Suasana
sepi seketika. Hanya muzik ringan dimainkan. Encik Halil, tuan punya Cempaka
Bistro sudah lama hilang di bilik yang lain. Amir Asyraf sedang mengagumi atuk
dan neneknya. Sementara atuk dan nenek sedang membiarkan cucunya melayan
fikiran.
“Boleh
atuk tanya Amir satu perkara?” Akhirnya Atuk Jay memecah sepi.
Angguk
tapi tidak menoleh.
“Atuk
tengok Amir banyak berubah selepas balik dari PLKN. Amir dah tak seceria dulu.
Siapa yang sakitkan hati Amir, biar Atuk tumbuk muka dia,” kata Atuk Jay sambil
berpura-pura marah.
Amir
Asyraf ketawa.
“Cakap
je dengan nenek. Biar nenek pelangkong kepala dia dengan kasut nenek ni.” Nek
Ros pula menyampuk sambil mengangkat kasutnya yang bertumit rata itu.
Ketawa
Amir Asyraf semakin panjang. Namun dia masih tidak menjawap soalan yang
ditanya. Dia buat muka selamba. Mata Nek Ros dan Atuk Jay saling berpandangan.
“Jangan
ketawa je. Cakap apa masalah Amir pada kami,” desak Atuk Jay.
“Kenapa
atuk rasa Amir ada masaalah?” Amir Asyraf menoleh kepada atuknya.
“Sebab
Amir tak macam biasa. Amir menjadi pendiam secara tiba-tiba. Amir berubah
secara mendadak. Amir banyak termenung dan berkhayal. Kalau tak ada masalah,
Amir tak macam ni,” jawab Atuk Jay.
Amir
Asyraf terdiam. Dia tunduk merenung lantai. Tiba-tiba dia melihat gadis yang
bernama Noor Hasmida sedang tersenyum-senyum kepadanya. Dia membalas senyuman
itu. Wajahnya bertukar ceria.
“Tengok,
dia dah angau dah. Dia berbalas senyum dengan lantai batu ni. Amir! Apa ni
Mir!” Nek Ros menyergah sambil menepuk belakang Amir Asyraf.
“Tak
ada apalah nek.”
“Kalau
tak ada apa, kenapa Amir jadi macam ni?”
“Amir jatuh cinta pada siapa ni? Cuba cakap
dengan nenek,” kata Nek Ros cuba berwajah serius, walaupun sebenarnya dia ingin
ketawa melihat wajah polos Amir Asyraf.
“Mana
ada nek,” sangkal Amir Asyraf lagi.
“Amir,
nenek ni dah lama hidup. Dah banyak makan garam. Dan lalui bermacam dugaan.
Sekilas ikan di air, nenek dah tahu jantan betinanya. Amir usah selindung
dengan nenek.”
“Benar
Mir. Apa salahnya Amir berkongsi rasa dengan kami. Mana tahu ada petua yang nak
atuk turunkan kepada Amir. Petua memikat kekasih,” kata Atuk Jay sambil
mengenyitkan mata nakalnya kepada Amir Asyraf.
“Atau
nenek boleh berikan ilmu pengasih untuk Amir amalkan,” kata Nek Ros pula.
Senyum
Amir Asyraf melebar dengan hati berbunga riang. Dia bahagia dengan sikap
prihatin atuk dan neneknya. Tapi, benarkah dia sedang jatuh cinta?
“Atuk,
nenek... Amir sebenarnya sedang keliru dengan perasaan Amir ni,” kata Amir
Asyraf memulakan kata. Dia berhenti menelan air liur. Ketika itu Atuk Jay sedar
betapa susahnya Amir Asyraf untuk bercerita. Dia menghulurkan sebotol kecil air
mineral. Dia mahu cucunya bertenang.
“Apa
yang Amir rasa?” tanya Nek Ros pula.
“Amir
rasa gelisah. Amir asyik terbayangkan wajah dia. Amir asyik mimpikan dia...”
kata Amir Asyraf, perlahan.
“Itu
maknanya Amir dah jatuh cinta. Siapa gadis itu? Dia tahu Amir jatuh hati pada
dia?” tanya Atuk Jay pula.
Geleng.
“Kalau
macam tu, Amir kena terus terang dengan dia.”
“Amir
takut nek. Amir malu kalau dia tak terima.”
“Amir
tak boleh mengalah sebelum cuba. Amir mesti cuba. Siapa namanya? Di mana
rumahnya?” desak Atuk Jay bersungguh-sungguh.
“Namanya
Noor Hasmida. Amir jumpa dia masa latihan PLKN hari tu. Dia tinggal di JB ni
juga. Tadi masa makan, Amir nampak dia dan keluarganya duduk di meja hadapan
kita.”
“Kenapa
Amir tak tegur?”
“Amir
malu atuk. Masa di sana pun Amir tak pernah bercakap dengan dia.”
“Kenapa
Amir tak cuba tegur dia dan berbual-bual dengan dia masa di sana?” tanya Atuk
Jay lagi. Dia tidak pernah menduga kalau cucunya begitu pemalu orangnya. Selama
ini, dia tahu Amir Asyraf seorang yang periang dan lasak.
“Dia
tu adik kepada jurulatih kami Encik Mohd Rozi. Abangnya sangat garang. Amir tak
berani, tuk.” Amir Asyraf berkata tulus. Memang dia takut. Itulah yang dia rasa
setiap kali hatinya rasa ingin menegur Noor Hasmida.
Nek
Ros hanya senyum mendengar cerita yang keluar dari mulut cucunya. Atuk Jay juga
tersenyum. Mereka terdiam lama. Resah Amir Asyraf dibiarkan seketika.
“Amir
tahu alamatnya?” tanya Nek Ros tidak lama kemudian.
“Nenek
nak buat apa?” Dengan cepat Amir Asyraf
menoleh ke arah Nek Ros.
“Nak
repot polis.”
“Tapi
kenapa? Apa salah dia?” Wajah Amir Asyraf berubah bimbang. Nek Ros sengaja
membuang pandangannya ke arah lain. Bibirnya masih menguntum senyum. Sikapnya
selamba sahaja.
“Dia
pencuri. Dia dah curi hati cucu nenek. Dia kena terima balasannya. Nenek tak suka
kalau orang curi hati cucu nenek. Dia pencuri” Nek Ros sengaja menguatkan
suaranya.
“Nek,
jangan over sangat bolehk tak?” Amir Asyraf tersenyum. Gurauan neneknya itu menyenangkan hatinya.
“Amir,
betul apa. Pencuri mesti dihukum.”
“Tapi
dia tak tahu pun dia dah curi hati Amir. Mungkin Amir ni syok sendiri. Kan tuk?”
tanya Amir Asyraf kepada Atuk Jay.
Atuk
Jay ketawa kecil.
“Jom
kita cuba cari jawapannya,” kata Atuk Jay pula.
“Jawapan
apa pula ni?” Sekali lagi wajah Amir Asyraf berkerut.
“Samada
Amir syok sendiri atau Amir bertepuk sebelah tangan atau diapun memang sukakan
Amir.”
“Atuk!
Amir tak naklah! Amir malu. Eee...”
Ketawa
Atuk Jay dan Nek Ros berdekah kuat melihat wajah Amir Asyraf yang mula berubah
merah padam.
“Kalau
Amir tak nak, Amir kena bertenang. Jangan tunjukkan sangat yang Amir tu sedang
gelisah cinta. Amir nanti akan buat semua orang bimbang. Adat bercinta
memanglah macam tu. Menanggung rindu tu, perkara biasa je,” kata Atuk Jay. Kali
ini dia menepuk bahu Amir Asyraf dengan penuh kasih sayang.
Amir
Asyraf menarik nafas lega. Dia
kemudiannya tersenyum senang. Tiba-tiba dadanya rasa ringan.
“Mir,
siapa nama gadis itu?” tanya Nek Ros ingin tahu.
“Biarlah
menjadi rahsia,” jawab Amir Asyraf, selamba. Nek Ros mencubit bahunya. Atuk Jay pula menggeletek pinggangnya. Bilik
itu tidak lagi riuh dengan suara nyanyian tetapi meriah dengan gurauan dan
gelak tawa.
Ternyata,
wajah Amir Asyraf yang muram bertukar ceria. Walau dalam hatinya tetap ada
wajah manis Noor Hasmida, namun semuanya mula ringan dan tidak membebani
fikirannya.
“Mir,
Amir masih muda. Dugaan dan rintangan masih banyak yang perlu dilalui. Jangan
mudah mengalah. Cinta itu anugerah ALLAH. Begitu juga jodoh pertemuan. Semuanya
di tangan takdir.”
“Terima
kasih kerana atuk dan nenek faham perasaan Amir.”
“Kami
pun pernah muda. Kami dah lalui semua ini,” balas Nek Ros.
“Atuk,
boleh Amir tanya atuk satu perkara? Masa atuk bercinta dengan nenek, pernah tak
atuk penasaran akibat rindu?” tanya Amir Asyraf.
Atuk
Jay tidak segera menjawab. Sebaliknya dia menoleh kepada Nek Ros untuk mencari-cari
jawapan yang akan diberikan.
“Amir
tanya dengan nenek. Atuk malu nak cakap,” kata Atuk Jay sambil
tersengih-sengih.
“Nenek
pun malu nak cakap,” jawab Nek Ros pula. Dia menutup mukanya dengan tapak
tangan. Dia tersenyum kemudian mengilai perlahan.
“Nek,
ceritalah. Amir nak sangat dengar kisah cinta orang dulu-dulu. Orang sekarang
kalau rindu, akan telefon. Ataupun hantar e-mail. Atau wassup. Atau skype.
Nenek dan atuk, macam mana?” tanya Amir Asyraf bersungguh-sungguh ingin tahu.
“Atuk
kalau rindu, dia akan jalan depan rumah nenek berulang-ulang kali sampai dapat
tengok muka nenek. Dia akan bunyikan loceng basikal atau dia akan menyanyi
kuat-kuat. Kalau tak jumpa juga, dia akan beranikan diri dan berteriak: Ros!
Aku rindu padamu!”
“Ada
sekali tu, bukan Si Ros yang keluar tapi ayahnya daa...” kata Atuk Jay dengan
ketawa panjang disambut dengan ketawa Nek Ros dan Amir Asyraf.
“Nenek
pula, kalau rindu macam mana?” Amir Asyraf mengalihkan soalan.
“Nenek
kalau rindu, akan menangis berguling-guling. Kemudian tunggu atuk tepi sungai.
Bila dia lalu di situ nenek akan baling dia dengan selut merah, bedebuk! Kalau
nenek tunggu tapi dia tak lalu di situ, nenek akan pergi rumah dia dan jerit:
Hei si gigi emas!” ujar Nek Ros dengan ketawa mengekek. Sungguh manis kenangan
itu. Sungguh hebat penangan rindu!