HAJI EMBONG terhenyak di tepi longkang kecil. Matanya terkelip-kelip
menahan sayu di hati. Zariq dan
Tajol menghampiri lelaki itu. Mereka duduk di kanan dan kiri Haji Embong.
Mereka memerhati pandangan Haji Embong yang jauh ke depan. “Selepas
Nadira, siapa pulak, ayah? Kami?” soal Zariq dengan resah. |
Luahan
hati seorang anak Al-Mustaqim yang dilontar keluar. Zariq tahu mereka tidak
akan kekal di situ. Seperti Hamdan, Hamidah dan ramai lagi. Sekarang tiba pula
giliran Nadira. Selepas Nadira? Mungkin dirinya. Mungkin Tajol, Midi atau
Busyra. Semuanya mungkin.
Haji
Embong tunduk. Dadanya seakan-akan ditindih seketul batu. Sendat. Perpisahan
adalah saat-saat yang paling menyeksa perasaannya. Dia membina Rumah
Al-Mustaqim yang tanahnya diwakafkan oleh seseorang dengan kasih sayang.
Kemudian diambilnya seorang demi seorang anak-anak untuk memenuhi rumah itu.
Anak-anak
itu peneman sepinya yang sendirian. Bukan dia tidak ada anak sendiri tapi entah
di mana. Haji Embong hidup terbuang. Selama 20 tahun dia menumpang kasih pada anak-anak
yang tidak ada orang tua. Anak-anak Al-Mustaqim pula meminjam kasih sayang
daripadanya. Mereka memberi dan menerima hinggalah usianya berganjak ke 60-an
dan keuzuran menjadi penghalang untuk mereka terus bersama.
“Ya,
betul. Kamu semua akan pergi tinggalkan ayah. Seorang demi seorang. Mungkin
ayah akan sendirian menghabiskan sisa-sisa hidup ayah di Al-Mustaqim. Tapi masa
tu ayah akan rasa lega sebab kamu semua dah jumpa kehidupan yang lebih selesa.”
Semakin
kuat kerdipan mata tuanya. Ditekan-tekan supaya air mata tersekat tidak dapat
keluar. Kadang-kadang dia cuba mengingati anaknya sendiri. Kalau bertemu lagi,
masihkah dia dapat mengingati wajahnya? Ah! Di mana kamu? Baginya, Zariq dan
Tajol pengganti anak lelakinya itu.
Tajol
dan Zariq pun sudah lama tidak menangis. Sejak menjadi penghuni di Rumah
Al-Mustaqim, mereka sudah terbiasa menyorokkan kesedihan. Bermacam-macam
rintangan sudah dilalui. Mereka sudah kebal dengan semua itu. Namun di dalam
hati yang tidak nampak, ada limpahan takungan air mata yang tersimpan lama.
“Zariq
tak nak pergi. Tak akan tinggalkan ayah sampai bila-bila. Zariq tak peduli.
Ayah nak pukul ke... nak rotan ke...Zariq tetap tak akan tinggalkan ayah. Zariq
nak jadi anak ayah sampai bila-bila. Nak jaga ayah bila ayah dah lebih tua.”
Getar suara Zariq membayangkan rasa hatinya.
“Kamu
suka hidup susah?”
“Asalkan
ada ayah.”
“Kamu
memang degil. Paling degil kat Al-Mustaqim ni.” Tidak tahu apa lagi yang hendak
diucapkan oleh Haji Embong. Dia sudah masak dengan keras kepala Zariq. Zariq
selalu tetap dengan kemahuan dan pendiriannya.
“Memang
Zariq degil sebab Zariq sayang ayah.” Keputusan Zariq bulat dan melekat. Tidak
boleh diubah-ubah lagi.
Sebak
hati Haji Embong disembunyikan. Dia sangat terharu dengan perhatian yang
diberikan oleh Zariq. Sudah ada rasa tanggungjawab di dalam diri Zariq walaupun
umurnya masih terlalu mentah.
“Kamu,
Tajol? Nak lawan ayah jugak?” Dia mahukan jawapan Tajol pula.
Tajol
mengangguk dengan yakin. Suara hatinya sama. Dia juga sudah nekad tidak akan
sesekali meninggalkan Haji Embong. Tidak mengapa kalau mereka hanya dapat makan
berlaukkan ikan yang dipancing dari parit besar atau kolam ternak orang tua
itu. Pucuk paku dan cendawan sudah sebati dengan tekak mereka. Sayuran yang
berbaris pada batasnya lebih daripada mencukupi.
“Entahlah...
ayah bukan ada seorang anak lelaki yang degil, tapi dua orang. Tak dengar
kata.” Ucapan Haji Embong tidak sama dengan kata hatinya. Baginya Tajol dan
Zariq ialah anak-anak yang baik.
“Ayah
yang ajar kami. Ayah kata kita mesti sayang orang lain. Jangan pentingkan diri
sendiri. Kami ikutlah cakap ayah. Kami nak jaga ayah,” ujar Tajol.
Haji
Embong mengeluh perlahan. Hati Tajol sekeras hati Zariq. Memang sepadan mereka
menjadi sahabat baik walaupun ada masanya Tajol sangat menjengkelkan. Mereka
seperti askar muda yang sudah direkrut dengan ketahanan jiwa.
Kali
ini tidak tahan hati tuanya. Setitis demi setitis air mata jatuh ke dalam
longkang kecil. Dia telah kalah dengan jiwa besar dua orang anak lelaki yang
masih mentah. Masih hingusan tapi kehidupan telah melatih untuk mereka berfikir
jauh ke depan.
“Kamu
berdua tinggalkan ayah. Ayah nak sendirian.” Perlahan sekali nada suaranya.
Zariq
dan Tajol akur. Sebak. Belum pernah Haji Embong menitiskan air mata di depan
mereka. Kali ini mereka dapat melihat dengan jelas betapa sukarnya orang tua
itu mengawal perasaannya. Mereka membiarkan Haji Embong menenangkan jiwanya
lalu beredar dari situ.
“Nadira...”
Bibir
Haji Embong bergetar. Jari-jari tuanya menyeka air mata yang membasahi pipi
yang tidak lagi tegang. Terlalu pedih untuk melepaskan Nadira pergi. Terlalu
sukar mahu berpisah dengan anak perempuannya itu. Malangnya Nadira tidak akan
memahami semua itu. Dia masih terlalu kecil untuk mengerti.
“Assalamualaikum,
abang haji.”
Salam
Mak Som yang baru keluar dari arah pintu dapur dijawab di dalam hati saja oleh
Haji Embong. Perasaannya sedang lesu tidak bermaya.
Melihat
muka Haji Embong yang suram, Mak Som menggeleng kepala. “Masih fikir tentang
Nadira, abang haji?” soalnya perlahan.
Seperti
Haji Embong, perasaan Mak Som juga tidak menentu. Apa tidaknya, dialah yang
berjaga malam ketika Nadira kembung perut sewaktu kanak-kanak itu bayi. Dia
juga yang menggantikan lampin Nadira apabila basah. Malah dia yang memandikan
Nadira pagi dan petang. Air matanya sudah terlalu banyak keluar sebaik
mengetahui Nadira akan meninggalkan mereka semua.
“Budak
tu dah mula bencikan abang. Entahlah, Som...abang harap dia akan faham bila dah
dewasa nanti.” Perlahan-lahan tapak tangan Haji Embong menyeka air matanya.
“Nadira
dah tak banyak cakap. Dengan Som pun dia asyik
jauhkan diri. Merajuk sungguh dia,” keluh Mak Som pula. Ada saki-baki
tangisan subuh tadi yang masih tersorok di hatinya. Sewaktu mengejutkan Nadira
untuk bersolat, air matanya menderu tiba-tiba. “Tak apalah, abang haji... Som
ke belukar dulu.”
Haji
Embong mengangguk lalu melepaskan keluhan.
Mak
Som ke belukar lebih awal daripada biasa. Bukan dia mahu mencari pucuk paku
atau cendawan seperti rutin hariannya. Dia hendak mengambil kayu kering untuk
dijadikan kayu api. Niatnya mahu memasak rendang daging, sambal kacang dan
ketupat. Pembantu di Al-Mustaqim itu tahu, makanan tersebut kesukaan Nadira.
Dia
mahu menghadiahkan Nadira sesuatu sebelum mereka berpisah. Tidak ada yang mampu
diberi selain air tangannya untuk Nadira yang sudah dianggap seperti anaknya
sendiri. Malam tadi dia tidak dapat lena kerana terlalu memikirkan detik
perpisahan dengan budak baik itu.
Zariq yang baru balik dari memancing
tertinjau-tinjau di tepi pagar kawat yang menjadi pemisah di antara rumah
anak-anak lelaki dan perempuan. Tidak terlihat kelibat Mak Som. Aneh!
Kebiasaannya orang tua itu akan menunggunya untuk sama-sama ke belukar. Ruang
tamu nampak sepi. Mungkin adik-adik perempuannya sedang mandi atau ada yang
belum bangun daripada tidur.
“Nadira!”
Sebaik dia mahu memusingkan badan untuk masuk ke dalam rumah, terlihat Nadira
sedang melangkah muka pintu.
Nadira
menoleh dengan muka sembap. Dia tidak menyahut panggilan Zariq.
“Mana
Mak Som?”
Zariq
dipandang lama. Nadira mahu membuka mulut tapi seperti sudah berzip. Dia tidak
ada hati untuk bercakap. Fikirannya juga kosong. Tidak ada yang singgah di
kepalanya sejak mendengar berita ada orang kaya yang mahu mengambilnya dari
Rumah Al-Mustaqim.
“Kau
dah tak boleh bercakap, ya?” Zariq faham apa yang sedang dirasai oleh Nadira.
Hanya dia tidak mahu terlalu membebankan otaknya dengan perkara itu. Kalau dia
terus memikirkannya, hatinya akan sedih dan sakit. Sedih kerana perpisahan dan
sakit hati kerana tidak dapat menghalang Nadira daripada diambil orang.
“Belukar.”
Terbuka juga mulut Nadira.
“Paginya...
Tak tunggu aku pun.”
“Entah...
tak tau,” jawab Nadira acuh tidak acuh. Tidak bersemangat untuk melalui hari
itu.
“Kau
ni monyok aje. Orang bercakap dengan dia pun nak tak nak jawab.”
“Kau
sukalah kan kalau aku tak ada nanti?!” Tiba-tiba suara Nadira meninggi. Merah
padam mukanya.
“Mestilah
aku tak suka. Aku tak suka! Nanti aku tak dapat jumpa kau lagi. Mesti aku rindu
kat kau.”
“Aku
nak duduk sini!” bentak Nadira. Dihentak kakinya ke simen. Benci! Semalaman dia
cuba memujuk hati supaya menerima kehendak Haji Embong dengan baik. Tapi
hatinya menjerit-jerit, membentak-bentak dan membantah. Sudahnya dia gagal
memujuk diri sendiri.
“Jangan
degil. Ikut apa ayah kata. Ayah dah tua, tak larat jaga kita ramai-ramai.” Nada
Zariq keras. Tiada kelembutan kerana dia
memang tidak pandai memujuk budak perempuan. Namun hatinya masih mengharapkan
supaya Haji Embong menukar fikiran. Dia tidak mahu berpisah dengan Nadira.
“Bukan
kau yang ayah nak buang, bolehlah kau cakap macam tu!” Sekali lagi Nadira
menunjukkan kemarahan. Tidak dapat ditahan. Dia tidak tahu kenapa hatinya terus
berbahang sejak mendengar ada orang kaya mahu mengambilnya. Dia hendak protes!
Biar Haji Embong tahu. Biar Zariq tahu apa yang dia tidak suka.
“Syyhh...
jangan cakap ayah macam tu. Ayah dengar dia sedih nanti. Ayah tak buang kau
tapi dah tak daya nak jaga kita semua. Ayah dah tua.” Mata Zariq melilau untuk
memastikan Haji Embong tidak berada di sekitar mereka.
“Kau
pun sama. Bohong. Asyik-asyik cakap macam tu.
Ayah bukan sedih pun.” Kendur juga suara Nadira. Dia sudah penat
mengulang perkataan yang serupa. Dia mahu masuk ke dalam rumah semula. Tidak
ada yang menarik di luar. Tidak lama lagi semuanya akan ditinggalkan. Kalau
sebelum ini dia suka mengambil angin luar pada waktu pagi, sekarang tidak lagi.
Angin pagi sudah panas habanya. Sepanas hatinya.
“Nadira!
Ikut aku nak?”
Terhenti
langkah Nadira. Dipandang muka Zariq lama. Dia memikirkan perlu atau tidaknya
untuk dia mengikut Zariq. “Ke mana?”
“Belukar...
ikut Mak Som.”
Nadira
tunduk. Tangannya meramas-ramas hujung baju. Dipandangnya Zariq lagi. Kemudian
ditinjau ruang dalam rumah. Selepas itu, menoleh pula ke hujung jalan. Ligat
otaknya berfikir. Untuk apa dia ke belukar kalau belukar itu juga akan
ditinggalkan? Renungannya berpindah masuk ke dalam rumah sekali lagi.
“Yalah...
kita ikut Mak Som.”
Keputusan
itu diambil kerana dia tahu dengan terus memerap di dalam rumah hanya akan
menambah pusing dan serabut kepalanya.
Zariq
senyum mendengar jawapan yang diharapkan daripada mulut Nadira. Dia mahu
memadam amarah di dalam hati adiknya itu.
“KAU pegang apa tu?” tanya Nadira
ketika bersaing dengan Zariq ke dalam belukar.
Tangan
Zariq berada di dalam kemeja besarnya. Bahagian perutnya berbonggol panjang.
Dia mahu menyorokkan sesuatu daripada Nadira. Malangnya kemeja bukanlah tempat
yang selamat untuk menyembunyikan apa yang sedang dipegangnya itu.
“Botol,”
jawab Zariq, pendek. Seronok dia dapat berjalan beriringan dengan Nadira. Nasib
baik Tajol bertugas di Madrasah. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak akan
membenarkan mereka berjalan berdua.
“Buat
apa?”
“Adalah...
tengoklah apa aku buat nanti. Cepat sikit jalan, takut Mak Som nak balik dah.”
Langkah
dipanjangkan. Rumpun senduduk yang melata menyusahkan pergerakan mereka. Perlu
juga berhati-hati dengan akar pokok yang berselirat di permukaan tanah. Silap
langkah boleh terjatuh apabila tersadung kaki.
“Tu
Mak Som! Kenapa Mak Som kutip kayu tu?” Nadira menuding jarinya ke arah Mak Som
yang sedang terbongkok-bongkok memungut kayu. Mata Nadira lebih awas daripada
penglihatan Zariq.
“Mak
Som! Nadira ni!”
“Sini!”
Mak Som melambai-lambai. Bergolak dadanya ketika melihat muka Nadira yang
jernih. Tidak lama lagi dia tidak akan dapat memandang Nadira lagi. Mak Som
seperti Zariq juga, tidak mahu mempamerkan rasa akan kehilangan. Biarlah dia
saja yang tahu. Biar Nadira dapat menikmati sisa kegembiraan di Al-Mustaqim.
“Kenapa
Mak Som kumpul kayu kering banyak-banyak?” Seekor nyamuk hendak bertenggek pada
batang hidung Nadira. Cepat ditepisnya.
“Untuk
Nadira.” Hujung lengan baju kurung Kedahnya ditarik untuk mengelap peluh pada
mukanya. Mak Som tidak mahu peluh itu bercampur air mata. Maka dia tidak akan
memandang Nadia ketika bercakap.
“Kayu
untuk Nadira? Buat apa, Mak Som? Tak faham Nadira.” Nadira mengoyakkan daun
yang dipetik dari pokok yang rendah. Selepas dikoyak, ditabur-tabur. Kemudian
dipetik daun yang baru. Daun hijau yang segar.
Mak
Som ketawa kecil melihat tingkah Nadira. “Nadira kan suka ketupat, daging
rendang, sambal kacang?” Masih tidak memandang Nadira, sebaliknya mata hitamnya
terus ditumpukan pada timbunan kayu yang sudah dikumpulkan.
“Oh...”
Nadira tidak melompat seperti selalu. Biasanya apabila dia tahu Mak Som akan
memasak makanan kesukaannya, keterujaannya tidak terkata. Kali ini tidak lagi.
Tekaknya tidak terliur dengan makanan kegeramarannya itu. Hanya bayangan perpisahan bermain di
kepalanya.
Daripada
nada suara Nadira, Mak Som dapat menyelami ketakutan dan kegusaran Nadira.
Sudah tentu dia tidak henti-henti membayangkan bagaimana dia akan hidup dengan
orang yang tidak pernah dikenali. Terpaksa pula meninggalkan keluarga besar
Al-Mustaqim dengan terpaksa.
“Mari
kita balik. Mak Som nak masak.” Kayu kering yang sudah dilonggokkan diikat
dengan tali yang dibawa dari rumah.
Zariq
meringankan tangan, bergegas membantu Mak Som.
“Tunggu
kejap boleh tak, Mak Som? Zariq nak tanam botol ni.” Botol yang telah
diletakkan di atas tanah semasa Zariq menolong Mak Som mengikat kayu diambil
semula. Mak Som dan Nadira berpandangan. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan
oleh Zariq.
“Ada-ada
saja kamu ni. Tanam dekat mana?”
“Sana
tu, Mak Som. Kat bawah pokok yang paling tinggi tu.” Zariq menuding jari ke
arah sebatang pokok tidak jauh dari situ.
Mak
Som mengelap peluh dengan tuala Good Morning yang terlilit pada lehernya.
Terpaksa pula melayan kerenah Zariq. “Kamu pergilah, Mak Som tunggu sini aje.
Jangan lama-lama.”
“Jom,
Nadira.”
“Buat
apa?”
“Jom
ajelah. Mak Som ada pisau tak? Zariq pinjam.”
Malas
Mak Som hendak bertanya untuk apa Zariq minta pisau. Dia sudah letih dan mahu
berehat. Dicapai botol air masak putih lalu diteguk dengan laju. Haus sungguh.
Kemudian, dia menyeluk poket baju kurung Kedah dan mengeluarkan sebilah pisau
lipat lalu dihulurkan kepada Zariq.
Mahu
tidak mahu Nadira, mengekori Zariq dengan langkah malas. Malas dia bertanya
tujuan Zariq itu.
Sampai
di bawah pokok yang paling tinggi, Zariq berhenti lalu mendongak. Memang tinggi
sungguh. Dia tidak tahu nama pokok itu.
Lagipun bukan penting untuk dia tahu.
Tangan
kanannya mulai menggores kulit pokok. Kalau boleh, dia mahu goresan itu tembus
sampai ke batang pokok.
Nadira
terus memerhati. Masih tidak ada hati hendak bertanya. Biarlah!
Bersungguh-sungguh Zariq melakukan. Lama-lama Nadira agak tertarik. Goresan
pisau Mak Som sudah melakar huruf Z. Gerakan tangan Zariq diperhati dengan
lama. Selepas Z tertera pula huruf A.
“Kau
nak tulis nama kau ke?” tanya Nadira acuh tidak acuh.Zariq angguk.
“Kau
pulak!” Zariq menghulurkan pisau itu kepada Nadira setelah selesai mengukir
namanya pada batang pokok itu.
Nadira
tersentak bila mendengar suara Zariq. “Nak buat apa?” Dia masih tidak memahami.
“Kau
tulis nama kau pulak.” Nadira menyambut pisau itu lambat-lambat. “Kenapa mesti tulis nama kita
pada pokok ni? Macam bodoh aje.”
“Kau
tak pernah cakap bodoh. Hari ni kenapa kau sebut?” Zariq mengerutkan keningnya.
“Aku
nak belajar cakap macam tu. Nanti bila aku dah duduk dengan orang kaya mesti
dia tak suka. Lepas tu, dia orang akan hantar aku balik ke sini.” Rupa-rupanya
Nadira ada rancangan sendiri.
Zariq
menggeleng. Rupa-rupanya Nadira masih tidak faham. Bukan dia seorang yang akan
terpaksa pergi. Semua anak-anak Al-Mustaqim akan dibawa oleh entah siapa-siapa
dan entah ke mana. Mereka akan terpisah juga. Tidak tahu akan dapat berjumpa
lagi atau tidak. Hanya dia yang tetap akan berkeras untuk tinggal bersama Haji
Embong. Dia sudah nekad.
“Jangan
buat yang bukan-bukan. Bila kau dah duduk dengan orang kaya, kau tak boleh
balik lagi. Bukan kau seorang yang terpaksa pergi. Adik-adik yang lain jugak.”
“Kau?”
“Mungkin
ayah nak aku pergi jugak...” Sengaja Zariq tidak mahu memberitahu tentang
kedegilannya yang tidak mahu meninggalkan Haji Embong dan Rumah Al-Mustaqim.
Biar itu menjadi rahsianya bersama Tajol. “Kau ukir nama kau kat situ. Mesti
kau rasa seronok,” pintanya lalu tersenyum penuh makna.
“Kenapa
aku mesti letak nama aku kat pokok ni? Aku malaslah,” ujar Nadira. Namun
tangannya tetap menoreh kulit pokok dengan separuh hati.
“Mana
tau aku pun akan keluar dari Al-Mustaqim. Mesti kita tak akan dapat jumpa lagi
kan? Kau entah kat mana. Aku pun entah
kat mana. Jadi, aku nak kita ukir nama kita kat pokok ni. Aku nak jadikan
tanda.”
Nadira
berhenti mengukir. Susah dia hendak memahami
apa yang Zariq jelaskan. Kalau sudah terpisah, untuk apa pula tanda itu?
Sudah tentu mereka akan sama-sama meninggalkan daerah itu. Meninggalkan Rumah
Al-Mustaqim dan Haji Embong. Bermakna mereka tidak akan melangkah ke belukar
kecil itu lagi.
“Tak
faham.”
“Nadira,
sebenarnya aku tak suka kau pergi. Ayah kata kau adik aku. Aku sayang kat kau.
Jadi, kalau satu hari nanti aku pun dibawa pergi dari tempat ni, kita jumpa kat
sini. Aku akan tanam botol dalam lubang. Bila aku akan pergi dari tempat ni, aku akan masukkan satu nota kat dalamnya.
Pokok ni sebagai tanda supaya kau boleh jumpa botol yang aku tanam.”
“Nota
apa?”
“Nota
yang akan beritau aku kat mana. Kau boleh cari aku melalui nota tu.”
Mendengar
penjelasan Zariq, laju tangan Nadira mengelar kulit pokok. Dia mahu namanya ada
di situ bersama nama Zariq. Dia tidak mahu berpisah sampai mati. Suatu hari
nanti, dia pasati akan bertemu dengan Zariq semula. Hatinya agak terubat
apabila mengetahui perancangan Zariq itu walaupun dia masih kurang faham
penjelasan Zariq.
“Nama
aku dah ada!” katanya sebaik selesai mengukir namanya.
“Bagus.
Nama kita akan terus ada kat batang pokok tu. Macam tulah aku akan ingat kau
sampai bila-bila,” jamin Zariq.
Senyuman
Nadira melebar sampai ke telinga. Akan ditagihnya janji Zariq suatu hari nanti.
Dia juga tidak mahu melupakan Zariq walau di mana saja dia berada.