Rumah comel di Kampung Taman Sedia
nampak meriah pada hari itu. Busrya, Cik Ah dan Midi datang untuk menziarah
Haji Embong. Busrya sudah bekerja di Jabatan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja. Cik
Ah dan Midi pula masih belajar dengan bantuan pusat zakat.
Anak-anak Al-Mustaqim yang lain
entah di mana. Sudah lama tidak dapat berkumpul dengan keluarga besar
Al-Mustaqim. Zariq dan Tajol berharap satu hari nanti mereka akan dapat
menjejak yang lain-lainnya. Itu adalah perkara kedua penting selepas
mendapatkan sebidang tanah di Ulu Telom.
“Berapa lama kamu berdua akan ke Kuala
Lumpur?” Kaki Haji Embong yang luka sedang dicuci oleh Midi.
“Tak pasti lagi ayah. Bergantung pada
keadaan. Paling lama mungkin seminggu. Kami tak boleh lebih lama lagi, Cik Ah
dengan Midi ni cuti seminggu je. Kau ambik cuti berapa hari, Busrya?”
Busrya yang duduk di muka pintu
sambil merenung juntaian Strawberi di sekelilig rumah cepat menoleh. “Tiga hari
je. Kalau boleh Busyra nak cuti terus. Duduk sini jaga ayah...tolong kau berdua
uruskan kebun Strawberi ni. Busrya suka keadaan kat sini.”
“Jangan nak mengada! Bukan senang nak dapat
kerja kerajaan. Orang lain bersusun-susun tunggu peluang nak kerja kerajaan
tapi tak dapat. Yang dah dapat nak menolak tuah pulak. Peliklah kau ni,” tegah
Zariq tegas.
“Betul kata Zariq tu.” Sampuk Haji
Embong.
“Kalau aku duduk sini, hari-hari
boleh jumpa kau.”
“Dia je? Aku?” Tajol yang suka
menyibuk tidak mahu kalah. Busyra menjeling.
“Bukan ada faedahnya pandang muka aku
hari-hari. Tak dapat fulus pun. Lebih baik kau fokus dengan kerja kau kat EPF
tu. Macam-macam muka orang kau boleh jumpa. Yang penting cukup bulan dapat
gaji.” Tangan Zariq ligat melipat beberapa helai pakaian yang akan dibawa ke
Kuala Lumpur. Tajol melakukan perkara yang sama.
“Kau lain. Tak sama dengan yang
ramai-ramai tu.” Eh, lain benar kata-kata Busrya. Ada apa-apakah wahai Busyra?
Seperti biasa Haji Embong mendengar dan
memerhati saja. Sejak usianya semakin senja, orang tua itu sudah kurang
bercakap. Hanya sekadar yang perlu saja. Diam-diam dia menimbang kata-kata
Busyra sekejap tadi.
Percakapan Busyra datang dari hati yang
dipenuhi taman. Berbunga-bunga. Begitulah pada penglihatan mata tua Haji
Embong. Nampaknya Busrya memang berani. Berani menzahirkan di depan orang lain.
Haaa...anak muda sekarang, berbeza dari zaman mudanya. Haji Embong melepaskan
keluhan berat.
“Memanglah lain. Kalau muka orang semuanya
sama, dah sah-sah ada yang tertukar suami...tertukar isteri. Tertukar anak.
Betul tak Tajol?” Ketawa Zariq dan Tajol berdekah-dekah. Ditambah dengan ketawa
Midi dan Haji Embong yang agak ringan. Busyra masam.
“Kamu ni tak pernah berubah. Dari dulu suka
menyakat.” Tegur Haji Embong pada baki ketawanya.
“Macam ni je caranya nak lupakan
sedih dan masalah, ayah. Oh ya, ayah...kami ke Kuala Lumpur sebab nak cari
Nadira. Tapi...entah macam mana rupa dia sekarang.”
‘Dia ni dari dulu lagi...sikit-sikit
Nadira...sikit-sikit Nadira. Kenapa dia tak kisah pun tentang Busyra. Aku ni!’
Ada iri di hati Busyra.
Haji Embong tunduk. Merenung kerusi
roda dan kaki yang luka berkudis sambil mengingati Nadira. Ada rasa bersalah
kerana telah menyerahkan Nadira kepada Tuan Daniel dan Puan Suzi dengan paksa.
Dia tidak pasti sama ada Nadira masih ingat padanya atau anak perempuannya itu hanya
menyimpan dendam dan sakit hati.
“Mudah-mudahan kamu berdua akan jumpa dia.
Kalau jumpa sampaikan salam ayah pada Nadira.”
“Ayah tak nak kami bawak Nadira ke
mari? Mesti ayah nak tau macam mana keadaannya sekarang, kan.”
Tergerak Tajol bertanya. Dia tahu
hati tua Haji Embong tidak pernah melupai Nadira. Kadangkala orang tua itu
merenung gambar Nadira semasa tinggal di Al-Mustaqim. Mata Haji Embong akan
berair dan merah.
“Dia marah ayah agaknya.
Biarlah...kalau Nadira gembira dengan kehidupannya sekarang, tak payahlah ayah ganggu lagi.” Suara
hatinya tidak sama dengan apa yang diucapkan. Hakikatnya Haji Embong terlalu
ingin bertemu Nadira sementara ada hayat dikandung badan.
“Abang Zariq...Abang Tajol...bawaklah
Kak Nadira ke mari. Cik Ah nak sangat jumpa.”
“Yalah, bang. Midi pun sama.”
‘Nadira...aku pun rindu
kau...tapiii...haaa, entah kenapa aku berharap kau tak akan pernah datang.
Bukan aku benci kau. Kau kawan baik aku...cumaaa...aku tak suka Zariq asyik
lebihkan kau.’ Busyra pula sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Kami akan ajak jugak Nadira datang
ke mari. Sekurang-kurangnya dia akan tau keadaan ayah. Zariq terkilan, sejak
dia ikut orang kaya tu tak pernah sekali pun dia jenguk ayah.”
“Tak apa Zariq. Kalau dia gembira
kat sana, itu pun dah menyenangkan hati ayah. Kalau dia tak nak, janganlah kamu
berdua paksa dia.”
Orang tua itu sedar dia mesti
berpesan seperti itu. Dia sudah masak dengan sikap Zariq dan Tajol yang akan
berubah tegas bila sesuatu perkara itu melibatkan Haji Embong. Mereka tidak
suka melihat Haji Embong bersedih. Kalau dengan kedatangan Nadira akan
menghiburkan hati orang tua itu, mereka akan cuba memastikan perkara itu
menjadi kenyataan.
“Baiklah ayah.” Zariq tidak mahu
memanjangkan perkara itu walaupun dia ada perkiraan sendiri.
“Cik Ah kalau kami tak ada, tugas
kamu bagi ayah ubat. Kamu Midi...boleh tolong-tolong Apong kat gerai kita tu.
Jem kami dah siapkan, ada dalam almari. Kalau stok kat gerai dah kurang, kamu
tambahkan.” Tajol mengingatkan.
“Kalau kau dah habis cuti, terus
balik ke rumah sewa kau tu Busyra, jangan melencong ke lain pulak. Kalau kau
kena culik, aku jugak yang susah.”
‘Betul ke apa aku dengar ni? Zariq
ambik berat diri aku...hmmm. Zariq! Pandanglah aku. Senyuman kau buat aku
cair.’ Mendengar pesanan Zariq, Busyra angguk. Hanya suara hatinya yang
berkata-kata.
“Jol, beg aku dah kemas. Esok awal
pagi kita gerak ya.”
“Okey bos! Kau dah check ke Kancil kau?”
“Sudah Jol. Minyak hitam elok lagi.
Bunga tayar masih cantik. Brek memang tip top. RON95 aku dah isi penuh.”
“Dah...dah...tak payahlah kau sebut satu per
satu. Cair tahi telinga aku. Kalau BMW tak apa jugak. Setakat Kancil kau,
senyap-senyap sudah.”
“Hampeh kau! Beria tanya rupanya nak
kenakan aku. Kancil tu nyawa kedua kita Jol. Tak ada Kancil tu alamat tak gerak
ke mana-manalah kita. Cakap lawa konon!”
Spontan sehelai seluar kecil yang sudah
berlipat dilayangkan ke arah Tajol. Tajol menepis kuat hingga terpelanting di
sebelah Busyra. Busyra yang asyik melayan perasaan terus menoleh. Dia hampir
terpegang seluar kecil Zariq yang berada di sebelahnya. Cepat-cepat tangannya
dialihkan. Berderai ketawa Cik Ah dan Midi. Sepet mata mereka.
“Eiii! Pengotorlah korang! Tak malu
betul! Macam budak-budaklah! Tak ada kerja lain ke?”
Tidak henti-henti Busyra membebel.
Sebenarnya dia tidaklah marah benar, cuma terasa malu melihat sesuatu kepunyaan
Zariq. Sepantas kilat Zariq menerkam seluar kecilnya. Digulung laju lalu
dimasukkan ke dalam poket beg pakaiannya.
Sumpah! Dia tidak sengaja. Sudah
menjadi kebiasaannya akan melempar sesuatu ke arah Tajol bila mereka sedang
bergurau. Dia terlupa apa yang sedang dipegangnya adalah sehelai seluar kecil
berwarna oren. Nasib baik berjenama PUMA dan tidak berlubang-lubang, kalau
tidak lebih aiblah dia.
“Maafkan Zariq, ayah. Tak sengajalah,
yah.”
Merah padam muka Zariq bila Haji
Embong menjelingnya tidak sudah-sudah. Haji Embong menahan ketawa. Dia seperti
sedang berdepan dengan Zariq dan Tajol seperti sepuluh tahun yang lalu.
Kenakalan kedua-duanya adalah perencah yang menambah rasa dalam sisa-sisa
kegembiraan Haji Embong yang masih ada. Merekalah tempat Haji Embong menumpang
kasih sayang.
“Ayah...Busyra ke bilik belakang
ya.” Cepat-cepat Busrya hendak beredar. Entah mengapa dia malu-malu pula untuk
terus berada di situ. Seperti Zariq telah menggodanya dengan cara yang
tersendiri. Susah juga bila Busyra sudah ditimpa perasaan.
“Pergilah.”
Bergegas Busyra menyarung sepasang
selipar berlainan warna. Sesudah itu dia berjalan laju tanpa menoleh lagi. Daun
pintu bilik belakang dibuka dengan keras. Dia meluru duduk di tepi katil sambil
tangannya menyentuh dada yang sedang dug dag dug dag.
“Isyyy! Kenapa aku jadi macam ni?
Adoi! Tak pasal-pasal berpeluh aku.”
Busyra mengelap peluhnya dengan
tisu. Kakinya digoyang-goyangkan ke depan ke belakang. Dia sedang berusaha
membuang debaran di hati. Entah apa yang merasuknya. Hanya kerana sehelai
seluar kecil Zariq yang terpelanting di sebelahnya, Busyra sudah seperti gila
bayang. Belum lagi Zariq menjampi serapahnya.
Berhempas pulas Busyra memerangi perasaan
jahat yang tiba-tiba menjelma dalam kepalanya. Cepat-cepat diingati semula
pesanan Haji Embong. Jangan kalah dengan bisikan syaitan. Jangan lemah dengan
nafsu sendiri. Kata Haji Embong lagi, perempuan baik pasangannya adalah lelaki
baik dan lelaki baik akan memiliki perempuan baik.
“Astaghrirullah hal azim.
Fuuu...fuuu...fuuu.” Berkali-kali nafas panjang dihembus keluar.
“Haaa...baru lega. Ya Allah...jangan
biarkan aku jadi gila.”
Takut juga Busrya
kalau-kalau dia akan menjadi kurang siuman akibat perasaan yang tidak diundang
itu. Kaki yang digoyang masih belum berhenti. Ia dapat membantu Busrya untuk
berasa tenang semula.
“Apa pulak yang aku pijak ni?”
Terasa hujung jari kakinya tersentuh sesuatu
di bawah katil. Keras. Busrya membongkok untuk mengintai apa yang ada di bawah
katilnya. Memang betul, ada sesuatu di situ. Busyra tertarik melihatnya.
Cepat-cepat diambil lalu dikuisnya sedikit habuk yang melekat.
“Gelang bertali! Cantiknya...eh, ada
nama Zariqlah! Kenapa ada kat sini? Dia masuk ke bilik aku ke?”
“Macam nak hadiahkan kat aku je. Tapi
tak sukalah surprise macam ni. Ada ke
patut dia letakkan bawah katil.” Tersenyum tersengih Busyra.
Badannya direbahkan ke katil.
Berbaring sambil bermain-main dengan gelang bertali. Diusapnya ukiran nama
Zariq. Kemudian gelang bertali itu diletakkan pada batang hidungnya. Matanya
pula tegak merenung siling. Siling putih bersih itu akhirnya nampak
berbalam-balam. Matanya mengecil sedikit demi sedikit. Akhirnya terpejam rapat
seperti dilekat dengan gam.
Busyra terlena bersama impian yang
hanya dia saja yang tahu. Sejak dia dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain
terpisah, dia mula kenal erti rindu. Tidak ada yang lebih dirindui selain
Zariq. Sebab itu pada setiap kelapangan dia akan melawat Zariq. Secara tidak
langsung dia juga akan dapat bertemu Tajol dan Haji Embong. Mereka juga adalah
sebahagian daripada dirinya.