“Kalau ada apa-apa call abang. Abang nak rehat...tidur.”
Hardy menghantar Nadira ke bilik
belakang yang selalu digunakan oleh Cik Ah dan Busyra. Dalam tidak sedar Nadira
sudah begitu hampir dengan keluarga Al-Mustaqimnya. Hanya dipisahkan oleh
sekeping dinding batu.
Rancangan mereka untuk balik ke
Kuala Lumpur setelah gagal mencari Zariq, berubah kepada percutian ke Cameron
Highlands. Kalau diikutkan Hardy dia mahu balik ke Kuala Lumpur tapi Nadira
berkeras mahu ke Cameron Highlands.
Niatnya untuk menghiburkan hati
sudah berkecai akibat hamburan muntah yang berulang kali. Sudahnya Nadira tidak
dapat menikmati keseronokannya. Lembik sekujur badan. Senak perutnya. Mujur
sejak kebelakangan ini Hardy tidak pernah lagi mengherdik-herdiknya. Kalau
tidak sudah tentu dia hanya akan mendengar bebelan percuma Hardy.
“Hiii...tak selesanya. Apa yang tuan
rumah ni blend ni? Takkan masak dalam
waktu macam ni.”
Telinga Nadira dapat menangkap bunyi
bingit dari dapur Zariq dan Tajol. Dia menekup kedua-dua telinganya dengan
tapak tangan. Pusing kepalanya. Sewaktu makan tadi, dia betul-betul tiak
berselera. Masih terasa pusing dan mual.
“Banyaknya kau buat jus hari ni,
Zariq. Tak macam biasa.” Di dapur, Tajol asyik merenung tangan Zariq yang ligat
mengacau jus Strawberi di dalam jug sesudah dikisar halus.
“Kita hidang untuk customer pertama kita tu. Dahlah kau
ambik sewa mahal, cekik darah. Kalau kita sedekah jus, roti kosong dan jem
Strawberi mesti dorang suka. Tak rasa rugi sewa chalet kita...haha, chalet?
Macam mimpi je tiba-tiba jadi tuan punya chalet.”
“Rm300 mahal ke Zariq? Mana aku tau.
Aku main sebut je. Dah tu dorang langsung tak tawar menawar. Ala, kalau orang
yang tidur atas duit ni, rm300 tak jadi apa. Tak jadi kudis pun.” Tajol yang
hentam keromo menegakkan pendiriannya.
“Entah...aku tak tau. Nanti kita
tanya orang yang dah biasa dengan urusan sewa menyewa ni. Kali pertama ni tak
apa kut. Sebelum dorang pergi nanti, kita mintak halallah.” Zariq sengih. Tajol
hendak ketawa melihat Zariq yang dua kali lima juga. Hentam keromo.
“Dah siap ni...kau hantar, Jol.”
“Kejaplah. Kan dorang baru sudah
makan tengahari. Biarlah dorang rehat-rehat. Tak usah letak ais dulu.
“Yalah Encik Tajol.”
“Ayah mana? Senyap je.” Zariq mengubah
topik pula.
“Dalam bilik. Baring lepas solat
tadi.”
“Jol...minggu depan Cik Ah, Busrya
dengan Midi balik sini kan?”
Ada perancangan dalam kepala Zariq. Tidak boleh
tidak dia mesti melakukan sesuatu. Masa yang ditinggalkan sudah jauh berlalu.
Kalau dia tidak melakukan dalam waktu terdekat ini, dia takut akan tidak ada
hati lagi untuk melakukannya pada masa akan datang.
“Yup! Kenapa?”
“Aku nak ke Kuala Lumpur.”
“Nadira?”
“Ya...aku nak cari dia. Aku mesti
cari dia. Aku nak dia ziarah ayah. Kau selalu dengar kan ayah sebut-sebut nama
dia. Aku tau ayah rindukan Nadira.”
Tajol melepaskan keluhan. Apa yang
ada dalam pemikiran Zariq tidak ubah seperti apa yang ada dalam kepalanya.
Betapa dia terlalu ingin berjumpa si putih mulus dengan rambut bergulung-gulung
di hujungnya.
“Bukan kau yang rindu?” Tajol
membetulkan duduknya yang senget. Sebiji Strawberi merah menyala diambil lalu
disumbat ke dalam mulutnya. Manis!
“Kau cakap apa ni Jol...merepek je
kau ni. Ermmm...mestilah aku rindu. Macam kau rindu dia jugak.” Dalam serius
ada juga seloroh Zariq.
“Kalau macam tu kita pergi
sama-sama. Sebelum pergi kita buat jem banyak-banyak supaya tak kehabisan stok.
Budak bertiga tu bolehlah tolong jagakan ayah.”
Mana boleh jadi kalau Zariq seorang
saja yang akan ke Kuala Lumpur, dia pun kepingin juga ke Kota Metropolitan itu.
Lebih-lebih lagi mahu mencari Nadira yang dalam diam, mereka sama-sama
menyimpan hati terhadapnya. Itu tanggapan Tajol sedangkan Zariq susah hendak
mengakui hakikat itu. Mustahil ada cinta jarak jauh selepas 10 tahun berpisah.
“Kau rasa macam mana Nadira sekarang
ya? Dia ingat kita lagi ke? Jangan-jangan dah sombong bila jadi anak orang
kaya.” Ringan saja mulut Tajol. Tapi betul juga, itu andaian yang boleh
diterima pakai. Logik alias munasabah!
“Tak baiklah buruk sangka kat adik
kita tu. Aku harap taklah jadi gitu.” Sebenarnya Zariq hendak menyedapkan
hatinya sedangkan setiap kali teringatkan Nadira, perkara itulah yang berperang
dalam otaknya.
“Apa-apa hal, kita jangan buat
andaian bukan-bukan. Buat dosa kering je. Kita usaha cari dia dulu. Lepas tu
dah jumpa, nak nilai ke nak apa ke tak kisahlah.”
“Hak alah! Bukan kau yang tanya aku dulu ke
tadi?” bidas Zariq sambil membaling sebiji Strawberi ke arah Tajol. Dengan
pantas Tajol menyambut lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Kemudian mereka
sama-sama ketawa.
Di sebalik dinding pula Nadira sedang
menyeringai kelaparan. Pedih ulu hatinya. Barulah dia terliurkan sesuatu. Apa
saja yang boleh dijadikan alas perutnya. Diperhati sekeliling bilik. Tidak ada
apa-apa yang boleh mengisi perutnya. Hendak tidur perutnya menendang-nendang
pula. Dicapai telefon bimbitnya. Hardy sudah berpesan supaya menghubunginya
kalau ada apa-apa yang diperlukan.
“Abang...Nadira laparlah.” Kemudian
Nadira mendengar jawapan Hardy di talian.
“Tak boleh tahan! Lapar sangat.”
Tegas Nadira apabila Hardy yang sedang sedap tidur mahu Nadira menunggu
setengah jam lagi.
Jawapan kedua Hardy membuat Nadira
senyum-senyum kambing. Hardy tidak mahu memandu untuk membeli makanan. Dia
sudah penat. Mahu tidak mahu terpaksa juga Hardy menongkat matanya yang terlalu
mengantuk. Dia keluar dari stor alias chalet menuju ke rumah Zariq dan Tajol.
Mahu mendapatkan sesuatu untuk mengisi perut Nadira.
Untuk tidak mengulangi kesilapannya
ber ehem-ehem, pantas Hardy memberi salam. Salam disahut oleh Zariq. Zariq
bergegas ke muka pintu depan untuk melihat Hardy. Entah apalah yang dimahukan
oleh pelanggan pertamanya itu. Hendak mengadu ketidak puasan hatikah? Suspen
juga Zariq dibuatnya. Tajol yang suka menyibuk turut mengkori Zariq.
“Ya encik...apa yang boleh kami
tolong.”
Zariq berdiri di depan tapi Tajol
yang menyoal dulu. Zariq bergerak sedikit supaya Hardy dapat melihat muka Tajol
yang kurang lawa itu. Bukan tidak lawa langsung tapi kurang sedikit daripada Zariq.
Itu pun anggapan Zariq saja sedangkan Tajol selalu perasan dirinya lawa. Uh!
Apa-apa sajalah dua sekawan itu.
“Macam ni...adik saya lapar. Boleh
saya beli Strawberi?”
“Boleh tu boleh...tapi kenyang ke
kalau cuma makan Strawberi?”
Hardy menyoal, Zariq menjawab dengan
soalan juga. Tajol angguk-angguk setuju. Kalau Tajol makan sekilo Strawberi pun
belum tentu dia akan kenyang. Kadang-kadang Zariq mengumpamakan selera makan
Tajol seperti biawak yang tidak cukup makan telur sesangkak. Tajol tidak marah.
Apalah sangat usikan Zariq itu kalau dibandingkan dengan persaudaraan yang
kukuh di antara mereka.
“Memang tak boleh hilangkan lapar...saya fikir
untuk sementara je. Penat sangat nak memandu keluar.” Hardy menggaru belakang
tengkuknya. Gemar sungguh dia berbuat begitu. Mungkin dia akan mengalami
kegatalan tengkuk bila bercakap dengan seseorang.
“Macam nilah...tak payah beli
Strawberi. Kalau nak beli untuk ole-ole bila nak balik ke KL tu bolehlah. Dialu-alukan.
Untuk sekarang, kami dah sediakan roti bersama jem Strawberi buatan tangan kami
sendiri. Home made!” berkobar Zariq
menjelaskan.
“Ya, betul! Roti bersama jem Strawberi
ditambah pula dengan jus Strawberi. Juga buatan tangan kami...ermmm sungguh segar!
Nyaman! Nikmat!”
Tajol menokok dan berlagak seperti
pembaca iklan di TV. Selepas bercakap seperti itu, geli pula rasa hatinya.
Ditahankan...kononnya hendak menghormati pelanggan mereka. Zariq menyiku perut
Tajol yang asyik hendak bermain-main. Cepat Tajol mengundur ke belakang
sedikit. Ada sengihan pada bibirnya.
‘Hmmm...jelous aku tengok mesranya dua beradik muka tak sama ni. Aku?
Haaa...kalau aku ada adik lelaki mesti seronok.’ Bisik Hardy agak iri.
‘Ada adik perempuan tapi payah...tak boleh
bergurau lebih-lebih. Tak boleh tersentuh kulit. Tak boleh itu tak boleh ini.
Ni semua sebab mama nakkan sangat anak perempuan. Nadira! Nadira! Nasib baik
kau cantik, sejuk sikit hati aku ni.” Berkhayal pula si Hardy sedangkan Zariq
dan Tajol sedang pelik melihat matanya yang terpacak tepat memandang mereka.
“Macam mana?” Tajol mengejutkan
khayal Hardy.
“Bunyi macam sedap!”
“Bukan bunyinya je yang sedap,
encik. Rasanya lagi sedap. Kalau dah makan satu, mesti nak
dua...tiga...empat...liii.”
“Encik tunggu sekejap ya, saya ambik
kat dapur.”
Cepat-cepat Zariq memotong
percakapan Tajol yang entah apa-apa. Seolah-olah minta dijahit mulutnya. Banyak
cakap! Tajol memandang Zariq berlalu dengan gelihati. Dia mengakui Zariq lebih gentleman berbanding dirinya yang
terlalu susah untuk menekan brek bila sudah mula bercakap.
Sepuluh minit kemudian Zariq muncul
semula dengan dulang sederhana besar ditatang dengan dua tangannya. Ada sebuku
roti, sebotol jem Strawberi, sejug jus Strawberi, dua biji gelas dan pisau
untuk menyapu jem ke atas roti.
“Jemput encik...jangan segan-segan.”
Zariq menghulurkan dulang sederhana besar itu.
Dulang disambut oleh Hardy. Matanya
yang mengantuk menjadi segar bila melihat jus Strawberi yang nampak
menyelerakan. Kebetulan tekaknya sudah kering semula. Wap ais di tepi jug
membuat Hardy bertambah haus.
“Errr...encik-encik...”
“Ya, ada apa?”
“Oh ya, ermmm.... Ada meja tak untuk
nak letakkan dulang ni. Saya akan makan di luar je. Luar lebih segar.” Itu
hanya alasan, Hardy tahu Nadira sangat pantang kalau dia melangkahkan kaki
masuk ke dalam biliknya. Tidak kira bilik di kediaman mewah mereka atau di
mana-mana saja.
“Ada...ada. Kat sebelah bilik
belakang ada meja, siap kerusi sekali. Mungkin encik tak perasan tadi.
Tengoklah...ada kat situ.” Jelas Tajol. Hardy angguk.
“Baiklah...terima kasih untuk semua
ni. Sekarang saya nak nikmati keenakan hidangan buatan tangan saudara berdua.
Mesti, segar! Nyaman! Nikmat!” ujar Hardy lalu tersenyum. Tajol tersipu seperti
anak dara apabila Hardy mengulangi kata-katanya. Zariq hendak tergelak.
“Biol betul kau ni Tajol! Nasib baik mamat tu
kira sporting jugaklah. Kau ni boleh
buat orang yang waras jadi kurang siuman tau.” Ejek Zariq sambil berjalan ke
dapur. Tajol mengekek lalu turut ke dapur. Tugas mereka di dapur masih belum
selesai.
Di bilik belakang, Hardy sedang
memanggil-manggil Nadira. Hendak mengetuk pintu bilik takut dulang akan
terlepas dari pegangan. Maklumlah Hardy tidak pernah sekali pun mengangkat
dulang, waimah di kediaman mewahnya sendiri.
“Wahhh...ada jus...ada roti...ada
jem. Laparnyaaa...” terjah Nadira sebaik membuka pintu. Dia mahu mengambil
dulang dari tangan Hardy. Hardy menarik semula dulang itu. Ternganga mulut
Nadira. Mengapa pula Hardy hendak bertarik-tarik dulang dengannya?
“Abang pun nak makan sama. Macam
sedap je.”
“Ooo...Nadira tuang dulu air untuk
Nadira. Sapu jem kat roti, lepas tu abang boleh bawak dulang ni ke chalet abang
tu. Tu chalet ek? Tak macam chalet je Nadira tengok.” Sempat juga Nadira meluahkan
pendapatnya.
“Tak kiralah apa pun. Tak payah nak
berbagi-bagi. Kita makan kat luar ni. Sana tu ada meja. Segar kat luar ni.”
Tanpa menunggu Nadira, Hardy sudah
melangkah ke meja bulat tidak jauh dari bilik itu. Cepat-cepat Nadira
menyarungkan kasut sarungnya. Kain tudungnya dibetulkan supaya anak rambut
tidak terkeluar dari celahan tudung.
“Abang dah sapukan jem.”
“Baiknya! Sejak bila ni?” Nadira
meletakkan punggungnya pada kerusi batu.
“Lama dah. Nadira je tak sedar.”
“Hoho...rasanya sejak kucing Parsi
tu tinggalkan abang, abang mula berubah. Ingat dia lagi tak?”
‘Hah! Asyik bertanya si kucing Parsi
je. Bosan aku!’ sungut Hardy dalam hati.
Setelah menyoal Hardy, disumbat pula mulutnya
dengan roti berjemkan Strawberi. Dikunyah agak laju. Herot mulutnya ke kanan ke
kiri. Sesudah lumat ditelan dengan cepat. Selepas itu dihirup pula jus
Strawberi sejuk yang menyegarkan.
Lapar sungguh Nadira. Hardy
memerhati tanpa berkelip. Walau bagaimana keadaan Nadira, dia tetap nampak
cantik. Perlahan-lahan Hardy menghirup jus kepunyaannya. Terasa lebih segar
bila minum sambil merenung Nadira.
“Ermmm...hmmm...sedap...manisnya
cukup, tak terlalu manis. Pendek kata manis-manis buah.
Lepas tu tak terlalu
halus...kasar-kasar sikit. Masih kuat rasa keaslian Strawberinya. Makan satu,
nak dua...tiga...empat...li...”
“Lima! Sama je dengan tuan rumah ni
kata tadi. Nadira dengar ke perbualan kami tadi?”
“Merepeklah abang ni. Mana boleh dengar.
Nadira cuma nak terjemahkan apa Nadira rasa. Memang sedap jem Strawberi ni,
abang. Tak puas makan sekeping roti. Kebanyakan jem yang pernah Nadira makan
macam dah tak asli. Yang ni beza.”
“Motif?”
Bagi Hardy kalau sedap makan sajalah.
Untuk apa hendak menterjemah itu ini, begitu begini. Ternyata Nadira kuat
berfikir dan sangat suka berfikir. Kadang-kadang Hardy berasa bosan untuk
mendengarnya.
Dia lebih suka melapangkan fikiran
tanpa memikirkan perkara yang berat. Kecuali tentang segala urusan di rangkaian
pasaraya milik Tuan Daniel, Hardy memang berminat ambil tahu. Selain daripada
itu dirasakan hanya membuang masa. Lebih-lebih lagi perkara yang tidak
menghasilkan duit.
“Kita pasarkan jem ni kat rangkaian
pasaraya papa! Mesti papa suka. Lebih-lebih lagi ini buatan Bumiputera. Papa
kan suka nak tolong Bumiputera. Kalau abang tak percaya, cuba rasa sendiri.
Jangan asyik minum jus je. Kembung pulak nanti.”
Nadira mengambil sepotong roti lalu menyapukan
jem ke atasnya dengan pantas. Selepas itu roti diberikan kepada Hardy. Hardy
menggigitnya lalu mengunyah perlahan. Dia mahu menikmati seperti apa yang
Nadira nikmati. Nadira menunggu dengan tidak sabar. Matanya tertancap pada
kunyahan Hardy. Apabila roti itu melalui kerongkong Hardy dan ditelan, Nadira
terasa seperti dia sedang turut menelannya.
“Ya...betul kata Nadira. Sedap!”
“Motif?”
“Motifnya...Nadira boleh cadangkan
pada papa. Abang akan sokong.”
“Kenapa bukan abang je suarakan pada
papa. Abang kan anak papa. Mesti papa lebih dengar kata abang.”
“Sebab...ini buah fikiran Nadira.
Idea Nadira. Papa pun akan dengar kata Nadira sebab Nadira jugak anak papa,
anak mama.”
Lama Nadira memandang Hardy. Di
permukaan muka Hardy, Nadira dapat melihat imbas semula kisah-kisah beberapa
tahun dulu. Sewaktu hari pertama dia melangkahkan kaki ke Taman Bukit Jaya
hinggalah dia mengalami demam teruk gara-gara takutkan Hardy. Sakit hatinya
waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu.
“Kenapa macam nak telan abang je?”
Serba tidak kena pula Hardy. Ah!
Nadira...kalau hendak memujinya segak cepatlah luahkan. Dia akan mendengar
dengan rela. Menerima dengan berlapang dada dan dengan hati terbuka. Kecik
tapak tangan dulang depan mata boleh tadahkan. Dia tidak akan bersedih sebab
itulah hakikatnya. Cisss! Hadry! Hardy! Menunggu pujian Nadira rupanya.
“Abang dah lain.”
“Motif?”
“Yalah...dulu dengan Nadira macam
singa. Kebelakangan ni...hmmm, okeylah. Bolehlah.”
‘Isyyy! Itu je ke? Dia tak nampak
lagi ke lengan aku yang ketul-ketul ni? Muka aku yang jerawat segan nak
singgah? Nasib! Nasib!’ Andaian Hardy tidak tepat. Hampa sungguh dia.
“Bila Nadira usulkan pada papa nanti,
abang back up Nadira ek?” Hanya
anggukan Hardy menjadi jawapan.
“Harap-harap papa mama suka.”
‘Harap-harap kau sedar betapa machonya aku.’ Bisik Hardy pula dengan
senyum nakalnya.
“Gembiranya Nadira kalau papa mama
setuju!”
‘Gembiranya aku kalau kau sedar aku
sukakan kau, Nadira!’
Terasa hendak melaungkan kata-kata
itu tapi dibiarkan saja tersekat di kerongkong. Mungkin belum waktunya. Dia
tidak mahu Nadira menerima kejutan. Takut-takut demam kuatnya 10 tahun dulu
akan berulang lagi. Tidak dapat dibayangkan kalau Nadira meracau depan papa dan
mamanya. Meracau bukan sebab takut padanya lagi tapi disebabkan darjah
kegatalannya. Sudahnya Hardy sengih seperti kerang busuk.
“Nadira seronok sebab abang suka cadangan
Nadira. Nadira tau abang sokong, tengok abang senyum tak sudah je.” Kasihan
Nadira, dia tidak tahu apa yang berada dalam otak Hardy. Ulat bulu!
“Errr...betul! mesti sokong!” Hardy
terkulat-kulat.