Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 19



TAHUN 2013

Bosan hidup dalam rumah yang tersergam besarnya tapi semuanya rasa kosong dan sunyi. Setiap hari selama 10 tahun lamanya hati Nadira sepi. Apabila Puan Suzi berada di rumah barulah ternampak senyuman dari bibirnya. Kalau bukan kerana wanita itu sudah kama dia mahu pergi dari keluarga kaya itu.

Hatinya tidak pernah aman. Apa yang diperkatakan oleh Haji Embong 10 tahun lalu semuanya satu kesilapan. Tujuan pemilik Al-Mustaqim itu untuk melihat dia hidup sempurna dan gembira belum menjadi kenyataan. Nadira rasa lebih terbuang lagi. Sikap dingin Hardy membuat dia sangat tertekan.

Sesudah satu jangkamasa yang panjang berlalu, Nadira tidak pernah lagi berharap Hardy akan bersikap lebih baik terhadapnya. Dia sudah penat mencuba bermacam cara supaya anak muda itu menerimanya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga tapi semuanya sia-sia. Hardy tetap Hardy. Sombong, ego dan tidak tahu menghargai orang lain.

“Bik. Cakap dengan budak kampung tu, jangan sekali-kali dekat-dekat dengan piano tu. Takut ada bakteria pulak nanti.” Sindir Hardy yang baru keluar dari kolam renang. Sampai saja depan pintu masuk sudah terdengar suara angkuhnya.

“Hina sangat ya jadi orang kampung? Sampai lupa najis yang keluar lepas makan sedap-sedap sama je, busuknya tak ada beza.” Balas Nadira berani. Dia sudah banyak belajar macam mana mahu mendepani Hardy.

Abang segeranya itu tidak boleh terlalu diberi muka lagi. Buang masa saja bersikap baik dan bercakap sopan dengannya. Tidak ada balasan baik setiap kali Nadira mahu mengambil hatinya. Sudahnya Nadira yang nekad mengubah cara. Hendak terus hidup mesti pandai sesuaikan diri.

“Kau makin besar kepala ya! Ingat asal kau tu. Sedar diri tu sikit!” Hardy membetulkan tuala yang melilit pinggangnya sambil menahan geram. Nadira sudah banyak berubah. Itu yang membuat hati Hardy selalu bengkak.

“Aku ingat je asal aku. Tak pernah lupa. Aku dari tanah...sama macam kau! Ke kau ni asal dari api?” Kali ini Nadira yang bersikap sinis. Sengaja dia berbuat begitu untuk menyakiti hati Hardy.

“Kurang ajar betul kau ni! Tajam betul mulut kau sekarang.” Hardy tambah bengang. Berkerut mukanya menahan marah.

Sulastri yang sudah lama berkerja dengan keluarga itu hanya memasang telinga. Kalau boleh dia mahu cepat berlalu ke dapur. Pembantu rumah yang sudah tua itu sama macam Nadira. Sudah bosan melayan kerenah Hardy. Melihat Sulastri serba tidak kena, Nadira mengarahkannya ke dapur semula.

“Aku cakap benda yang betul. Kalau kau yang terasa apa aku nak buat.” Sindir Nadira lagi sesudah pembantu rumah pergi.

“Eiii...rasa nak tangan je.”

Tangan Hardy sudah terangkat tinggi. Mahu menampar muka Nadira. Cepat-cepat Nadira memejamkan matanya. Bersedia menerima tamparan. Bagus juga kalau mukanya terjejas dek tangan Hardy. Sekurang-kurangnya dia akan ada alasan untuk melarikan diri dari rumah yang panas itu.

‘Hailah...kenapalah budak kampung ni buat muka macam ni? Cair aku!’ keluh Hardy.

Tangannya masih terangkat tidak bergerak. Untuk seketika dia terpana melihat muka Nadira yang mulus. Berdetak jantungnya. Perasaan yang pelik datang lagi. Bukan kali pertama perasaan seperti itu datang.

Seingatnya sejak umur Nadira masuk ke angka 15 sudah ada perasaan pelik yang selalu mengganggu Hardy. Setiap kali itu juga dia berhempas pulas untuk menafikannya. Mana boleh jadi dia menjilat ludahnya sendiri. Ah! Apa sangatlah dengan budak kampung itu.

“Kenapa tak tampar?” cabar Nadira sesudah merasakan pipinya tidak disentuh tapak tangan kasar Hardy.

Anak muda itu merendahkan tangannya lalu dikepal-kepal perlahan. Muka Nadira yang sedang menentang matanya direnung lama. Dia cuba membaca air muka remaja 18 tahun itu tapi gagal untuk mentafsirkan. Yang pasti ia sangat menyejukkan mata memandang. Itu yang membuat Hardy selalu kalah.

“Nak sangat ke kena tampar? Nak sangat?” Keegoan Hardy mengatasi perasaan peliknya.

“Nak sangat tu taklah...tapi memang itu yang kau suka nak buat kan? Dah jadi habit kau. Kau orang kuat, lebih-lebih lagi kat perempuan!” Nadira semakin berani.

Tebal telinga Hardy mendengarnya. Kelantangan Nadira membuat dia terdiam. Mati kutu. Hardy sedar Nadira bukan lagi budak kecil yang boleh diugut dan ditakut-takutkan lagi. Mustahil juga untuknya memaksa budak kampung itu menyental badan kereta atau diseret dan dikurung di dalam stor. Nadira sudah kebal dengans semua itu.

“Rugi perempuan yang dapat kau nanti. Mesti hari-hari makan hati...ermmm, ermmm, ermmm, kalau aku biar dapat orang miskin, orang kampung, tak apa tapi tau hargai perempuan.” Seronok betul Nadira berjaya membuat Hardy terdiam. Baru padan dengan mukanya.

“Kau ni kan!...”

“Apa? Tak pu...” pintas Nadira yang membuat Hardy mengetap bibir menahan marah,

“Darlinggg!” suara dari arah pintu utama membuat kedua-duanya menoleh.

Belum sempat Nadira menghabiskan kata-katanya, kedengaran suara dari arah pintu utama. Sepasang kaki sedang melangkah ke arah mereka. Catwalk sungguh gayanya. Lenggang-lengguknya macam belut, licin menggoda. Sedangkan Nadira menelan air liur bila melihatnya, inikan Hardy yang menjadi kekasihnya.

“Jasmine...buat apa datang?” tanya Hardy yang agak terkejut dengan kedatangan buah hatinya.

“You dah lupa ke janji kita? You sanggup teman I shopping hari ni kan?” ujar Jasmine yang terus melangkah menghampiri.

“Hai Nadira!...nampak cute adik you ni.” Sempat juga dia memuji Nadira. Nadira senyum sedikit lalu berlalu ke buaian rotan di satu sudut ruang tamu. Malas mahu lama-lama di situ. Lebih-lebih lagi untuk melihat merpati sejoli yang sedang kemaruk bercinta itu.

Hardy memerhati Nadira yang berlalu. Dalam hatinya mengiakan apa yang dikatakan oleh Jasmine. Walau tanpa secalit alat solek Nadira tetap nampak cantik. Semuanya semulajadi. Semua pergerakan dan pertuturannya selalu berpada-pada kecuali apabila berdepan dengan Hardy. Tanpa sedar Hardy sudah berjaya melatih Nadira bagaimana mahu mempertahankan diri dari segala macam hinaan.

“Bila I janji...ada ke?” Hardy pula ragu-ragu. Dia menggaru dagu sambil cuba mengingati tentang janji itu.

“Ermmm...tak ada. Sebenarnya I boring hari ni. You free kan?”

Jari Jasmine yang runcing dan bercat hitam hendak dilabuhkan ke dada Hardy yang luas. Cepat-cepat Hardy mengelak sambil matanya menjeling Nadira. Nadira yang kebetulan melihat babak itu pantas melarikan pandangan ke tempat lain. Buang masa saja menonton drama tidak berbayar.

Free...tapi susahlah.” Pandangan mata Hardy masih terarah ke buaian Nadira. Ekor mata Nadira dapat merasai pandangan itu tapi dia tidak mahu ambil tahu.

“Apa yang susah ni darling? Jasmine cuba rapat tapi Hardy undur sedikit.

“Nadira macam mana?”

“Nadira? Apa kena mengena dengan dia? I keluar dengan you, bukan dengan dia.”

Susah untuk Hardy menjelaskan. Yang pasti dia mesti membawa Nadira bersama kalau hendak ke mana-mana. Tidak boleh tidak. Lagi pula Hardy agak berat hati untuk keluar pada hari itu. Dia tidak suka melakukan sesuatu tanpa dirancang terlebih dulu. Lebih-lebih lagi hatinya sedang bengkak disebabkan sikap Nadira yang semakin berani melawannya.

“Lain kali jelah. Boleh kan?”

“Tak boleh!...hmmm, atau pun...kalau you tak nak temankan I shopping, I temankan you. Mesti you pun boring kan?” Jasmine menawarkan pilihan untuk Hardy.

“Maksudnya...you akan seharian kat rumah I? Macam tu?”

“Iyalah. You suka kan?” Gadis bergaya itu sangat yakin Hardy tidak akan menolak.

Hardy tidak terus memberi jawapan. Entah kenapa hatinya sangat berat untuk menghabiskan masa di luar. Dia lebih suka bergaduh dan sindir menyindir dengan Nadira di rumah. Walaupun setiap kata-kata Nadira selalu saja menyakitkan hatinya tapi dia akan tetap merindui suara budak kampung itu kalau sehari tidak kedengaran.

Sebelum memberi jawapan sempat dia menjeling lagi ke arah Nadira. Nadira yang ralit memerhati penampilan Jasmine cepat melarikan pandangannya. Sudah bosan hendak bertentang mata dengan anak singa jantan yang sudah makin besar. Apa saja yang berkaitan dengan Hardy sangat memenatkan fikiran dan perasaannya.

‘Dari tadi jeling-jeling aku tu kenapa? Nak bagitau aku yang buah hati dia tu mengalahkan model le tu. menyampah!’ umpat Nadira dari jauh.

“Darling...kenapa diam?” rengek Jasmine pula. Hardy melepaskan keluhan. Agak sebal dengan sikap kekasih yang suka memaksa.

“Okey...okey...kita keluar.”

Hardy terpaksa membuat pilihan yang dia sendiri tidak suka. Dia yakin dengan membiarkan Jasmine menamaninya seharian di rumah itu akan membuat kepalanya lebih semak dan serabut. Mungkin suasana di luar akan membuat dia lebih mudah menarik nafas dengan selesa. Sudah sedia maklum Jasmine memang gadis yang banyak kerenah.

“Nadira! Bersiap...kita keluar!” jerit Hardy seolah-olah Nadira seorang yang pekak.

“Hah!” Jasmine terkejut. Kenapa mesti Hardy membawa Nadira sekali? Hardy buat-buat tidak tahu.

“Kenapa aku nak bersiap pulak? Tak ada kena-mengena dengan aku!” bantah Nadira.

“Iyalah...tak payah bawak adik you tu. Dia pun tak suka nak ikut kita.” Protes Jasmine pula. Mukanya nampak bosan dengan kerenah Hardy yang entah apa-apa. Dalam hatinya terus berharap supaya Nadira tetap tidak mahu ikut serta.

“Aku kata siap...siap ajelah! Tak payah banyak cakap!” marah Hardy yang tidak menghiraukan kebosanan Jasmine.

“Malas!” bangkang Nadira yang masih bermalas-malas sambil terus berbuai.

Tanpa membuang masa Hardy mendapatkan Nadira. Bulat matanya. Nadira menjeling. Sempat dia melihat betapa merah padamnya muka Hardy. Tidak sedap pula hati Nadira hendak berbalah depan Jasmine. Dia tidak mahu menjadi budak kecil yang kurang bijak.

“Kau nak dengar cakap aku ke tidak?”

Sengaja Hardy menekan suaranya supaya kedengaran tegas. Nadira memandangnya sekejap. Kemudian mengintai pula Jasmine yang sedang gelisah. Satu keluhan dilepaskan. Kali ini dia terpaksa mengalah. Hardy menang lagi.

“Baikkk! Aku bersiap sekarang!” bingkas Nadira bangkit dari buaian dengan muka masam. Dia terus berlalu tanpa ada hati hendak memandang-mandang Hardy dan Jasmine lagi.

“Huh! Menyibuk betul!” sungut Jasmine sebaik mendengar persetujuan Nadira. Kacau daun saja.

“You tunggu kejap. I pun nak bersiap.” Ujar Hardy lalu melangkah naik ke tingkat atas. Jasmine terpaksa akur dengan kemahuan Hardy yang hendak membawa Nadira.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.