Sudah
beberapa bulan Amir Asyraf balik dari
PLKN. Namun ada perubahan besar pada wajah dan sikapnya. Sikap
bertanggungjawabnya meningkat tetapi dia menjadi begitu pendiam dan pemurung.
“Ayah,
cucu atuk tu angau semacam je!” kata Nurlisa.
“Nape
pulak?” tanya Atuk Jay.
“Entahlah.
Sejak balik dari PLKN, dia banyak berubah. Pendiam dan pemurung. Ditanya apa masalah,
katanya tak ada. Tapi siang malam, dia murung. Ayah dan mak cubalah tanya.”
“Ayah
kamu pakar dalam urusan ni. Lagipun ini urusan orang lelaki. Cubalah awak pergi
tanya dia,” kata Nek Ros.
Atuk
Jay angguk perlahan.
“Esok,
ayah akan ke rumah kamu,” putus Atuk Jay.
“Jangan
ayah. Kalau ayah datang, dia tentu ingat Nur dah mengadu dengan ayah. Lebih
baik ayah telefon dia dan ajak dia keluar atau suruh dia datang jumpa ayah,”
ujar Nurlisa dengan cepat.
Nek
Ros angguk setuju. Atuk Jay pun angguk juga.
“Kita
bawa dia pergi makan,” usul Atuk Jay kepada Nek Ros.
“Ish!
Asyik agenda makan je. Buatlah aktiviti lain atuk oi!” sergah Nek Ros dengan
mesra.
“Apa
cadangan nenek?” Atuk Jay menoleh. Matanya sengaja dikerdipkan sambil bibirnya
menguntum senyum.
“Kita
ajak dia pergi karaoke,” kata Nek Ros selamba.
“Mak!”
kata Nurlisa separuh menjerit. Matanya melorot keliru ke arah ibunya.
“Apa
salahnya. Dia tu suka menyanyi. Kita dengar apa lagu yang dia nak nyanyi. Baru
kita tahu apa masalah yang sedang ditanggungnya. Ini namanya siasatan
terpimpin!” balas Nek Ros pula.
“Siasatan
terpimpin? Ha! Ha! Ha!” Atuk Jay ketawa terbahak-bahak.
Nurlisa
ikut ketawa. Cara ibunya bercakap, seperti gaya Allahyarham P.Ramlee.
“Habis
kalau dia nyanyi lagu Selimut Putih, macam mana?” tanya Atuk Jay selepas
ketawanya usai.
“Abang,
saya kenal cucu saya tu.”
“Abang
pun kenal. Namanya Amir Asyraf bin
Arman,” balas Atuk Jay, selamba.
Nek
Ros membalingkan sebuah majalah yang ada di atas meja. Atuk Jay mengelak.
“Loyar
buruk!”
“Sebab
abang nak jadi loyar tak dapat. Biarlah abang jadi yang buruk. Ros jadi loyar
baru.”
Ketawa
tiga beranak pecah berderai di ruang tamu itu. Gemanya mesra menerawang ke sekitar
ruang.
Selepas
Nurlisa tinggalkan mereka, Atuk Jay menelefon Amir Asyraf. Perbualannya sekejap
sahaja, sekadar mengajak cucunya itu keluar. Temujanji dibuat selepas solat
isyak.
“Dia
setuju nak keluar dengan kita?” tanya Nek Ros ketika Atuk Jay meletakkan gagang.
“Nampaknya
tak ada bantahan. Dia akan datang ke sini.”
Nek
Ros rasa lega. Dia berharap semuanya akan berjalan dengan baik seperti yang
dirancang. Sedang mereka termenung, tiba-tiba telefon di atas meja berdering.
Nek Ros segera bangun.
“Assalamualaikum
mak!” Suara Ezani, anak bongsunya ceria
di hujung talian.
“Waalaikummussalam.
Anak mak sihat ke? Menantu mak? Cucu-cucu mak?” Nek Ros menjawab dengan senyum
senang. Matanya dikerdipkan ke arah Atuk Jay dengan mimik mulut menyebut nama Ezani.
“Mak,
tanyalah satu per satu. Macam mana adik nak jawab kalau mak tanya bertubi-tubi
macam ni?”
Ketawa
Nek Ros pecah. Perkataan ‘adik’ terasa melucukan. Sudah lama Ezani tidak
membahasakan dirinya begitu. Sejak berkahwin, dia terlupa akan nama manjanya.
“Adik,
adik jawaplah bertubi-tubi juga,” kata Nek Ros dengan ketawa.
Suara
Ezani segar dan mesra dengan ketawanya. Hati Nek Ros semakin kembang, gembira.
“Mak,
adik telefon ni sebab ada hal nak cakap dengan mak.”
“Ya.
Silakan cakap. Mak akan dengar.”
“Adik
nak balik minggu depan.”
“Bercuti?
Berapa lama?”
“Selama-lamanya.”
Nek
Ros terdiam. Dia termenung seketika, berfikir.
“Maknanya?”
Akhirnya Nek Ros bertanya selepas sangsi dengan jawapan hatinya.
“Maknayanya
adik akan berpindah balik ke Semenanjung. Sireh akan pulang ke gagang. Keris
akan pulang ke sarungnya. Seluang akan pulang ke lubuknya!”
“Ya
ALLAH! Benarkah dik?” Mata Nek Ros terbeliak, besar. Atuk Jay mendekat dan
ingin berkongsi cerita.
“Anak
kita dapat tukar balik ke sini bang!” kata Nek Ros ketika Atuk Jay berdiri di
hadapannya.
“Alhamdulillah.”
Itu ucapan Atuk Jay dengan senyum gembira.
“Mak,
kami ada permintaan dari mak dan ayah,” kata Ezani lagi.
“Mintalah
apapun, mak akan tunaikan. Asalkan adik balik tinggal di sini. Asal adik dah
tak pergi jauh lagi,” jawab Nek Ros pula.
“Adik
nak mak dan ayah datang ke sini sebelum kami balik ke Semenanjung. Sejak adik posting
ke Kuching, mak tak pernah datang ke sini. Kalau bukan sekarang, tentu mak tak
ada peluang nak melancong ke sini lagi,” kata Ezani bersungguh-sungguh.
“Mak
kena tanya ayah dulu. Kalau ayah kata boleh, mak pergi.”
“Ayah
pun kena datang bersama. Mak ingat adik ajak mak sorang je? Adik nak mak dan
ayah datang dan berbulan madu di sini.”
“Bulan
madu? Ish! Jangan nak merepeklah!”
“Mak,
ini benar. Dah lama mak tak berjalan-jalan makan angin dengan ayah. Berdua-duan...”
Nek
Ros terdiam. Dia merenung wajah Atuk Jay di hadapannya. Lelaki itu mengenyitkan
mata. Dia tersipu malu. Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Segar dan
bahagia.
“Mak,
kenapa diam. Mana ayah?”
Ketika
itu Atuk Jay menarik tangan Nek Ros dan mengucupnya lembut. Hati Nek Ros
tersentuh dan berdebar.
“A...
ayah...” Tiba-tiba Nek Ros gementar.
“Mak?
Kenapa dengan ayah? Mak okey tak?” Suara Ezani mula cemas.
“Mak
tak apa-apa. Mak okey. Cuma...”
“Cuma
apa mak? Kalau mak tak nak datang, tak apalah. Adik batalkan tiket penerbangan
mak dan ayah.”
“Dik!
Jangan. Mak akan pergi. Mak akan pergi. Mak dan ayah akan pergi,” balas Nek Ros
dengan cepat.
“Kita
nak ke mana?” bisik Atuk Jay ke telinga Nek Ros.
“Baiklah.
Nanti adik kirimkan tiket. Mak, adik rindu mak. Tak sabar nak jumpa mak,” kata
Ezani. Hati Nek Ros tersentuh lagi. Kata-kata Ezani dirasakan amat polos.
Kemanjaannya belum hilang walaupun sudah menjadi ayah kepada dua anak.
“Mak
pun rindukan adik. Syukurlah, adik dah dapat pindah balik. Tak adalah mak nak
menanggung rindu lagi.”
Ezani
menutup bicara dengan ucapan salam. Nek Ros meletakkan gagang. Senyumnya
menguntum senang.
“Adik
nak kita ke Kuching sebelum dia pindah balik ke sini. Adik nak kita pergi
berbulan madu. Dia nak kita berdua-duan... ” Nek Ros mengulangi bicara anaknya.
Hatinya girang.
Atuk
Jay menyengih. Mindanya ikut segar. Dia terbayang detik indah berdua-duan
dengan Nek Ros.
“Awak...
awak memang cantik dari dulu hingga
sekarang,” kata Atuk Jay sambil menatap mata Nek Ros yang berkelip malu.
“Awak
memang mengada-ngada!” Cubit Nek Ros, manja. Atuk Jay membalas cubitan itu.
Kedua-dua pipi Nek Ros dicubit dengan penuh kasih sayang. Ketawa mereka
berderai bahagia.
“Dah,
kita perlu bersiap untuk misi kita malam ni,” kata Atuk Jay.
“Misi
apa?” Nek Ros termangu-mangu.
“Awak
yang syorkan. Sekarang, awak yang lupa. Misi siasatan terpimpin tu!” Atuk Jay
senyum sambil mengangkat ibu jari.
Nek
Ros menepuk dahi. Cerita riang yang dibawakan oleh Ezani membuatkan dia terlupa
kepada misi yang mereka rancang.
Suara
azan maghrib bergema. Ketawa mereka senyap. Mereka tunduk menjawap azan. Rasa
cinta kepada ALLAH melimpah ruah dari hati yang kudus.