Nadira mengeluarkan
beg pakaian yang kusam warnanya. Beg itu akan terus disimpan sebagai kenangan.
Di dalamnya masih ada pakaian yang dibawa dari Al-Mustaqim 10 tahun yang lalu.
Terlipat dan tersusun elok di dalamnya.
Tangannya menyeluk poket beg yang
sudah tercabut zipnya. Dia sedang mencari sesuatu yang sangat berharga. Sebuah
karung kecil bertali pemberian Zariq yang tidak pernah dilihat kandungannya.
Pesan Zariq 10 tahun lalu, karung kecil itu hendaklah dibuka apabila tiba waktu
ia diperlukan.
“Tak adalah! Mana aku letak ya?”
Pakaian lama yang bersusun di dalam
beg dikeluarkan satu per satu. Dibuka lipatannya. Mana tahu kalau yang dicari
ada di celahan pakaian-pakaian itu. Sayangnya Nadira kecewa. Tidak ada apa-apa
yang kelihatan. Disandarkan badannya pada almari pakaian lima pintunya. Dia
cuba mengingati semula kali terakhir dia melihat-lihat bungkusan itu.
“Arghhh!...kenapa tak boleh ingat
ni?”
Pakaian yang sudah berselerak dibiarkan
saja. Cip memorinya terus berputar ligat. Terus cuba mengingati tetapi tetap
tidak berjaya. Semuanya kabur dari ingatannya. Kemudian Nadira mundar-mandir di
sekitar bilik sambil menggigit ibu jarinya.
“Mustahil aku dah terbuangkan benda
tu. Sepatutnya mesti ada dalam beg tu juga. Takkan pula ada yang ambil.
Hmmm...aku tak boleh kehilangan karung bertali tu. Itu pemberian Zariq.” Nadira
buntu.
“Haaa...agaknya aku dah pindahkan ke
dalam laci almari tak?”
Tanpa membuang masa dia membuka
pintu almari, menarik laci dan melihat ke dalamnya. Yang kelihatan hanyalah
keperluan-keperluan asas yang dibelikan oleh Puan Suzi. Fikiran Nadira kacau
dan serabut. Badannya berpeluh di dalam kesejukan pendingin hawa.
“Dalam beg tak ada. Dalam laci pun
tak ada. Takkan aku dah buang. Mustahil! Aku tak sebodoh tu. Aku sayang sangat
pemberian Zariq tu.” Nadira mulai mengomel.
“Apa je benda, kalau dicari memang
tak jumpa. Bila tak nak ada je depan mata...hisyyy!”
“Apa yang diomelkan, Nadira?”
Berderau darah Nadira yang sedang
bercakap sendiri. Terkejut. Rukiah sudah terpacak di muka pintu. Rambutnya yang
serabai dan mukanya nampak lesu. Entah apa yang dibuatnya di tingkat atas pada
waktu sepetang itu, Nadira tidak tahu. Kebiasaannya dia hanya akan naik untuk
mengemas bilik pada waktu pagi.
“Kak Rukiah buat apa kat sini?”
“Itu...tuan muda suruh kakak panggil
Nadira.
“Nak buat apa? Nadira sibuk ni.”
Nadira berdalih.
“Katanya mau ajak jalan-jalan, ke tasik.”
Rukiah menyandarkan badannya pada tepi pintu. Seperti orang tidak cukup tenaga.
Mulutnya menguap beberapa kali.
“Malas.”
“Ermmm...Kak Rukiah pernah tak
nampak satu karung kecil bertali, warna biru tua semasa Kak Rukiah kemaskan
bilik Nadira ni?” Baru terfikir oleh Nadira akan kemungkinan itu.
“Karung kecil? Warna biru tua?”
Tanpa diarahkan Rukiah sudah melangkah masuk ke bilik Nadira. Nadira membiarkan
saja walaupun berasa hairan melihat sikap Rukiah yang masuk tanpa kebenaran.
Pembantu rumah itu meletakkan punggungnya
di atas katil empuk Nadira. Ternganga mulut Nadira. Berani sungguh dia! Nadira
berdiri tegak di hadapannya. Rukiah mendongak sekali lalu kemudian
menggaru-garu pipinya.
“Karung kecil?” Mata Rukiah mengecil
“Ya, Kak Rukiah...karung kecil.”
“Warna biru tua?”
“Ya...ya...ya...Nadira dah kata
tadi, karung kecil warna biru tua.” Geram pula Nadira melihat Rukiah yang
semakin kecil matanya. Apa sudah jadi dengan pembantu rumah itu?
“Ohhh...karung kecilnya warna biru
tua...karung keee...” Belum sempat menyudahkan kata-katanya, Rukiah telah berdengkur.
Dia tidur duduk di tepi katil.
“Ya Allah! Macam ni pun ada ke?”
Nadira menarik nafas. Sah! Dari awal lagi Rukiah dalam keadaan separuh tidur.
Gelihati pula Nadira melihat gerakan bibir Rukiah. Ada juga orang yang mengigau
di siang hari.
“Rukiah!” Hardy pula yang terpacul
di hadapan pintu. Sudah jengkel menunggu Rukiah yang tidak turun-turun.
Sebaik melihat mata Rukiah terpejam
dengan gerakan mulut yang menggelikan hati, Hardy tidak jadi marah. Dia menahan
ketawa melihat keadaan Rukiah yang tidak terurus. Menyesal pula telah
mengejutkan Rukiah yang sedang tidur untuk memanggil Nadira turun.
“Huh, bolehnya menyambung tidur!”
“Abang dah tau dia tidur kenapa
kejutkan? Tengok tu sambil duduk pun jadi.” Nadira menahan ketawa. Begitu juga
Hardy.
“Abang nak ajak Nadira keluar.
Nadira kan tak suka abang datang bilik Nadira, tu abang mintak tolong Rukiah
panggil Nadira. Sudahnya dengan dia sekali tak turun.”
Dengan nakal Hardy menggerak-gerakkan
tangannya di hadapan muka Rukiah yang tidurnya dalam keadaan mata separuh
terbuka. Hardy juga membuat memek muka yang melucukan. Rukiah tetap juga lena.
Berderai ketawa Nadira. Cepat-cepat ditekup mulutnya supaya ketawanya tidak
kedengaran terlalu kuat.
“Abang ni tak baik tau dajalkan
orang.” Tegur Nadira sesudah ketawanya reda.
“Dia ni kalau dah tidur macam orang
mati.”
“Uiksss...tak baik abang ni.” Nadira
masih dengan baki sengihannya.
“Keluar jom. Boringlah.”
Hardy melirik cermin solek sambil membetul-betulkan rambut pacaknya.
“Apa mimpi abang ni...ajak Nadira
pulak. Nadira busylah.”
“Yang mimpi Rukiah, bukan abang. Tak
salah kan ajak adik sendiri.” Sejujurnya Hardy sendiri tidak pasti mengapa dia
mahu membawa Nadira. Hatinya yang mahukan begitu.
“Nadira tak boleh keluar. Cari
barang. Esok pagi-pagi kita dah nak ke Ulu Telom.” Mengingati karung kecil
bertali berwarna biru tua, hati Nadira rungsing semula. Rukiah yang tidur duduk
tidak melucukan lagi.
“Barang apa yang penting sangat tu.
Beli jelah yang lain. Jom abang temankan Nadira beli yang baru.” Hardy masih
lagi sibuk dengan rambut pacaknya.
“Handsome jugak abang ni!”
selorohnya
“Weksss...tiba-tiba. Tak payah masuk
bakullah abang.” Ejek Nadira pula. Hardy ketawa.
“Macam mana? Keluar ya...abang
belikan yang baru.”
“Tak bolehlah abang. Tak boleh beli
yang baru. Tak ada gantinya pun. Biar Nadira cari sampai jumpa.” Nadira tidak
mengacuhkan.
‘Apa bendanya yang penting sangat
tu?’ bisik Hardy.
Nadira mengutip semula pakaian yang
telah dikeluarkan dari dalam beg kusamnya. Dilipat dan dimasukkan ke dalam beg
itu. Pakaian dan seluar yang berpoket, diseluk semula poketnya. Mana tahu apa
yang dicari ada di situ.
“Tak ada juga...hmmm.” keluhnya
apabila usahanya masih tidak berhasil. Pipinya dikembungkan dan dikempiskan
beberapa kali sambil mengingati di manakah letaknya karung kecil pemberian
Zariq itu.
‘Comelnya dia buat muka macam tu.”
Bisik Hardy lagi, mengambil kesempatan merenung Nadira yang selama ini tidak
begitu diambil peduli.
“Apa tengok-tengok?” marah Nadira
apabila tersedar renungan Hardy.
“Tak adalah...abang pelik tangok
Nadira ni. Apalah yang penting sangat sampai muka jadi macam tu.” Helah Hardy
agar apa yang berada di hatinya tidak dapat dihidu oleh Nadira.
Beg kusamnya dimasukkan semula ke
dalam almari pakaian lima pintunya. Biar ia di situ hingga reput. Beg itu
tidak akan pernah dibuang. Hardy berjalan ke tingkap kaca lalu menyelak
tabirnya. Cahaya masuk terang ke dalam bilik Nadira. Melihat pemandangan di
luar terasa segar perasaannya.
Nadira tidak menghiraukan. Kali ini
dia menyelak-nyelak pula susunan pakaian di dalam almari. Mana tahu karung itu
ada di celahan pakaian. Tiba-tiba hatinya sebal melihat pakaian yang begitu
banyak. Menyusahkan pencariannya. Hardy menoleh, melihat Nadira yang beria-ia
dengan muka berkerut-kerut.
Dia berfikir mahu membantu Nadira
mencari apa yang dicarinya tetapi niatnya dibatalkan. Tidak manis. Mana tahu
dia akan terpegang ‘pakaian kecil’ Nadira, sudah tentu gadis itu akan
melompat-lompat dan menjerit mahu dia keluar dari bilik itu. Hardy memang sudah
masak benar dengan sikap Nadira. Dia tegas dan tidak mengizinkan Hardy meredah
masuk jika Nadira sedang seorang diri.
Tiba-tiba Hardy tersengih. Dia
mendapat akal. Tingkap besar bilik ditinggalkan. Diam-diam dia menghampiri
Rukiah. Dilihatnya kepala Rukiah sudah terkulai tunduk ke lantai. Di tepi
bibirnya kelihatan sedikit lelehan air yang keluar dari mulutnya.
“Hiii...yeksss! pengotornya dia ni.”
Geli Hardy melihatnya. Nadira tidak mengendahkan. Baginya masa sudah terlalu
suntuk.
“Rukiah.” Hardy memanggil perlahan.
Dia mahu agar Rukiah bangun dan membantu Nadira mencari barang kesayangannya
yang entah apa.
“Rukiah.” Panggilan keduanya juga
tidak didengari.
“Rukiah.” Ulangnya untuk kali ketiga.
“Nadira...Ustaz Khaidir ada beritau
kan, berlembut tu cukup untuk tiga kali. Betul tak?”
“Yalah tu...rasanya betul.” Balas
Nadira. Pertanyaan Hardy antara dengar dan tidak masuk ke telinganya.
“Ok...abang pun rasa betul dah tu.”
Balas Hardy pula. Nadira masih tidak acuh. Malas mahu melayan. Sedikit pun
Nadira tidak tahu menahu apa yang ada dalam kepala Hardy.
Hardy bergerak lebih dekat lagi.
Direnung sekejap muka Rukiah sambil dalam hatinya sedang ketawa terbahak-bahak.
Badannya dibongkokkan. Agak rapat ke telinga Rukiah. Sebelum itu dia menjeling
Nadira sebentar. Nadira masih sibuk dengan pencariannya dan tidak menghiraukan
Hardy. Hardy tersengih lagi. Mulutnya didekatkan ke lubang telinga Rukiah.
“Rukiahhh...!” Nyaring suara Hardy.
Nadira terkejut bukan kepalang. Dia berpusing melihat Hardy. Hardy sedang
menahan ketawa apabila Rukiah melompat dari katil lalu menari tarian jawa.
“Eee...ahh...eee...ahh.
Putraku si Andhe Andhe Andhe Lumut
Temuruna ana putri kang unggah
unggahi
Putrine nnger, sing ayu rupane...eee...ahh...eee...ahhh”
“Adoiii! Sakit perut. Menyanyi lagu
jawa pula dia. Dahlah Rukiah! Bangun! Bangun!”
Hardy mengejutkan Rukiah yang masih
separuh sedar dek terlalu terperanjat. Hardy menekan-nekan perutnya menahan
ketawa. Nadira yang cuba bertahan telah gagal berbuat demikian. Terhambur juga
ketawanya apabila melihat memek Rukiah yang melucukan.
“Macam mana Kak Rukiah boleh ada
dalam bilik Nadira?” Sebaik matanya betul-betul segar, Rukiah bertanya.
Terpinga-pinga dibuatnya.
“Jin toncet yang bawak ke mari.”
Hardy masih mahu mengenakan Rukiah. Nadira hanya menggeleng apabila memikirkan
Rukiah yang mudah lupa biarpun usianya jauh lebih muda daripada Sulastri.
Selepas itu pandangannya berlari pula
melihat Hardy. Nadira sungguh tidak menyangka Hardy boleh bergurau senda
seperti itu. Terlalu berbeza dengan Hardy yang telah dikenalinya selama 10
tahun lamanya. Selama ini Hardy adalah seorang yang bengis, baran dan
mementingkan diri sendiri. Jika dia tidak melihat perubahan di hadapan matanya,
dia tidak akan pernah percaya Hardy boleh bergurau dan ketawa.
“Ai...pandang abang sampai tak
berkelip tu kenapa?” Sorotan mata Nadira telah disedari oleh Hardy. Nadira
hanya mengangkat bahu.
“Kak Rukiah keluar ya.” Rukiah membetulkan
rambutnya.
“Nanti...tolong Nadira cari barang
dia yang hilang, kak. Entah apa saya pun tak tau.” Hardy menahan.
“Kalau tak tau apa yang nak dicari,
macam mana nak cari?” Rukiah bingung.
“Tau, kak...karung kecik yang
bertali. Warnanya biru tua. Yang tak tau cuma isi dalamnya.”
“Ohhh...cari mana Nadira?”
“Sini...dalam almari.”
Nadira menyelak-nyelak lipatan kain.
Sulastri melakukan perkara yang sama. Hardy hanya menjadi pemerhati dengan
menyimpan baki ketawanya. Setiap kali melihat Rukiah, hatinya seperti
digeletek.
Tidak sampai 15 minit mencari, Rukiah
berdiri tegak sambil menggigit jari. Mata hitamnya bergerak naik ke atas dan ke
bawah. Dahinya berkerut-kerut. Dia mundar-mandir di hadapan almari pakaian lima
pintu itu.
“Karung kecil...warna biru...karung
kecil...warna biru.” Ucapnya berulang-ulang.
“Haaa...sudah. Mengigau lagi ke Kak
Rukiah?”
“Bukan. Kak Rukiah cuba ingat.
Rasanya macam pernah kutip satu karung depan almari Nadira ni. Hmmm...dah
sebulan.”
“Betul? Cepat ingat kak...cepat
ingat!” Dengan tidak sabar lagi Nadira menggoncang bahu Rukiah. Nadira
benar-benar tidak senang duduk.
‘Apalah yang penting sangat tu?
Sampai macam tu sekali dia.’ Rasa ingin tahu Hardy telah menahannya dari
meninggalkan bilik Nadira.
Rukiah merenung satu persatu perabut
yang terdapat di dalam bilik itu. Dia cuba untuk terus mengingati. Serentak
dengan itu matanya memandang tepat ke meja kecil di tepi katil Nadira. Dia
sangat pasti telah menyimpan karung kecil yang dicari di dalam laci meja kecil
itu. Cepat-cepat dihampiri meja yang berwarna putih berbunga-bunga ros kecil.
Laci meja ditarik perlahan.
“Betul...ini kan Nadira.”
Satu karung kecil bertali diangkat
tinggi. Dengan tidak sabar Nadira menyambarnya dari tangan Rukiah. Dibuka
ikatan tali lalu Nadira menyeluk ke dalamnya. Terasa sesuatu yang keras dan berbiji.
Nadira mengeluarkannya.
“Gelang tangan! Cantiknyaaa.” Gelang
tangan bertali direnung lama. Terasa mahu menitis air matanya apabila melihat
ukiran nama Zariq tertera pada permukaan gelang tangan itu. Permukaan gelang
tangan yang rata itu diusap perlahan. Di tepi permukaan yang rata bersambung
dengan manik-manik yang diperbuat daripada kayu.
Hardy menghampiri. Diambil gelang
bertali dari pegangan Nadira. Direnung lama nama yang tertera. Ada denyut yang
tidak menyenangkan di hatinya. Dia tidak seronok apabila terus melihat ukiran
nama Zariq. Gelang bertali itu diberikan kepada Nadira semula.
“Cantik tak?” Nadira yang tidak
memahami pergolakan hati Hardy tersenyum senang.
“Cantik.” Balas Hardy lemah.
“Barulah Nadira bersemangat nak ke
Ulu Telom esok pagi.”
“Ermmm...yalah. Tidur awal malam ni.”
Hardy berpesan dengan suara datar
sebelum melangkah keluar. Nadira terpinga melihat perubahan Hardy tetapi dia
tidak mahu memikirkannya. Apa yang sedang berada dalam mindanya adalah Zariq,
Haji Embong, Al-Mustaqim dan Ulu Telom.