-3-
NEK
ROS memeluk Ain. Setiap hari, doanya hanya untuk kesejahteraan anak
cucu. Hati seorang ibu akan bahagia kalau anak-anaknya hidup senang dan
selamat. Hati seorang nenek akan gembira melihat cucu-cucunya membesar dengan
baik.
“Ain, apa lagi yang Ain nak tahu. Ain sendiri nampak
macam mana atuk mendidik ibu dan pak cik-pak cik Ain yang lain. Memang hubungan
kasih sayang amat paling penting dalam keluarga,” kata Nek Ros
sambil mengusap-usap rambut Ain.
“Itu memang Ain tahu, tapi ada aspek-aspek tertentu
yang Ain keliru,’
“Misalnya?”
“Dugaan dan cabaran dalam berkasih sayang.”
Nek Ros rasa tersindir. Dia mengeluh berat. Terasa
seperti Ain sedang menampar mukanya.
“Nek, kenapa?” tanya Ain, kehairanan. Wajah Nek Ros yang
serta merta muram itu amat mengganggu perasaan Ain.
“Entahlah. Yang
ini berat untuk nenek jawab. Dugaan berkasih sayang ni banyak. Terpulang pada
kita untuk mengendalikannya.”
“Nek, kalau
nenek keberatan nak jawab, tak apalah. Ain faham perasaa nenek. Ain tahu apa
yang nenek rasa sekarang.” Ain memeluk Nek Ros. Dia dihurung rasa bersalah.
“Nenek tidur
dulu ya. Nanti, nenek nak bangun awal,” kata Nek Ros sambil bangun.
“Nek, maafkan
Ain,” kata Ain sambil mencium tangan Nek Ros.
“Kenapa pulak?”
“Sebab Ain buat
perasaan nenek tersentuh. Ain tak berniat apa-apa,’ kata Ain dengan wajah sugul.
“Eh! Lu tengok
wajah gua. Gua langsung tak sedih beb!” kata Nek Ros sambil bercekak pinggang
dan menggoyangkan jarinya. Ain tidak mampu bertahan lagi. Dia ketawa
mengekek-ngekek. Pudar semua rasa bersalahnya. Dia kembali segar.
“Okey, gua nak
tidur dulu. Esok lepas mengaji, gua nak pergi jogging. Lu nak ikut tak?”
“Ya… Ya… gua
ikut. Tapi lu mesti janji.”
“Janji apa
pulak ni. Tak rock langsunglah…” gerutu Nek Ros.
“Lu mesti
janji, lepas jogging lu belanja gua makan nasi dagang ayam kampung di
Restoren Mama. Boleh?” Ain masih ketawa.
“Lu punya
pasal, gua ikut saja. Kalau teman lelaki lu bising lu dah tembam, lu jawab
sendiri!Kalau nanti lu jadi rendang dan renek macam bonzai, lu tanggung sendiri!”
“Nenek!” Ain
mencampakkan sebiji bantal ke arah Nek Ros. Dengan mengilai panjang, Nek Ros
keluar dari bilik itu. Dia kembali ke biliknya.
Siti Aqila sudah terbongkang dan lena dengan nyenyaknya.Hanya dengkuran yang kedengaran gemersik
perlahan.
**
Pagi itu Nek Ros rasa sihat dan damai. Di taman permainan tempat dia selalu berjogging, tidak ramai
orang. Apa lagi pagi itu, bukan pagi minggu. Jadi ia sangat tenang dan menyenangkan jiwa Nek Ros.
Selepas berlari-lari anak dua tiga pusingan di sekeliling
taman itu, dia bergayut pula pada palang kayu yang ada. Ain hanya mengikut apa
yang Nek Ros buat. Dia masih tidak ceria. Ingatannya masih kepada artikelnya yang
belum siap.
“Nek, Ain dah penatlah. Jom kita balik,” kata Ain sambil
memicit-micit kakinya.
“Apa ni, sikit je dah penat. Tengok nenek, dah 60 tahun
tapi masih kuat dan sasa lagi, ” balas Nek Ros tanpa berhenti dari senaman yang
sedang dilakukannya.
Ain ketawa
kecil.
“Kenapa
ketawa?”
“Nek, perkataan sasa tu tak kena dengan nenek.Tak sesuai langsung!” Ain menjuihkan mulut.
“Hah? Apa pasal?” Nek Ros menoleh. Raut wajah Ain yang
mirip wajah Nurlisa itu direnung lembut.
“Perkataan tu kalau atuk yang gunakan memang sesuai.Kalau nenek nak kata sasa, adui!” Ain menepuk
dahi.
“Habis, nenek nak guna perkataan apa? Tegap rimbun?”Nek Ros ikut tersengih-sengih melihat gelagat Ain.
Sekali lagi
ketawa Ain pecah berdekah.
“Cukuplah
dengan perkataan sihat walafiat, nek.”
“Ya, umur nenek
dah enam puluh tahun tapi masih kuat dan sihat walafiat,” Nek Ros membetulkan
ayatnya.
“Itulah nek.
Ain pun hairan dengan nenek ni. Petua apa yang nenek amalkan. Makanan apa yang
nenek makan. Ain tak pernah tengok nenek dalam keletihan. Nenek selalu saja
cergas, riang dan tenang. Nek boleh berikan petua? ” Ain mendongak. Wajah Nek
Ros yang berpeluh-peluh itu menarik perhatiannya.
“Kalau nenek
bagi petua, tapi Ain tak nak amalkan. Buat apa?”
“Nenek belum
cakap tapi nenek dah letak hukum bahawa Ain tak akan buat, macam mana tu?” Ain
menyoal sambil tersengih.
Nek Ros
berhenti. Dia menyeka peluh yang menitik di muka. Kemudian dia menarik nafas
dan menghembuskan berulang kali.
“Ini adalah senaman
yang sangat baik untuk jantung. Selain jaga makan, kita juga kena berikan
oksijen kepada jantung.Caranya dengan senaman ni,” ujar Nek Ros tanpa diminta.
Ain mengangguk. Hal itu memang dia sedia maklum.
“Nenek bercakap macam doktor pulak,” kata Ain, meluruskan
kakinya dan masih memicit-micit.
Nek Ros tidak memberikan apa-apa reaksi untuk kata-kata
Ain itu. Dia terus menarik dan menghembuskan nafas.
“Nek, mana petuanya?” tanya Ain selepas menunggu
lama.
“Petua yang mana?”
“Apa nenek ni? Tadi kata nak berikan petua untuk kekal
sihat dan kuat,” jawab Ain.
Nek Ros berhenti. Dia menyeka peluh sekali lagi.
“Ain, sihat dan
sakit itu kerja ALLAH sebenarnya. Tapi sebagai hamba-NYA kita disuruh sentiasa
berikhtiar dan berdoa. Petua nenek senang sahaja. Jaga solat, jaga makan dan
jaga doa. Setiap malam yang sunyi kita bangun untuk bersolat tahajud. Setiap
pagi yang hening kita segera bersolat
subuh. Itu adalah senaman untuk roh dan jasad. Pergerakan dalam solat untuk
jasad, bacaan dalam solat untuk jiwa.”
Nek Ros
mendongak ke langit. Matahari pagi sudah mula meninggi.
“Marilah kita
balik. Matahari dah senyum tu,” ajak Nek Ros.
“Nek, apa ni?Petua belum habis lagi. Mana lagi dua tu, jaga
makan dan jaga doa.”
Nek Ros bangun. Dia menoleh kepada Ain dan ketawa kecil.
Senang hatinya melihat wajah Ain yang mengharap itu.
“Lu kata nak makan nasi dagang ayam kampung di Restoren
Mama? Gua nak belanja ni…”
Ain termenung seketika. Wajahnya seperti kurang senang.
“Nek, kalau
kita tukar tempat boleh tak. Selera Ain macam tak nak nasi dagang pulak.”
“Aik? Cepat
pulak selera berubah arah ya! Habis Ain nak makan apa?”
“Entahlah.
Apa-apalah asal bukan nasi dagang,” jawab Ain sambil menghulurkan tangan, minta
Nek Ros menariknya bangun.
“Uh! Beratnya
Ain ni… ” kata Nek Ros ketika menarik tangan Ain.Mereka berjalan berpimpinan ke arah jalan besar.
“Ha! Nenek ada satu cadangan. Apa kata kita bersarapan di
Warong Wak Kentut.”
“Nenek! Eee… apa ni?”Ain
berpaling ke arah Nek Ros.Dia mencebik sambil menutup hidung. Sangkanya Nek Ros bergurau.
“Apa pulak. Nenek tak bergurau. Memang itu nama
warongnya. Wak Kentut pun pun bukan sengaja nenek reka. Memang itu namanya,” jawab
Nek Ros dengan senyum.
Ain termenung. Dia cuak.Betulkah
ada nama warong seperti itu? Menjual
makanan pulak tu!
“Dulu nenek
pernah makan dengan atuk. Menunya ada macam-macam tapi yang paling sedap ialah nasi
lemak dan soto. Nak tak?” tanya Nek Ros.
Ain diam. Fikirannya
terus berfikir. Kakinya terus berjalan. Nama Wak Kentut dan menu masakannya mengganggu
mindanya.
“Ain fikir apa lagi?”
“Nama warong tu.Pelik sangat. Kenapa dinamakan begitu?Jual makanan pulak tu. Ada ke orang nak datang makan?”
“Jom kita ke sana.
Kita tengok ramai tak orangnya,” jawab Nek Ros. Mereka berjalan menghala ke arah
rumah untuk mengambil kereta.Angin segar dari taman itu bertiup mengiringi mereka. Sungguh
segar. Sesegar kasih sayang mereka berdua.