mengeluh sambil menggaru-garu kepalanya.


Apabila melihatkan keadaan Daniel, Nadirah bertanya.

“Kenapa Danny?”.


“Tak adalah… Cuma serabut sikit je, tapi okay dah ni. Biasalah tu”, kata Daniel.


“Mari duduk sinilah dengan saya”, panggil Nadirah sambil menepuk-nepuk kusyen sofa.


Daniel hanya senyum dan pergi duduk di sebelah isterinya, “awak tengok cerita apa ni dekat tv?”.


Saat Daniel duduk, Nadirah langsung memeluk suaminya lembut dari tepi. Tangan Nadirah menyeluk lengan Daniel dan tangan lagi satu pula memeluk Daniel hingga ke tangan sebelahnya. Kepala Nadirah disandarkan ke badan Daniel.


“Saya tak tengok tv pun… saya tengok awak je sekarang ni”, senyum Nadirah sambil menutup mata.


Daniel terkesima lalu senyuman terpamer sikit demi sedikit. Jujur hati lelakinya agak tersentuh. Jiwanya sudah malu-malu kucing.

‘Apa isteri aku bagi ayat cia-cia ni?’, detik hati Daniel terusik.


“Eh eh Nad ni… jarang-jarang awak peluk saya macam ni. Selalunya saya nak peluk… awak gelilah, malulah. Sekarang dia pula? Ada apa ni?”, tanya Daniel.


“Saya tak tahulah… Saya cuma rasa nak peluk je. Danny kan suami saya. Lagipun di hari Ahad ni… kita santai-santai. Relaks-relaks… Awak macam stress tadi. Itu yang saya panggil awak duduk sini. Kita relaks-relaks duduk dekat sofa dengan angin kipas yang menenangkan ni. Kan best. Kenapa? Awak tak suka ke saya peluk awak macam ni?”, Nadirah memandang Daniel dengan mata yang bersinar.


Daniel terdiam lagi.


‘Nadirah sedar tak yang dia tengah membuat aksi comel? Dengan buat mata bulat-bulat macamtu… atau aku je yang terfikir macam ni?’, getus hati Daniel sambil senyum-senyum memandang arah lain. Perasaan resah hal pembentangan universiti tadi rasa terubat dengan belaian isteri di sisi.


“Hmm?”,tanya Nadirah lagi.


“Aa…aa… suka. Hehehe”, kata Daniel malu-malu.


Apabila melihat suaminya sebegitu, Nadirah terasa semakin suka dan semakin erat memeluk suaminya.


“Sayangnya dekat Danny ni!”, geram Nadirah sambil mencubit lengan suaminya.


“Eh kuat sangat awak peluk saya ni…”, sengih Daniel.


Mereka berdua melakukan rutin baru mereka seperti biasa. Solat berjemaah bersama sehinggalah waktu Isyak. Setelah selesai, Nadirah sedang membelek telefon diruang tamu. Daniel pula sedang membancuh minuman di dalam cawan di dapur.Setelah selesai di dapur, Daniel pergi ke arah isterinya.


“Sayang buat apa tu? Whatsapp dengan siapa?Nak sikit?”, tanya Daniel sambil menghulurkan secawan Milo panas.


Nadirah menggeleng kepala tanda tidak mahu air yang dihulur Daniel sambil menjawab,“saya sembang dengan mak ni”.


“Dengan mak? Mak kata apa?”, tanya Daniel.


“Tak adalah sembang-sembang biasa. Saya tanya mak tengah buat apa? Macam tu je… Mak kirim salam dekat awak”, beritahu Nadirah.


“Waalaikumsalam…”,balas Daniel.


“Hah! Esok hari Isnin ada cuti umum kan? Apa kata kita balik rumah mak nak?”, tanya Nadirah.


“Hmm boleh juga… haritu saya ada singgah rumah mak sekejap. Masa tu balik tak ada awak… mak selalu tanya awak mana kalau saya balik rumah sendiri. Kali ini bolehlah balik rumah mak dengan awak sekali”, setuju Daniel.


Nadirah senyum teruja, “okaylah kalau macam tu. Kita pergi rumah mak esok”.


Daniel turut tersenyum lalu berkata, “awak tahu tak saya anak mak… tapi mak selalu asyik sebut-sebut nama awak. Asyik menyebelahi awak je… Macam awak pula yang anak dia? Ini ke yang dinamakan girls power?”.


“Kenapa? Awak jealous ke? Awak rasa saya ambil kasih sayang mak awak ke? Janganlah rasa macamtu… Saya kan menantu kesayangan mak”, ketawa kecil Nadirah.


“Eeeii…jealous? Tolonglah”, ketawa Daniel.


Nadirah ketawa melihat gaya Daniel begitu.


“Haaa macam ni-macam ni. Kalau awak rasa macam tak cukup kasih sayang mak… kasih sayang saya kan ada? Saya kan isteri awak… Hihihi”, seronok Nadirah berseloroh.


Daniel senyum dengan ketawa kecil.


“Kenapa? Danny tak suka ke?”, tanya Nadirah.


Senyuman Daniel makin melebar.

‘Dia buat lagi mata bulat-bulat shining macamtu’, Daniel terhibur.


Dengan senyuman yang masih tidak lekang Daniel bertanya, “awak tahu tak awak macam apa sekarang?”.


Nadirah berkerut, “macam apa?”.


“Macam kucing tau. Eeei geram saya”, kata Daniel sambil menggertak giginya.


“Eh saya macam kucing?! Kalau saya kucing… Danny tu serigala!”, kata Nadirah.

‘Kita nak ber sweet-sweet… ada ke patut dikata kita ni kucing?’, cebik Nadirah.


Daniel ketawa saat Nadirah berkata sedemikian, “Oooh… saya serigala? Hahaha… Kalau saya serigala…”.

“HIYAHHH…HRGHH”, Daniel mengangkat Nadirah yang sedang duduk di sofa.


“Ehh apa ni? Angkat-angkat saya? Hahahaha! Kuatnya serigala ni! Hahaha! Ehh awak angkat-angkat saya macam ni… Gelilah. Hahaha… Turunkan saya! Kucing takut! Hahaha”, geli Nadirah.


“Serigala turunkan kucing dekat bilik ya… Dah malam ni. Tidur awal! Esok pagi nak pergi rumah mak”, kata Daniel sambil membawa isterinya ke bilik tidur.


**

“Datang rumah mak tak beritahu… Kalau mak tahu kamu berdua nak datang, mak masak-masakkan dah”, senyum Mak Esah saat melihat anak menantunya datang kerumah.


“Tak apalah mak… Kami bawa bahan-bahan ni, kita masak sama-sama”, senyum Nadirah.


“Duduk-duduk dulu… mak buatkan air kejap”, kata Mak Esah.


“Susah-susah je mak ni…”, kata Daniel.


“Mari Nad tolong mak…”, kata Nadirah.


Mak Esah mengangguk senyum lalu mereka berdua pergi ke dapur meninggalkan Daniel keseorangan di ruang tamu.


‘Eh eh Nad ni… semalam bukan main lagi bermanja dengan aku. Bila jumpa mak,ditinggalkan saja aku dekat sini? Ini benar-benar kucing lupakan serigala’,Daniel tersengih.


Beberapa minit kemudian, Mak Esah hadir dengan membawa cawan-cawan lalu diletakkan diatas meja. Nadirah pula membawa jag berisi oren ais.


“Danny mari duduk sini… makan-makan ringan dulu. Mak ada beli kek lapis Sarawak hariitu dengan Cik Leha… Marilah rasa”, pelawa Mak Esah.


“Haa okay mak…”, Daniel datang ke meja makan.


Saat berborak-borak di meja makan sambil menikmati hidangan ringan Mak Esah  berkata dengan senyuman, “Nad nampak berseri-seri hari ini…”.


“Apa pula mak ni? Mak lagi berseri-seri… awet muda je Nad tengok”, sengih Nadirah.


Mak Esah ketawa sambil menepuk peha menantunya, “ada-ada je kamu ni nak memuji mak”.


Nadirah turut tersenyum dan ketawa.


“Hah!Kamu ni Danny… Kenapa muka letih semacam? Banyak sangat kerja kursus ya dah nak akhir-akhir ni?”, tanya Mak Esah.


“Kerja kursus dah hantar dah, cuma pembentangan je yang tinggal… Lagipun semalam tidur lewat”, kata Daniel.


“Ohh yeke… sekejap je lagi nak habis ya. Mak pun tak sabar nak datang majlis konvokesyen kamu. Nak tengok kamu pakai topi petak tu dengan jubah graduasi”,teruja Mak Esah.


“Mak…”,senyum Daniel.


Nadirah dan Daniel berpandangan antara satu sama lain sambil senyuman terpamer di wajah masing-masing.


“Haah! Tengok bahan-bahan yang kamu beli ni… mak nak buat ayam kurma lah. Buah tembikai pun ada, kalau potong-potong buat makan sejuk-sejuk sedap ni”, kata Mak Esah.


Saat melihat Nadirah dan Mak Esah hendak ke dapur, Daniel pantas mencelah, “Danny pun nak tolong sekali…”.


Mak Esah memusing belakang memandang anak lelakinya dengan wajah terkesima, “Danny nak tolong masak sekali?”.


Daniel mengangguk.


Mak Esah memandang Nadirah.


Nadirah mula tersengih, “Danny ni banyak bantu Nad masak-masak dekat rumah mak…Makanannya memang jadi lagi sedaplah mak”. Nadirah meyakinkan Mak Esah.


“Ohh okay kalau macam itu tolong mak potong bawang merah”, kata Mak Esah.


“Bawang merah?!”, kata Daniel berkerut.


“Hah?Kenapa dengan bawang merah?”, tanya Mak Esah kembali.


Nadirah terdiam. Jujur dia rasa hendak ketawa. Kalau Daniel membantu di dapur, suruh apa-apa boleh kecuali potong bawang merah. Satu biji bawang merah saja sampai 5 minit dengan siap tangisan sekali diberinya. Memang pengorbanan air mata sungguh. Ketawa Nadirah jauh di sudut hatinya.


Apabila melihatkan keadaan ini, Nadirah lari saja. Pandai-pandailah suaminya. Nadirah ketawa lagi di lubuk hatinya.


“Emm boleh kot mak… Haha sikit-sikit”, sengih Daniel menggaru-garu kepalanya. Dia melihat Nadirah sengaja melarikan diri. Daniel tersenyum lagi.


‘Sajaje Nad ni…’.


Beberapa minit kemudian…


“Lama bebenor kamu memotongnya… Mak bagi 6 biji je. Sampai setengah jam! Apa berair merah-merah teruk mata kamu ni?!”, kata Mak Esah.


“Pfft…”,Nadirah tergelak kecil tanpa disedari Mak Esah.


“Hahaha…bawangnya pedih mak”, sengih Daniel.


“Hmmapa-apa jelah. Asalkan lauknya lagi sedap bak kata Nad tu”, kata Mak Esah.


“Hahaha…”,Nadirah ketawa kecil lagi.


Daniel perasan yang isterinya terhibur. Daniel mengecilkan mata memandang isterinya,‘oh… gelakkan aku ya?’.


Nadirah masih ketawa kecil.


Setelah selesai makan, mereka solat berjemaah Zohor bersama. Selepas solat mereka kembali bersantai di ruang tamu. Sebelum pulang, Nadirah dan Daniel solat Asar bersama maknya berjemaah terlebih dahulu.


Sewaktu hendak pulang, masing-masing bersalaman antara satu sama lain. Mak Esah membungkus makanan yang dimasak bersama tengahari tadi untuk diberikan kepada anak menantunya.


“Lah mak… Mak makanlah. Ada lagi tak? Karang kalau beri yang ni… mak tak ada lauk lagi dah dekat rumah”, kata Nadirah.


“Banyak lagilah lauknya… itu yang mak bungkuskan. Mak tak habis ni makan sorang-sorang.Lagipun lauknya sedap betul hari ini… Lagi sedap dari biasa”, ketawa Mak Esah.


Daniel dan Nadirah masing-masing ketawa kecil.


“Hah baiklah… Kami berangkat dulu ya mak”, kata Nadirah lagi sambil mengambil bungkusan lauk yang dihulur Mak Esah.


“Assalamualaikum mak”, kata Daniel sambil melambaikan tangan.


“Waalaikumsalam…ya hati-hati”, kata Mak Esah sambil melambaikan tangan kepada anaknya.


Setelah anak menantunya hilang pada pandangan mata, Mak Esah masuk kembali ke dalam rumah dan menutup pintu.


Sewaktu Nadirah dan Daniel dalam kereta untuk menuju pulang ke rumah, Nadirah berborak bersama Daniel.


“Mak nampak seronok tengok kita datang kan sayang…”, kata Nadirah.


“Haah…mak kan memang sayang anak menantunya semua. Ini belum ada cucu lagi… Kalau ada cucu lagi bertambah-tambah gembiralah mak”, sengih Daniel.


“Betul juga tu…”, kata Nadirah.


“Hah!Saya rasa awak pun seronok tadi kan?”, Daniel teringat.


Nadirah tersengih lalu keningnya berkerut, “seronok apa? Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa…”.


“Haaa jangan ingat saya tak tahu yang awak gelakkan saya masa kita masak-masak tadi”,kata Daniel.

“Hahaha masalahnya kelakar tau... tah apa-apa je. Awak menangis potong bawang tu macam menangis tengok drama sedih tau tak”, gelak Nadirah.


Daniel turut ketawa melihat isterinya ketawa.


“Awak patut beritahu mak di pihak saya… yang saya potong bawang lama sikit”, kata Daniel lagi.


“Eh kenapa saya pula nak beritahu… cukup-cukuplah saya beritahu mak lauknya jadi sedap kalau awak tolong. Malulah saya kalau nak beritahu macam-macam”, kataNadirah.


“Hahahaha…asalkan lauk sedap ya tak”, ketawa Daniel.


“Yalah...awakkan…”, Nadirah sambung berbual dengan suaminya yang sedang memandu. Masing-masing berborak sehinggalah tiba ke rumah.


**

Usai solat Isyak dan berzikir, Mak Esah berehat di ruang tamu. Tiba-tiba satu panggilan masuk. Tanpa berlengah Mak Esah langsung mengangkat setelah melihat skrin di telefon.


“Assalamualaikum…Sarah sihat?”, tanya Mak Esah.


“Waalaikumsalam…sihat alhamdulillah. Mak sihat?”, tanya Sarah kembali.


“Sihat…”,kata Mak Esah.


‘Suara mak macam okay… alamak… perlu ke aku beritahu pasal hal Nad dengan Danny dekat mak ni? Emm nanti dululah, takut mak terkejut pula’, fikir Sarah dengan rasa berat hati.


“Mak…Nad dengan Danny macam mana?”, Sarah saja bertanya.


“Oh diorang dua sihat-sihat. Tadi baru je diorang datang rumah mak. Kami masak dan makan sama-sama tau”, cerita Mak Esah.


Sarah terdiam. Lain pula kata-kata maknya. Apa-apapun dia tidak mahu berfikir yang tidak-tidak. Harap apa yang dikatakan maknya betul. Harap Nadirah dan Daniel betul-betul sudah berbaikan. Mujur dia tidak beritahu maknya awal-awal tadi.


“Kalau Sarah ada dekat sini… mesti lagi meriah!”, teruja kata Mak Esah.


Sarah tersenyum, “tulah… Sarah ingat nak balik dalam masa terdekat ni”.


Mata Mak Esah membulat, “ye ke! Sarah nak balik bila?! Boleh mak jemput dekat airport!”, teruja Mak Esah.


“Tak confirm lagi tarikhnya, tapi Sarah memang nekad nak balik. Nanti apa-apa Sarah beritahu mak lagi”, kata Sarah.Saat balik nanti dia juga ingin Nadirah menceritakan semua kepadanya, agar segalanya jelas.


“Haa yalah kalau macam tu…”, kata Mak Esah lagi sambung berborak bersama anak perempuannya.



Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.