Ketukan pintu yang berkali-kali memekakkan telinga Nadira. Sudah
ditekup dengan bantal masih juga terdengar. Sudah tentu Hardy mahu membuat
kacau lagi. Dia mesti bertahan di dalam bilik itu walaupun perutnya mula
merintih kerana seharian tidak diisi. |
“Nadira...
mama ni.”
Suara
Puan Suzi melegakan Nadira. Sepantas kilat dia melompat dari katil. Berjalan
laju lalu membuka pintu.
Nadira
membalas dengan menutup mulutnya. Tidak mahu wanita itu nampak bibirnya cedera.
Puan
Suzi menghadiahkan senyuman tatkala pintu dibuka luas. “Nadira buat apa dalam
bilik?”
“Err...
tak ada apa,” jawabnya, sedikit gugup.
Mahu mengadu, takut-takut Hardy akan
membalas dendam. Tentu dia akan lebih teruk dikerjakan pada esok hari. Bosan
sungguh apabila keseorangan di rumah semewah itu. Macam burung pipit di dalam
sangkar yang besar dan cantik.
“Cuba
Nadira alihkan tangan tu. Jangan sorokkan muka Nadira yang comel. Dengan mama
tak usah malu-malu.” Puan Suzi menarik tangan Nadira.
“Eh? Kenapa dengan bibir
Nadira ni? Bengkak!” Dia terkejut bukan main. Dia tidak sedap hati. Baru dua
hari Nadira berada di rumah itu, sudah ada yang tidak kena padanya.
“Jatuh,”
jawab Nadira, pendek.
“Jatuh?
Macam mana boleh jatuh? Kalau jatuh biasa, takkan teruk macam ni.” Puan Suzi
tidak puas hati. Disentuhnya bibir yang telah membengkak kerana pecahan yang
agak teruk.
Berkerut
muka Nadira menahan pedih. Sepedih perutnya yang sedang kelaparan. Rasa hati
hendak mengadu tapi terngiang-ngiang amaran Hardy. Justeru dia terpaksa
menyembunyikan perkara yang sebenar.
“Nanti
mama bawak Nadira ke klinik,” ujar Puan Suzi.
Nadira
menggeleng. Menolak.
“Kenapa
tak nak? Sakit, kan?”
Nadira
menggeleng lagi. Dia benci pada klinik. Kali terakhir Haji Embong membawanya ke
klinik, punggungnya telah dicucuk dengan jarum untuk mengurangkan sakit perutnya.
Meleleh air matanya. Sejak itu dia amat takut apabila disebut tentang klinik
ataupun doktor. Baginya perkataan itu memang berhantu.
“Tak
nak tak apalah. Tapi kalau tak tahan, bagitahu mama, ya?”
Puan Suzi tidak mahu
memaksa. Sejak sampai di kediaman mewah itu, Nadira lebih banyak mengangguk dan
menggeleng daripada bersuara. Dia faham anak itu masih takut-takut dan
malu-malu. Malah, masih belum menyesuaikan diri.
“Bibik kata Nadira seharian
tak makan. Janganlah macam tu. Nadira sakit nanti. Mari ikut mama...mama nak
tengok Nadira makan.”
Dia menarik perlahan tangan Nadira. Wanita itu amat
senang apabila dapat memimpin tangan Nadira. Terselit rasa bangga kerana
mempunyai seorang anak perempuan sebesar itu. Nadira sudah menjadi anak
segeranya.
Ajakan
Puan Suzi tidak dibantah. Kaki Nadira terus melangkah. Inilah peluangnya untuk
mengisi perut yang semakin pedih. Kalau boleh mahu membayar hutang, makan pagi
dan tengah hari yang sudah berlalu.
Dengan
adanya mama baru di sisinya, dia yakin dia akan selamat. Matanya meliar mencari
kalau-kalau ada Hardy di tempat berhampiran. Lega apabila Hardy tidak muncul
depan matanya.
“Hardy
mana, Suzi?” Tuan Daniel yang baru balik daripada bermain golf bersama rakan
bisnesnya menegur. Matanya melirik ke arah Nadira lalu melemparkan senyuman.
Nadira
membalas dengan payah. Bibirnya masih terasa sakit apabila digerakkan.
“Kenapa
dengan bibir dia, Suzi?” Belum sempat Puan Suzi menjawab, Tuan Daniel bertanya
lagi.
“Katanya
jatuh.”
Sebenarnya
ada syak wasangka di dalam diri Puan Suzi. Dia tidak percaya yang Nadira
terjatuh dengan sendirinya. Apabila mengingati bagaimana layanan Hardy sewaktu
kali pertama Sulastri dan Rukiah baru tiba ke rumah itu, dia ada andaiannya sendiri. Apa tidaknya, dengan
dua orang dewasa pun anak lelakinya itu boleh berkasar, inikan pula dengan
budak kecil seperti Nadira.
“Jatuh
tak apa. Jangan Hardy punya kerja, sudah!” Rupa-rupanya Tuan Daniel pun menaruh
syak yang sama. Mereka sudah masak dengan sikap anak bertuah itu. Selalu buat
hal sesuka hatinya.
“Suzi
nak bawa dia makan, bang. Bibik kata seharian dia tak makan. Sekarang dah nak
senja. Mesti lapar betul dia.”
“Abang
pun rasa nak makan ni. Maghrib nak ikut abang ke masjid tak?” Tuan Daniel
mengekori dua beranak itu ke dapur.
“Abang
pergilah dengan anak bertuah kita tu. Suzi cuti, bang.”
“Amboi,
mama! Bukan main sayang lagi kat budak kampung tu!” tegur Hardy. Terasa mual.
Ketika
dia hendak keluar ke bilik bacaan tadi, dia ternampak mama memimpin tangan
budak kampung itu menuruni tangga. Lalu dia berdiri di sebalik almari besar di
ruang tamu, menjadi pengintip di rumah sendiri. Mencari dan mengumpulkan
maklumat.
Dia
mahu mengira berapa banyak kesalahan Nadira terhadapnya. Apa saja yang
menyakitkan hatinya adalah satu kesalahan. Esok perhitungan akan diteruskan.
Perang tetap perang! Dadanya menggelegak seperti kawah gunung berapi. Panas!
Kedatangan Nadira hanya menyusahkan.
“Comel
pun tak guna juga. Bukan adik aku pun!” marahnya apabila tiba-tiba hatinya
mengagumi wajah Nadira.
“Mak!
Lipas!”
Tiba-tiba
seekor lipas sesat merayap di kakinya. Hardy
yang baru keluar dari tempat intipan dan mahu ke ruang makan
terlompat-lompat sambil menepis lipas yang mahu menyusup masuk ke dalam seluar
pendeknya.
Setelah
dikuis-kuis dan ditepis-tepis, lipas yang sedang menjelajah punggungnya jatuh
juga ke lantai. Hardy cepat-cepat menyepak dengan kakinya hingga lipas malang
itu tercampak jauh. Tercungap-cungap dia dibuatnya.
Tuan
Daniel, Puan Suzi dan Nadira terkejut lalu menoleh ke arah Hardy.
“Masih
takut lipas lagi?” Tuan Daniel yang sudah kenyang menyoal dengan sinis.
Puan
Suzi menggeleng. Hanya Nadira yang tidak ada hati melihat Hardy. Malas. Hardy
tersentak. Dia tidak menyangka apa yang berlaku telah menjadi tontonan papa,
mama dan Nadira.
“Dah
besar panjang pun masih tak berubah,” tokok Puan Suzi.
Hardy
rasa terhina. Maruahnya jatuh depan Nadira. Walaupun Nadira diam saja, mungkin
dia sedang mentertawakannya di dalam hati. Jadi itu juga dikira sebagai satu
kesalahan Nadira. Hari esok adalah hari pembayaran. Nadira akan menerima
akibatnya.
‘Dah
ada tiga kesalahan. Pertama... mama dan papa bagi muka. Kedua... makan sedap
dengan mama dan papa. Ketiga...
ketawakan aku dalam hati. Aku akan kumpul lagi,’ omelnya di dalam hati.
Seboleh-bolehnya
dia tidak mahu Nadira merampas kuasa di dalam rumah itu. Duit papa dan mamanya
yang banyak bukan datang dari langit. Rumah besar itu bukan dibina dengan silap
mata. Suka-suka saja Nadira mahu berbahagi dengannya.
Kalau
selama ini apa sahaja keperluan hanya untuknya seorang, sudah tentu selepas ini
Nadira juga akan mendapat hak yang sama. Siapa Nadira untuk diberi kelebihan
sama sepertinya? Argghhh... benci! Benci!
“Hardy
dah mandi? Maghrib ni kita ke masjid,” tegur Tuan Daniel apabila melihat muka
masam Hardy selepas diusik di hadapan Nadira.
Puan
Suzi membawa Nadira berlalu dari situ. Hardy menjeling tajam dengan ekor
matanya.
Tuan
Daniel perasan ada kemarahan di dalam diri Hardy. Dia faham benar bila
ketikanya anak manja itu dalam keadaan marah.
“Sudah
tu, pergi mandi. Ikut ke masjid,” arahnya apabila Hardy tidak menjawab
pertanyaannya sebentar tadi.
Tanpa
menunggu lama, cepat-cepat Hardy beredar dari situ. Dia hendak mandi supaya
mereda bahangnya.
“Satu
lagi... papa nak ingatkan, jangan kamu buat bukan-bukan pada adik kamu tu. Papa
tak suka. Tak baik aniaya anak yatim... berdosa. Ingat tu.” Sempat Tuan Daniel
berpesan.
Langkah
Hardy terhenti. Amaran papanya membuatkan
dia tidak puas hati. Bagaimana papa boleh menghidu perbuatannya?
Setahunya tidak terpasang CCTV di kediaman mereka. Bengkak hatinya. Dendam pada
Nadira menyala-nyala. Kedatangan budak itu membuatkan dia nampak buruk pada
pandangan mata papanya.
“Hardy
tak buat apa-apa pun.” Sudahnya dia bersuara, cuba menegakkan benang yang
basah.
“Hmm...
mana taulah kan... papa ingatkan aje.” Lalu Tuan Daniel berlalu ke anak tangga.
Hati
Hardy betul-betul panas. Sambil melangkah ke biliknya, fikirannya sedang
merancang apa yang akan dilakukan pada esok hari. Dia mesti bertindak. Cuti
persekolahan hujung minggu itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk
mengenakan Nadira. Tidak peduli lagi nasihat Tuan Daniel sebentar tadi. Yang
penting hatinya puas. Dengan mudah, satu per satu perancangan menjengah
otaknya. Dia tersenyum sendiri.