NENEK TELETUBIES
Urusan
pertukaran dan pemindahan Ezani sudah selesai. Dia sudah memulakan tugasnya di
Johor Bahru. Disebabkan Noor Hazuar sedang mengandung anak ketiga, banyak masa
dihabiskan di rumah Nek Ros.
“Tinggal
saja di sini sementara bersalin. Budak-budak berdua tu tengah lasak. Wawa mesti
tak terlayan nanti,” kata Atuk Jay.
“Larat
ke mak nak layan mereka tu?” tingkah Ezani pula.
“Mak
kau kan urat dawai tulang besi,” balas Atuk Jay dengan ketawa. Ketawanya
memanjang dan berdekah.
“Apa
yang lucu sangat ni?” tanya Nek Ros ketika melihat Atuk Jay ketawa
berdekah-dekah.
“Bila
saya kata urat dawai tulang besi, saya teringat pada Haziq. Ada dia kata awak
ni keturunan robot!”
Nek
Ros ikut ketawa. Terpandang-pandang di mata wajah Haziq yang keliru dan
tercengang-cengang itu.
“Lama
budak-budak ni tak berkumpul. Rindu pulak saya pada mereka,” kata Nek Ros.
“Tak
lama lagi cuti sekolah. Akan riuh lagilah rumah kita ni, nek. Sabarlah.” Atuk
Jay menepuk bahu Nek Ros.
Hanya
kerdipan dan senyum nipis dibalas oleh Nek Ros.
“Sebelum
tu, awak kena bersedia dengan ilham baru,” kata Atuk Jay.
“Ilham
baru?”
“Awak
tahulah cucu-cucu awak tu bijak dan kreatif. Kalau awak tak ada ilham baru, dia
orang yang akan buli awak dengan idea mereka.” Atuk Jay masih ketawa. Dia
seperti sedang membayangkan Nenek Ros terpaksa melayan kerenah cucu-cucu yang
sedang membesar itu.
Nek
Ros angguk. Dia faham. Setiap kali cuti sekolah dan cucu-cucunya berkumpul, dia
kena ada aktiviti untuk mereka. Kalau tidak, rumah itu akan jadi macam pasar
ikan. Lebih teruk kalau yang lelaki akan main gusti dan tomoi.
Terjerit-jeritlah dia macam tarzan hilang akar tempat bergayut!
“Saya
dah ada ilham dah. Jangan risau.”
“Apa
dia?”
“Tu!”
Nek Ros menunjukkan kepada beberapa keping CD yang baru dibeli beberapa hari
lepas.
“Apa
pulak cerita yang awak beli kali ni?”
“Ultraman
Taro. Satu set. Mereka tak ada masa nak buli saya. Saya ada masa nak bersembang
dengan menantu-menantu saya! Awak juga akan senang hati berbual dengan anak
menantu awak. Kan?” Nek Ros mengenyitkan mata kepada Atuk Jay, nakal dan manja.
Atuk
Jay ketawa.
“Kenapa
ketawa awak masih nak ketawakan saya?”
“Saya
dok bayangkan kalau awak dibuli budak-budak tu. Awak disuruh jadi Ultraman.
Ingat dulu awak disuruh jadi Teletubies masa awak belikan mereka CD itu. Ingat
tak? Awak terkedek-kedek dengan cakap bahasa Teletubies tu. Berhari-hari awak
dipaksa bercakap dalam bahasa kartun tu. Sampai sakit pinggang awak berjalan
ala Teletubies,” kata Atuk Jay dengan ketawa yang panjang.
Nek
Ros tidak dapat menahan ketawa. Memang tidak pernah dia lupa pada hal itu.
Semuanya kerja Hana Humaira dengan sokongan adik-adiknya.
“Mak
dan ayah jangan layan sangat budak-budak tu. Nanti terlebih-lebih manja
mereka!” celah Ezani yang dari tadi hanya mendengar.
“Kalau
bukan pada cucu-cucu, pada siapa lagi kami ni nak bermanja. Sementara masih
sihat dan kuat, biarlah kami melayan mereka.” Atuk Jay menoleh kepada Ezani.
Wajah anak lelakinya itu direnung. Sudah sangat dewasa dan kacak, itu bisik
hatinya.
“Mak
pun sama. Dah terlanjur Wawa ada depan mak, biarlah mak jaga makan minum Wawa
sampai Wawa bersalin dan habis berpantang. Dah lama mak tak cium bau bayi. Tak
sabar pulak rasanya,” kata Nek Ros pula.
“Abang
suruh awak mengandung, awak tak nak!”
Nek
Ros mencubit bahu Atuk Jay. Kedengaran jeritan Atuk Jay memenuhi ruang. Wawa keluar
menjengah. Dia ikut ketawa melihat ayah mertuanya sedang menerima cubitan sayang
dari ibu mertuanya. Bahagianya mereka!