Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
INTAN: DUKA HATI SEORANG ISTERI

“Bang, hari Jumaat ni Intan ada temu janji dengan seorang kawan dari Penang,” beritahu Intan kepada Datuk Amar Kamarul ketika mereka sedang menikmati makan malam di rumah.

“Kawan lelaki ke kawan wanita?”

“Kawan lelaki. Handsome dan kacak macam Rajesh Khana,” jawap Intan selamba. Datuk Amar Kamarul tergelak.

“Kok ya pun Intan nak memuji boyfriend Intan tu…pujilah ikut hero masa kini. Rajesh Khana tu kan hero zaman tujuh puluhan. Zaman ni orang tak kenal dia.Orang lebih kenal Shah Rukh Khan atau Salman Khan…”

“Tak apa. Intan minat dia. Intan pujilah macam dia. Hero yang baru, Intan tak berapa kenal sangat. Kalau yang lama-lama tu, abang cakap saja. Semuanya Intan ingat,”

“Abang tahu isteri abang ni peminat wayang Hindustan,”

“Boleh tak Intan pergi bang?” Tanya Intan mengubah tajuk perbualan. Datuk Amar Kamarul berhenti mengunyah. Dia merenung isterinya. Ada keheningan yang mendamaikan setiap kali matanya memandang pada wajah itu.

“Apa salahnya Hema Malini nak jumpa Rajesh Khananya. Kalau abang tak bagi, tak adil rasanya. Tapi kalau dah jumpa Rajesh Khana tu, janganlah pulak terlupa kan Shah Rukh Khan ni…”gurau Datuk Amar Kamarul. Kini giliran Intan pula tergelak. Hampir tersembur nasi yang dikunyahnya.

“Apa? Tak betulkah?” Datuk Amar Kamarul yang tenang melihat ketawa isterinya itu.

“Bukan Shah Rukh Khan bang. Lebih kacak dari itu….” Jawab Intan dengan ketawa yang makin kuat. Datuk Amar Kamarul ikut ketawa. Hatinya benar-benar lapang. Sejak petang dia balik ke rumah itu, belum henti-henti dia ketawa dan bergurau. Ada saja cerita Intan yang melucukan.

Selepas makan, mereka duduk bersantai di ruang tamu sambil menonton TV. Intan sengaja duduk berdekatan dengan suaminya. Dia tahu peluang datang bukan selalu. Datuk Amar Kamarul sudah hampir dua puluh tahun menjadi suaminya. Namun, kesibukannya tidak pernah reda. Kalau tidak sibuk dengan perniagaannya, dia sibuk melayan keranah isteri tuanya Datin Rosnah. Atau kadang-kadang melayan kerenah isteri mudanya yang cantik manis itu.

“Abang ingat nak melawat anak-anak di asrama, apa pendapat Intan?”

“Bagus juga tu. Abang pun dah lama tak melawat mereka. Bila abang nak pergi?”

“Tengoklah. Kalau jadi minggu depan. Kebetulan abang ada urusan di Kuantan. Bolehlah abang melawat Norin sekali. Kuantan dan Kuala Trengganu tu kan tak jauh, ”

“Haikal pula macam mana?Bila abang nak tengok dia?”

“Hmm…kalau sempat, on the way balik abang akan singgah di Melaka,”

“Terima kasih bang….” Tiba-tiba kata-kata itu terkeluar dari mulut Intan.

“Untuk apa?” Datuk Amar Kamarul berpaling ke arah isterinya.

“Kerana sudi melawat mereka,”

“Kenapa Intan cakap macam tu? Mereka kan anak-anak abang juga,”

“Intan tahu, tapi dah lama abang abaikan kasih sayang abang pada mereka. Intan tak mahu cakap apa-apa, takut abang kecil hati. Tapi…anak-anak memang merindukan abang. Dua minggu lepas ketika Intan melawat Haikal, dia memang bersungut pasal abang. Kesibukan abang membuatkan mereka rasa terpisah dan tersisih...” Kata Intan. Dia sebak dan cuba menutup kesedihan di hatinya. Bila-bila masa saja air matanya akan luruh.

“Mama saja yang rajin tengok Haikal dan kakak.Babah?Selalu sibuk.” Luahan rasa Haikal menyesakkan dada Intan. Anak itu sudah berumur tiga belas tahun. Sudah di tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara dan sudah mula berani meluah rasa.

Tiba-tiba Intan teresak…

Datuk Amar Kamarul menarik isterinya ke dalam pelukannya. Dia tahu erti esakan Intan itu. Dia faham gelora yang sedang menampar jiwa Intan. Intan cukup sensitif bila bercakap soal anak-anak.

“Abang minta maaf sekali lagi. Abang tidak pernah lupakan Intan dan anak-anak. Cuma….”

“Bang, sudah dua puluh tahun Intan hidup dengan abang. Usahlah abang berdolak kata lagi. Intan tahu sebab sebenar abang tidak menjengah kami. Abang selalu jadikan alasan sibuk untuk menutup semua kelemahan abang. Anak-anak sudah mula dewasa dan faham bang. Intan semakin tidak mampu menutup kelemahan abang itu. Lambat laun anak-anak akan tahu, bahawa babahnya tidak berani membelai mereka kerana takut pada sesaorang. Bang…abang lelaki bang. Cubalah jadi suami kepada Intan dan jadi ayah kepada anak-anak kita.”

“Abang tahu….” Ujar Datuk Amar Kamarul perlahan.

“Abang memang sentiasa tahu. Tapi abang jarang bertindak. Intan bukan nak ajar abang. Tapi, Intan cuma nak ingatkan abang. Berat hukumnya suami yang tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya. Intan sayangkan abang dengan sepenuh hati Intan. Jadi Intan tak mahu abang menanggung dosa dan menerima hukuman Allah….” Kali ini Intan sudah tidak mampu menahan tangisnya lagi. Dia menangis semahunya di dada Datuk Amar Kamarul. Lelaki itu tidak mampu berkata sepatah perkataan pun selain dari tangannya yang membelai rambut isterinya dengan perasaan bersalah yang teramat sangat. Dia membiarkan isterinya menangis sepuasnya. Dia tahu Intan banyak menyimpan dukanya. Intan selalu menyembunyikan rasanya. Intan isteri yang jarang merungut.Intan isteri yang menerima seadanya apa yang diberikan dan tidak terlalu menuntut pada kekurangan yang diterimanya.

Datuk Amar Kamarul mengeluh perlahan. Dia memang bersalah zahir dan batin kepada Intan. Bukan hanya Intan, tapi juga Norin dan Haikal anaknya. Mereka tersisih, terpencil dan teraniaya dari segi perhatian dan kasih sayangnya.Mereka mewah wang ringgit, tapi miskin kasih sayang dan perhatian seorang ayah!

“Saya tahu awak sudah beristeri. Saya pun sudah tidak mampu nak menghalangnya. Tapi, saya tidak mahu awak mengubah satu apa pun dalam rumah ini. Kalau dulu setiap malam, awak ada di rumah ini. Begitulah sekarang. Kalau awak cuba menyakitkan hati saya, awak tahu apa yang akan saya buat nanti!” Itulah amaran pertama Datin Rosnah kepadanya dulu.

Awalnya, memang dia bukan lelaki yang mudah patuh pada arahan bini.Dia tidak endahkan semua ancaman dan amaran Datin Rosnah itu. Dia tetap balik ke rumah Intan kalau sudah tiba gilirannya. Dia tetap berhasrat untuk menjadi suami yang mampu berlaku adil kepada isterinya. Semuanya tidak lama. Datin Rosnah orangnya cekap dan agresif dalam melakukan tindakan. Dia tidak gentar pada sesiapa. Setiap kali Datuk Amar Kamarul sampai ke rumah Intan, akan menyusullah Datin Rosnah kemudiannya. Hingga Intan rasa tidak ada privacy langsung untuk mereka suami isteri.

Bukan setakat mengekori ke mana Datuk Amar Kamarul pergi, malah Datin Rosnah juga mengugut untuk membuat announcementpenjualan saham dan berpecah kongsi dalamboard meeting Puspasari Holdings. Datuk Amar tahu jika itu berlaku, dia akan jatuh miskin kerana Datin Rosnah adalah pemegang saham terbesar Puspasari Holdings!

Dalam masa yang sama Datin Rosnah adalah pengidap sakit jantung yang kronik.Ketika mendapat tahu dia dimadukan, seminggu dia terlantar di hospital. Hampir seluruh keluarga termasuk anak-anak yang menuntut di luar negeri pulang kerana terkejut dengan berita itu.

Daddy kena jaga perasaan dan hati mummy. Kalau apa-apa berlaku kapadamummy, kami tidak akan memaafkandaddy sampai bila-bila…” Kata Nurnikman sebagai anak sulung. Dia bukan saja mewakili adik-adiknya yang lain, malah juga mewakili seluruh keluarga.

Datuk Amar Kamarul terjerat bersama semua alasan itu. Dengan kuasa dan kekuatan itu, Datin Rosnah mengatur kehidupan peribadinya secara licik. Datin Rosnah seakan-akan memulas telinganya. Dia begitu terasa kesakitannya. Bukan hanya sakit kerana dipulas oleh Datin Rosnah, tapi sakit kerana terpaksa menyakiti dan menyeksa Intan.

Dia terpaksa menemui isteri yang dinikahinya secara halal dengan sulit dan bersembunyi. Kadang-kadang pertemuan dibuat jauh dari Kuala Lumpur. Dan kadang-kadang memerlukan temu janji yang teratur. Semuanya untuk mengabui mata Datin Rosnah.

Lalu Intan dilayan seperti seorang perempuan simpanan. Namun Allah Maha Kuasa, pertemuan sulit dan tersembunyi itu dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Norin dan Haikal adalah anak-anak yang menjadi mangsa perbuatannya. Sejak kecil anak-anak itu kurang mendapat belaiannya. Sekali-sekala jika ‘terlepas’ dari cengkaman Datin Rosnah, baru dia menunaikan tugasnya kepada anak-anak itu. Betul kata Intan, anak-anak itu sudah mula dewasa. Sudah tidak mampu untuk berahsia dengan mereka lagi.

“Babah pergi kerja dulu ya!”

“Babah kerja jauh ke? Kenapa tak balik setiap hari. Norin nak abah ada di rumah hari-hari macam babah orang lain,”

“Babah kerja jauh sayang. Nanti kalau babah sudah habis kerja, babah akan pulang cepat dan bawa kamu makan angin.Norin kena doakan abah selamat ya!” Begitulah setiap kali akan meninggalkan anak-anak. Dia akan berbohong. Dan Intan akan menutup dan memujuk anak-anak merengek kerana tidak mampu menerima pembohongannya.

Itu dulu. Itu semasa anak-anak masih kecil.Kini anak-anak sudah besar. Norin sedang belajar dalam tahun pertama di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin ( KUSZA ) di Kuala Terengganu. Haikal pula sudah tiga belas tahun usianya. Mereka sudah tidak boleh dibohongi lagi. Mereka sudah berani memprotes semua cerita rekaan yang dibuatnya itu.

“Siapa yang Intan nak jumpa Jumaat ini?”Tanya Datuk Amar Kamarul tenang. Sebenarnya dia cuba mencari jalan keluar. Dia tidak mahu Intan terus terbeban dengan rasa kecewa yang merantai jiwa begitu…

“Salina bang. Kawan Intan semasa di universiti dulu. Katanya dia sedang dilanda masalah,”

“Apa masalahnya?”

“Hmm…mm..masalah masa kini,”

“Poligami?” Tanya Datuk Amar Kamarul, cuba meneka.

“Entah. Belum confirm lagi. Mungkin baru nak mencuba dan baru nak cari penyakit,” jawab Intan selamba. Datuk Amar Kamarul ketawa dengan jawapan itu. Dia tidak mahu bertanya lagi. Bertanya bermakna dia juga sengaja mencari penyakit.

Intan pula tersenyum. Dia tahu perasaan suaminya. Sudah lama mereka hidup bersama. Apa yang terlintas di fikiran lelaki itu seperti mengalir ke fikirannya juga. Hajatnya untuk ‘mengena’kan suaminya tidak kesampaian. Perbualan tamat setakat itu.

**********************************

Permintaan Salina untuk bertemu dengannya di Cendana Coffee House pada petang Jumaat itu ditunaikan dengan hati yang terbuka. Dia tahu Salina sedang berdepan dengan satu kegelisahan. Sebagai sahabat, Salina tetap akan mendapat haknya untuk meluah dan dia akan mendengarnya. Untuk apa dia bergelar sahabat, jika tidak mampu meluangkan masa untuk mendengar dan meringankan beban fikiran seorang sahabat. Apa lagi kini dia sudah ditugaskan untuk mengelolakan ruangan tetap di BICARA KASIH. Pertemuan dengan Salina adalah sebahagian dari tugasnya. Mungkin ada cerita yang boleh dikongsi dengan pembaca lain. Seorang penulis yang baik adalah yang mudah peka dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku di sekitarnya.

Intan sampai lebih awal dari masa yang dijanjikannya. Itu yang selalu dilakukannya ketika berjanji. Tidak pernah terlewat dan terlambat. Dia sempat membelek-belek akhbar harian sementara menunggu Salina sampai. Kemudian dia menggelengkan kepala berkali-kali. Setiap hari ada saja kisah-kisah sumbang dan ngeri yang dibongkar. Yang memualkan ialah kisah bapak yang sudah mempunyai empat isteri merogol anak gadisnya sendiri. Nafsu apakah yang menular dalam diri lelaki itu ?

“Assalamualaikum, dah lama tunggu?” Tiba-tiba sesaorang menegurnya dari belakang. Intan menoleh. Salina berdiri dengan senyum. Dengan penuh riang, Intan bangun menyambutnya dengan sebuah pelukan yang erat untuk membuktikan kerinduan beberapa tahun tidak bertemu.

“Kau tetap manis macam dulu Intan, walaupun …”

“Walaupun apa? Kau nak kata aku dah tua ya..!Sorrylah, aku belum tua lagi. Yang tua itu umurku, tapi minda dan pemikiranku masih seperti anak gadis tujuh belas tahun,” kata Intan memotong cakap Salina.Salina ketawa. Intan juga.

“Hoi…berangan sungguh. Malu la sikit dengan anak kau. Tujuh belas tahun konon! Kau ni dulu sampai sekarang tak berubah Intan. Tetap ceria dan tenang. Walhal aku tahu kau hidup dengan masalah,” kata Salina. Intan mengerdipkan matanya.

“Sahabatku Salina..kita hidup hanya sekali.”

“Lalu?”

“Lalu yang sekali itu kita kena penuhkan dengan kegembiraan.Kedukaan sifar!”

“Bercakap memang senang Intan. Tapi nak laksanakannya tu,”

“Tidak ada susahnya. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Tanya diri kita, samada kita nak atau tidak.”

“Tidak semua orang sekuat engkau Puan Intan oi!” Balas Salina. Memang dia tidak menafikan semua kata-kata Intan itu. Tapi, kalau semua wanita sekuat Intan, tidaklah berlaku banyak perceraian setiap kali berlaku poligami.Mereka duduk dengan selesa dan memesan minuman untuk membasahi tekak.

“Ok Sali, apa yang mustahak sangat nak jumpa aku ni?”

“Aku tak tahu nak mulakan dari mana. Soalnya, Zarul yang kau kenal dulu sudah bukan Zarul yang dulu lagi. Semua kemanisan cinta yang dulu, kini hanya tinggal kenangan dan sejarah,”

“Kau mulakan dari awal. Maksudku, sejak bila kau nampak perubahan dia?”

“Ini interviewuntuk majalah kau ke?” Tanya Salina bergurau. Intan ketawa. Dia merenung wajah Salina yang redup dan cengkung. Kemurungan memang jelas.

“Aku sudah cukup bahan untuk majalah aku tu. Lagipun, kes kau ni belum layak untuk ditulis dalam ruangan aku tu”

“Kenapa pula?”

“Aku menulis mengenai poligami. Tapi kau belum masuk dunia tu lagi.”

“Mana kau tahu aku belum masuk?”

“Sebab kau belum cerita lagi. Yang aku tahu, Zarul berubah arah. Mungkin dia ada affair dengan wanita lain. Itu saja. Eh! Siapa agaknya wanita bertuah tu?”

“Intan…Please…Jangan bergurau. Ini soal perasaan aku. Sudah setahun aku sengsara penuh teka teki. Aku tak tahu di mana silap aku Intan. Rasanya aku sudah menjaga rumah tanggaku dengan sebaik-baiknya. Aku lakukan semua kehendaknya. Hingga aku terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan rumah tangga. Tiba masa kau tengok apa dia buat pada aku. Dia lupakan semua pengorbanan kasih dan cinta aku begitu saja,”

“Kau dah pasti?”

“Dah terlebih pasti. Malah aku sudah ada banyak bukti.”

“Maksud kau?”

“Gambar-gambar dia dengan perempuan itu. Surat-surat cinta, E-mail sertasmssaban hari telah membuktikan kecurangannya. Aku dah tak tahan lagi Intan. Kadang-kadang perbuatannya melampau-lampau. Depan anak-anak pun dia bergayut di telefon. Kami ni dah jadi macam dah tak ada hidupnya,”

“Kau patut bersemuka dengan dia,”

“Aku sudah mencubanya beberapa kali. Bukan hanya soalan aku tidak dijawap, malah aku yang dimarahnya.Dia kata aku suka membesarkan perkara yang kecil dan aku ni kuat cemburu.Cuba kau bayangkan perasaan aku…perasaan anak-anak…” Salina teresak. Kali ini Intan terpaksa memeluk bahu Salina untuk meredakan tangisan itu. Kalau benar Zarul berubah, itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan Intan.

Dua puluh tahun Intan melihat Zarul sebagai suami yang setia, penyayang dan bertanggung jawab. Tidak ada cacat celanya pada rumah tangga mereka yang dibina atas dasar cinta itu. Malah mereka adalah idola sebuah keluarga bahagia di alaf ini.

“Jadi, apa tindakan yang kau nak ambil sekarang?”

“Aku nak pergi jumpa wanita itu. Aku nak tahu kisah sebenar. Aku nak tahu kenapa Zarul yang diminatinya sedangkan dia mempunyai potensi untuk menggoda lelaki yang lebih hebat dari suami aku tu…!”

“Kau rasa itu tindakan yang baik?”

“Kenapa?”

“Aku takut ianya akan menambah-kusutkan lagi keadaan ini. Berbagai perkara boleh berlaku nanti.”

“Habis kau nak aku biarkan saja keadaan ini berterusan. Tidak Intan, aku dah tak larat lagi. Makin lama lagi aku hidup macam ni, aku boleh jadi gila,” ujar Salina. Intan diam. Cuba berfikir dan mencari jalan yang terbaik. Bukan mudah untuk membina sebuah rumah tangga. Tapi, tidak susah untuk meruntuhkannya. Jika tidak kena gaya, dalam masa sehari saja rumah tangga akan runtuh dan porak poranda.

“Sali, sabarlah. Hidup memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Ini adalah cabaran yang diberikan Allah kepadamu. Kau harus menerimanya dengan redha…”

“Aku bukan menolak takdir Allah. Aku cuma kesal, takdir itu menduga aku ketika anak-anak sedang membesar dan perlukan kasih sayang dan perhatian seorang ayah,”

“Sali, Allah sudah memberikan engkau kesenangan dan kebahagiaan yang cukup lama. Dua puluh tahun kau sekeluarga hidup dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah dilanda musibah. Tidak pernah merasai susah. Hidup di atas kemewahan wang ringgit dan cinta Zarul. Baru kali ini Allah menduga kau. Ini semua untuk menguji keimananmu. Tabahkanlah hatimu, serahkan dirimu pada Allah. Minta petunjukNya. Jangan berfikiran sesat. Kerana dalam keadaan fikiran yang celaru, syaitan akan menghampiri kita untuk menyesatkannya.”

“Intan, aku tidak sekuat engkau. Aku lemah…aku emosional…” Tangisan Salina pecah lagi. Intan berusaha memujuk. Salina pula cuba menahan sendu. Namun bahunya terhinggut perlahan.

“Aku malu Intan…malu pada kawan-kawan dan keluargaku. Aku memuja Zarul sepenuh hatiku. Memujinya melambung-lambung. Kononnya dialah suami terbaik antara suami-suami yang ada di dunia ini,”

“Bukan salah kau Sali. Bila kita menyintai sesaorang, memang kita tidak akan nampak cacat celanya. Tambahan orang sebaik Zarul. Tentu ada sebab kenapa dia berubah.”

“Aku tidak tahu sebab yang lain selain dari miang dan gatal! ” Salina menoleh ke arah Intan. Suaranya meninggi. Kemarahan menjalar.

“Tidak semua lelaki yang beralih arah itu mempunyai perangai dan sikap begitu. Mungkin ada sebab lain….”Intan tidak mahu meneruskan pendapatnya. Dia tahu Salina tidak akan menerima semua buah fikirannya dengan positif. Hati sahabatnya itu sedang walang. Jadi tidak perlu ditambah dengan sesuatu yang boleh meluluhkan perasaannya.

Intan akan mengikut saja gerak tari Salina. Itu lebih baik dari terus memberikan pendapat yang belum tahu mampu masuk ke dalam fikirannya.

“Akukah yang bersalah? Rasanya aku sudah menjaganya sebaik mungkin Intan. Aku menjadi isteri yang rasanya sudah cukup sempurna untuk seorang suami. Apa lagi yang tidak cukup?”

“Kita jangan mengukur kesempurnaan diri kita sendiri Sali. Tidak ada yang dilahirkan sempurna dalam dunia ini. Setiap manusia mempunyai kelemahannya sendiri. Dan mata kita memang tidak akan nampak kelemahan itu,”

“Kalau pun ada kelemahannya, tidakkah dia mampu menilai kebaikan dan pengorbananku untuk menutup kelemahanku itu. Aku seperti rasa tersia Intan. Seluruh pengorbanan dan kasih sayangku selama ini seperti tidak dihargai langsung….”Intan menatap wajah cengkung Salina. Dia dapat menangkap kesengsaraan yang sedang dilalui oleh Salina. Wanita dan poligami…seperti anjing dengan kucing. Tidak ada perdamaian dan tidak ada kesudahannya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.