Home Cerpen Keluarga Cucu Mak Anak Ayah
Cucu Mak Anak Ayah
Fida Rohani
9/10/2013 21:58:48
5,029
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

CUCU MAK ANAK AYAH

(1)

Aishah masih berdiri di hadapan cermin tua di rumahnya dengan tangannya tidak putus-putus mengusap perutnya yang buncit itu. Simpulan kain batik dileraikan ke bawah. Putih mulus kulit perutnya kelihatan jelas. Sejelas peristiwa hitam itu berada dalam ingatannya. Dia menutup perutnya. Kemudian mengeluh dengan seribu dendam.

Dia teringat teman-temannya. Tentunya semua sedang tekun belajar kerana SPM akan dihadapi kira-kira empat bulan saja lagi. Senyum dan keramahan Cikgu Rosnani terbayang di ruang mata. Kenakalan murid-murid lelaki mengusik cikgu muda itu sering diingatnya. Tiba-tiba dia rasa sedih. Sudah lama dia menjauhkan diri. Dia lebih suka memencil diri. Dia malu untuk berdepan dengan semua orang. Dia mengurung diri, sambil mengira hari.

Perutnya digosok lagi. Ada gerakan lembut di dalamnya. Ah! Sudah lima bulan dia tidak didatangi haidh. Bermakna empat bulan lagi dia akan melahirkan bayi ini. Dalam usia muda dia terpaksa menjadi ibu. Dia tidak mengimpikan untuk melalui detik ini dalam usia mentah begini.

Semuanya telah berlaku dengan kejam dan keji!

Malam hitam kelam. Hujan lebat akan turun bila-bila masa saja. Dia di rumah sendirian. Mak dan adik-adiknya berkunjung ke rumah Nek Tom, kerana ada kenduri tahlil arwah Tok Ali. Semua ahli keluarga dijemput. Namun Aishah tidak mahu ikut. Dia sudah biasa tinggal sendirian. Apa lagi hari itu banyak sekali kerja sekolah yang perlu disiapkan. Kalau dia ikut mak, tentu semua kerja sekolah tidak akan siap. Besok akan melentinglah Cikgu Dolah. Cikgu tu paling Aishah gerun. Kalau dia marah, dia akan marah betul-betul. Tidak ada maaf dan tidak ada kompromi.

“Tutup pintu baik-baik Chah. Hujan nak turun ni. Kalau kamu nak tidur, tidurlah dulu. Tak payah tunggu mak. Mak ada bawa kunci.” Itu pesan mak sebelum pergi.

Aishah angguk faham. Mak memang tidak pernah bimbang tentang keselamatannya, kerana di kampung itu belum pernah terjadi sesuatu yang buruk. Ibu bapa tidak takut meninggalkan anak-anak gadis mereka sendirian di waktu malam. Kampung itu memang selamat dan aman. Kecurian dan pencerobohan jarang sekali berlaku.

Hujan betul-betul turun setengah jam selepas mak dan adik-adik pergi. Aishah masih berteleku di meja tulis kerana menyiapkan kerjanya. Tahun ini dia terpaksa belajar lebih tekun kerana SPM akan tiba hujung tahun nanti. Ketika PMR dahulu, dia telah lulus dengan cemerlang. Sepatutnya dia berada di sekolah berasrama penuh. Namun tawaran terpaksa ditolak kerana kepayahan hidup keluarganya. Dia tidak mahu membebankan ayahnya yang terpaksa bertungkus lumus saban hari untuk menyara hidup mereka sekeluarga. Untuk itu juga dia mahu lulus cemerlang dan mengubah hidup mereka. Dia tidak mahu menjadikan kemiskinan sebagai warisan turun temurun keluarganya. Biarlah dia generasi terakhir yang merasai kehidupan yang miskin ini.

Dalam kesejukan hujan yang turun,dia terdengar bunyi ketukan di pintu berulang kali. Aishah bangun dan menuju ke pintu. Wajah ayahnya tersembul di situ. Dia basah kuyup dan menggigil kesejukan.

Rasa kasihan mengalir di hati Aishah.

“Chah, ambilkan ayah tuala. Ayah sejuk ni,” suruh ayahnya.

Aishah berlari ke bilik maknya. Dia mencapai tuala yang tersidai di penyidai. Kemudian bergegas lagi ke muka pintu. Dengan cepat ayahnya mencapai tuala dan mengelap rambut dan badannya.

“Ayah nak kopi?” Dia bertanya penuh hormat. Ayahnya mengangguk kemudian berlalu ke bilik air untuk mandi. Aishah segera ke dapur untuk membancuh kopi, kemudian menghantarnya ke bilik ayahnya.

“Ini kopinya ayah. Ayah minumlah sementara masih panas ni,” kata Aishah sambil melangkah ke pintu.

“Chah,mari sini sekejap Chah. Tolong picitkan kaki ayah ni kejap, sakitnya tak tertahan…” kata ayahnya.

Aishah memang anak yang taat dan lurus. Dia memang tidak pernah membantah apa juga arahan ibu bapanya selama ini. Dengan penuh patuh, dia bersimpuh di hujung kaki ayahnya dan memicit kaki lelaki itu perlahan. Suasana sepi. Dia melihat mata ayahnya sudah mula terpejam. Mungkin sudah tertidur, fikirnya. Lalu dia selimutkan semula kaki ayahnya. Dia bangun untuk keluar dari bilik itu.

Tiba-tiba lelaki itu bangun dan menarik tangannya dengan kuat. Dia terkejut. Serentak itu dia terjatuh ke dalam pelukan ayahnya. Dia mendengar bunyi nafas ayahnya mula tidak teratur. Dia jadi takut. Dia meronta dan meronta. Dia berusaha untuk melepaskan dirinya. Dia tidak mahu mahkota kegadisannya diragut sekejam itu.

Namun, apalah sangat upayanya jika dibandingkan dengan tenaga jantan ayahnya. Malam itu dia hilang segala-galanya. Hanya airmata menjadi saksi ketika mahkota perawannya diragut ayah sendiri!

“Kalau kau ceritakan kepada orang, ayah bunuh kamu!” Itu ancaman yang diterimanya. Aishah berlari meninggalkan bilik itu. Dia menyembamkan mukanya ke bantal. Hancur hatinya tidak terkira. Alangkah aib dan kejinya perbuatan lelaki yang selama ini dipanggil ayah itu!

Hari-hari seterusnya, Aishah lalui dengan penuh ketakutan. Dia menjadi seorang yang pemurung. Dan dia memandang hidup ini sudah tiada maknanya lagi. Dia kesal pada kecelakaan yang menimpa dirinya. Apa lagi bila mendapati benih sumbang mula tumbuh subur di rahimnya.

“Kamu kenapa Chah? Mak tengok wajah kamu pucat saja. Dan semalam mak dengar kamu muntah-muntah ?” Dia teringat pertanyaan ibuny. Ketika itu haidhnya sudah terhenti dua bulan selepas kejadian itu.

Aishah diam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Memang semuanya di luar jangkaannya.

“Tak ada apa mak.Mungkin kerana Chah penat.”

“Mak tahulah kamu nak periksa tahun ni. Tapi janganlah terlalu berjaga malam sangat. Nanti kalau sakit, susah,” kata ibunya lagi.

Kata-kata ibunya itu hanya dibalas dengan anggukan saja. Apalah lagi yang mampu dibuatnya selain mengangguk. Walaupun jauh di sudut hatinya dia mengutuk ayahnya. Dendam kesumat memenuhi ruang hatinya setiap kali bertembung dengan lelaki itu. Aishah sebenarnya bingung. Dia ingin berterus terang dengan ibunya, tapi ancaman ayahnya begitu menghantuinya. Dia takut pada ancaman itu. Dia kenal benar dengan perangai ayahnya. Dia seorang pembengis dan panas baran. Kadang-kadang Aishah kasihan dengan ibunya yang saban hari terpaksa berdepan dengan jerkah bengkeng ayahnya. Kalaulah maknya tahu, tentu akan hancur luluh hatinya.

Hanya kepada Masni, sahabat karibnya sejak kecil dikhabarkan berita aib ini. Masni terlalu ambil berat dan prihatin terhadapnya. Dia tidak sampai hati untuk menyembunyikan rahsia ini dari Masni.

“Kau kerap ponteng sekarang Chah. Cikgu Rosnani selalu tanya aku. Aku pun tak tahu nak jawab lagi. Kalau aku kata kau sakit, kau tak sakit. Kenapa Chah? Kenapa kau tak macam dulu lagi. Dulu kau seorang murid yang rajin dan aktif dalam semua aktiviti sekolah. Tapi sekarang, kau bukan saja tak mahu aktif, malah kau pinggirkan diri kau dari kami semua. Chah, kau ada masalah ke ? kalau ada beritahulah. Mungkin aku boleh membantu,” kata Masni satu petang. Aishah tidak menjawab. Dia hanya mengeluh. Keluhannya dalam dan penuh erti.

“Bila aku tanya kau sering diam dan mengeluh. Kenapa Chah? Kau dah tak percayakan aku lagi? Akukan sahabat kau. Dari kecil kita berkawan. Kalau kau susah, akupun akan ikut terasa susahnya. Kalau kau terus macam ni,aku pun ikut susah hati,” kata Masni lagi.

Aishah merenung ke dalam mata Masni. Dia tahu dia perlukan seorang teman untuk berkongsi rahsia besar itu. Dan dia tahu hanya Masni yang boleh dipercayai.

“Aku dalam kesusahan Mas…” keluhnya perlahan.

“Ceritakanlah kesusahan kau tu Chah, aku sanggup menanggungnya bersama,” balas Masni dengan cepat. Memang dia berkata benar dan tulus.

“Mas, mahukah kau berjanji untuk menyimpannya kalau aku ceritakan?” Dia menggenggam tangan Masni. Masni angguk, bersungguh-sungguh. Kemudian dia pejamkan mata. Tiba-tiba dari kelopak matanya mengalir titisan air mata. Juraian itu membasahi pipinya, kemudian dia teresak-esak perlahan. Masni panik seketika. Aishah jarang berkeadaan begitu. Dia jarang bersedih biarpun terpaksa hidup miskin. Berat sangatkah kesusahan yang sedang Aishah hadapi. Masni memeluk Aishah dan cuba menenangkannya. Akhirnya Aishah berhenti menangis dan sudah bersedia untuk berkongsi cerita.

Masni menunggu dengan tenang.

Kemudian barulah apa yang tersurat dan tersirat terbongkar. Masni terlopong. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Setahunya ayah Aishah seorang yang baik walaupun dia bengis orangnya. Tapi…tak kanlah Aishah nak berbohong. Takkan Aishah nak burukkan nama ayahnya sendiri. Mata Masni tertumpu ke perut Aishah yang sudah mula membesar itu. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Hiba hatinya melihat keadaan Aishah. Dia dapat rasakan penderitaan sahabatnya itu.

“Kau mesti janji Mas, jangan ceritakan kepada sesiapapun.”

“Tapi sampai bila Chah? Nanti lama-lama orang akan tahu juga. Lagipun kau kena fikir, masa untuk kau bersalin semakin dekat. Begitu juga periksa pun dah semakin hampir. Kita mesti buat sesuatu.”

“Tapi, aku takut Mas. Aku juga tak nak keluarga aku mendapat malu jika hal ini didedahkan. Kasihan ibuku Mas.” keluh Aishah lembut. Dia dapat bayangkan bagaimana keadaan ibunya tatkala menerima berita ini.

“Sepatutnya ayah kau yang berfikir begitu, bukan kau. Kau kena fikirkan masa depan kau Chah. Kita kena lulus dalam SPM nanti. Kau pelajar harapan sekolah. Aku tak nak kau gagal. Kau mesti terus belajar untuk mencapai cita-cita kau selama ini.”

Aishah angguk. Memang kata-kata Masni itu betul. Dia masih menyimpan cita-citanya. Dan dia tidak mahu melupakan impiannya itu. Dia perlu berkorban jiwa raga untuk mencapai semua impiannya. Dia perlu melawan keadaan. Biar susah macam manapun, dia perlu ke sekolah. Biarlah anak yang ada dalam kandungannya menjadi saksi untuk semua keperitan yang perlu ditempuhnya.

Semangatnya kembali menyala. Dia kembali ke sekolah serta cuba berdepan dengan kenyataan dirinya. Dia berazam untuk lulus cemerlang dalam SPM nanti.

“Chah, kenapa kau nampak gemuk sangat sekarang ni?” tanya Natrah sewaktu berbaris untuk membeli makanan di kantin.

Aishah terkedu seketika. Tidak tahu untuk menjawab. Soalan itu dirasakan terlalu sensitif dan terlalu peribadi.

“Kalau makan banyak, senaman tak buat gemoklah dia,” jawab Masni selamba untuk menyelamatkan keadaan. Natrah angguk. Jawapan itu boleh dianggap betul. Mata Aishah tiba-tiba berair. Cepat-cepat Masni menariknya pergi.

“Sabarlah, jangan menangis. Kalau kau menangis, semua orang syak sesuatu nanti,” pujuk Masni berbisik. Aishah cepat-cepat menyeka air mata yang menitis.

****

(ii)

Peperiksaan SPM bermula seperti yang dijadualkan. Semua pelajar termasuk Aishah dan Masni menghadapinya dengan penuh harapan. Aishah cuba melaksanakan tugas terakhir sebagai pelajar sebaik mungkin.

“Aku yakin aku akan lulus Mas,” kata Aishah selepas beberapa hari peperiksaan bermula.

“Aku juga begitu Chah. Nampaknya semua soalan yang keluar tepat pada apa yang kita jangka. Cuma tinggal dua kertas sahaja lagi. Lepas itu kita ‘merdeka’ Chah,” kata Masni dengan mata bercahaya. Aishah termenung seketika. Perkataan ‘merdeka’ itu amat disangsikannya. Dia mungkin akan merdeka dari mentelaah pelajaran dan mengadap buku-buku. Namun dia akan berdepan pula dengan perang yang lebih besar selepas ini!

Manusia hanya mampu merancang, Allahlah yang menentukan segalanya.

Pada hari terakhir peperiksaan, Aishah tiba-tiba mengerang kesakitan. Dia cuba menahan rasa sakit supaya dapat menyiapkan soalan-soalan peperiksaan yang ada di hadapannya. Namun dia tidak mampu bertahan dan menahan lagi. Suasana menjadi kelam kabut. Guru pengawas terpaksa membawa Aishah keluar dari dewan. Masni berlari dengan segera ke arah Aishah walaupun ditegah berkali-kali oleh guru pengawas.

“Mas, aku rasa dah tak mampu bertahan lagi. Masanya mungkin dah sampai,” bisik Aishah perlahan. Airmatanya berjuraian. Bukan hanya kerana kesakitan itu, tapi kerana kertas soalan tidak mampu disiapkan.

“Sabarlah Chah. Aku doakan semuanya akan selamat,” ujar Masni perlahan. Sebetulnya dia cemas melihat keadaan Aishah. Namun dia faham apa yang sedang berlaku. Dengan penuh simpati dia melepaskan Aishah dibawa pergi. Aishah dibawa ke hospital. Disaat macam itupun, masih tidak ada yang mengesyaki apa-apa. Semua tidak menyangka Siti Aishah bt.Harun, seorang pelajar cemerlang, anak yang baik dan berbudi bahasa sedang menanti kelahiran seorang bayi.

Semua tidak tahu rahsia di sebalik baju besarnya selama beberapa bulan ini. Hanya Masni seorang yang tahu. Dan Masni adalah sahabat yang setia, amanah dan teguh berpegang pada janji. Masni tetap menutup pekung busuk yang dibuat oleh Pak Harun.

Pukul 2-00 petang, seluruh kampung Permatang Pasir menjadi heboh dan kecoh. Dalam sekelip mata berita Aishah, anak dara pinggitan Pak Harun selamat melahirkan seorang bayi lelaki! Semua mengurut dada. Semua mengucap panjang. Semua menggelengkan kepala. Tohmahan dan cacian mula berjela dan melata. Siapakah jantan yang membuntingkan Aishah ?

Suasana di hospital lebih kecoh lagi. Mak Leha, ibu Aishah sudah entah berapa kali pengsan dan sedar. Keluarga berkumpul seperti ada kematian yang berlaku. Semuanya sarat dengan pertanyaan. Siapa? Namun Aishah tetap membatu. Luluh hatinya melihat keadaan ibunya.

“Chah, beritahulah kami siapakah yang bertanggung jawab. Kalau kau diam macam ni, masalah tak akan selesai. Tolonglah Chah..” pujuk ibunya dengan airmata yang berladung.

Aishah merenung ibunya. Simpatinya bergayutan di hati.

“Bolehkah mak menerimanya dengan tenang?”

“Ya Chah…mak dah bersedia,” jawab Mak Leha lemah. Aishah memegang tangan ibunya. Kemudian meletakkan tangan itu di kepala bayinya yang sedang lena itu.

“Mak, maafkan Chah mak. Chah tidak bersalah. Chah dianiaya. Chah diperkosa. Anak ini tidak bersalah mak. Dia juga teraniaya. Kami tidak minta semuanya terjadi. Kami tidak minta mak..” kata Aishah, sambil menangis.

“Siapakah yang menganiaya kamu Chah? Siapakah bapa bayi ini?” tanya ibunya tidak sabar. Mungkin masanya sudah tiba, begitu fikir Aishah. Dia sudah penat menyimpan rahsia besar ini. Biarlah semuanya jelas dan terbongkar.

“Mak…bayi ini, adalah cucu mak. Dan.. dan…dia adalah anak ayah..”

Bum! Mak Leha terjatuh lagi. Dia pengsan untuk kesekian kalinya. Kata-kata Aishah lebih hebat dari bom atom!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.