Home Novel Thriller/Aksi MERAHNYA LUKA!
MERAHNYA LUKA!
Fida Rohani
15/11/2014 04:39:36
6,278
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

Siti Aishah masih tidak mahu mengalah. Dia masih ingin bertekak kata dengan Fatmah. Dia sudah lama hidup dengan arwah Mek Romah. Sudah sebati jiwanya dengan perjuangan mak mertuanya itu.

“Tak ada ilmu, boleh belajar,” kata Siti Aishah.

“Kak, dengarlah cakap aku,” kata Fatmah sambil merenung mata Siti Aishah mohon pengertian.

Siti Aishah menarik tubuh Fatmah ke dalam pelukannya. Mereka bertangis-tangisan. Seluruh duka bersatu dalam kasih sayang yang tidak mengenal sempadan.

“Apa yang kamu berdua bincang ni? Adakah apa yang ada di rumah ini kurang memuaskan hati anak berdua?” Satu suara menegur. Mereka menoleh.

Haji Brahim tersenyum senang ke arah mereka.

“Jangan kata begitu, Ayah Him. Kami dah terhutang budi kepada ayah dan keluarga di sini. Kalau tidak kerana ayah mengutip kami, entah di mana jasad kami melarat,” kata Fatmah.

“Ish! Janganlah diguna perkataan kutip itu. Sangat sedih bunyinya. Kamu berdua ini ibarat darah daging ayah juga. Arwah Haji Mat Daud tu, guru ayah. Ayah tak sempat berbakti kepadanya. Dia pergi terlalu awal. Jadi, ALLAH kirimkan kamu berdua ke sini. Untuk memberi peluang ayah membalas jasa dan budi arwah Haji Mat Daud dan Mek Romah,” tingkah Haji Brahim.

Fatmah mendengar kedua-dua nama itu dengan dada sebak. Air mata yang masih bertakung cuba ditahan. Dia malu kalau Haji Ibrahim melihat wajah sedihnya.

Namun, di sebalik rasa sedih dan suka itu ada hasrat lain yang sedang menyala dalam jiwanya.

“Aku kena pulang ke Bangkok, Ayah Him,” kata Fatmah seperti merayu.

“Untuk apa Fatmah? Keadaan masih tidak aman di sana.”

“Kalau aku nak tunggu aman, memang sampai bila-bilapun aku tak dapat balik.”

“Kenapa kau kata begitu?”

“Kerana sampai sekarang, aku tak nampak ada langkah-langkah keamanan yang dibuat di sana.Makin hari makin ramai orang kita yang terkorban. Tapi langsung tak ada tindakan dan siasatan yang dibuat. Tolonglah Ayah Him. Izinkanlah aku balik ke kampong halamanku di Bangkok. Ada perkara yang perlu aku selesaikan,” rayu Fatmah lagi.

Haji Brahim termenung seketika. Banyak perkara yang bermain di fikirannya. Bayangan tubuh Mek Romah yang berkecai masih meniti di ruang mata. Sungguhpun dia tidak menyaksikan kejadian itu, namun sebagai ahli dalam peperangan dia mampu membayangnya.

“Keselamatan kamu terancam, Fatmah. Mereka masih lagi mencari saki baki keturunanmu dan keturuan Haji Mat Daud. Kalau apa-apa terjadi pada kamu, ayah tak mampu nak maafkan diri ayah ini,” jawab Haji Brahim bersungguh-sungguh.

“Perjuangan ini kena diteruskan. Aku tak sanggup nak tunggu saja macam ni,” tingkah Fatmah pula.

“Kamu ingat ayah ni sanggup melihat setiap hari orang kita mati di muncung senjata mereka? Kamu rasa ayah ni mampu tidur lena ketika saudara ayah yang lain sedang diancam maut di Tanah Selatan itu?”

“Habis, bolehkah kita hanya melihat dan mendengar saja? Setiap hari darah yang hanyir itu seperti menyentuh hidungku ini, ayah!” kata Fatmah dengan suara meninggi.

Siti Aishah memegang bahunya. Dia tahu, darah Fatmah sedang bergelora.Berbulan-bulan mereka cuba menyejukkan dada dari aliran darah perjuangan yang sangat panas itu.

Tidur dan baring mereka, penuh dengan azam untuk kembali merebut tanah yang dijajah itu!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.