Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 16

BAB 16: Keserasian


Setahun berlalu begitu pantas. Kini Daniel sudah pun 2 bulan menyambung pengajian ijazah mikrobiologi. Hidupnya lebih senang memandangkan dia tidak perlu membayar duit asrama,makanan semuanya disiapkan oleh Nadirah. Dia juga tidak perlu ke dobi memandangkan Nadirah yang menguruskan hal baju-baju. Lebih menguntungkan,Nadirah menghantarnya ke kuliah.


Daniel membuka matanya. Dia melihat di tepi  dan mendapati Nadirah sudah tiada. Daniel tersenyum memikirkan sarapan apa yang dibuat oleh mak dan Nadirah.


‘Ohh! Mak ada kuliah Sabtu dekat surau tetangga’, getus hati Daniel.


Daniel keluar dari bilik dan mamai-mamai mendengar perbualan Nadirah dengan seseorang. Rupanya di rumah mereka ada tetamu.


“Hari ini hari Sabtu… lepas Subuh dia tidur balik sebab kelas tak ada. Dah nak pukul 12 tengahari baru dia bangun biasanya”, kata Nadirah kepada Liza.


“Ohh maaf tau kalau aku ganggu kau dengan suami kau. Mak mertua kau kan tak ada”, Liza mengusik.


“Hishh… apa kau ni?”, Nadirah menggeleng kepala.


“Kau tahu kan Daniel tu muda… Biasanya nafsu lelaki muda ni senang digoda”, kata Liza.


Nadirah memandang tajam kepada Liza.


“Apa? Dah setahun lebih kahwin. Tak rancang nak ada anak ke?”, tanya Liza.


Nadirah mengeluh. Liza dapat melihat keluhan Nadirah seakan sama sewaktu Farid pernah bersangka buruk dengannya dulu. Keluhannya seakan menanggung beban yang berat.


“Aku tak nak ada anak dengan Daniel”, kata Nadirah kepada Liza.


Daniel yang mamai membulatkan mata. Dia terus tersegar dari lena sepenuhnya. Daniel mengerutkan kening. Dia seakan tidak percaya apa yang dikatakan Nadirah. Mungkinkah Nadirah memang tidak mahu mengandung. Tetapi, tidak mahu ada anak bersama suami sendiri membuatkan perasaan Daniel sedikit terkilan. Daniel kembali ke bilik untuk membersihkan diri. Daniel cuba bersangka baik.


“Hish… Nad. Kenapa kau cakap macam itu tak baiklah!”, Liza juga terkejut.


“Sebenarnya aku tak bahagia lah Liza…”, beritahu Nadirah.


“Kenapa?!”, Liza terkejut.


“Aku ada beritahu kan yang aku siapkan makan, minum dan baju suami aku”, kata Nadirah.


“Lepas tu?”, Liza menanti.


“Aku penatlah buat semua benda tu… Aku kerja, aku masak, aku lipat baju, aku hantar dia pergi kelas dan layan dia lagi. Aku rasa macam jaga anak… rasa macam tak ada suami.Tapi itulah aku cuba faham dia sebab dia masih pelajar. Aku pun pernah jadi pelajar. Penat belajar tu aku faham. Lebih-lebih lagi ijazah. Aku rasa tak boleh nak jatuh cinta dengan suami aku, tapi aku pun tiada perasaan dekat mana-mana lelaki”, luah Nadirah.


“Mak mertua kau?”, Liza bersimpati.


“Mak mertua aku baik… tapi suami aku. Dia macam tak matang lagi nak hadap situasi berumah tangga. Kehidupan dia masa bujang dan dah kahwin macam tak ada beza. Bezanya cuma dia duduk serumah dengan aku saja. Aku lagi suka dia duduk asrama”.


“Kau ada bincang dengan Daniel tak pasal perasaan kau ni?”, tanya Liza.


“Aku tak tahulah… aku tak boleh nak beritahu sebab aku malas nak bergaduh”.


“Bukan soal gaduh… suami isteri kena bincang dulu. Buat jadual kerja rumah ke? Mungkin itu semua hasutan syaitan saja supaya kau ragui perasaan kau sendiri”.


“Hmm betullah tu…”, kata Nadirah dengan nada berserah.


“Takpun kan Nad…kau buat tak tahu pasal keadaan rumah seminggu”, cadang Liza.


Nadirah memandang Liza.


**


Sementara di tempat pengajian Fauzi, ijazah mereka di tahun akhir tetapi masih belum tamat memandangkan mereka berbeza program dari universiti lain.


Hana kelihatan sibuk dengan komputernya. Kalkulator juga ditekan berkali-kali.


“Hana? Masih ada assignment lagi ke?”, tanya Laila memandangkan mereka memang sudah hampir habis belajar. Cuma ada beberapa kelas tambahan lagi sebelum peperiksaan akhir.


“Taklah Laila… report keluar masuk duit untuk kelab festival dan rekreasi ni. Kan baru habis hari itu festival kebudayaannya”, beritahu Hana.


Laila hanya mengangguk.


Hana teringat akan sesuatu.


“Laila kau kenal Fauzi tak? Dia sama kelas dengan kau kot”, tanya Hana.


“Aku tak ingat lah tapi kalau tengok muka mungkin cam”, kata Laila sambil meletakkan bukunya ditepi.


“Ini orangnya”, kata Hana sambil menunjukkan gambar.


Laila mengecilkan matanya. Otaknya ligat berfikir. Satu memori menusuk di ingatan.


“Ya… dia sama kuliah dengan aku.Tapi aku tak pernah bercakap dengan dia pun”, kata Laila.


“Oh… aku ingatkan dia syok dekat kau? sebab dia selalu tanya pasal kau dekat aku masa aktiviti kelab”, Hana menyengetkan kepala memandang Laila.


“Aku tak rasa macam tu…”, kata Laila sambil menyambung bacaannya.


“Oh ye ke?”, tanya Hana.


“Tak adalah… aku pernah nampak dia dating dengan perempuan mana tah dekat KLIA”, jawab Laila bersahaja.


Hana membulatkan mata, “biar betul kau?! Dating dekat lapangan terbang? Apa ke pelik bunyinya tu?”.


“Hahaha… aku pun tak tahu. Mungkin dia hantar kekasih dia pergi belajar luar negara?”.


“Kau ni Laila... suka hati je”, Hana turut ketawa kecil melihat Laila yang suka membuat andaian.


“Sebenarnya kan Hana. Aku agak tertariklah dengan Fauzi tu masa pertama kali tengok dia. Yalah tengok orang baru kan?... Tapi bila aku tengok dia hantar makwe dia di KLIA, aku macam... ohhh mamat ni ada makwe rupanya. Jadi aku pun biarkan sajalah”, luah Laila.


“Ohh kiranya kau pernah ada perasaan dekat dia ke?”, Hana tertarik memandangkan Laila jarang bercerita tentang perasaannya.


“Taklah… aku suka tengok je,tapi sekarang dah tak dah”, Laila mencebik.


“Hmm?”, sengih Hana.


Satu panggilan menusuk masuk ditelefon Hana.


“Alaaaa… bosannya dapat panggilan daripada Ali. Mesti nak tanya pasal progres ni”, keluh Hana.

“Waalaikumsalam Ali. Aku tengah buat lagi”.

“Apa cakaplah”.

Hana terdiam.


Laila turut memandang Hana yang terdiam. Kemudian, Hana meletakkan panggilan telefon.


“Kenapa Hana? Semacam je”, Laila tertanya-tanya memandangkan Laila tahu keadaan Hana dan Ali yang selalu bercanggah pendapat.


“Tak pernah-pernah Ali macam ni”, luah Hana.


Laila menanti. Hana memandang Laila.


“Ali cakap terima kasih dekat aku…”.


**


Daniel memerhatikan keadaan rumah yang agak berselerak. Sejak akhir-akhir ini Nadirah sudah jarang mengemaskan rumah. Makan minum dan bajunya juga disediakan ala kadar sahaja. Kadang kala tidak disediakan langsung. Nadirah pula asyik di bilik bacaan dan bunyi cetakan kertas sering didengari. Ingin sekali Daniel bertanya tetapi dia tidak mahu mengganggu isterinya yang sedang sibuk.


Kehidupan kuliah Daniel juga berjalan seperti biasa tetapi kadangkala Nadirah menelefonnya untuk disuruh pulang sendiri memandangkan Nadirah masih banyak kerja di pejabat.


Daniel mengeluh membaca mesej daripada Nadirah.

‘Sibuk betul dia…’.


Daniel pulang sendirian dengan menaiki kereta Grab. Setibanya di rumah, Daniel mengeluh lagi. Keadaan rumahnya bersepah. Malas hendak memikirkan keadaan rumah, Daniel pergi ke rumah maknya.


“Assalamualaikum mak…”.


“Danny baru balik? Nad mana?”, tanya Mak Esah yang sedang masak.


“Nad masih kerja mak… tadi pun Danny balik naik Grab saja”.


“Ohh… nanti kalau Nad balik suruh dia naik atas ya. Mak ada buat nasi kukus ayam goreng rempah ni… Tak habis pula kalau mak makan seorang”.


“Hmm”, Daniel mengangguk.


Daniel kembali ke biliknya yang sudah tiada barang. Namun, katilnya masih ada lagi. Bilik bujangnya sudah lama menjadi kosong sejak penghuninya berkahwin. Daniel tersenyum sendiri, teringat pula pada zaman bujangnya. Daniel bangun dari katil dan pergi mendapatkan maknya.


“Mak…”.


“Ya Danny?”.


“Danny sebenarnya stress lah belajar. Mikrobiology kot! Nak pecah otak ni rasanya…dengan nak kena hafal-hafal sel-sel. Simbol pelik-pelik tu lagi. Walaupun susah Danny cuba belajar bersungguh-sungguh sebab pucuk pangkal tu kena rajin saja. Tapi bila balik rumah bersepah, Danny jadi pening tau. Nad sejak akhir-akhir ni sibuk bekerja sampai tak ingat suami”, luah Daniel kepada Mak Esah.


Apabila mendengarkan luahan Daniel, Mak Esah mengetuk kepala Daniel dengan senduk lain.


“Aduh… mak?!”,Daniel tertanya-tanya.


“Berani kamu cakap macam itu pasal isteri kamu depan mak! Hmmph nampak sangat kamu ni tak matang lagi nak berumah tangga”, balas Mak Esah sambung menggoreng.


“Bukan macam tu mak… Danny faham Nad sibuk tapi takkanlah sampai nak abaikan Danny. Lagipun…”,kata-kata Nadirah terimbau di ingatan.


‘Aku tak nak ada anak dengan Daniel’.


Daniel kembali diam.


“Lagipun apa ? Lagipun apa? Haa!! Pandai nak complain ya?!”, Mak Esah kembali mengetuk kepala anak lelakinya itu.


“Mak!...Sakitlah…”, kata Daniel.


“Danny… perkahwinan memang bukan sesuatu yang mudah. Tetapi kamu jangan menyukarkannya lagi. Lihat dengan mata hati kamu. Kamu jangan pentingkan diri kamu sendiri? Kamu sedar tak Nad bangun awal pagi kejut kamu Solat Subuh… bersiap, tolong mak buat sarapan dan langsung gerak ke tempat kerja. Balik petang takpun lepas Maghrib. Bantu mak sediakan makan malam lepas itu makan dengan mak… Itu belum kira kerja rumah lagi? Dia yang kutip baju, sidai baju dan basuh pinggan… Sekarang Danny nak kata Danny lebih penat belajar? Tak ada satu rungutan pun daripada mulut Nadirah masa dia buat kerja rumah. Bila Nadirah dah tak buat kerja rumah, kamu nak complain pula dia tak buat kerja rumah. Kamu tak tahu kerja Nad macam mana… Mungkin dia memang betul-betul sibuk. Apa salahnya kalau kamu pula yang kemaskan rumah, siapkan makan ke, sidaikan baju ke. Kamu buatkan air untuk Nadirah masa dia kerja. Mana tahu lembut hati dia”, bebel Mak Esah panjang lebar.


“Kerja rumah bukan kerja suami… itu kerja orang perempuan”, perlahan Daniel bersuara.


“Hey nak kena ketuk lagi budak ni ke?!”, kata Mak Esah apabila mendengar suara halus anak lelakinya yang masih tidak faham.


“Arwah ayah kamu dulu rajin tolong mak tau… Hari Sabtu Ahad ayah kamu yang masak. Mak pun rindu masakan ayam goreng berserdak ayah kamu. Ayah kamu bantu mak gunting cili kering… Dia teman dan tolong sekali lipat baju semua. Mak tak suruh pun, ayah kamu yang buat”.


Daniel hanya diam.


Mak Esah menggeleng, “inilah masalah orang lelaki zaman sekarang, bila kerja rumah saja kata orang perempuan yang kena buat. Mak akui fitrah kerja rumah itu lebih kepada orang perempuan… tapi apa salahnya jadi seorang suami yang lebih baik? Ringankan kerja isteri pun dapat pahala. Isteri pun makin sayang… kebahagiaan rumah tangga lebih terjamin”.


“Rasulullah SAW pun bantu isterinya buat kerja rumah… takkanlah kamu yang manusia biasa-biasa ni tak boleh buat…”, tambah leteran Mak Esah lagi.


Daniel mengakui ada benarnya kata-kata ibunya. Namun, hatinya masih belum dapat ditenangkan sepenuhnya.


“Ya mak… Danny akan bantu isteri apa yang patut”.


Setelah selesai makan Daniel kembali ke rumahnya.


Dia mengambil barang-barangdan baju yang bersepah di rumah lalu dilonggokkan di satu tempat.


“Haa kurangsikit berselerak…”, kata Daniel dengan nada lega.


Apabila ke dapur Daniel kembali mengeluh melihat pinggan dan cawan yang tidak basuh. 

Daniel menggeleng kepala melihat keadaan itu dan hanya beredar pergi memandangkan dia malas hendak mencucinya.


Nadirah langsung ke rumah mak mertuanya apabila mendapat mesej daripada suaminya yang mengatakan Mak Esah mengajaknya makan di rumah.


Setelah selesai makan, Nadirah pulang ke rumahnya. Dia melihat keadaan rumah agak bersih sehinggalah dia melihat satu longgokan barang-barang di satu tempat.


“Ya Allah!...”,Nadirah terkejut. Keningnya berkerut seribu. Kepalanya digeleng. Saat melalui dapur, dia sempat melihat pinggan mangkuk yang tidak dibasuh. Nadirah menghela nafas panjang.


Nadirah dapat melihat Daniel yang sudah lena di atas katil. Nadirah memandang Daniel dihujung matanya lantas dia bergegas mandi. Setelah mandi dia kembali ke ruang buku untuk sambung membuat pekerjaan pejabatnya. Tugasan auditnya bersama Farid masih lagi tidak selesai memandangkan syarikat yang diauditnya tidak mempunyai penyimpanan data yang efisien. Kesemuanya manual, tidak banyak yang berada di dalam komputer.


Daniel terjaga. Nadirah masih tidak kelihatan di sebelahnya. Tiba-tiba bunyi taipan di ruang buku kedengaran. Daniel mengintai isterinya. Dia dapat melihat Nadirah mengurut-ngurut dahi dan menggerakkan-gerakkan bahu ke depan dan ke belakang. Bahunya juga diketuk-ketuk. Kemudian Nadirah menggeliat lalu kembali menaip. Daniel terasa simpati. Kata-kata maknya terngiang di ingatan. Daniel langsung ke dapur.


Singki sudah bersih. Daniel rasa bersalah. Mungkin Nadirah mencucinya sewaktu dia tidur. Daniel membuat air kopi susu hangat untuk isterinya.


Nadirah terdengar bunyi ketukan dan melihat Daniel datang dengan membawa  secangkir cawan berisi kopi susu.


“Nah… untuk Nad”, senyum Daniel.


“Terima kasih Danny…”,Nadirah cuba untuk senyum walaupun ada sedikit geram kepada Daniel dicampur lagi dengan perasaan penat bekerja.


“Nad… banyak lagi ke?”, tanya Daniel.


“Hmmm”, senyum Nadirah ala kadar.


Entah kenapa Daniel terasa asing. Dirinya dan Nadirah seakan sudah tidak seperti dulu. Tidak seperti di awal perkahwinan mereka.


“Okay… saya masuk bilik dulu. Jangan tidur lewat sangat”, kata Daniel.


Nadirah hanya diam. Melihat keadaan berkenaan, Daniel semakin tidak selesa dan kembali kebiliknya.


Sebelum tidurpun perasaan Daniel sudah tidak sedap. Nadirah seakan tawar hati dengannya. Kata-kata Nadirah terngiang di ingatan.


‘Aku tak nak ada anak dengan Daniel’.


‘Memang Nadirah maksudkannya ke?’, getus hati Daniel. Daniel kembali menggeleng. Dia cuba bersangka baik.



Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.