Mata Zariq liar mencari-cari Haji Embong.
Orang tua itu tidak ada di hadapan rumah. Zariq berpusing ke belakang rumah.
Ternyata Haji Embong memang berada di situ. Dia sedang terbongkok-bongkok
mengorek pasir yang masuk ke dalam saluran longkang dengan penyodok kecil.
Zariq dapat melihat kesungguhan dan kegigihan Haji Embong dalam menguruskan
Al-Mustaqim.
Sudah ramai yang keluar dan masuk
ke rumah itu. Yang sudah mampu berdikari dan berjaya dalam kerjaya
masing-masing akan meninggalkan Al-Mustaqim. Ada di antara mereka yang masih
sudi bertanya khabar dan mengunjungi Haji Embong. Tidak kurang juga yang terus
menyepi dan melupakan begitu saja pengasas tempat mereka pernah memberi mereka
perlindungan pada satu masa dulu.
Air mata Haji Embong akan menitis setiap kali
ada penghuni yang meninggalkannya. Kemudian senyuman terukir lagi ketika dia
menerima penghuni baru. Begitulah putaran hidup Haji Embong yang menjadi lilin
untuk menerangi orang lain.
Tentang keluarganya, tidak ada siapa
pun yang tahu. Entah di mana anak tunggalnya. Sejak Zariq berada di
Al-Mustaqim, belum pernah dia melihat Haji Embong menerima kunjungan dari ahli
keluarganya.
“Ayah perhati kamu dah lama berdiri
situ. Ada apa?” Tanpa melihat ke arah Zariq, Haji Embong dapat merasai
kehadirannya.
Itu kelebihan orang tua berusia 63
tahun itu. Dia seolah-olah dapat menghidu bau badan setiap penghuni
Al-Mustaqim. Tanpa memandang, dia sudah kenal siapa orangnya. Zariq
mendekatinya.
“Ayah kerja kuat sangat. Ini kan
kerja-kerja kami, yah.”
Sungguh kata Haji Embong, Zariq
adalah budak nakal yang baik hati. Dia sentiasa ambil berat terhadap Haji
Embong walaupun ada waktunya kenakalannya telah membuat orang tua itu senak
perut. Haji Embong senyum saja.
“Yang kamu tu kenapa, ada yang penting?”
tokok Haji Embong bertanya.
Zariq teragak-agak untuk
menyatakan. Dia khuatir perkara itu tidak wajar untuk disuarakan. Lama dia
diam. Haji Embong tetap dengan tugasnya. Dia sedang menunggu apa yang akan
diluahkan oleh Zariq.
“Nak cakap...cakap jelah Zariq. Macam tak
biasa dengan ayah.” Kali ini Haji Embong memandang tepat Zariq yang tidak
bersemangat.
Hairan pula Haji Embong apabila
melihat Zariq tidak ke parit besar untuk memancing. Rutin hariannya tidak
dilakukan pada pagi itu. Zariq menyandarkan badannya pada dinding rumah
Al-Mustaqim. Kakinya disilangkan. Kedua tangannya berpeluk tubuh. Kemudian dia
memberanikan diri untuk menyuarakan keinginannya.
“Ayah...kita lawat Nadira, boleh?”
Haji Embong meletakkan penyodok kecil
yang digunakan ke tepi longkang. Dia mengesat peluh yang mengalir dengan hujung
kemeja lusuhnya. Nafasnya turun naik. Senaman mengorek longkang boleh tahan
juga penatnya.
“Tak usahlah kita ganggu dia. Nadira
sedang sesuaikan diri dengan keluarga barunya. Kalau kita datang tentu dia akan
sedih. Akan terganggu emosinya nanti.”
Jawapan Haji Embong membuat Zariq
hampa. Dia sudah berangan-angan bertemu dengan Nadira dengan membawa gula-gula
kesukaannya. Tentu Nadira akan senyum apabila melihat kedatangannya bersama
Haji Embong. Malangnya pendapat Haji Embong jauh meleset dari apa yang telah
diangan-angankan.
“Malam tadi Zariq asyik mimpikan
Nadira, ayah.” Daripada berdiri, Zariq duduk di kaki lima rumah apabila melihat
Haji Embong meletakkan punggungnya di tepi longkang kecil itu.
“Apa yang kamu mimpikan?”
“Nadira asyik melambai Zariq...tapi
dia tak bercakap pun.” Zariq menghalau nyamuk yang berlegar-legar di
hadapannya.
“Itu cuma mimpi. Sebelum tidur kamu
ada baca doa tak?” Haji Embong memang selalu mengingatkan tentang perkara itu
kepada penghuni Al-Mustaqim pada setiap kali mereka mahu masuk tidur.
“Errr...malam tadi Zariq baca ke tak
ya. Macam ingat-ingat lupa je, ayah.” Zariq menggaru kepala.
“Hah! Itulah pasalnya. Berdoa pun
boleh lupa.” Teguran Haji Embong membuat Zariq tersipu.
“Bolehlah yah...sekali ni je. Lain
kali Zariq tak mintak lagi.” Rayu Zariq. Senakal-nakalnya, dia tetap seorang
budak yang mahu keinginannya dituruti.
Baginya hanya Haji Embong saja
tempatnya meminta perhatian dan merayu. Pemilik Al-Mustaqim itu adalah pengganti
kedua orang tuanya. Zariq mengharap. Haji Embong membisu seketika. Dia tidak
mahu sekadar berjanji, bimbang kalau tidak dapat ditunaikan. Dalam pada itu dia
berasa amat bersalah seandainya permintaan Zariq ditolak mentah-mentah.
“Ayah fikirkan dulu ya.” Akhirnya
Haji Embong membuat keputusan.
“Tapi yahhh...”
“Sabar. Ayah tak nak berjanji. Kalau
tak dapat tunaikan, kan munafik. Kamu suka kalau ayah jadi orang yang munafik?”
uji Haji Embong apabila melihat Zariq menarik muka empat belas. Muram dan
masam.
“Yalah...Zariq tunggu jawapan ayah.
Zariq ke parit dulu.” Dia mahu berlalu.
“Tak payahlah ke parit. Hari dah
mula panas ni. Kamu tolong kemaskan sikit dalam rumah tu. Bersepah ayah
tengok.” Arah Haji Embong.
“Budak-budak tu tak nak bertugas ikut
giliran. Susahlah yah.” Zariq sudah pun bangun.
“Biarkan dulu. Mereka tak faham lagi
peraturan kat sini. Beri peluang mereka belajar. Pelan-pelan nanti lama-lama
mereka pun akan pandai bawak diri macam kamu. Jangan buli mereka. Ayah tak
suka.”
Pesanan itu juga kerap kedengaran
dari mulut Haji Embong. Dia mahu penghuni Al-Mustaqim hidup aman damai. Zariq
mengangguk lemah. Tidak bersemangat untuk mengambil alih tugas orang lain.
Semuanya gara-gara dia masih tidak dapat melupakan mimpinya tentang Nadira.
Lambaian tangan Nadira di dalam mimpi
itu membuat dia rindu. Rindu serindu-rindunya. Jika dia meluahkan di hadapan
Tajol sudah pasti temannya itu akan menuduh dia bercinta. Huh! Dalam kepala
Tajol tidak ada perkara lain yang difikirkan. Cinta! Cinta! Cinta! Tidak padan
dengan penakutnya, hanya memikirkan tentang cinta.
“Zariq masuk dulu yah.”
“Yalah...ayah pun nak sudahkan kerja
ayah ni. Satu lagi...jangan lupa pengajian malam ni. Ustaz dari pekan akan
datang. Kamu ingatkan kawan-kawan supaya mandi awal petang nanti.” Lalu Haji
Embong mengambil semula penyodok kecilnya semula. Hanya tinggal sedikit saja
lagi pasir yang perlu dikeluarkan, longkang itu
akan dapat mengalirkan air dengan baik.
Zariq masuk semula ke dalam rumah
dengan langkah yang malas. Dilihatnya ruang tamu seperti tongkang pecah. Kusyen
kerusi rotan yang telah berusia bersepah di atas lantai. Sehelai tuala mandi
turut terlonggok di situ. Sudahlah hatinya tidak keruan, sakit pula matanya
melihat keadaan itu.
Tajol sedang membaling sebiji kusyen
ke arah Midi. Kemudian Midi membalas balingan sambil mengekek suka. Tajol
mengelak dan kusyen tidak mengenai tubuhnya. Ia diambil dan dibaling semula ke
arah Midi.
Agak lama Zariq bercekak pinggang depan
pintu tetapi tidak diendahkan oleh mereka berdua. Geram pula bila melihat Tajol
memberi contoh yang tidak baik kepada yang lebih kecil. Tajol sudah mengajar
Midi menjadi tidak berdisiplin.
“Hoi! Tajolll! Kau dah tak ada kerja
lain ke? Menyepah je kau tau!” marah Zariq.
Midi cepat-cepat menoleh. Melihat
muka Zariq yang serius, Midi agak takut. Kusyen yang sedang dipegang disusun
semula ke tempatnya dengan pantas. Dia berundur sedikit lalu berlari masuk ke
dalam bilik.
Kusyen pada tangan Tajol ditarik
kuat oleh Zariq. Diletakkan semula pada kerusi rotan. Tanpa banyak soal Zariq
terus memungut kesemua kusyen yang bertaburan di atas lantai. Tuala mandi
diambil lalu dihumban ke tepi dinding. Dia tahu tuala itu mesti kepunyaan
Tajol.
“Kau memang pemalaslah Tajol.
Sepatutnya kau tu jadi contoh pada budak-budak tu. Ini tidak. Asyik nak main je
kerja kau kan.” Marah Zariq lagi.
“Yalah...aku tolong kau kemaslah!”
lalu Tajol membuka tingkap cermin. Satu per satu. Kain langsir diikat dengan
reben besar supaya cahaya dapat masuk dan membuat ruang tamu tidak nampak
suram.
“Kau meleter mengalahkan Mak Som.”
“Lantak kaulah nak kata
apa. Aku cakap yang betul. Kau kat dalam ni main tak sudah-sudah. Ayah kat luar
berpeluh-peluh bersihkan longkang. Bukan hari ni giliran kau ke Tajol?” Zariq
yakin kerana dia sentiasa ingat jadual kerja harian mereka.
“Errr...aku ingat nak buat petang nanti.”
Tajol memberi alasan. Dia memang kaya dengan dalih tipu helah.
Dijeling Tajol dengan rasa tidak
puas hati. Sudah banyak kali Tajol curi tulang. Jadual kerja tidak diambil peduli. Zariq tahu
Haji Embong malas mahu bising-bising. Dia akan mengambil alih tugasan itu tanpa
banyak soal. Hanya apabila ada yang melampaui batas, tindakan tegas orang tua
itu akan membuat sesiapa yang didenda akan terasa seperti hendak terbuang air
kecil.
“Kau tau kan, petang kita ada kelas,
ada pengajian dan berkebun. Kau memang tak kesian kat ayah, kan Tajol. Kau tau
tak kalau tak ada ayah, entah kat mana kita sekarang. Tepi jalan agaknya.”
Zariq budak yang agak dewasa pemikirannya.
Nakalnya kadang-kadang. Baiknya
tidak mengira masa. Zariq paling tidak suka melihat Haji Embong berpenat-penat
sedangkan mereka boleh melakukan semua kerja. Dia sering berbalah dengan Tajol
dan beberapa penghuni yang lain hanya kerana tidak mahu menyusahkan Haji
Embong. Hanya kadang-kadang sikap kasarnya membuat Haji Embong pening kepala.
“Hmmm...tak apalah, nanti aku sapu
rumah. Ganti tugas korek longkang.” Tajol berubah nada.
“Suka kaulah. Budak-budak lain mana?”
Zariq memanjangkan leher. Tidak terlihat kelibat penghuni yang lain.
“Ada yang kemas bilik, ada yang
mandi, basuh kasut sekolah, basuh baju. Aku tunggu giliran mandi, tu sebab aku
main dulu.” Tajol menyengih. Zariq tidak mahu tahu apa saja alasan Tajol. Yang
pasti Tajol memang kurang berdisiplin.
Zariq menghampiri almari tanpa pintu
yang menyimpan kitab-kitab dan naskah Al-Quran. Disusun semula buku-buku agama
yang tidak disusun mengikut saiz. Ada yang mengambil buku-buku itu tanpa
meletakkan semula pada tempat yang betul. Habuk yang baru singgah pada
permukaan almari ditiup hingga berterbangan.
Jarinya mencalit permukaan almari
untuk memastikan habuk sudah hilang kesemuanya. Jari masih nampak kotor. Zariq
mengambil bulu ayam untuk membersihkannya. Tajol telah ke dapur untuk mengambil
penyapu. Dia mahu menyapu lantai rumah sebelum Zariq meleterinya lagi.
“Jol!...aku pujuk ayah ke Kuala
Lumpur. Lawat Nadira.” Hati Zariq tidak bengkak lagi bila melihat Tajol
beria-ia menyapu lantai rumah.
“Aku ikut!” Tajol berhenti menyapu.
Memandang Zariq dan menunggu jawapan.
“Tak payah!” Malangnya jawapan Zariq
menghampakan Tajol. Dia mencebek.
“Tak adillah macam ni. Aku pun
teringin jugak tengok Kuala Lumpur. Orang kata, cantik. Banyak lampu
warna-warni. Nak tengok atas bangunan kena dongak sampai sakit tengkuk.”
“Aku nak pergi sana bukan sebab Kuala
Lumpur tu cantik. Cuma nak lawat Nadira. Balik hari. Cukuplah aku pergi dengan
ayah. Nanti aku sampaikan salam kau ya.” Zariq tahu sudah lama Tajol mengidam
untuk melihat Kuala Lumpur.
“Apa salahnya aku ikut sekali?” Tajol
berkeras.
Tangan Zariq terus laju menyusun
kitab-kitab. Yang bersaiz kecil diletak pada rak sebelah atas. Di rak sebelah bawah
pula diisi dengan buku yang lebih besar. Kebanyakan Kitab-kitab itu sudah habis
dibacanya. Begitu juga dengan Tajol dan penghuni yang lain. Haji Embong telah
mewajibkan mereka membaca sekurang-kurangnya dua jam pada setiap malam.
“Memang tak salah. Tapi kesian ayah,
kena sediakan duit tambang lebih. Ayah pernah kata, nak ke rumah orang kaya
perlu ambik teksi. Tambang teksi kan mahal.” Zariq cuba menjelaskan supaya
Tajol tidak iri hati. Tajol memikirkan sesuatu.
“Kau boleh pulak! Kau selalu lebih!”
protes Tajol.
Badan Zariq dipusing. Dia memandang
Tajol tepat. Ada ketika terasa lucu pun ada. Tajol seperti budak perempuan.
Kuat cemburu. Penyapu dalam pegangan Tajol dikuis-kuis ke lantai. Sampah hanya
berlegar di tempat yang sama. Muka Tajol seperti gerhana matahari. Terang tapi
tidak bersinar.
“Aku beza dengan kau.” Kali ini
Zariq sengaja mahu membuat hati Tajol pula yang bengkak. Seronok dapat
mengenakan Tajol yang badannya bulat-bulat comel.
“Maksud kau ayah lebih sayang kau?”
teka Tajol dengan jengkel.
“Aku tak kata...aku tak sebut pun!”
lalu Zariq ketawa. Gembira bila dapat menyakiti hati Tajol. Meluat Tajol
melihat sengihan Zariq.
Malas mahu melayan Zariq yang kali
ini nampak sombong. Bangga diri sebab disayangi Haji Embong. Tajol meneruskan
sapuannya tanpa menghiraukan Zariq lagi. Mulutnya saja yang nampak diam,
fikirannya sedang mencari jawapan mengapa Zariq lebih disayangi.
“Bukan macam tulah Jol. Aku tak nak
susahkan ayah. Tambang tu aku guna duit sendiri. Ayah keluar tambang untuk dia
je.”
“Mana kau dapat duit.” Soal Tajol
laju. Dia sudah terus dengan rasa sakit hatinya.
“Tabung akulah. Aku kan jarang makan
kat sekolah. Duit belanja ayah bagi, aku masuk tabung. Betul kan, aku beza
dengan kau. Kau mana pernah menyimpan.” Bangga juga Zariq, hasil tabungan yang
ada, lepaslah tambang untuk ke Kuala Lumpur.
“Tapi kan, Jol...”
“Tapi apa?” Tajol cepat memotong.
Zariq melepaskan keluhan. Dia
bersandar pada almari tanpa pintu. Kakinya dibengkokkan. Kepala lututnya
diusap-usap. Muka Zariq bertukar warna. Kalau tadi nampak ceria, ia berubah
muram dan suram. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan Nadira semula.
“Ayah tak berani nak janji. Ayah kata
tak elok ganggu Nadira yang baru nak suaikan diri dengan keluarga orang kaya
tu.” Kakinya dilunjurkan pula.
“Betul jugak kata ayah. Aku macam
setuju je.” Tajol meneruskan sapuannya. Perlahan-lahan.
“Atau pun...apa kata kau pergi
senyap-senyap. Pergi sorang-sorang.” Selepas itu berubah pula pendiriannya.
Tajol memang begitu. Seperti lalang ditiup angin. Sekejap ke kanan, sekejap ke
kiri.
Zariq membaling sehelai kertas yang
sudah direnyukkan ke arah Tajol. Tajol menepis dan kertas jatuh ke lantai.
Tajol menguis dengan penyapu dan kertas itu bersatu dengan sampah yang lain.
“Kau nak aku kena teruk dengan ayah?
Cadangan kau tu akan susahkan aku nanti.” Zariq geram. Tajol mentertawakannya.
“Kalau setakat curi-curi ke belukar
tengah malam tak apa lagi. Boleh balik tepat masanya bila bawak jam loceng.
Yang aku nak pergi ni Kuala Lumpur. Bukan dekat.” Sudahnya Zariq mengomel.
Tajol sengih lagi. Separuh mengejek.
Bagus juga kalau Haji Embong tidak mahu
pergi. Sekurang-kurangnya dia tidak akan berasa iri kerana tidak dapat
menjejakkan kaki ke bandar besar itu. Hatinya tersenyum biarpun tidak
dipamerkan.
“Tapi...kalau ayah tak nak pergi, nak
buat macam mana. Satu hari nanti aku tetap akan jumpa Nadira jugak. Kalau dia
tak cari aku...aku akan cari dia.” Azam Zariq bulat.
Dia tidak mahu terputus hubungan
dengan Nadira. Mereka sudah berjanji untuk saling mencari. Kata Haji Embong,
tidak menepati janji adalah sikap orang munafik. Zariq yakin satu hari nanti
dia tidak akan terpisah dengan Nadira lagi.