Hari
yang dijanjikan untuk terbang ke Kuching pun tiba. Kapal terbang dari Senai ke
Kuching dijadualkan berlepas jam 3.00 petang. Satu jam sebelum itu, penumpang
perlu ada di lapangan terbang. Terlambat check-in alamatnya akan
ditinggalkan. Kapal terbang bukan macam
bas, boleh ditunda-tunda masa berlepas.
Kerana
itu, Nek Ros dan Atuk Jay sudah bersiap awal-awal lagi. Dua buah beg sedia
menunggu di pintu.
“Awak,
kita ni tak pernah naik kapal terbang. Macam mana rasanya ek?” tanya Nek Ros
separuh merengek.
“Biasa
saja. Macam naik buai. Seronok!” jawab Atuk Jay dengan ketawa perlahan.
Pukul
12.00 tengah hari, kereta Nurlisa tiba di luar pagar. Pemandunya ialah Nurul Quratun’Ain,
anak sulung Nurlisa.
“Atuk!
Nenek! Miss you!” jerit Ain dengan riang ketika melihat Atuk Jay dan Nek Ros
keluar dari rumah. Dia meluru memeluk kedua-duanya.
“Cucu
atuk ke ni?”
“Kenapa
pula?” Aini membelek dirinya. Rasanya tidak ada yang salah pada pakaiannya. Dia
memakai seluar panjang dengan baju kemeja lengan panjang. Dia bertudung. Dia
menutup aurat walaupun pakaiannya bukan pakaian orang Melayu. Apa yang tak
kena?
“Atuk
ingat budak mat saleh mana. Cuba jadi orang Melayu. Buat apa nak jadi orang
lain. Atuk tak suka Ain lupakan adat dan budaya Melayu,” jawab Atuk Jay.
Ain
merenung wajah neneknya. Nek Ros hanya senyum sambil mengangkat bahu. Dia faham
kesilapan Ain. Namun dia akan mambiarkan Ain berfikir sendiri.
“Atuk,
apa salah Ain?”
“Macam
gitukah orang Melayu menegur orang tua? Itu bukan cara kita, Ain.”
Si
cucu mula faham. Dengan cepat dia menarik tangan Atuk Jay, merendahkan diri dan
menciumnya dengan penuh hormat takzim. Atuk Jay mencium dahi Ain sebelum
menarik tubuh cucunya itu ke dalam pelukannya.
“Jangan
lupa identiti kita, Ain. Ain jangan ingat atuk dan nenek yang sempoi macam ni,
tak pentingkan adab sopan. Walau bagaimana rock kita pun, kita masih nak anak
cucu beradab dengan orang tua,” kata Atuk
Jay, berbisik ke telinga Ain.
Ain
terharu. Air matanya bergenang.
“Kalau
bukan kita yang martabatkan adat sopan kita, siapa lagi? Jangan sampai kita
dijajah oleh budaya kasar mereka tu,” sambung Atuk Jay ketika melepaskan
pelukannya.
“Baiklah
atuk. Ain minta maaf,” jawab Ain sambil mencium tangan Atuk Jay sekali lagi.
“Maafmu
diterima. Lain kali jangan buat lagi. Atuk tak suka!”
“Wah,
atuk dah jadi pejuang adat dan bangsa ya!” perli Nek Ros pula. Ain pula tidak
berani menyampuk. Dia rasa terpana dengan sindiran atuknya. Dia rasa sangat
kesal dengan perbuatannya tadi.
“Kita
semua harus jadi pejuang. Kalau bukan kita, siapa?” balas Atuk Jay, mula
tersenyum.
“Yalah.
Kita memang pejuang. Jom kita bergerak. Kalau terlambat, kita ketinggalan kapal
terbang, baru betul kita kena berjuang!” kata Nek Ros lagi.
Beg
diangkat dan dimasukkan ke dalam boot kereta. Mereka masuk ke dalam kereta.
Namun sebelum sempat kereta bergerak, Pati Lakshmi berjalan keluar dari pagar
rumahnya dan melambaikan tangan ke arah mereka.
“Kenapa
dengan Lakhsmi tu, Ros?”
Nek
Ros segera keluar. Dia berjalan ke arah sahabatnya itu.
“Ros,
awak nak pergi mana?” tanya Pati Lakshmi, sedikit cemas.
“Kan
saya dah cakap dengan awak, saya nak ke Kuching. Kami nak melawat anak cucu
kami,” jawab Nek Ros sambil menarik tangan Pati Lakshmi.
Pati
Lakshmi angguk perlahan. Wajahnya berkerut dan muram. Dia seperti sedang menahan
kesakitan.
“Lakhsmi,
kenapa ni? Awak sakit ke?”
“Saya
sakit perut. Sejak semalam. Saya ingat nak minta awak hantar saya pergi klinik.
Tapi...”
Nek
Ros termenung.
“Bang,
macam mana ni?” Nek Ros mencari jawapan dari Atuk Jay.
“Maafkan
kami Lakhsmi. Kami tak boleh nak hantar sebab nanti kami akan ditinggalkan
kapal terbang. Macam mana ya?” Atuk Jay merenung Nek Ros. Mereka saling mencari
jawapan.
“Tak
apalah Ros, Jay. Awak pergilah. Nanti saya naik teksi saja.”
“Anak-anak
awak mana? Mintalah mereka hantar. Kami benar-benar rasa bersalah kalau awak
naik teksi,” balas Nek Ros pula. Dia memeluk bahu Pati Lakshmi. Dia tidak
berkata bohong.
Soalan
Nek Ros tidak dijawab. Namun muram wajah Pati Lakhsmi sudah cukup membuat Nek
Ros faham.
“Nek,
atuk, marilah kita pergi. Kalau leka, Ain bimbang kita terlewat,” kata Ain.
“Tapi
Ain...pati ni...” Nek Ros nampak resah.
“Pasal
Pati, Ain akan hantar pati ke klinik nanti selepas hantar atuk dan nenek ke
lapangan terbang. Marilah,” kata Ain dengan senyuman senang. Dia kerdipkan mata
tanda setuju.
Nek
Ros dan Atuk Jay merenung Ain. Hati mereka kembang bangga. Ada kasih sayang
yang tulus pada kata-kata yang baru didengar.
“Lakshmi,
awak tunggu sampai Ain ambil awak ya. Kami pergi dulu. Apa-apa hal awak boleh
telefon Nurlisa atau Ain. Mereka akan ambil alih kasih sayang kami pada awak,”
kata Atuk Jay.
Mata
Pati Lakhsmi bergenang air mata. Wajahnya dihurung rasa terharu. Namun selepas
itu dia tersenyum dan melepaskan Nek Ros pergi dengan senang hati.
“Kesian
pati...” rungut Nek Ros ketika kereta mula meninggalkan halaman rumahnya.
Rungutan itu tidak dibalas oleh Atuk Jay ataupun Ain. Mereka ikut hanyut
bersama rasa belas dan simpati terhadap wanita itu.
Ketika
sampai di Lapangan Terbang Sultan Ismail, suasana sudah agak sibuk. Masa untuk
check-in sudah tiba. Balai pelepasan mula dipenuhi penumpang.
Ain
meninggalkan mereka selepas memeluk dan mencium Atuk Jay dan Nek Ros. Lalu
tinggallah mereka berdua mengheret beg ke arah kaunter pelepasan.
“Awak,”
bisik Nek Ros sambil mencuit bahu Atuk Jay.
“Kenapa
ni?” Atuk Jay menoleh.
“Kita
takutlah... ”
“Takut
apa? Ini Lapangan Terbang. Tak ada hantu. Yang ada hanya kapal terbang,” kata
Atuk Jay menarik tangan Nek Ros
“Sebab
ada kapal terbanglah, kita takut,” kata Nek Ros dengan resah.
“Takut
apa?” Atuk Jay mengulangi soalan.
“Takut
kapal terbang. Kita gayat nak naik kapal terbang. Kita juga takut mabuk dan
muntah, ” Nek Ros berbisik ke telinga Atuk Jay.
“Ish!
Awak janganlah takut. Kita yang perkasa ni kan ada. Mari, jangan takut.” Atuk
Jay mengenggam tangan Nek Ros dan memimpinnya berjalan ke arah kaunter
pemeriksaan.
Pengumuman
penerbangan untuk ke Kuching dibuat. Semua penumpang bersedia untuk menaiki
pesawat. Hati Nek Ros semakin berdebar dan keluh kesah. Semua keberaniannya
selama ini berkecai. Tiba-tiba dia menjadi sangat penakut. Perasaan rocknya
bertukar menjadi inang dan zapin yang lemah gemalai. Aduh!
Dalam
pesawat, Atuk Jay sengaja memberi peluang Nek Ros duduk di tepi tingkap.
“Awak
duduk dekat tingkap. Nanti awak dapat tengok pemandangan yang cantik dari
udara,” kata Atuk Jay.
Nek
Ros tersengih-sengih sambil membetulkan duduk. Dia memerhati sekeliling. Macam
ini rupanya keadaan dalam kapal terbang. Itu yang ada dalam hatinya.
Penerbangan
akan bermula. Enjin kapal terbang pun sudah berdengung-dengung. Seorang
pramugari sudah selesai menyampaikan
taklimat ringkas keselamatan. Hati Nek Ros berdebar-debar. Jantungnya
berdegup-degap. Rasa nak terkucil pun ada.
Kapal
terbang mula meluncur. Nek Ros pejamkan mata. Tidak sanggup dia melihat bumi
ditinggalkan dan kini dia sedang terapung di dada di langit.
“Meow
meow kami datang!” kata Atuk Jay dengan riang.
Nek
Ros diam. Masih pejamkan mata. Dadanya masih tidak reda dari debaran.
“Awak,
bukalah mata. Tengok pemandangan bandar Johor Bahru yang cantik. Lihat awan
yang memutih. Kita berada di celah awan. Tengoklah,” tunjuk Atuk Jay sambil
memeluk bahu Nek Ros.
“Awak
tolong tengok boleh? Kita tengah takut ni.”
“Nak
takut apa. Kita ada di sebelah awak. Buka mata. Tengok di bawah sana. Nun, atap
rumah kita, rumah Lakhsmi, rumah Nurlisa...” kata Atuk Jay dengan ketawa.
“Mana?”
Nek Ros menjengah ke bawah. Dia mencari-cari bumbung rumah yang dikatakan Atuk
Jay. Namun ketika itu, dia rasa seperti melihat semut yang sedang merayap di
atas sebatang kayu. Tiba-tiba hatinya berbolak-balik. Dia rasa sangat gayat. Kepalanya
semakin pening. Dia mula mual. Dengan cepat dia kembali pejamkan mata. Dia rasa
seram sejuk dan berpeluh.
“Awak,
kita nak muntah...” bisik Nek Ros, mendesah perlahan.
Atuk
Jay menoleh. Dia melihat wajah Nek Ros yang mula pucat. Dari kocek seluarnya
dikeluarkan sebotol minyak angin lalu ditenyehkan ke hidung Nek Ros.
“Tahan,
jangan muntah. Nanti tak rock! Wa caya lu!” bisik Atuk Jay sambil mengurut
belakang Nek Ros dengan penuh kasih sayang.
“Rock
tak rock. Kita dah tak peduli. Kalau kita buka mata, mesti kita dah muntah!”
“Kalau
macam tu, pejamlah. Meow, meow lu jangan muntah!" balas Atuk Jay, dengan rasa simpati.