HAI, JEJAKA BERGIGI EMAS
Selepas
usai solat subuh dan berwirid seperti lazimnya, Nek Ros terus ke dapur.
Perutnya rasa sangat pedih dan lapar. Rupanya malam tadi, dia tidur tanpa makan
malam. Juga tidak minum segelas susu seperti biasa.
Selepas
membancuh segelas horlicks dan semangkuk kecil bijirin oats bersama madu, dia
keluar dan duduk di beranda rumah. Selepas beberapa suapan oats ke mulutnya,
dia terpandangkan ikan talapia putih keemasan berenang berpusing-pusing dalam
akuarium.
Dia
segera bangun dan mendekati akuarium itu.
“Kau
pun lapar ye Kudin? Nanti, aku berikan kau makan. Mana bini kau Si Temah?” tanya
Nek Ros sambil menaburkan makanan ke permukaan air. Selepas taburan makanan itu
bertebaran di air, seekor ikan talapia merah muncul menangkap butir-butir
makanan itu.
“Wah!
Nampak makanan baru kau nak keluar ya Temah. Kalau tak, kau membuta je di celah
batu tu. Nasib baik tak ada ikan lain dalam akuarium ni. Kalau tidak mesti Si
Kudin dah lari tinggalkan kau!”
Ikan
talapia merah berenang tenang. Ekornya berkelok-kelok lembut.
“Nanti,
kau akan jadi perindu macam aku. Padan muka kita!” Tiba-tiba Nek Ros tersenyum.
Dia malu sendiri.
Ikan
talapia merah seperti faham akan kata-kata Nek Ros. Dia lalu berenang perlahan
ke arah ikan talapia putih keemasan. Dengan manja dia menggeselkan badannya.
“Amboi!
Nak buat kita jelous lah tu!” Nek Ros ketawa mengekek.
Telefon
di ruang tamu berdering. Nek Ros meninggalkan kedua-dua ekor ikan dan akuarium
itu untuk menjawap panggilan.
“Assalamualaikum
mak!” ucap Darwis.
Ucapan
salam itu dibalas dengan mesra.
“Mak
tengah buat apa?”
“Berbual-bual
dengan Kudin dan Temah.”
Ketawa
Darwis pecah. Segar. Namun tidak lama.
“Mak
tak pergi jogging?”
“Tak.
Tak ada kawan. Kena tunggu dayang-dayang mak datang ke sini baru boleh ke taman
tu. Tak gitu Wis?”
“Mak,
kalau tak berteman jangan ke taman tu. Bersenam je di rumah,” kata Darwis.
Memang itu yang akan diucapkannya setiap kali menelefon. Nek Ros memang sudah
membaca pesan itu.
“Kenapa
Wis?” Sengaja dia ingin menduga rasa bimbang anaknya.
“Nanti
mak kena culik, siapa susah? Awis tak ada duit nak bayar duit tebusan,” gurau
Darwis dengan ketawa.
“Siapalah
nak culik mak ni? Ayam pencen!” gurau Nek Ros pula.
“Mak,
orang kalau nak duit dia tak kira ayam muda ke ayam pencen. Janji ada habuan.
Tak dapat banyak, lepas duit rokok pun jadilah.”
Nek
Ros ketawa mengekek.
“Kalau
setakat nak beli rokok, tak berbaloi nak culik mak. Kalau tertangkap, masuk
lokap. Wis ni buat mak rasa nak ketawa je. Awis nak tipu mak ya?”
“Tipu
apa pula mak?”
“Sebenarnya
Awis takut mak kena goda dengan budak-budak bujang yang selalu berjogging di
taman itu,” kata Nek Ros, sengaja membuat Darwis ketawa lagi.
Memang apa yang diharapkan Nek Ros benar.
Darwis ketawa mengekek. Lebih kuat dari ketawanya tadi.
“Kalau
mak digoda budak-budak tu dan mak tergoda, habislah ayah!”
Senyap.
Nek Ros tidak menyampuk lagi. Dia tergamam seketika.
“Mak,
Wis baru bercakap dengan ayah. Dia kurang sihat,” kata Darwis, cuba mencuri
perhatian Nek Ros.
“Kak
long dah beritahu mak,” kata Nek Ros pula.
“Mak
tak nak ke sana? Kalau mak nak pergi, Wis boleh booking tiket. Cakap je bila
mak nak pergi. Ayah tu rindukan mak. Maklumlah, ini kali pertama mak dan ayah
berpisah,” kata Darwis.
Diam.
Hati Nek Ros sedang bercelaru. Gementar perasaannya mendengar kata-kata Darwis
itu.
“Mak,
bila mak nak ke sana?”
“Ke
mana?” Nek Ros berpura-pura tidak faham maksud kata-kata anaknya.
“Mak,
Wis tahu mak juga rindukan ayah. Cuba hadapi kenyataan. Dah hampir enam bulan.
Berapa lama lagi mak nak menahan hati mak. Berapa lama pula mak nak
berpura-pura tidak rindu pada kekasih hati mak itu?”
Nek
Ros menelan air liur. Air matanya bergenang. Mujur Darwis tidak ada di
hadapannya. Dia menarik nafas, mencari kelegaan.
“Mak
fikirlah dulu. Nanti mak beritahu Wis. Assalamualaikum, mak.” Darwis meletakkan
gagang. Talian terputus. Mata Nek Ros berkaca. Dia cuba menahan agar kaca itu
tidak pecah menjadi manik air mata.
Kerinduannya
memuncak.
Dia
berjalan ke arah akuarium.
“Kudin,
kau tengoklah tuan kau. Dia langsung tak nak mengalah. Aku juga yang disuruh ke
sana dan mengalah. Kalau dia rindu kenapa dia tak telefon aku. Kenapa dia
sendiri tak suruh aku pergi ke sana. Hanya anak-anak yang faham aku rindukan
ayahnya. Tapi ayahnya? Dahlah pergi tanpa pesan. Sekarang tak pula berkata
walau sepatah. Uhh!” Nek Ros mengeluh berat.
Kudin
berenang-renang. Temah mengekorinya manja.
Nek
Ros berjalan masuk ke biliknya. Tidak
sanggup dia terus melihat kemesraan pasangan Kudin dan Temah. Terasa dia
diejek.
Sampai
di bilik, dia berbaring. Suasana pagi itu merusuh resah. Tidak seperti
pagi-pagi sebelumnya yang ceria dan tenang. Dia pejamkan mata. Walaupun sebelum
ini dia jarang berbuat begitu, tidur di waktu matahari sedang naik. Pantang
baginya. Sejak anak dara dan kini menjadi nenek, dia memang jarang tidur di
waktu-waktu seperti itu.
Dia
terpandang sebuah kotak kecil di atas almari solek. Dadanya semakin resah. Dia
bangun dan mencapai kotak itu.
Kenangan
tahun 70-an, semasa muda belia tertayang dalam ingatan. Ketika itu dia sedang hangat
bercinta dan bermain mata dengan seorang jejaka. Dengan seluar bell bottom dan rambut
afronya yang mengembang, jejaka itu bersiul-siul mendekatinya. Dia yang
sedang menyidai kain di ampaian tersenyum-senyum melihat gelagat jejaka itu.
“Kalau
awak senyum, tubuh saya melayang-layang macam wau bulan di angkasa. Gila saya
dengan senyuman awak yang manis ini,” kata jejaka itu.
“Samalah
dengan awak. Kalau awak ketawa, memang menarik. Sampai mata saya naik juling,”
jawabnya dengan ketawa malu.
“Kenapa
pula awak nak julingkan mata, saya ni kacak sangat ke?”
“Bukan
saya juling kerana awak kacak.”
“Habis
tu, awak tertarik hingga juling tengok saya pasal apa?” Jejaka itu membelek
dirinya. Rambut kerintingnya yang mengembang gaya afro itu dibetulkan. Seluar bell
bottom yang melebar luas itu juga ditilik dengan ragu-ragu.
Dia
ketawa menutup mulut.
“Apa
yang lucu sangat ni?” tanya jejak itu dengan curiga.
“Janganlah
marah. Saya memang suka kalau awak ketawa. Sangat manis dan sangat menawan.
Gigi emas awak tu yang buat saya juling!”
Ketawa
jejaka itu pecah berderai. Angin pagi dari sawah yang menghijau luas di
belakang rumah berhembus nyaman.
Ketika
itu hanya jejaka itu yang bergigi emas. Dia sendiri tidak tahu kenapa jejaka
itu sangat gemar pada penampilan itu.
Yang dia tahu, dia sangat menyukainya.
“Hai,
si gigi emas!” Dia selalu menyapa jejaka itu begitu setiap kali bertemu di
mana-mana. Dan jejaka itu tidak marah dengan sapaan itu. Malah dia semakin
tersengih-sengih.
“Awak
tahu, beruntung kalau awak kahwin dengan saya,” jawab jejaka itu dengan ketawa
yang memang sengaja dibuat-buat untuk menyerlahkan dua batang gigi emas yang
terdapat di kiri kanan mulutnya.
“Apa
yang untungnya?”
“Sebab
kalau hidup kita susah, kita boleh gadai atau jualkan gigi emas saya ni,” jawab
jejaka itu dengan selamba.
“Awak
sanggup cabut gigi tu dan gadai?”
“Demi
awak, apapun saya sanggup buat, Ros.”
“Habis,
nanti awak dah rompong.”
“Kalau
saya rompong, awak nak larikan diri?”
“Taklah
macam tu. Cuma, ketawa awak dah tak menarik lagi.”
Setahun
kemudian, mereka bertemu jodoh. Dalam
majlis yang agak meriah, jejaka bergigi
emas itu menjadi suaminya. Sekali lafaz sahaja, akad itu menjadi sah.
“Rosminah,
harap kita boleh bercanda hingga akhir hayat. Abang janji akan jadi suami yang
terbaik seentero dunia,” kata jejaka merangkap suaminya.
“Abang
Jais, Ros janji akan jadi isteri, ibu dan nenek terbaik,” balasnya sambil
mengucup tangan seorang suami dengan penuh tulus hormat.
Kotak
di tangannya dibelek. Hatinya berbisik rindu: Hai, jejaka bergigi emas!