Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 20



Muka Nadira berkerut. Terasa mual dan sebal apabila terpaksa berjalan di belakang merpati dua sejoli. Telatah Hardy dan buah hatinya membuat pemandangan luar yang cantik dan menyegarkan menjadikan Nadira sesak nafas dan tidak selesa.

Sebelum bercuti ke Itali bersama Tuan Daniel, Puan Suzi berpesan kepada Hardy agar tidak meninggalkan Nadira sendirian. Bawa Nadira ke mana saja. Jangan sakiti hati Nadira. Sediakan segala keperluan Nadira dan bla, bla, bla. Mahu tidak mahu Hardy terpaksa akur walaupun hatinya memaki-maki Nadira yang terlalu dimanjakan.

‘Rasa nak balik je. Menyesalnya ikut! Eiii...,’ rungut Nadira. Tidak seronok mahu menghabiskan masa di Suria KLCC bersama dua orang yang membosankan itu.

Dirinya seperti tidak wujud di antara Hardy dan Jasmine. Lebih membosankan lagi apabila terpaksa melihat gelagat Jasmine yang kadangkala membuatnya rasa hendak muntah. Lenggok Jasmine, suara dan pertuturannya terasa menjolok mata. Seingat Nadira, Jasmine adalah buah hati keempat atau kelima Hardy.

“Darl..kita masuk Tiffany, ok?” Tanpa menanti jawapan daripada Hardy, Jasmine telah pun membelok masuk ke Tiffany & co.

Langkah Hardy terhenti. Menoleh memandang Nadira. Nadira pura-pura melihat ke arah lain. Hardy menggaru kepala. Jasmine yang baru dikenali sebulan sudah berani mengajaknya masuk ke butik berlian dan jam tangan eksklusif. Hardy pernah menemani mamanya untuk membeli sebentuk cincin berlian rekaan Jean Schlumberger yang tinggi harganya. Untuk Jasmine? Ah! Mustahil!

“Jasmine dah masuk.” Hardy serba-salah.

“Tau...nampak.” Nadira selamba. Entah apa perlunya Hardy memberitahu perkara itu kepadanya. Mungkin abang segeranya sedang kebingungan untuk melayan kerenah Jasmine.

‘Padan muka!’ Sebaliknya Nadira mentertawakan Hardy di dalam hati. Hardy tidak pernah serik dengan perempuan pisau cukur dan mata duitan.

“Nak masuk ke?” soal Hardy lagi seperti orang dungu. Nadira mengangkat bahu tanpa bersuara. Sejak bila pula Hardy harus mendengar katanya.

“Darl, cepatlah. I dah jumpa jam tangan yang I suka.” Jasmine menggamit Hardy dari dalam butik.

‘Darl?...uwekkk!’ Lebih loya tekak Nadira bila mendengar Jasmine asyik menyebut darling tidak sudah-sudah.Baru kenal sebulan sudah pandai berdarling-darling.

Sekali lagi Hardy memandang Nadira. Nadira menjeling sekejap sebelum melihat pula ke arah Jasmine yang merengek-rengek seperti budak kecil mahukan puting. Gelihati melihat Hardy yang serba tidak kena dan Jasmine yang tidak tahu malu.

“Jom, masuk sekali.” Berbahasa pula Hardy kali ini.

“Nak buat apa masuk? Pergilah...kucing Parsi tu dah tunggu.” Sengaja Nadira menolak walaupun dalam hati teringin melihat-lihat koleksi berlian dan jam tangan yang eksklusif.

“Kau kan adik aku. Temankan akulah.” Jawapan Hardy memang menggelikan hati.

Nadira terasa hendak terbahak-bahak dan berguling-guling di hadapan Tiffany. Setelah 10 tahun tinggal sebumbung, itulah kali pertama Hardy mengakui dirinya sebagai seorang adik. Kemahuan yang menggebu-gebu itu terpaksa ditahankan apabila memikirkan dia akan dianggap tidak siuman oleh orang yang lalu-lalang.

“Nak buat apa teman? Kucing Parsi tu kan ada.”

Seronok sungguh menggelar Jasmine sebagai kucing Parsi. Memang sepadan dengan sikapnya yang suka menggeliat-geliat seperti seekor kucing. Dua kali seronok apabila dapat mengenakan Hardy yang selalu saja membuli perasaannya.

“Darlll! Cepatlah!” Jasmine menjenguk lagi apabila penat menunggu di dalam butik Tiffany. Kedua kakinya dihentak-hentak perlahan. Tangannya menggawang-gawang memanggil Hardy.

‘Adeiii...spesis ni pun ada. Peliknya aku.’ Diam-diam Nadira ketawa lagi. Berbulu matanya.

“Ok...ok...you masuk dulu. Kejap lagi I masuk.” Hardy mulai jelak.

Jasmine mendengus dengan jelingan tajamnya terarah tepat ke muka Nadira. Seperti sedang marah. Dia berpusing keras lalu masuk semula ke dalam butik Tiffany. Hardy menarik nafas berat. Seberat hatinya mahu melangkah masuk ke butik yang menyeramkan itu.

Bukan dia tidak mampu untuk membeli barangan di Tiffany tetapi belum tiba masanya untuk menghadiahkan sesuatu yang begitu mahal kepada seorang gadis yang baru sebulan dikenali. Dia pun tidak menyangka Jasmine sudah berani minta itu ini. Mahal pula harganya.

“Kau ikut aku ya.” Pujuk Hardy lagi. Nadira tidak faham apa tujuan Hardy berkeras mahukan dia masuk ke butik itu.

“Aku tak sukalah jadi busy body. Kau pergilah. Nanti jerit pulak kucing Parsi tu. Dapat malu kau nanti.” Sengaja Nadira menolak. Malas mahu menonton adegan yang akan membuat dia bertambah loya.

“Kau tolonglah aku gagalkan permintaan dia yang bukan-bukan tu. Gila ke nak belikan dia jam yang harganya berbelas ribu tu.” Hardy menyadin. Minta dikasihani. Terkedip-kedip matanya.

“Tulah! Tak cukup umur lagi nak bercinta tapi tak pandai.” Telinga Nadira letih mendengar pujukan Hardy.

Kalau dulu Nadira adalah budak pemalu, sikap kasar Hardy telah merubah sedikit demi sedikit sikapnya. Jika berterusan dengan pendiam dan pemalunya, perasaannya akan terus didera oleh Hardy. Sekarang, jangan harap dia akan terus menjadi tunggul mati.

Sejak kejadian demam panasnya Hardy tidak pernah lagi menyakiti badannya tapi sikap dinginnya terlalu menyiksa Nadira. Baginya Nadira tetap budak kampung yang telah merampas sebahagian daripada haknya. Kata-kata Hardy selalu saja menyakitkan perasaan Nadira. Sentiasa bernada angkuh.

“Maksud kau, bodoh?” Darah Hardy menyirap tiba-tiba. Dia terlupa sebentar yang dia sedang memerlukan bantuan Nadira.

“Aku kata tak pandai...bukan bodoh.” Nadira tunduk. Angin Hardy datang lagi dan dia mesti berhati-hati.

“Kat sekolah cikgu tak ajar kau ke? Tak pandai dengan bodoh tu kan sama! Sama erti atau dengan kata lain, sinonim!” Bantah Hardy yang masih menyirap darahnya.

Nadira terkebil-kebil. Dia mencari akal supaya tidak berlaku pertengkaran di tempat terbuka seperti itu. Hardy selalu terlupa pesanan Puan Suzi agar menjaga tatasusila walau di mana saja dia berada.

“Errr...kucing...errr...bukan! maksud aku tu ha, Jasmine dah penat tunggu kau.” Nadira mendapat akal. Boleh tahan panjang juga akalnya.

‘Alamak! Aku dah termarah budak kampung ni pulak.’ Baru Hardy tersedar tujuan asalnya mahu mempergunakan Nadira untuk kepentingannya.

“Ha,ah...jom teman aku. Pandai-pandailah apa kau nak buat ya.”

Kali ini Hardy tidak mahu menunggu alasan Nadira lagi. Dia terus masuk ke butik Tiffany. Mahu tidak mahu Nadira terpaksa melakukan perkara yang sama. Jika tidak dia akan mendapat masalah besar apabila balik ke rumah nanti. Sudah tentu Hardy akan mengajarnya dengan cara yang halus. Deraan mental yang akan berbekas dalam emosinya.

“Darl...yang ni cantik kan? I suka yang ni tau. Cuba you kenakan ke tangan I. Mesti padan.” Rengek Jasmine.

Meremang bulu roma Nadira mendengarnya. Teruk sungguh orang yang sedang gila bercinta. Nadira cuba menepis-nepis setiap kata-kata Jasmine dari masuk ke lubang telinganya. Dia tidak mahu pendengarannya dicemari oleh kata-kata yang tidak sepatutnya. Terfikir olehnya, kalau bercinta perlukan berkelakuan aneh?

Badan Jasmine meliuk lintuk seperti api lilin ditiup angin. Manja tidak bertempat! Nadira pura-pura tidak melihat dan tidak mendengar. Lebih baik dia membelek jam tangan yang lebih cantik daripada Jasmine. Hardy pula membisu seribu bahasa apabila Jasmine terus memujuknya untuk menghadiahkan jam tangan kepadanya.

“Ehem...tengok ni. Cantik tak?” Jasmine mencuit bahu Nadira apabila Hardy tidak memberi jawapan. Hardy hanya mampu berdiri tegak dengan kedua tangan berada di dalam poket Jeansnya.

“Cantik!...cantik.” Spontan jawapan Nadira. Dia tidak bersedia dengan jawapan yang memihak kepada Hardy kerana Jasmine tiba-tiba saja bertanyakannya.

Di belakang Jasmine, Hardy menjegilkan mata. Memberi isyarat kepada Nadira supaya melakukan sesuatu sebagai jawapan ‘tidak’ untuk permintaan Jasmine yang tidak masuk akal. Jika dia sendiri yang menolak kemahuan Jasmine tentu dia tidak akan nampak gentlemandi mata buah hati barunya itu.

“Kalau cantik, suruhlah abang you belikan untuk I. Pujuklah dia.” Minta Jasmine.

Nadira melirik Hardy lalu Hardy merapatkan kedua tapak tangannya dan diletakkan pada dada.Itu tanda rayuannya kepada Nadira agar Nadira membantunya pada saat-saat yang genting itu. Sesekali terfikir juga oleh Hardy betapa ruginya mempunyai kekasih seperti Jasmine. Sayangnya rayuan-rayuan dan kemanjaan Jasmine yang dibuat-buat selalu saja meleburkan hatinya.

“Jam ni memang cantik. Cantik sangat. Tapi...ermmm.” Nadira tidak tahu apa yang mahu diperkatakan. Dia cuba mencari akal dengan pantas.

“Tapi apa?” Soal Jasmine dengan suara yang lembut mengalahkan jelly. Kembang tekak Nadira.

“Tapi...tapi...tak padan untuk kau. Ya betul...tak padan untuk kau.” Nadira tidak sempat berfikir. Dia meluah apa yang terlintas di kepalanya. Hardy terus memberi isyarat agar dia memberi alasan buat Jasmine.

“Yang ni tak padan ek? I perlu pilih yang lain ke?” Jasmine terus bertanya.

‘Apa lagi aku nak cakap ni?’ Nadira buntu.

‘Huh! Perempuan memang menyusahkanlah! Dua-dua sama. Seorang tak reti bahasa. Seorang lagi dungu!’ bentak Hardy dalam hati. Masih diselaputi kesombongan.

“I pilih lain ya. Bila you tengok cantik...you suruh abang you hadiahkan buat I. Lelaki biasalah, tau tau nak pilih.” Badannya dikisar untuk meletakkan semula jam tangan dalam pegangan dan mahu memilih yang lain. Cepat-cepat Hardy menghampiri Nadira. Kaki kanan Nadira dipijak hujungnya.

“Awww! Awww!” Berkerut dahi Nadira menahan sakit.

“You kenapa?”

“Tak!...awak tak payahlah pilih mana-mana jam pun. Awak tak sesuai pakai!”

“Tak sesuai? Kenapa?” Bulat mata Jasmine. Mana mungkin gadis secantiknya tidak sesuai untuk memakai jam yang mahal itu. Hardy mengetap bibir melihat ragam Jasmine. Dia kurang senang.

Pembantu butik memanjangkan leher. Melihat dan mencuri dengar apa yang sedang berlaku. Sayangnya jarak yang agak jauh tidak memberinya peluang untuk tumpang sekaki. Dia meneruskan tugasnya di skrin komputer.

“Sebabnya...awak macam kucing Parsi! Kucing Parsi mana pakai jam!” Penat memerah otak, hanya itu yang mampu Nadira luahkan. Hardy agak terkejut dengan kata-kata Nadira. Bukan alasan seperti itu yang Hardy mahu Nadira beri.

“Hah! Kucing Parsi?” Jasmine lebih terkejut lagi. Dia tidak faham mengapa dia digelar kucing Parsi.

“Ya...kucing Parsi.”

“Tapi kenapa kucing Parsi?” bentak Jasmine mula jengkel.

Hardy mengembungkan pipinya untuk melepaskan nafasnya yang terasa tersekat di kerongkong. Dia mulai melihat kemarahan Jasmine. Untuk menghentikan Nadira daripada terus bercakap, terasa kelu pula lidahnya. Entah mengapa sebahagian daripada hatinya ternanti-nanti jawapan Nadira.

“Sebab awak suka menggesel-gesel. Tergeliat sana, tergeliat sini. Merengek-rengek macam budak kecik. Dah tu nakkan jam yang mahal ni. Memanglah tak padan.” Nadira memberanikan diri.

Nadira tidak tahu cara lain untuk menghalang Jasmine dari mahukan jam tangan eksklusif itu. Niatnya hanya mahu membantu Hardy. Itu pun setelah berkali-kali dipaksa. Jika dia tidak melakukan sudah tentu Hardy akan menghukumnya.

“Hiii...benci!...benci!...you dengar tak adik you kata apa? Kenapa you tak marahkan adik you?”

Sebaliknya Hardy hanya terpinga-pinga. Jika dia menegur Nadira, sudah tentu kehendak Jasmine untuk memiliki jam akan berjaya. Dia belum bersedia untuk berhabis wang ringgit untuk seorang gadis yang masih tidak dikenali hati budinya. Dia juga tidak pasti adakah Jasmine orang yang dicintainya.

“Ah! You dan adik you sama je! Tak guna! Banyak duit tapi kedekut. Tahi hidung masin!” marah Jasmine. Pembantu kedai mengintai lagi. Jasmine menjegilkan matanya. Cepat-cepat pembantu kedai menyambung tugasnya.

“Janganlah marah-marah. Malu orang tengok.” Akhirnya kedengaran juga suara Hardy. Itu pun dalam kadar yang sangat perlahan.

“I peduli apa! You lebihkan adik you dari I.”

“Mana ada...lagi pun dia cuma adik angkat I je.” Hardy cuba untuk memujuk. Separuh hati.

“Hah! Adik angkat? Padanlah asyik bela dia. Angkat-angkat lama-lama terangkat!” protes Jasmine lagi.

“Sudah! You ambik jam ni. I tak kebulur. I boleh cari lelaki lain yang boleh bagi apa saja pada I. Kita putus! You bercintalah dengan adik angkat you ni. Baru padan! Sama je perangai!”

Sebelum pergi Jasmine sempat melayangkan beg tangannya ke badan Hardy untuk melepaskan geram. Mulut Hardy terkunci. Badannya terkaku. Hanya matanya yang mengekori Jasmine pergi. Untuk kali yang kelima dia putus cinta lagi. Kali ini dengan kucing Parsi yang mahukan jam tangan eksklusif.

Nadira tidak berani memandang Hardy. Takut dimarahi. Anehnya Hardy tidak menegur perlakuannya. Hardy melangkah keluar dari butik Tiffany lalu Nadira terkocoh-kocoh mengekorinya. Yang pasti Hardy mahu balik ke rumah. Terjun ke dalam kolam dan berenang untuk menurunkan suhu badan yang berbahang.

“Marah?”

Hardy terus diam sambil cuba menahan sabar. Dia tidak faham apa yang dirinya sedang rasakan. Kenapa dia tidak berasa kehilangan setelah Jasmine memutuskan hubungan dengan sekelip mata. Hanya ada sedikit perasaan marah. Itu pun dia tidak pasti untuk apa dia mesti marah.

Marah pada Nadira? Tidak adil untuk dia berbuat begitu. Apa yang Nadira lakukan adalah di atas kehendaknya juga. Hanya mungkin saja Nadira melakukannya dengan cara yang tidak betul. Gadis kampung itu hentam keromo saja.

“Hmmm...marah rupanya.”

‘Eiii...dia ni! Aku tak mengamuk dah cukup baik. Tak diam-diam mulut tu.’ Omel Hardy dalam hati lalu melangkah laju meninggalkan Nadira. Terkial-kial Nadira mengejarnya.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.