Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 4


NADIRA berdiri di tepi tembok yang dibina untuk memisahkan kediaman kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kakinya terjengkit-jengkit kerana tidak cukup tinggi untuk melihat ke sebelah sana. Ada beberapa budak lelaki yang sedang mengambil angin malam di luar rumah.

“Zariq! Zariq!” Apabila melihat Zariq yang duduk di dalam gelap di penjuru rumah, dia memanggilnya. Zariq yang berbaju Melayu dan berkain pelekat terdengar namanya dipanggil. Itu suara Nadira. Dia senyum lalu menghampiri tembok itu.

“Kau dah siap kemas?” tanyanya. 

Dia tidak dapat melihat wajah Nadira dengan jelas kerana Nadira lebih rendah daripada tembok pemisah. Yang nampak jelas hanya anak mata Nadira yang besar dan hitam.Nadira mengangguk lemah.

“Zariq, lepas ni kita dapat jumpa lagi ke tak? Kita akan buat hari jadi sama-sama lagi atau tak?” Perlahan suara Nadira bertanya.

“Tak... kau akan diambil orang kaya. Aku terus kat sini. Kalau kau nak jumpa aku, datanglah sini sekali-sekala. Aku selalu ada. Aku akan tunggu kau datang.” Suara Zariq berat. Seberat hatinya hendak berpisah dengan Nadira.

“Kalau tak ada siapa nak hantar aku datang sini macam mana? Aku tak tau jalan.” Keluhan dilepaskan. Nadira mulai terfikir kemungkinan orang kaya itu tidak membenarkan dia datang ke Rumah Al-Mustaqim.

“Aku pun tak boleh datang bandar besar. Lebih-lebih lagi rumah orang kaya yang nak ambil kau tu. Dia orang suka ke orang macam kita?”

“Zariq... kalau aku tak nak ikut orang kaya tu, boleh tak?”

“Mana boleh! Orang kaya tu akan marah ayah nanti. Kau tak sayang ayah ke?”Nadira menunduk. Hendak menangis. Kejamnya orang kaya yang mahu memisahkan dia daripada keluarga besarnya.

“Aku sayang ayah sebab tu aku tak nak pergi, tapi...”

“Tapi apa?“Ayah yang tak sayang aku. Ayah nak buang aku!” 

Nadira mengulangi anggapan yang sama. Tanpa diminta menitis juga air mata. Sampai hati Haji Embong mahu menyisihkannya.Zariq turut hiba tapi tidak keluar air matanya. Dia memang tidak suka menangis walaupun hatinya sangat sedih.

“Dahlah tu. Ayah dengar nanti. Ayah sayang kita semua. Sebab tu dia nak kau jadi orang kaya. Apa kau nak, semua akan dapat,” pujuk Zariq lagi. 

Tangan kanan Nadira berpegang kuat pada pagar dawai. Bibirnya diketap kuat. Cuba menahan diri supaya air mata tidak terus berjuraian. Kakinya masih juga menjengkit. Jika tidak, dia tidak akan dapat melihat Zariq. Entah bila dia akan lebih tinggi lagi.

“Tapi... aku tak akan dapat datang sini lagi. Tak tau jalan.” Untuk kali kedua Nadira mengulangi lagi kerisauannya.

“Tak apa. Bila kau dah besar nanti, kau datang sini. Aku ada. Aku tunggu kau.” Antara yakin dengan tidak, Zariq meluahkannya. Dia tidak mahu melihat Nadira terus sedih.“Kalau ada orang ambil kau macam mana?” Dahi Nadira berkerut. Khuatir.

“Aku rasa tak ada siapa nak ambil aku. Ayah Embong kata aku nakal. Dah tentu orang-orang kaya nak ambil yang baik-baik aje. Macam kau. Tapi kalau ada yang nak ambil jugak, tak taulah aku,” ujar Zariq. 

Perkara yang satu ini, dia amat yakin. Di Rumah Al-Mustaqim, dia memang nakal. Jadi, dia berandaian seperti itu. Dalam yakinnya masih ada keraguan pula. Mana tahu Haji Embong berkeras supaya dia juga harus pergi dari rumah yang banyak meninggalkan kenangan itu.

Nadira terdiam. Kaki mula terasa lenguh. Cepat-cepat dia meletakkan tapak kakinya ke simen, tidak lagi berjengkit. Lega. Kini dia sudah rendah daripada tembok itu.

“Kau ada situ lagi ke?” Zariq resah kerana tidak dapat melihat wajah Nadira.“Ada... kaki aku penat.”

“Kau masih menangis?”“Tak... Kau kata ayah sayang aku. Tak payahlah aku sedih lagi.” 
Hanya suara Nadira yang membalas setiap pertanyaan Zariq di sebalik tembok.

“Baguslah. Kau janji dengan aku... kalau kau sampai kat rumah orang kaya tu, kau jangan menangis, tau.”

Apabila kedua-dua kakinya selesa semula, Nadira menjengkit lagi. Dia mahu melihat wajah Zariq sepuas hati. Dia bimbang seandainya wajah Zariq akan berubah bila menginjak dewasa nanti sehingga sukar untuk mengenalinya. Waktu itu mungkin Zariq telah lebih tinggi dan berisi. Wajahnya juga pasti akan berubah. Bagaimana dia mahu memastikan dan mengenali Zariq nanti?

“Kalau aku menangis bila ingat kat kau, macam mana?” Lurus pertanyaan Nadira. 

Baginya Zariq abangnya. Dia selalu mengadu kepada Zariq kalau ada sesuatu yang menyakitkan hatinya. Ada masanya Zariq akan membelanya dan pada masa yang lain pula, sengaja Zariq suka menyakatnya.

“Jangan menangis! Ingat pesan aku... jangan menangis! Nanti aku bagi kau hadiah. Kalau kau ingat aku, kau beleklah hadiah tu. Mesti kau senyum.” 

Zariq pula yang berasa sedih ketika cuba memujuk Nadira. Hatinya tidak menentu. Bohong kalau dia tidak sedih. Dia bakal kehilangan lagi. Selama ini dia telah berusaha untuk membiasakan diri hidup tanpa keluarga kandungnya. Dia tidak pernah kenal ayahnya. 

Ibunya pula meninggal dunia sewaktu melahirkannya.Keperitan itu berjaya diharungi biarpun dengan susah payah dan takungan air mata. Dia terpaksa melalui semula detik getir itu. Nadira akan meninggalkannya pula. Entah dapat ketemu lagi entahkan tidak. Dia sangat khuatir.Nadira teresak-esak.

“Eh... tadi kata tak menangis? Kenapa teresak-esak pulak?”“Aku... aku sedih kau cakap macam tu.” 

Berombak dada Nadira. Sungguh! Dia akan kehilangan.Selama ini, dia tidak ada siapa-siapa. Penghuni Rumah Al-Mustaqim adalah keluarganya sejak lapan tahun yang lalu. Lapan tahun bukan satu waktu yang singkat. 

Mereka mengharungi susah senang bersama-sama. Setelah begitu akrab, dia harus pergi jauh dari tempat itu. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berpisah dengan Zariq yang paling rapat dengannya.

“Pipi kau basahlah, Zariq. Kau menangis jugak ya?” Sebaik Nadira mengesat air matanya, dia terlihat wajah Zariq yang sugul. Ada air jernih mengalir di pipi Zariq.“Errr... mana ada? Air apa ni?” 

Cepat-cepat Zariq meraba pipinya. Betul kata Nadira, air matanya mengalir tanpa sedar. Pipinya sudah basah. “Buruk tak muka aku?” Dia tersipu.“Tak... cantik,” jawab Nadira seadanya.

“Cantik? Kau ingat aku ni perempuan ke?” Zariq ketawa. 

Kelakar pula bila Nadira mengatakan dirinya cantik.Nadira tersengih di sebalik hatinya yang sedang sarat. 

“Hmm... aku nak hadiah! Tadi kau kata nak bagi aku hadiah. Aku tak boleh lama kat sini. Nanti Mak Som bising.” 

Baru dia teringat pesanan Mak Som, pembantu Tuan Haji Embong yang mengawasi kanak-kanak perempuan di Rumah Al-Mustaqim. Pembantu separuh abad itu mahu Nadira masuk semula sebelum jam 9.30 malam.

“Kau tunggu sekejap, ya? Aku ambil kat dalam.” Zariq bergegas masuk ke biliknya. 

Lima minit kemudian dia muncul semula. Ada sesuatu di tangannya. Karung kecil dan sekeping sampul surat dihulurkan kepada Nadira.Nadira menyambut dengan gementar. Mungkin itu ialah hadiah terakhir daripada Zariq. 

Selalunya mereka akan bertukar-tukar hadiah pada setiap kali sambutan hari lahir mereka. Selepas ini, mereka tidak akan berpeluang meraikan bersama-sama hari yang penuh bermakna itu.

“Eh, jangan! Kau tak boleh buka sekarang,” tegah Zariq sebaik melihat Nadira mahu membuka bungkusan itu.

“Kenapa tak boleh?”“Aku malu... err... sampul surat tu kau buka bila kau dah masuk ke dalam kereta orang kaya yang nakkan kau tu.”

“Yang ni?”“Bungkusan tu pulak kau buka bila sampai masanya, kalau kau dah sedia cari aku. Benda tu akan kenalkan kau pada aku. Manalah tau masa tu muka aku ni dah lain.” 

Ada nada gurauan di hujung kata-kata Zariq. Gurauannya bohong! Hanya untuk menutupi perasaannya yang sebenar.

“Terima kasih. Aku tak dapat bagi kau apa-apa. Tak sempat nak kumpul duit. Duit aku, aku nak guna untuk beli gula-gula bila aku duduk kat rumah orang kaya tu. Kat sini aku boleh minta gula-gula dari kau atau Mak Som. Kat sana nanti aku tak boleh minta pada siapa-siapa lagi,” ucap Nadira. Sebak dan sedih. “

Zariq, bila dah besar nanti, kau cari aku ke?” tanyanya tiba-tiba.

“Aku janji. Aku akan cari kau sampai jumpa,” ujar Zariq, hampir tidak kedengaran suaranya.Untuk beberapa ketika, mereka diam. 

Saat perpisahan terlalu hampir. Hanya beberapa jam saja lagi Nadira akan meninggalkan Rumah Al-Mustaqim. Esok dia akan berada di tempat baru. Tempat yang asing dan menakutkan.

“Nadira, esok giliran aku bertugas kat madrasah. Kau jangan pergi sebelum aku balik, tau. Tunggu aku! Kau mesti tunggu aku! Aku nak tengok kau naik kereta besar orang kaya tu. Aku... aku... nak tengok kau sebelum kita berpisah. Mungkin kali terakhir sebelum kita dewasa.”

Nadira hanya mampu mengangguk. Bibirnya telah berat untuk bersuara. Lidah kelu tiba-tiba. Perasaannya benar-benar terbeban dengan apa yang dilalui.

“Boleh tak kau tunjuk muka kau? Sekali ni aje. Untuk aku ingat bila kau dah tak ada.” Zariq berharap permintaannya tidak terlalu berat untuk ditunaikan.

Perlahan-lahan Nadira menjengkit lagi tinggi daripada tembok agar Zariq dapat melihat wajahnya dengan jelas. Zariq senyum. Dilihatnya wajah kemerahan. Kulit putih gebu Nadira nampak samar-samar. 

Zariq mengamati wajah Nadira. Mencari sesuatu yang boleh dijadikan tanda untuk mengenali Nadira suatu masa nanti. Setelah agak lama, dia memandang ke tempat lain. Sebak.

“Nadira, kau masuk dulu. Jam aku dah pukul 9-25. Jangan buat Mak Som marah. Ingat... esok pagi tunggu aku!” pesan Zariq lagi.

“Kau jangan lambat-lambat. Aku tak tau orang kaya tu nak bawa aku pukul berapa. Lepas kau kemaskan madrasah, kau terus balik. Tak payah memancing macam selalu.”

“Okey. Aku cuba balik cepat.” Zariq berjanji.

Nadira cuba senyum. Senyuman yang akan menjadi kenang-kenangan buat Zariq.Zariq membalas lesu, dengan mengharap senyumannya itu akan menjadi ingatan Nadira.

“Aku masuk dulu ya. Nanti Mak Som marah.”

“Baiklah. Kat rumah orang kaya, kau jaga diri tau. Jangan lupa aku.” 
Risau sungguh Zariq kalau-kalau Nadira akan melupakannya.

“Kau pun jaga diri. Jangan nakal-nakal. Kau mesti dengar kata, jangan buat ayah susah hati. Aku tak akan lupakan kau. Kau pun jangan lupakan aku,” ujar Nadira. 

“Aku masuk dulu.” Lalu dia menurunkan telapak kakinya. 

“Jumpa esok pagi!”“Baik.” Lambaian tangan Zariq terhenti sebaik daun pintu ditutup oleh Nadira. Masing-masing berharap agar dapat berjumpa esok hari, sebelum Nadira pergi.
Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.