Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 72a

BAB 72(a): Nad Bersalin! II


               Daniel bermundar-mandir dihadapan wad bersalin itu. Sudah satu jam dia begitu. Sekejap-sekejap dia duduk dan kembali berdiri mundar-mandir. Mulut Daniel terkumat-kamit membaca doa agar isterinya dapat diselamatkan. Mak Esah dan Sarah juga hanya duduk di kerusi. Masing-masing berwajah risau.


               Saat Daniel keluar dari wad, mereka pergi ke arah Daniel untuk mengetahui perkembangan. Setelah mendengar cerita daripada Daniel, Mak Esah pantas menelefon besannya, keluarga Nadirah juga dalam perjalanan hendak tiba ke hospital.


               Tidak lama kemudian, Puan Kiah dan Encik Hamid tiba. Fauzi dan isterinya tidak dapat ikut memandangkan mereka ada hal lain. Namun, cerita Nadirah hendak dioperasi itu sampai kepada mereka dan mereka juga mendoakan yang terbaik untuk Nadirah. Encik Hamid dan Puan Kiah yang tiba seakan ingin mendengar cerita daripada Daniel, tetapi wajah Daniel jelas dalam kesedihan. Daniel juga tidak berdaya hendak menceritakan sekali lagi. Jadi hanya Mak Esah lah yang menceritakan kepada Puan Kiah dan Encik Hamid lebih mendalam berdasarkan apa yang dicerita Daniel kepadanya.


               “Alhamdulillah… Ilyas dan Ilyasa’ selamat keluar. Kembar seiras? Syukur alhamdulillah. Sekarang kita kena doakan banyak-banyak untuk anak kita Nadirah”, kata Encik Hamid bersyukur atas kelahiran cucu-cucu pertamanya. Namun, sebagai seorang ayah, terselit juga kerisauan tentang keadaan anak perempuannya. Puan Kiah sudah menangis. Dia juga sangat takut dan merisaukan anak perempuannya yang seorang itu.


               “Abang… macam mana ni? Anak kita Nad…”, sedih Puan Kiah.


               “Doakan yang terbaik untuk Nad, Kiah”, kata Encik Hamid dengan wajah risau.


               “Betul tu ibu… tolong doakan Nad. Doa ibu untuk Nad pasti termakbul”, kata Daniel seakan memohon. Mata Daniel juga merah dek kerana ketakutan.


               “Yalah betul tu”, jawab Puan Kiah.


               Beberapa jam berlalu, Puan Kiah dan Encik Hamid juga kembali dari surau. Mak Esah dan Sarah masih belum kembali. Sementara Daniel sudah solat awal daripada mereka. Jadi Daniel telah tiba di ruang menunggu terlebih dahulu.

               “Masih belum lagi?”, tanya Puan Kiah.


               Daniel menggeleng dengan keningnya yang berkerut.


               Kemudian Sarah dan Mak Esah juga tiba.


               Mereka menunggu kembali.


               Bunyi pintu wad ditolak kedengaran dan mereka bergegas memandang.


               “Doktor? Macam mana?”, tanya Daniel.


               Doktor itu menggeleng.


               Air mata Daniel mengalir. Inilah peristiwa yang paling ditakutkannya. Dia rasa tidak sangka. Daniel berasa lemah. Keluarganya di sisi sudah berbunyi tetapi Daniel rasa tidak mendengarkan apa-apa. Dunianya mulai gelap. Suasana di sekeliling terasa bisu sebentar. Keningnya yang berkerut bertambah kerut. Dia menutup mata dan air matanya mengalir. Dia rindukan Nadirah. Saat mereka bersama. Saat Nadirah senyum atau bermanja atau bergurau senda. Di mana dia hendak mendapatkan kebahagiaan seperti itu lagi kalau tiada Nadirah di sisi.


               “Kami minta maaf Encik Daniel. Puan Nadirah sepatutnya berpeluang untuk bersalin secara normal tetapi disebabkan dia kehabisan tenaga jadi kita terpaksa buat operation untuk kali ini. Mungkin Puan Nadirah dah all out sangat masa kedua tu. So, kita terpaksa buat caesarian… Bayinya… pramatang. Apapun alhamdulillah bayinya selamat. Kita dah letak di incubator insyaallah dengan rawatan rapi, bayinya akan baik-baik sahaja”.


               Mereka semua memandang antara satu sama lain. Mereka bingung dengan apa yang dikatakan oleh doktor.


               “Maksud doktor apa ni? Isteri saya macam mana?”, Daniel tertanya-tanya.


               Doktor itu tersedar. Mungkin keluarga ini tidak tahu menahu. Doktor itu ingatkan, kalau boleh sebaiknya pesakit bersalin secara normal. Lagipula, doktor itu dimaklumkan Nadirah itu bersalin buat pertama kalinya.


               “Ohh maaf. Isteri encik selamat bersalinkan kembar tiga. Dua bayi lelaki seiras dan seorang bayi perempuan…tetapi baby girl itu pramatang. Kami predict yang due date baby girl itu lagi sebulan tetapi tadi nyawa baby girl tu dalam bahaya. Puan Nadirah memang berpotensi untuk bersalin normal tapi bila melihatkan keadaan kritikal bayi dan keadaan Puan Nadirah yang sudah kehabisan tenaga… kami terpaksa buat caesarian. Kami keluarkan baby girl tu secara operation”, cerita doktor itu panjang lebar.


               Daniel dan ahli keluarganya yang lain terdiam.


               “Ohh ya! Puan Nadirah baik-baik saja. Cuma dia masih tidak sedarkan diri… Saya nak pesan yang Puan Nadirah punya luka memang akan sangat sakit… Yelah, jahit bawah dan jahit atas juga.Jadi penjagaan waktu pantang yang sangat rapi diperlukan ya. Jaga dalam pantang, tak boleh banyak bergerak… takut lukanya terbuka”, pesan doktor itu lagi.


               Daniel yang tadinya menangis dengan wajah sedih tersenyum kecil. Kejutan apakah ini? Rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Illahi. Kejutan yang diberikan tuhan itu memang tidak disangka-sangka.


               “Betul ke doktor?!!! Terima kasih doktor!!!!!”, tangis Daniel memeluk doktor itu.


               “Ohh ok… sama-sama”, doktor itu terkejut dan membalas pelukan Daniel juga.


               “Asalkan anak kami selamat doktor”, kata Puan Kiah dan Encik Hamid kepaa doktor itu.


               “Terima kasih Allah!!!”.


               Kemudian Daniel sujud syukur disitu. Puan Kiah dan Encik Hamid juga melakukan sujud syukur atas keselamatan anak perempuan mereka. Sarah dan Mak Esah berpeluk antara satu sama lain.


               Sememangnya keajaiban yang tidak mereka sangkakan.


**

               Nadirah melihat saja suaminya sedang mengazankan dan mengiqamatkan anak-anak mereka dengan senyuman kecil. Lalu Nadirah kembali memandang ke atas. Dia melihat saja siling. Mulutnya terasa berat untuk berbicara tetapa rasa syukur yang amat sangat tetap terasa dan hanya mampu dizahirkan di dalam hati.


               Ibu bapanya dan mak mertuanya juga ada di sisinya. Mereka bersembang antara satu sama lain sambil melihat cucu-cucu mereka.


               Sarah juga tidak habis-habis mencium anak-anak buahnya.


               “Wangi anak kau Danny. Yang lelaki Ilyas dan Ilyasa’… yang girl ni siapa namanya”, geram Sarah mengagah bayi-bayi itu.


               Daniel senyum berbicara sambil mengagah juga anaknya, “yang baby girl sorang ni nama dia Ilya…Nurul Ilya binti Daniel Haikal”.


               Hati Daniel terusik saat sudah ada anak yang bin dan ber binti kan namanya. Terasa sedikit bangga.


               “Semuanya macam ada ‘Ilya’… Nak tunjuk yang diorang kembar”.


               “Haah… kembar kan. Ilyas, Ilyasa’dan Ilya”, kata Daniel sambil menunjuk anaknya mengikut nama-nama itu.


               Nadirah yang melihat ketawa kecil.


               “Yang anak-anak lelakinya ikut muka mak… yang perempuannya ikut muka ayah”, kata Puan Kiah.


               Daniel tersenyum.


               “Berapa tahun ya korang kahwin dah? Tiga tahun sampai?”, tanya Encik Hamid.


               “Empat tahun jugalah abah”, jawabDaniel.


               “Alhamdulillah dapat cucu kembar tiga. Rezeki ni Danny… Jaga cucu abah elok-elok. Ala lala”, kata Encik Hamid sambil bermain dengan cucu-cucunya.


               Daniel mengangguk.


               Daniel terpandang isterinya yang senyum kepadanya. Kemudian dia menghampiri isterinya seraya berkata.


               “Terima kasih…”, Daniel mencium tangan isterinya.


               Nadirah hanya mengangguk senyum.


               Daniel membelai wajah isterinya lagi lalu mencium pipi isterinya dengan penuh rasa cinta dan sayang. Memandangkan ahli keluarga yang lain sedang sibuk melihat anak mereka, di sini mereka berdua sahaja saling memandang dan senyum penuh bahagia antara satu sama lain. Daniel memeluk lagi isterinya dan mencium dahi isterinya lagi dan lagi. Lirik lagu kadang-kadang ada frasa ‘dunia seakan hanya kita berdua’. Hal itu memang dapat dirasakan Daniel.


               Air mata Nadirah mengalir. Tidak pernah dia merasakan kasih sayang yang melimpah ruah seperti ini daripada seorang manusia yang bergelar suami. Pasti rasa yang melimpah ruah ini disalurkan Allah melalui suaminya. Mulutnya letih untuk berbicara tetapi hatinya terungkap.


               ‘Terima kasih suamiku…Pengorbanan melahirkan anak-anak terasa ringan saat awak sayang saya sampai macam ni’.


               Mata Daniel turut berair dalam membelai wajah isterinya itu. Perasaan cintanya bertambah-tambah melihatkan pengorbanan isterinya melahirkan anak-anaknya.


               Nadirah mengusap juga wajah Daniel. Masing-masing ketawa kecil dan kenangan lalu terimbau di ingatan mereka.


               Nadirah teringat Daniel berbaju sekolah sewaktu tingkatan 5. Saat anak dara dahulu, Nadirah selalu saja melihat Daniel naik motor bersama kawan untuk ke sekolah saat masuk ke dalam kereta untuk pergi kerja. Kadang-kadang Nadirah selalu senyum kepada Daniel, tetapi entah kenapa Daniel seakan buat-buat tidak nampak. Siapa sangka budak hingusan yang dahulunya mereka pernah main bersama sewaktu kanak-kanak menjadi suaminya dan menjadi ayah kepada anak-anaknya. Senyuman Nadirah melebar.


               Daniel pula terkenang bagaimana dia selalu senyap-senyap melihat Nadirah pulang kerja dari atas. Nak berbicara kepada gadis idamannya yang berbaju pejabat terasa malu sekali. Jauh di hatinya terasa, ‘coolnya Nad! Tapi comel’. Daniel tersengih saat terkenangkan waktu remajanya yang mempunyai perasaan kepada jirannya yang lebih dewasa itu. Antara momen bunga remajanya saat Nadirah datang menjemputnya di sekolah dengan kereta. Fuhh, paling dramatik tapi kejadian kisah benar dalam hidupnya. Scene yang selalunya di dalam drama dan dianggap tak logik tetapi itulah yang terjadi. Terima kasih kepada Mak Esah yang meminta Nadirah mengajarnya, dari situ bermula segalanya. Kalau tidak, rasa macam mimpi je dapat berkahwin dengan isterinya. Sekarang, dia sudah ada anak-anak bersama gadis idamannya. Sudah terasa lengkap hidupnya. Perasaan ini diberikan tuhan kepadanya. Daniel berasa bersyukur.


               HEKKK!!


               WUEKKK!!


               Nadirah memandang ke arah anak-anaknya saat mendengar bunyi rengekan kecil.


               “Lapar tu… Bagi dekat mak dia…”,kata Mak Esah.


               Ahli keluarganya yang lain membawa bayi-bayi itu kepada Nadirah untuk disusukan.


               “Mari sayang…”, panggil Nadirah kepada bayi-bayinya.


               “Ikut turn… siapa bunyi dulu tadi. Ilyana kan? Lepastu Ilyasa’…”, kata Sarah teruja.


               “Ilyas pun nak juga tu… dari tadi dia asyik mengerekot”, kata Puan Kiah.


               “Kalau dah kembar… sorang nak semua nak kan hahaha”, Mak Esah terhibur. Ahli keluarga yang lain juga ketawa.


               Lalu, Nadirah menyusukan bayi-bayinya. Daniel senyum sahaja melihat suasana itu. Hatinya rasa tenteram. Hari ini antara hari yang terbaik sepanjang hidupnya.


               Setelah apa yang mereka lalui, mereka berjaya menempuhnya. Segala salah faham atau bertolak ansur itu sememangnya penting untuk diselesaikan. Umur bukan ukuran untuk mendapatkan perkahwinan ideal. Jika umur sudah 40 sekalipun tetapi, tiada ilmu, tiada pengetahuan agama, tiada praktikkan agama, tiada kematangan, tiada naluri kemanusiaan, tetap saja perkahwinan itu boleh runtuh. Hakikatnya kebahagiaan itu hanya tuhan saja boleh berikan. Namun, jika hendak dibandingkan kebahagiaan di dunia itu hanyalah sedikit dengan kebahagiaan di akhirat. Jika di dunia sudah rasa bahagia itu bagaimana, di akhirat apatah lagi. Biarlah bahagia di akhirat juga.


               Manusia itu boleh jadi ujian kepada manusia lain. Setiap pertemuan mengajar seseorang manusia itu perkara baru. Jadi, ujian perkahwinan itu akan sentiasa datang sehingga ke hujung akhir hayat. Hanya kepada tuhan sahaja yang boleh membantu untuk menempuh segalanya.


**

6 bulan kemudian…


               Kelihatannya,banyak keluarga berkumpul di tugu UPM. Nadirah dan Daniel bersama keluarga Daniel berkumpul di situ juga untuk mencari kawasan yang cantik untuk bergambar.


               Sementara ahli keluarganya mencari, Nadirah pula terasa ada seseorang yang memerhatikannya. Nadirah melihat sekeliling lalu terpandang sepasang mata yang dikenalinya.


               ‘Lina?’,Nadirah teringat kepada gadis yang pernah ada isu dengan perkahwinannya dahulu. Sudah lama hal itu, tetapi Nadirah teringat semula saat terpandang gadis itu. Lina kelihatannya berjalan hendak menuju kepadanya.


               Saat itu, dirinya automatik hendak bertemu dengan gadis itu juga. Dia tahu ada hati kecilnya menyuruhnya berjaga-jaga tetapi dia terasa spontan hendak berjumpa dengan gadis itu.


               “Awak... nak pergi tempat lain kejap. Nanti Nad datang sini balik”, kata Nadirah kepada suaminya.


               “Haa okay”, kata Daniel tanpa menyedari yang isterinya hendak berjumpa Lina. Daniel juga tidak perasan akan Lina itu, lagipula dia juga sudah lupa tentang Lina.


               Nadirah pergi ke arah gadis itu.


               “Kak…Saya Lina. Akak ingat dak?”, senyum Lina kepadanya.


               “Ya saya ingat. Akak pun tak tahulah kenapa dengan akak? Tapi akak pun bila ternampak Lina tadi… akak rasa curious dan nak jumpa Lina juga”, angguk Nadirah.


               “Kami memang nak jumpa akak. Kami malu tapi kami rasa sekarang kami dah bersedia untuk jumpa akak depan-depan. Kami nak minta maaf atas segala yang pernah berlaku. Kami rasa bersalah dan berdosa sangat akak”, Lina mulai sebak saat terkenang masa silamnya yang hampir nak meruntuhkan rumah tangga orang.


               “Hei hei… akak dah maafkan. Jangan menangis, hari ini kan hari graduasi Lina. Nanti dah tak cantik…”, pujuk Nadirah.


               Lina tersenyum, “ terima kasih Kak… Kami dulu mampu minta maaf melalui telefon ja…Bila minta maaf depan-depan dan akak pun maafkan depan-depan. Rasanya bersyukur tak terhingga… Kami rasa lebih tenang untuk melangkah ke alam baru”, senyum Lina memandang bawah.


               “Alam baru?”, tanya Nadirah.


               ‘Nak mati ke apa?’, Nadirah takut dan agak risau. Kemudian Nadirah memandang bawah juga dan terpandang Lina yang menggosok-gosok jarinya yang bercincin.


               “Lina…cincin tu?”.


               Lina senyum lalu berbicara, “Lina dah selamat bertunang akak… dah tiga bulan. Itulah sebelum kahwin ni… Lina nak minta maaf dan minta restu sesiapa yang disekeliling Lina. Lagi-lagi dengan akak”.


               Tiba-tiba seorang lelaki mendatangi mereka.


               “Dah ke Lina?”, tanya lelaki itu.


               “Sat na Bang Haziq…”, geleng Lina.


               “Akak, kenalkan tunang kami… Kami bertunang atas pilihan keluarga, lagipun kami ni saudara jauh. Alhamdulillah sekarang Lina lebih tenang untuk teruskan hubungan dengan Abang Haziq sampai ke jinjang pelamin”, kata Lina.


               “Alhamdulillah”,senyum Nadirah melihat pasangan di hadapan itu.


               “Akak pun tahniah… dah ada baby kan?”, tanya Lina.


               “Alhamdulillah akak bersalin kembar tiga. Dua normal satu operate… alhamdulillah sekarang okay”.


               “Subhanallah…”,kata Lina.


               “Itulah…semua benda yang jadi ada hikmahnya. Manusia ni selalunya lemah je… tapi Allahlah yang membaikkan keadaan”, kata Nadirah.


               “Betul tu kak”, senyum Lina.


               Sementara Rais memandang saja Lina dari jauh. Jadi khabar angin yang diberitahu Zali tentang Lina yang dah bertunang itu betullah. Rais dapat melihat seorang lelaki berada di samping Lina dan mereka kelihatannya mesra. Rais mengeluh.


               Apa-apapun dia hanya mendoakan yang terbaik untuk Lina. Jika ditanya tantang Lina kepadanya, jujur dia tidak mahu bertemu gadis itu.


               ‘Malu weyh!! Malu!! Aku dulu dahlah macam apa! Memang taklah aku nak jumpa dia. Kalau boleh aku lari je bila nampak Lina!’, sengih Rais memandang atas.


               Dia masih rasa bersalah kepada Lina dan sudah meminta maaf dahulu, tetapi dia sudah tidak mahu bersua muka dengan Lina lagi. Malah, dia mendoakan agar Lina bahagia. Betullah dan dia akui yang dia memang masih tidak matang.


               “Baiklah Lina… akak pergi dulu”, kata Nadirah dan berlalu pergi ke arah keluarganya.


               Lalu, Nadirah dan Daniel bergambar bersama keluarganya di tugu UPM. Banyak juga keluarga para graduan yang bergambar disitu. Abang iparnya James, menjadi jurugambar. Ada Sarah, Mak Esah, Nadirah serta tiga baby stroller yang diisi Ilyas,Ilyasa’ dan Ilya. Mereka bergambar lagi dan lagi. Daniel juga segak berbaju kasual dan di sarung pula dengan jubah graduasi.


               Daniel bergambar bersama Mak Esah berdua. Kemudian bersama Mak Esah dan Sarah. Lalu ditambah dengan James. Selepas itu, Daniel bergambar berdua bersama Nadirah. Lalu, mereka berdua bersama anak-anak mereka. Daniel mendukung Ilyasa’ dan Ilya. Manakala, Nadirah mendukung Ilyas. Kemudian Mak Esah masuk bersama mereka dan memegang Ilyana.


               Sarah juga mengambil kesempatan itu bergambar berdua bersama James. Kemudian ditambah dengan Daniel. Lalu bersama James, Daniel dan Mak Esah. Nadirah bergambar berdua bersama Sarah juga.


               Setelah melalui sesi bergambar yang sudah ke berapa puluh kali, akhirnya, mereka semua bergambar bersama dengan meminta bantuan orang lain untuk mengambil gambar mereka.


               Melihatkan suasana itu, Daniel merasakan hari graduasi juga antara hari yang bermakna didalam hidupnya. Mungkin bapanya tiada di sisi, tidak seperti keluarga lain. Tetapi Allah menggantikan dengan adanya isteri dan anak-anak menemaninya dihari graduasi. Tidak lupa juga maknya Mak Esah. Kakaknya yang sebelum ini berada di luar negara ada di sini bersama abang ipar pula itu, ahli keluarganya yang terbaru.


               Daniel senyum bahagia.


               Tiba-tiba Rais dan Jai hadir menemui Daniel.


               “Diorang dah panggil…”.


               “Haa okay-okay… mak, Nad boleh masuk dalam dah. Kitorang dah nak mula”.


               “Haa yalah”, kata Mak Esah lalu bergegas hendak pergi. Nadirah pula melihat anak-anaknya terlebih dahulu.


               “Tak apa Nad… bagi barang-barang beg tu. Biar Sarah dan James jaga triplets ni”,senyum Sarah.


               “Cepat-cepat”,kata James kepada Nadirah.


               Nadirah mengangguk lalu pergi mengikuti Mak Esah yang memandang-mandangnya.


               Jadinya, hanya Nadirah dan Mak Esah yang dapat berada di dalam dewan. Sementara, Sarah dan James menunggu di luar sambil menjaga Ilyas, Ilyasa’ dan Ilya.


               Kejayaan pada hari graduasi terasa indah, memandangkan kejayaan itu bukan seorang diri tetapi bersama kawan-kawan lain juga. Rais, Daniel dan Jai bergambar bersama ditempat duduk mereka.


               Bersyukur ke hadrat Illahi, Daniel menunggu gilirannya dan naik ke pentas mengambil segelung ijazah. Nadirah tersenyum melihat suaminya yang segak menaiki pentas dan Mak Esah juga tersenyum melihat hasrat untuk anak lelakinya memegang segulung ijazah tercapai.



-TAMAT I-



Previous: Bab 71
Next: Bab 72b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.