“Kamu
berdua suka dengan hadiah yang mama pilih?”
“Suka sangat pa, ma...mesti mahal kain tu.
Nadira nak buat gaun labuh. Cantik tak ma kalau Nadira buat gaun labuh?”
‘Cantik tak ma kalau Nadira buat gaun
labuh?’
Hardy mengajuk. Dia sedang cuba
mencipta benci terhadap Nadira. Bila difikir-fikirkan seperti tidak ada alasan
untuk dia bersikap begitu tapi dia tetap mahu melakukan. Alasan yang diciptanya
sendiri adalah hendak melepaskan rasa sakit hatinya sebab Nadira sudah berlagak
pandai. Hendak mengajarnya konon!
“Mestilah cantik. Kalau orangnya
dah cantik, pakai apa pun nampak cantik. Lebih-lebih lagi anak mama ni. Dahlah
putih melepak, kecik molek pulak tu.”
“Betul kata mama. Buatlah apa yang Nadira
rasa sesuai. Apa yang Nadira suka, kami pun suka. Asalkan menutup aurat.”
Tambah Tuan Daniel.
“Terima kasih mama, papa.”
Tidak lekang senyum Nadira. Seronok
sungguh dapat hadiah dari Itali. Maklumlah Itali bukan dekat. Bukan terletak di
sebelah Bukit Antarabangsa. Ole-oleh dari jauh itu dibelek lama. Seumur
hidupnya itulah hadiah termahal yang pernah dia ada.
‘Suka! Jangan perasanlah! Kambing kalau
disarungkan baju, disolek, ditepek bedak, dipakaikan lipstik pun cantik jugak.
Mama tu nak ambik hati je.’
‘Lorh! Yang kau dengki dengan dia
kenapa? Bukan kau ada hati kat dia ke?’
Sebahagian suara hatinya mengejek diri sendiri. Cepat-cepat Hardy
tepis. Kalau boleh bersilat, dia hendak bersilat masa itu juga. Mujur dia tidak
pernah belajar ilmu mempertahankan diri itu. Susah-payah dia cuba mencari
kesalahan Nadira, rupanya separuh dari dirinya tidak suka dia bersikap begitu.
‘Memang ada, tapi sikit-sikit je.
Bila dia tunjuk perangai, aku dah ambik balik hati aku. Biar aku simpan. Tak
bercinta pun tak apa. Bukan boleh mati pun.’
‘Amboi sombongnya! Cakap besar konon!
Cantik tu...baik hati lagi. Rugi kau kalau dia dapat kat orang lain.’
‘Diamlah kau! Menyusahkan hidup aku
aje!’ tempelak hati Hardy.
“Errr...hmmm.”
Sudahnya Hardy geram pada diri
sendiri. 2-3 hari kebelakangan ini dia suka termelatah. Melepaskan kata-kata
dengan tidak sengaja. Adakah itu sejenis penyakit bagi orang yang tidak mahu
menerima kenyataan? Berpeluh dahi Hardy.
“Kenapa ni Hardy? Moody je mama tengok.”
Keadaan begini yang Puan Suzi tidak
suka. Harapannya dengan meninggalkan Hardy bersama Nadira akan dapat merapatkan
lagi silaturrahim di antara mereka. Rupa-rupanya sikap Hardy masih belum
berubah. Tetap sama seperti sebelum ditinggalkan ke Itali.
Tuan Daniel turut kecewa dengan apa
yang baru didengarnya. Hardy masih mahu bersikap seperti budak kecil yang
tamakkan permainan. Entah bila dia akan
berhenti memusuhi Nadira. Sebab perbuatan Hardylah yang telah merubah sikap
Nadira. Nadira agak keras berbanding beberapa tahun dulu.
“Bukan ma. Hardy...Hardy tak tujukan
pada siapa-siapa pun. Hardy penat kot.”
Nasib baik alasan itu muncul dalam
masa yang diperlukan. Geliga juga otaknya. Dapat menyelamatkan diri dalam waktu
kecemasan. Padahal bukan apa sangat tugas yang dilakukan di pejabat.
Nadira menjeling Hardy. Hardy
pura-pura memandang ke tempat lain. Nadira tahu masih ada yang tidak beres.
Sejak kejadian di pasaraya, Hardy dingin semula terhadapnya. Uh! Ada aku kisah!
Nadira memang tidak tabik pada anak orang kaya yang seorang ini. Dia tidak
seperti kedua orang tuanya yang baik hati dan penyayang.
“Macam mana keadaan pasaraya. Kamu ada
pantau semua rangkaian pasaraya kita?”
Dalam bab bisnes Tuan Daniel yang
lebih suka bertanya. Kalau boleh dia mahu melatih Hardy supaya Hardy tahu semua
perkara. Jangan hanya mengharapkan kedudukannya sebagai anak orang kaya tapi
otaknya kosong, sifar.
“Pantau jugak. Itu semuakan kerja
sistem pa. Zaman sekarang teknologi yang berkerja, bukan manusia.”
“Kamu kalau bercakap
memang pandai. Kalah papa. Teknologi, teknologi juga tapi teknologi tu mesti
guna otak kamu. Komputer cuma sistem, kalau sistem otak kamu tak betulkan
sistem komputer yang tersilap, macam mana?”
‘Adoi, kenapa berbelit-belit je
soalan papa aku ni. Pengsan aku! Sejak bila papa jadi macam sorang profesor
pulak ni?’
Tidak senang duduk Hardy dibuatnya.
Terkulat-kulat. Beralih-alih punggung yang dihenyak di atas sofa empuk belasan
ribu ringgit itu. Nadira sengaja memandang Hardy lama-lama. Puas hati Nadira.
Berada dekat dengan Tuan Daniel dan
Puan Suzi adalah satu kredit buatnya. Sekurang-kurangnya Hardy tidak akan
melepaskan herdikan. Inilah peluangnya untuk mengenakan Hardy yang bodoh
sombong.
‘Bosan pulak tengok muka dia lama-lama.
Baik aku bagitau papa tentang jem dari Cameron Highlands tu.’
“Pa, ma...Nadira ke dapur kejap ya.”
Tuan Daniel angguk. Nadira berlalu.
‘Lega aku!’ Hardy menarik nafas.
Berhadapan dengan Nadira selalu membuat dadanya seperti dihimpit. Lemas.
“Hardy...kamu mesti bersikap lebih
bertanggungjawab pada bisnes kita. Kamu tak boleh hanya ikut arahan papa,
arahan mama untuk tugas yang kamu perlu lakukan. Kamu mesti ada buah fikiran
kamu sendiri. Mesti bernas.”
“Papa bukan berniaga kedai runcit
satu pintu. Kalau kamu lemah dan tak tau apa-apa macam mana nak berdepan dengan
masalah. Kamu mesti ada sikap berdaya saing. Cabar diri kamu sendiri, yang kamu
boleh urus semua bila papa dah tak ada nanti.”
Senak semula perut Hardy sebaik
mendengar teguran Tuan Daniel. Nasib baik Nadira tidak ada. Kalau tidak, tidak
dapat dibayangkan betapa besar rasa malunya. Mahu tidak mahu dia terpaksa
menelan setiap nasihat papanya.
Susah juga menjadi anak tunggal yang
bakal mewarisi harta yang bukan sedikit. Hidup ini tidak mudah rupanya. Hendak
senang pun susah. Orang yang susah, susah juga hendak senang. Dunia! Dunia!
Duniakah yang membuat manusia susah atau manusia yang menyusahkan diri sendiri?
“Baiklah pa...Boy akan terus
belajar. Bukan Boy tak pandai tapi umur Boy baru 23, manalah boleh jadi sebijak papa.”
“Boy, dengar sini...bijaknya seseorang bukan
sebab berapa usianya tapi macam mana seseorang itu gunakan akalnya. Akal kita
macam mata pisau. Bila kita guna begitu saja tanpa diasah dan ditajamkan
lama-lama akan tumpul.”
Apa yang boleh Hardy lakukan selain
dari menadah telinganya yang sudah tebal sejak tadi. Dia hanya mampu tunduk memandang
permaidani mahal yang Puan Suzi beli entah dari mana. Sekali lagi dia sangat
lega sebab Nadira tidak ada di situ. Kalau musuh ciptaannya itu turut mendengar,
dia terasa hendak memengsankan dirinya di atas sofa empuk itu.
“Papaaa! Mamaaa! Nadira ada sesuatu
untuk papa mama. Something special.”
‘Alah mengadanya minah ni. Tapi...nasib
baik dia datang. Kalau tak alamat makin panjanglah bulu telinga aku ni dengar
papa pok pek pok pek.’
Betul kata orang tua-tua, bila dah
jadi buluh memang susah hendak dilentur. Bukan Tuan Daniel dan Puan Suzi tidak
melenturnya semasa rebung. Tapi Hardy lebih suka memasukkan nasihat orang
tuanya ikut telinga kanan lalu dikeluarkan pula melalui telinga kiri. Bukan
salah ibu yang mengandung tapi salah anak yang memang tidak makan saman.
“Ermmm...roti dengan jem. Apa yang specialnya? Cuma ni ke yang Nadira
belajar kat dapur tu bila mama tak ada di rumah?” usik Puan Suzi.
“Mama belum rasa lagi. Kalau mama
dah rasa satu...mesti nak dua tiga lagi. Papa pun mesti cuba. Kan abang?”
‘Apa kes pulak kan, kan dengan aku!’
Sebenarnya Hardy masih ingat lagi
janjinya untuk menyokong Nadira yang beria-ia mahu memasarkan jem dari Cameron
Highland itu tapi sebab hatinya masih bengkak dia tetap mahu mempertahankan
egonya. Biar Nadira terkapai-kapai sendiri.
“Suzi dengar tak apa Nadira panggil
Boy?”
Tuan Daniel teruja. Puan Suzi juga.
Mereka berbalas senyuman. Sejuk hati mereka bila mendengar Nadira memanggil
Hardy ‘abang’. Barulah nampak seperti adik beradik. Tidaklah asyik beraku
engkau saja.
“Sejuk perut mama tengok perubahan
kamu berdua. Kan bagus. Tak adalah mama selalu risaukan kamu berdua lagi.”
‘Huuu...’ Hardy makin bosan.
“Hihi...abang jaga Nadira elok masa
papa mama tak ada, kan bang?”
Sengaja Nadira hendak mengurat hati
Hardy supaya menyokong pandangannya tentang jem Strawberi dari Cameron Highland
itui. Lagi pula dia tidak mahu bermasam-masam muka di depan orang tua mereka.
Nadira tidak mahu merosakkan kegembiraan yang dibawa balik dari Itali hanya
disebabkan sikap mereka yang kebudak-budakan.
‘Kan abang...kan abang...tak
sudah-sudah dia ni!’ omel Hardy.
“Betul kata Nadira tu pa. Jem ni
lain sedapnya. Tak macam jem yang kita selalu jual. Masih ada kasar-kasarnya.
Manisnya pun rasa asli lagi.”
Terpaksa juga Hardy menyokong walaupun dengan
rasa malas. Sejujurnya dia turut bersetuju jika rangkaian pasaraya mereka
memasarkan produk yang berkualiti itu. Ia tentu akan disukai oleh pengguna.
Lebih-lebih lagi jaminan halalnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia buatan
tangan oleh bumiputera yang sudah tentu seorang Muslim.
“Baik...papa rasa satu. Ambik satu
Suzi. Betul ke apa kata anak-anak kita ni. Kalau ya, mereka memang bijak. Ada
kemajuan...silap-silap boleh digandingkan.”
“Ya kan abang...macam pinang dibelah
dua.”
‘Erkkk! Apa mama ni? Dah sampai
belah-belah pinang pulak ni. Semacam je bunyinya. Ngeri pulak aku dengar. Lagi
pun ni idea aku, dia ni menyokong je.’ Nadira menelan air liur.
‘Mama ni ada udang sebalik batu ke?
Parahlah mama ni.’ Hardy begitu juga.
“Ermmm...sedap, memang sedap! Apa
pendapat Suzi?...hulur papa sepotong lagi, Nadira.” Laju Nadira memberi
sekeping roti lagi kepada Tuan Daniel.
“Sedap. Belum pernah rasa jem seasli
ni dalam pasaran. Mama pun nak sepotong lagi.” Kembang hati Nadira. Seperti telur
yang dipukul untuk dibuat kek.
“Lulus!” Satu perkataan dari Tuan
Daniel.
“Lulus pa? Maksudnya okey? Boleh?” Nadira
terasa hendak lompat bintang tapi ditahankan. Dia belum pasti jawapannya.
“Papa akan pasarkan!”
“Yesss! Yesss! Terima kasih pa, ma!”
Oleh kerana terlalu gembira Nadira
telah melompat di hadapan mereka. Hingga terlupa Hardy sedang memerhatikannya.
Dia segembira itu tapi kenapa muka Hardy macam tempoyak yang kena lenyek dengan
timun. Tidak pasti apa yang sedang dirasai oleh Hardy. Tidak gembirakah dia?
‘Kau menyeksa aku, Nadira. Kau
melompat nampak lebih comel. Kenapa dalam kepala aku sekarang ni tak ada jem,
tak ada pasaraya...ada kau je.’ Sungut Hardy sambil melarikan pandangan apabila
Nadira melihatnya.
Nadira membetul-betulkan tudung
supaya tertutup semula dadanya. Menyesal pula dia. Kenapalah dia termelompat
depan Hardy? Serik! Dia berikrar tidak akan melakukannya lagi. Nadira duduk
semula di sebelah Puan Suzi.
“Maaf pa...ma...kalau Nadira
berlebihan tadi.” Malu.
Tuan Daniel ketawa kecil. Kedengaran
sangat menyenangkan. Puan Suzi senyum lalu memegang tangan Nadira. Lega hati
Nadira. Beransur hilang rasa malunya. Tuan Daniel bersandar pada sofa untuk
mencari keselesaan. Belakangnya terasa agak lenguh.
“Nadira dah suarakan pada pembuat jem
ni?”
“Belum pa. Mereka masih tak tau
apa-apa. Tapi kami tau rumahnya. Papa bolehlah jumpa mereka. Buat rundingan.”
“Tak perlulah. Papa serahkan pada Nadira sebab
papa sangat percaya Nadira boleh lakukan. Papa banyak kerja di ibu pejabat.”
“Bila Nadira boleh ke sana pa?”
“Bila-bila...tak ada tarikh tutup.
Asalkan Nadira dah bereskan semua kerja pejabat yang tertangguh. Pastikan juga
gaji pekerja sudah berbayar. Berdosa membiarkan pekerja kita kekeringan peluh
tanpa dibayar gaji tepat waktunya. Papa tak suka macam tu.”
“Baik pa. Nadira akan bereskan
semua.”
Diam-diam Tuan Daniel berasa bangga
terhadap Nadira. Anak perempuan yang memilih untuk bekerja daripada melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi itu berkebolehan dalam bidang perniagaan.
Desikasinya memuaskan. Nadira bijak memanipulasi apa-apa saja untuk memajukan
rangkaian pasaraya mereka. Agak berbeza dengan Hardy yang agak lambat bertindak.
“Nadira boleh bawak semua ni ke
dapur, sayang.”
“Baik, ma.”
Nadira mengangkat semula dulang
kecil berisi botol jem Strawberi. Empat potong roti sudah habis dimakan oleh Tuan
Daniel dan Puan Suzi. Kali ini ekor mata Hardy tidak lagi mengekori langkah
Nadira. Malas hendak memandang. Takut hatinya akan berperang lagi.
“Kamu patut contohi adik kamu, Hardy.
Dia muda tapi berwawasan. Papa tau tentang jem tadi, ia idea Nadira sendiri.
Adik kamu cepat nampak apa yang boleh dikormesilkan. Secara tak langsung dapat
juga kita membantu bumiputera macam kita.”
Mulut Hardy berat untuk digerakkan.
Dia hendak bertanya bagaimana Tuan Daniel tahu itu adalah buah fikiran Nadira
tapi hatinya seakan menahan. Dia pasti kalau dia masih gatal mulut untuk
bertanya sudah pasti akan lebih banyak lagi puji-pujian untuk Nadira yang
terpaksa didengari.
Puan Suzi tidak mahu masuk campur. Biar
lelaki dengan lelaki yang bercakap, berbincang, berdebat atau apa saja. Dulu
dia dan Tuan Daniel selalu begitu. Mereka sering berbincang dan kadangkala
berlaku perdebatan yang sihat semata-mata mahu membangunkan dan mengembangkan
perniagaan mereka.
Pada waktu itu Tuan Daniel sangat
yakin berniaga itu akan memberi kejayaan besar kepadanya. Sebagaimana dia
meyakini sembilan dari sepuluh punca rezeki adalah dari perniagaan. Tuan Daniel
mahu berjalan seiring sunnah Rasulullah saw.
“Kamu tak ada nak cakap apa-apa
Hardy?
Kebisuan Hardy membuat
Tuan Daniel bertanya. Dia tidak senang melihat Hardy yang pasif. Hardy hanya
menggeleng lesu. Tuan Daniel yang mengharapkan akan ada respons yang baik dari
Hardy berasa agak kesal. Anak tunggalnya itu selalu tidak bersemangat bila
memperkatakan tentang perniagaan mereka.
“Buat masa ni tak ada pa. Nanti
Hardy fikirkan dulu. Hardy mintak diri dulu, nak masuk tidur.”
Hardy bersalaman dengan kedua orang
tuanya lalu meninggalkan mereka yang hampa. Kalaulah Nadira itu anak kandung
mereka, alangkah bagusnya.
“Nadira naik dulu pa, ma. Mata dah
berat.” Muncul saja dari dapur Nadira juga minta diri. Esok masih ada
tugas-tugas penting yang perlu dilakukan di pejabat. Dikucupnya pipi Puan Suzi
dan tunduk hormat diberikan kepada Tuan Daniel. Tuan Daniel angguk dan senyum.
Nadira berlalu dari situ.