“Ayah...Nadira rindu ayah. Ayah sihat
tak, yah?” gumamnya terkenang Haji Embong pula.
“Hmmm...lebih baik turun bawah.
Bual-bual dengan bibik tentu dapat lupakan tu semua.” Telekung ditanggalkan
lalu di letakkan pada tempatnya.
Dengan kaki yang masih belum hilang
sakitnya, Nadira berjalan lambat-lambat. Sulastri mesti dicari untuk
menghilangkan kebosanannya. Rumah itu terlalu besar baginya. Dapat berbual-bual
dengan Sulastri adalah satu perkara yang menggembirakan.
Untuk mengharapkan Hardy menemaninya
berbual-bual, dia bukan lekat di rumah. Mungkin sudah keluar untuk menjerat
calon kekasih hati yang keenam. Kadang-kadang Nadira berasa lucu melihat Hardy
yang huru-hara. Perhubungannya dengan seorang perempuan tidak pernah kekal
lama. Ada-ada saja yang tidak kena.
“Bibikkk...oh bibikkk. Bibik kat
mana?”
Sebaik tiba di tingkat bawah Nadira
terus mencari Sulastri. Apabila panggilannya tidak bersahut, Nadira menghampiri
bilik Sulastri yang berhampiran ruang dapur. Nadira memasang telinga. Senyap.
Mahu diketuk bimbang akan mengganggu Sulastri. Mungkin dia sedang tidur.
“Nadira!” Nadira tersentak apabila
bahunya disentuh. Rupa-rupanya Rukiah. Nadira mengurut dada, lega.
“Bibik tidur. Katanya Hardy suruh
bibik berehat.” Jelas Rukiah yang mahu ke ruang dobi untuk menyudahkan
kerja-kerja mencuci pakaian. Rukiah selalu curi tulang. Sudah petang baru mahu
menyudahkan tugasnya.
“Oh...tak apalah.” Nadira agak hampa.
Telinganya menangkap alunan irama
piano yang membuai perasaan. Sudah lama Nadira berangan-angan mahu belajar
bermain piano tetapi hasratnya tidak kesampaian. Zariq memang kedekut. Betul
kata kucing Parsi, Zariq tahi hidung masin. Teringatkan kucing Parsi Nadira
ketawa kecil. Lucu. Nasib baik dia tidak menjadi calon Hardy yang terpilih.
Kucing Parsi telah tewas di pusingan pertama lagi. Tidak sempat mengikis duit
Hardy.
“Apa mimpi kau?” Nadira sudah berdiri
di hadapan piano.
“Kau? Aku nak kau panggil aku abang!”
Hardy sedikit marah kerana Nadira
telah terlupa tentang perkara itu. Nadira mencebek. Dia yakin Hardy tidak
nampak sebab dia sedang asyik menekan-nekan gigi piano kesayangannya.
‘Marah lagi!’ kutuk Nadira tanpa didengari
oleh Hardy.
“Mimpi apa siang-siang buta ni?” soal
Hardy pula.
“Yalah...selalu tak lekat kat rumah.”
“Oh...saja.”
“Ingatkan dah keluar. Cari pengganti
kucing Parsi.” Sindir Nadira untuk menghilangkan bosan.
Badan Hardy bergoyang perlahan. Menikmati alunan muzik yang dimainkan.
Baginya, piano adalah buah hati pertamanya. Piano itu sudah menjadi teman setia
yang menemani kesunyiannya sebelum Nadira hadir dalam keluarga itu lagi.
“Malas.” Sahut Hardy, juga dengan
malas. Malas mahu memikirkan tentang pengganti kucing Parsi.
“Rugilah kau...opsss!
silap!...rugilah abang. Mana tau dapat teddy bear ke, panda ke. Jangan harimau
liar sudah.” Nadira memberanikan diri mengusik Hardy agar lenyap rasa bosannya.
Tanpa Nadira duga, Hardy tersenyum
lebar memandang tepat kepadanya. Hardy tidak marah. Itu sudah bagus. Satu lagi
perubahan drastik yang dipamerkan. Tanpa Nadira sedar Hardy tersenyum bukan
kerana usikan Nadira tentang pengganti Jasmine. Panggilan Nadira terhadapnya
yang membuat hatinya kembang.
‘Mood dia baguslah. Nilah
peluangnya.’ Nadira berkira-kira sesuatu.
Dia berjalan mengelilingi Hardy dan
pianonya sambil berfikir. Jika tidak dilakukan sekarang, entah bila lagi Hardy
akan sebaik itu. Sikapnya sukar dijangka. Hardy yang kebiasaannya seperti singa
lapar yang mahu menelan Nadira telah menjadi manusia yang tahu menghormati
orang lain.
“Aku nak mintak tolong kau...adoiii,
salah lagi. Susah! Errr...kalau aku nak mintak tolong abang boleh tak?” Terasa
mahu menarik keluar lidahnya yang sukar diurus. Lidahnya masih keras untuk
menyebut perkataan itu. Hardy gelihati tetapi tidak ditunjukkan.
“Kau sebut diri kau tu Nadira. Baru
macam adik.” Tegur Hardy yang telah menjadi orang yang bersopan-santun. Kali
ini Nadira yang sengih lalu menjelirkan lidahnya. Hardy ketawa.
‘Huuu...pandai ketawa rupanya!’ ejek
Nadira lagi tanpa Hardy tahu.
“Tolong apa?” Akhirnya Hardy kembali
ke topik asal Nadira. Nadira lega. Dia tidak perlu berfikir panjang lagi. Takut
Hardy akan kembali pada sikap lamanya.
Dara 20 tahun itu berhenti
mengelilingi Hardy dan pianonya. Dia berdiri tepat di hadapan Hardy. Mahu
melihat bagaimana reaksi Hardy jika dia menyatakan sesuatu. Nadira mengumpul
nafas lalu dilepas perlahan. Pada waktu yang sama, semua yang dirindui di Ulu
Telom menari-nari di dalam fikirkannya.
“Temankan Nadira ke Ulu Telom.
Nadira rindu rumah Al-Mustaqim. Rindu semua kawan-kawan kat sana. Boleh kan,
abang.” Pinta Nadira serius.
Jari-jari Hardy terhenti dari menekan
gigi piano. Badannya ditegakkan dan fokusnya tepat terarah ke arah Nadira.
Hardy dapat melihat muka Nadira yang mengharap. Ia dipenuhi dengan rasa kerinduan.
Dia teringat semula bagaimana setiap
tahun Nadira minta ditemani untuk melawat Al-Mustaqim. Malangnya kesibukan mama
dan papa mereka tidak pernah mengizinkan. Akhirnya Nadira memendam keinginan
itu dalam-dalam. Tidak pernah lagi meluahkan kepada Puan Suzi dan Tuan Adam.
“Bila Nadira nak ke sana?”
Bulat mata Nadira.
Seperti tidak percaya Hardy akan bertanyakan soalan itu. Adakah itu tandanya Hardy telah bersetuju?
Nadira mesti mendapatkan jawapan. Dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada.
“Bila abang boleh temankan Nadira?”
uji Nadira pula.
“Bila Nadira rasa nak ke sana, abang
akan temankan.” Hardy menopang dagu sambil merenung muka ceria Nadira.
Bertambah seri nampaknya.
Nadira berasa seperti di awangan.
Gembira tidak terkata. Zariq sedang melambainya. Belukar di belakang
Al-Mustaqim dan pokok yang tinggi menjulang bermain di mata. Juga botol yang
ditanam dipangkal pokok masih jelas dalam ingatan.
Senyuman Nadira tidak sudah-sudah.
Hardy hanya memerhati sambil mengkagumi kecantikan Nadira. Dalam kepalanya
hanya soal cantik yang diutamakan. Sebab itulah percintaannya tidak pernah
kekal. Selain daripada itu dia mulai nampak kelebihan dalam diri Nadira. Lain
dari yang lain.
“Eiii...sukanya! Dapatlah aku jumpa
Zariq. Macam mana rupa kau sekarang ya Zariq? Mesti kau dah jadi anak muda yang
handsome.”
Gumam Nadira perlahan. Sedang
mengkhayalkan tentang Ulu Telom dan Zariq. Tidak sedar setiap perlakuannya
sedang menjadi tontonan Hardy.
“Apa istimewanya dia?” Muka Hardy
berubah apabila Nadira menyebut nama seseorang. Oleh kerana terlalu gembira
Nadira tidak sedar akan perubahan Hardy. Dia tetap melayan perasaan riangnya.
“Abang tanya, istimewa sangat ke
Zariq tu?” ulang Hardy dengan serius.
“Oh...dia kawan baik Nadira kat
Al-Mustaqim. Dia nakal tapi baik. Dulu dia selalu hadiahkan Nadira gula-gula.
Zariq suka kumpulkan duit belanja sekolahnya. Dia ambik duit tu sikit untuk
beli gula-gula Nadira. Selebihnya dia masukkan dalam tabung. Rindu sangat kat
Zariq.” Ujar Nadira dengan jujur.
Kalau tadi Nadira yang berjalan
mengelilingi piano, kali ini Hardy pula yang melakukan. Entah mengapa tiba-tiba
saja dia berasa resah apabila mendengar nama Zariq. Zariq baik, Zariq suka beri
hadiah, rindu Zariq. Zariq itu, Zariq ini. Ah! Menjengkelkan perasaan yang
sedang merasuk itu.
“Suka Zariq?” Entah kenapa pula
soalan itu yang keluar dari mulut Hardy.
“Suka! Selalu ikut Zariq ke belukar dengan
Mak Som. Ikut dia memancing kat parit besar. Nadira tak boleh lupa semua tu.
Zariq suka bela Nadira kalau ada siapa-siapa sakitkan hati Nadira. Bila Nadira
menangis, Zariq orang pertama akan pujuk Nadira.”
Nadira masih dengan kejujurannya. Dia menceritakan setiap pengalaman
manisnya bersama Zariq. Apa yang Hardy mahu tahu, itulah yang dijelaskan.
Senyuman berselang-seli dengan kata-katanya. Hardy melirik Nadira dalam-dalam.
‘Malunya aku...selama dia datang ke
sini, aku tak pernah bela dia. Malahan akulah pembuli yang mendera
perasaannya.’ Hardy semakin resah. Dia cuba membandingkan dirinya dengan Zariq.
“Suka macam mana?”
‘Hah! Dah kenapa dengan aku ni?
Macam-macam soalan pulak yang aku tanya.’
Setelah bertanya, Hardy berasa serba
tidak kena pula. Nasib baik Nadira kurang menyedari rasa tidak senangnya itu.
Nadira sedang dalam dunianya sendiri. Dunia bahagia yang dia idam-idamkan
selama ini.
“Sukalah...sayang.”
Nadira selamba. Masih lagi cuba membayang-bayangkan
bagaimana keadaan Zariq setelah berumur 23 tahun. Seusia Hardy. Adakah badannya
sama tinggi dan sama tegap seperti Hardy? Adakah mukanya banyak berubah
berbanding ketika usianya 13 tahun dulu?
“Sayang?”
Kuat suara Hardy hingga membuat
Nadira menoleh. Hilang lenyap lamunan tentang Zariq. Kebelakangan ini Nadira
memang suka melamun tentang banyak perkara yang diingini tetapi masih tidak
kesampaian. Belum terjangkau oleh tangannya. Impian seorang gadis sebatang kara
yang ingin bersatu dengan mereka yang senasib dengannya. Seperti suatu ketika
dulu. Hatinya tidak di kediaman mewah itu. Hati itu berada jauh di Ulu Telom.
“Ya...sayang. Zariq dah macam abang
Nadira. Kami membesar bersama. Kami sama-sama tak ada ibu ayah. Hmmm...dah lama
tak raikan birthday kami sama-sama.
Kami lahir pada tarikh dan bulan yang sama.”
Kali ini perasaan sebak telah
mengambil alih kegembiraan Nadira sebentar tadi. Mukanya kelam. Melihat perubahan
itu Hardy rasa bersalah. Bersalah kerana merampas kegembiraan yang baru saja
Nadira rasai. Semuanya gara-gara perasaan aneh yang tidak dikenal pasti. Tidak
menentu hatinya setiap kali Nadira menyebut tentang Zariq.
‘Bodohnya aku...selalu mementingkan
diri sendiri. Kenapa aku tak pandai nak fikirkan tentang perasaan orang lain?’
Sesudah 10 tahun Nadira tinggal bersama keluarganya, barulah Hardy terfikirkan
akan sikap buruknya.
‘Tapi masih ada masa lagi,’ lalu
dipujuknya diri sendiri.
‘Yang penting dia sayang sebagai
abang.’ Sudahnya Hardy tersengih lagi.
“Kenapa tiba-tiba senyum?” tegur
Nadira.
“Eh! Ya ke? taklah. Abang cuma fikir
masa yang sesuai untuk temankan Nadira ke Ulu Telom.
“Wah! Bestnya!...esok bolehlah.
Boleh ya?” rayu Nadira yang tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Al-Mustaqim.
“Esok?”
Nadira angguk. Dia begitu
mengharapkan Hardy akan bersetuju. Esok adalah masa yang sesuai kerana tiga
hari lagi Hardy akan mula menguruskan pasaraya semula. Percutiannya sudah
berakhir. Menunggu jawapan Hardy adalah saat yang mendebarkan. Nadira tidak
mahu harapannya akan terkulai layu seperti beberapa tahun yang berlalu begitu
saja.
“Kalau abang tak dapat?” duga Hardy.
“Ermmm...tau dah. Memang itu
penyudahnya. Haaa...tak apalah, Nadira dah biasa.” Rajuk hati Nadira.
“Tak kisahlah abang nak teman atau
tak. Nadira tetap akan ke Ulu Telom.” Sambungnya lalu mahu beredar. Mukanya
seperti mega mendung berarak petang.
Lenyap, terbang melayang
kegembiraannya sebentar tadi. Rasa diri tertipu. Untuk sekian kali Nadira sedar
siapa dirinya. Dia tidak layak meminta terlalu banyak. Hanya kadang-kadang dia terlupa
seketika bahawa dirinya hanya menumpang. Malukut di tepi gantang.
Langkahnya yang lemah kerana luka
yang belum sembuh semakin gontai dan lesu. Terasa dirinya telah
dipermain-mainkan oleh Hardy. Tanpa diminta, basah matanya. Agak lama juga dia
tidak menangis. Sejak Hardy berjanji tidak akan menyakiti badannya, Nadira sudah
mengeringkan air matanya. Ketika Hardy mendera mentalnya, dia juga mampu bertahan.
Sayangnya kali ini dia kalah. Kerinduannya pada Zariq dan Haji Embong mengatasi
segala-galanya.
“Naik atas, kemas pakaian. Awal pagi
esok kita bertolak ke Ulu Telom!” Sengaja Hardy melantangkan suaranya.
“Hah?” Langkah Nadira terhenti. Dia
berpaling menatap tepat Hardy. Bulat matanya.
“Esok, awal pagi kita ke Ulu Telom.”
Ulang Hardy mahu meyakinkan.
“Betul?”
“Betul!”
“Tak tipu?”
“Tak! Sama sekali tidak!”
“Hohoho...Nadira akan jejak kaki
lagi di Ulu Telom! Ulu Telom, tunggu aku! Aku datang!” Spontan Nadira melompat.
Sejak meninggalkan Al-Mustaqim dan Ulu Telom dia tidak pernah segembira itu.
“Awww! Sakit! Sakit!” Kegembiraan
Nadira membuat dia sakit lagi.
Hardy menggeleng dan melepaskan
keluhan. Baru dia sedar betapa berertinya Ulu Telom buat seorang Nadira. Selama
10 tahun ini dia tidak pernah cuba untuk mengenali Nadira dengan lebih dekat
lagi. Apa yang difikirkan hanyalah kepentingan dirinya sendiri.
“Jangan lasak sangat...takut tak
sampai ke Ulu Telom.” Usik Hardy. Nadira tersipu. Terasa malu pula telah
melompat di hadapan Hardy.
“Tak apalah...bertongkat pun boleh
sampai. Tongkat abang ada lagi kan? Boleh Nadira guna.” Untuk menghilangkan
malu, dia cuba berseloroh.
Kata-kata Nadira telah membuat Hardy
ketawa besar. Bukan kerana gurauan Nadira tapi mengingatkan kisah
tongkat itu yang membuat dia berasa lucu. Niat buruknya mahu mengenakan Nadira
akhirnya memakan diri sendiri. Akibatnya dia tidak dapat ke sekolah selama dua
minggu. Itu semua telah lama berlalu. Sekarang mereka sedang menginjak ke alam
dewasa.
“Ada lagi agaknya. Mungkin dalam
stor...tapi abang tak akan biarkan Nadira guna tongkat abang tu.”
“Kenapa?”
“Dah buruk. Tak sesuai untuk Nadira.
Kalau perlu abang belikan yang baru.” Usik Hardy lagi. Kali ini Nadira pula
ketawa. Masakan dia perlu bertongkat hanya kerana luka pada lututnya.
‘Abang aku ni boleh ketawa, boleh
bergurau rupanya. Aku ingatkan dia ni hati batu.’ Terdetik di hati Nadira
tentang perbezaan Hardy yang tiba-tiba. Nadira masih belum faham apa yang
membuat Hardy berubah. Semuanya berlaku dalam sekelip mata saja.
Nadira cuba mengingati rentetan
peristiwa sejak mereka berada di Suria KLCC hinggalah mereka tiba di rumah.
Rasa-rasanya tidak ada yang boleh membuat Hardy berubah sepantas itu. Nadira
benar-benar hairan. Mengingati Suria KLCC dan Tiffany & Co, teringat pula
pada si kucing Parsi. Perempuan yang pelik!
“Abang...nak tanya boleh?” Tiba-tiba datang
persoalan dalam fikiran Nadira.
“Tanya jelah. Nak tanya tak payah
tanya.”
“Tak rasa marah pada Nadira ke?”
“Marah?
Kenapa nak marah?” Hardy tidak memahami apa yang Nadira maksudkan. Tiba-tiba
saja Nadira bertanyakan hal itu.
“Kan sebab Nadira ni, kucing Parsi
terus putuskan hubungan dengan abang. Selalunya kalau abang putus cinta mesti
angin satu badan. Paling kurang seminggu abang akan moody.”
Perubahan Hardy membuat Nadira
berani bertanya. Kalau tidak, mati hidup semula dia tidak akan masuk campur apa
saja urusan Hardy. Kebiasaannya Nadira tidak pernah ambil pusing. Bila Hardy
bercinta dan bila pula Hardy putus cinta, dia tidak mahu tahu. Kali ini dia
telah terlibat secara langsung. Kerana mulutnya, Jasmine naik angin lalu
memutuskan perhubungannya dengan Hardy.
“Entah. Mula-mula panas hati...ah!
entahlah, malas nak fikir.” Hardy tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada
Nadira.
“Jangan sebut tentang kucing Parsi ke,
Jasmine ke...boleh?” tokok Hardy.
“Oklah...tak sebut lagi, tak ingat
lagi. Zip mulut!” Nadira mengangkat tangan tanda ikrar.
“Nadira naik dulu ya, nak cari
barang. Baru Nadira ingat.”
“Ada-ada je...barang apa?”
“Tak tau. Nadira tak tau apa barang
tu. Belum bukak lagi, dah lama sangat Nadira simpan. Bila nak ke Ulu Telom ni
baru Nadira ingat semula.”
“Oh...”
“Oh?”
“Ya...oh.”
“Ok...Nadira mintak diri.”
Hardy terus memandang langkah Nadira.
Satu-satunya gadis yang pernah dikenali berjalan dengan hujung kaki. Tumitnya
tidak berpijak. Kalau dulu dia malu-malu dan menutup mulutnya bila bercakap
dengan Hardy, sekarang tidak lagi. Nadira telah menjadi gadis yang petah.
Jika ditanya mengapa, sudah tentu Nadira
akan menjawab...itu semua dipelajari daripada Hardy. Jika tidak Hardy akan
terus membuli dan menyakitinya. Mengingati itu semua, Hardy semakin rasa
bersalah. Nadira terpaksa berubah demi meneruskan hidup yang serba asing
buatnya.
Lama kelamaan Hardy tidak pernah
lagi mendengar keluh-kesah Nadira yang mahu pulang ke Al-Mustaqim. Itu semua
kerana rasa kasihan Nadira terhadap Puan Suzi yang terlalu mengidamkan anak
perempuan. Dia bertahan dengan mengorbankan perasaannya sendiri.