Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 50

BAB 50: Klimaks III


Daniel memecut motornya laju di jalanan. Namun, dia bingung hendak pergi ke mana. Hendak pulang berjumpa Nadirah? Nadirah tinggal di rumah kawannya. Lagipula dia baru sahaja mencari Nadirah di kawasan tempat kerja Nadirah, tetapi kelihatannya isterinya sudah pulang. Di mana pula kawan Nadirah itu tinggal?Fikir Daniel.


Hati Daniel sangat gundah sekarang. Pasti Nadirah sangat terluka dengannya sampai tahap untuk minta dilepaskan. Daniel berasa sangat bersalah kepada isterinya. Dia terkenang kata-kata Lina yang Nadirah minta dilepaskan. Dengar daripada orang lain pun hatinya sudah terasa perit. Inikan pula jika kata-kata lepas itu diminta daripada mulut isterinya sendiri. Memang boleh jadi gila Daniel dibuatnya.


Lebih-lebih lagi Farid sudah mengisytiharkan kata-kata perang dengannya tempoh hari.Keadaan ini memang akan sangat menguntungkan Farid. Daniel sangat takut jika mimpinya yang Nadirah pergi ke pangkuan Farid menjadi kenyataan. Walau apapun terjadi, dia akan pastikan hal itu tak terjadi. Rumah tangganya diambang retak, tinggal tunggu masa sahaja hendak roboh. Namun dengan masa yang ada, dia nekad sehabisnya untuk membetulkan kembali rumah tangganya yang retak seperti sediakala.


Dia memaksa lagi dirinya untuk berfikir. Apa yang perlu dilakukannya sekarang?Jumpa Farid? Tanya Farid, mana rumah kawan Nadirah?


“Tak…”,Daniel terfikir.


Wajah Wan menjelang di ingatan.


Tanpa membuang waktu, Daniel mengubah laluannya untuk pulang ke rumah Mak Esah.


**

“Ohh Nad tak balik dengan kamu?”, tanya Mak Esah.


Daniel menyalam ibunya dan menggeleng dengan senyuman, “tak… Nad dekat rumah. Ini Danny datang pun sekejap saja… ada nak jumpa Wan. Alang-alang tu boleh lepas rindu dekat mak”. Daniel tidak mahu memberitahu hal sebenar kerana tidak mahumaknya risau.


Mak Esah tersengih lalu menggosok kepala anak lelakinya seraya berkata, “hesh… anak lelaki mak ni dah jadi laki orang dah pun! Tapi rindu mak macam baby baby je. Haa sementara tunggu Wan sampai rumah… kamu minum dulu ni. Mak dah buat air…”. Mak Esah mengajak anak lelakinya untuk duduk.


Daniel menyambut pelawaan maknya dengan duduk dan menghirup air teh panas. Mak Esah pula memandang saja anak lelakinya dengan senyuman tipis.


“Kamu dah besar ya sekarang Danny… Sebelum ni, kamu sentiasa budak kecil di mata mak.Walaupun kamu dah besar panjang sekolah menengah, mak selalu rasa macam baru semalam kamu tatih berjalan. Sampailah kamu minta nak hantar rombongan tunang dekat Nad, mak rasa terkejut sangat. Walaupun mak nampak biasa-biasa, tapi makpun masih dalam keadaan terkejut saat kamu nak kahwin lepas habis sekolah”, Mak Esah tersengih.


“Mak memang cakap yang mak dengan ayah dulu kahwin awal, tapi apa apapun mak masih risau. Mak fikir, kamu boleh ke jadi suami di usia muda. Tanggungjawab besar tu… tapi bila mak nampak usaha kamu nak kahwin dengan Nad, mak sokong saja. Mak serahkan semuanya kepada Allah”.


“Jaga Nad elok-elok ya Danny… Susah nak jumpa perempuan macam Nad tu. Layan dia baik-baik, seperti mana arwah ayah kamu layan mak dulu. Walaupun arwah ayah dah lama tinggalkan mak, tapi cinta kami sampai ke syurga. Mak sayang ayah kamu kerana Allah. Walau ramai manapun lelaki yang masuk meminang mak, mak tak boleh terima… sebab Allah tetapkan hati mak untuk arwah ayah kamu saja. Seorang suami yang melayan isterinya dengan baik, isteri tu pasti takkan melupakan kebaikan suaminya walaupun maut sudah memisahkan”, senyum Mak Esah berbicara.


Kata-kata Mak Esah menusuk ke hati Daniel. Andai saja maknya tahu keadaan rumah tangganya, maknya pasti akan bersedih hati. Namun, kata-kata maknya menyuntik semangat baru dalam dirinya. Dia berazam untuk mengikut jejak langkah arwah ayahnya. Apabila melihatkan maknya, dia juga ingin Nadirah menyintainya sepenuh hati. Dia ingin Nadirah mengenangnya walaupun sehingga maut sudah memisahkan mereka.


Tiba-tiba,satu panggilan masuk ke dalam telefon Daniel. Daniel memandang maknya untuk meminta izin jawab telefon.


“Hello Assalamualaikum”, kata Daniel.


“Waalaikumsalam Danny… aku dah sampai rumah ni. Marilah datang rumah. Keluarga aku semua keluar. Aku seorang je ada dekat rumah ni”, kata Wan.


“Haa okay-okay”, kata Daniel lalu menutup panggilan.


Daniel memandang maknya seraya berkata, “mak… Wan dah ada dekat rumah. Danny pergi rumah dia dulu ya”.


“Haa yelah-yelah. Kirim salam dekat Wan tu”, kata Mak Esah.


“Okay mak…”, salam Daniel lalu memeluk maknya. Daniel keluar dari rumah dan pergi menuju ke rumah Wan.


**

“Aku tak fahamlah dengan laki yang nak rampas bini orang ni! Dia tak ada rasa ke itu bini orang?! Perempuan yang dah dimiliki! Perempuan lain punyalah ramai dekat dunia ni! Bini orang juga kau nak rembat! Tak rasa pelik ke?! Laki yang… nak perempuan yang dah jadi sisa lelaki lain. Eh… aku tak fahamlah orang macam ni!Orang yang nak sisa orang lain… baik lelaki ataupun perempuan”, luah Daniel bercerita tentang Farid kepada Wan.


Wan tersengih.


“Hushh!Sisa kau cakap?...”, Wan menggeleng.


“Aku tak adalah nak kata Nad tu sisa aku ke apa… Itu perumpamaan je”, Daniel mula tersedar kesalahan dari bicaranya yang disebabkan oleh emosi.


“Akupun tak adalah nak cakap apa… Wajar saja kalau kau emosi sebab Nad tu isteri kau kan. Tapi kedudukan manusia ni tinggi di sisi Allah. Kita ni tak sama macam barang… Barang kalau dah diguna, kau boleh kata itu sisa. Tapi manusia ni lain…manusia ni… sama ada kita mengguna atau diguna… tetap ada nilai tersendiri. Susah aku nak cakap. Emm macam ni contoh… who cares Danny, dia suami orang ke dia bini orang ke, asalkan aku bahagia dengan dia... Hal-hal macam tu, semuanya bergantung pada kekuatan keimanan seseorang tu”, kata Wan.


Daniel mendengar lagi.


“Kau pernah dengar tak… kita selalu rasa kepunyaan orang lain tu lebih seronok dari apa yang kita ada sendiri… Itulah manusia. Selalu tak bersyukur… Selalu rasa tak puas dengan apa yang dia ada. Kita tak sedar kita ada isteri yang terbaik Allah dah beri, tapi kita tak layan baik-baik… Untuk orang lain yang tak ada pula… dia akan nampak isteri kita tu macam best…rajin, cantik, baik ke… semualah. Point dia… apa yang kita ada selalu nampak best di mata orang lain… tapi kita pula yang tak bersyukur. Itu yang kadang-kadang ada orang rampas suami orang lah. Orang rampas bini orang lah…sebab apa? Sebab kita ni manusia. Kalau kita tak rasa apa yang kita ada tu bernilai… tapi orang lain boleh nampak betapa bernilainya kepunyaan kita tu.Kalau kita tak jaga baik-baik, orang lain tu geram dan akan rasa nak rampas. Baik bagi aku! Aku lagi pandai jaga! Haaa macam tu…”.


“Kau boleh relate kan tak keadaan ni dengan rumah tangga kau?”, tanya Wan untuk membuka minda Daniel.


Daniel terdiam. Kata-kata Wan memang ada betulnya. Saat dia miliki Nadirah, dia sudah berasa selamat kerana Nadirah sudah menjadi kepunyaannya. Tetapi itu bukanlah segalanya. Dia pun tidak sedar kesalahannya kepada Nadirah sehingga telah membuka peluang yang besar kepada Farid.


“Dah…dah… janganlah down macam tu! Tengok ni”, pujuk Wan lalu meletakkan sehelai kertas di atas meja.


Daniel memandang kertas itu.


“Jadi ini jadualnya… Jadual untuk menjadi suami yang baik”, kata Wan lagi


Daniel berkerut, “jadual ni?”. Daniel berasa tidak yakin dengan hanya sehelai kertas yang ada jadual itu boleh menyelesaikan rumah tangganya yang di ambang hendak runtuh ini.


“Ya…tengoklah ni aku taip cantik-cantik. Projek Menawan Hati Isteri: Jadual Suami Soleh!”, bersungguh-sungguh kata Wan.


“Okay…”,Daniel masih berkerut.


Wan mengeluh tatkala melihat Daniel seakan berwajah tidak yakin dengan jadual yang dibuatnya. Punyalah dia berusaha berfikir untuk membantu Daniel, tetapi Daniel hanya memberi pandangan berkerut sebegitu.


“Heshh…kau nak expect aku tolong kau macam mana? Bagi ubat? Ubat pil makan untuk perbaiki rumah tangga? Memang taklah! Benda-benda macam ni kena ubah diri… Tak tahu macam mana nak ubah? Haa nilah ni bendanya. Jadual ni… Cuba baca tengok”, terang Wan panjang lebar.


Daniel memandang kertas itu dan menghayati jadual suami soleh lebih mendalam. Kertas itu terdapat jadual kotak-kotak seperti jadual kehidupan harian. Cuma jadual ini lebih kepada tugas harian seorang suami. Jadual itu juga terdapat nota-nota pesanan kecil.


“4 pagi bangun… solat sunat… pilihan. 6 pagi bangun… kejut isteri… jadi imam. Pastikan bangun lebih awal daripada isteri anda. Jangan tidur lepas Subuh. Pergi ke dapur… tanya isteri nak buat sarapan apa… dan tanya apa yang boleh ditolong. Huff…”.


“Baca lagi! Ada lagi tu!”, paksa Wan.


Daniel mengangguk, “ya ya…”.


“Pastikan anda menjadi imam untuk semua waktu solat. Kalau anda malas nak jadi imam,setidaknya bawa isteri solat berjemaah di masjid. Jika isteri anda hendak memasak atau buat kerja rumah yang lain, pastikan anda bertanya apa yang boleh dibuat atau ditolong. Kalau tak ada tak apa. Kalau ada silakan tolong. Kalau isteriminta bantu, silakan bantu. Bantu ikut kemampuan. Jangan paksa diri. Tapi apa-apapun kena ada tolong isteri”.


“Semua ini adalah mandatori! Wajib buat! Segala panduan sudah disediakan! Nak hendak seribu daya! Tak hendak seribu dalih!”.


Daniel selesai membaca jadual itu secara rawak lalu memandang Wan.


“Macam berlebihan je? Ke macam mana?”, Daniel berasa jadual itu sangat susah untuk diikut.


“Berlebihan?...Habis apa yang kau buat dekat isteri kau tu tak berlebihan? Sekarang ni aku tanya kau... kau masih sayang tak bini kau? Kau masih cinta lagi tak dengan Nad?”, tanya Wan.


"Gila tak cinta... Aku sayang gila-gila kot dekat isteri aku. Nak dapat dia rasa macam mimpi je dulu. Penangan childhood crush lah katakan... Masa jadi budak rasa diri ni hingusan je bila dengan Nad. Sekarang dah dapat memang taklah aku nak lepaskan", perlahan kata Daniel.


Wan tersengih lalu berkata lagi, “tak tahu macam mana nak ubah diri kan? Haa ikut ni… Jadual dah ada. Mula-mula memang kena paksa diri. Tapi kalau dah nampak keputusannya insyaallah kau akan gembira. Apa-apa pun kalau sesebuah perkahwinan tu sama-sama nak cari redha Allah… pasti akan bahagia!”.


Daniel tersenyum memandang bawah. Selama ini dia tahu yang dia kena ubah diri. Tetapi dia tidak tahu hendak berbuat apa. Sekarang rakannya sudah siap buatkan jadual untuknya. Memang salah dirinya lah kalau diri sendiri yang malas dan tidak mahu. Kawannya sudah penat memikirkan. Sekarang dia pula kena berpenat untuk melaksanakan jadual itu.


‘Nak hendak seribu daya… tak hendak seribu dalih ya…’, getus hati Daniel.


“Terima kasih Wan… tapi macam mana aku nak laksanakan jadual ni? Bini aku merajuk lari dekat rumah kawan dia”, beritahu Daniel.


Wan memegang bahu Daniel, “carilah Nad sampai ke lubang cacing manapun! Kalau niat nak perbaiki masjid… Allah pasti akan permudahkan!”.


Tatkala Wan berkata begitu, Daniel terfikirkan sesuatu. Satu idea yang berat untuk dilakukan.

‘Walau malu macam mana sekalipun… nak tak nak aku kena tanya Farid!’,


**

Padahari esoknya setelah habis kelas, Daniel langsung ke tempat kerja Nadirah sekali lagi. Memandangkan kelasnya selalu habis waktu petang, Daniel selalu saja terlepas dari berjumpa Nadirah. Sejak-sejak ini, Nadirah pun selalu pulang awal. Mungkin berjaga-jaga jika Daniel datang mencari. Namun, Farid ada. Fikir Daniel.


Saat Farid berjalan untuk ke tempat parkir kereta, Daniel keluar di celah-celah itu.


“Heshh!!Terkejut aku!”, marah Farid.


Sorry lah…”, kata Daniel.


“Kau buat apa lagi dekat sini?!”, kata Farid.


“Aku nak tanya ni…”, kata Daniel.


“Tanyalah!”,Farid berasa malas hendak melayan Daniel. Sudahlah penat dari bekerja.


“Aku nak tahu Nad duduk rumah kawan dia yang dekat mana…”, malu Daniel untuk bertanya.


Farid tersengih, “tak habis-habis lagi? Kau tahu kan keadaan kita berdua ni macam mana? Macam mana kau boleh rasa yang aku nak beritahu kau?”.


“Aku merayu dekat kau tolonglah beritahu. Tengok… aku sampai tahap merendahkan diri nak minta tolong dekat kau. Kau ada peluang sebab boleh nampak isteri aku dekat pejabat tapi aku? Aku dah 4 hari tak jumpa isteri aku ni… macam mana nak fair play. Aku minta maaf atas semuakesalahan aku tapi untuk kali ini je aku minta tolong dekat kau”.


Farid tersengih. Permainan ini semakin menarik.


“Apa yang aku dapat kalau aku bantu kau?”, tanya Farid.


“Apa saja yang kau nak…”, kata Daniel sambil memandang bawah.

                           

Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.