GULAI NANGKA BUAH MELAKA
Sejak
Atuk Jay kembali semula ke rumah itu, hati Nek Ros berbunga bahagia. Semua
kerinduannya lebur. Atuk Jay pun sama. Demamnya segera kebah. Letih lesunya
tiada lagi. Dia seperti pesakit yang mendapat suntikan dari seorang doktor
pakar.
“Ayah
dan mak dah lebih dari belangkas. Mesranya semacam je...” beritahu Nurlisa
ketika menelefon adiknya Ezani.
“Ezani
dah agak dah. Ayah selalu demam dan sakit sana sini kerana rindukan mak.
Sekarang, baru ayah tahu macam mana penangan orang rindu. Lain kali ayah tentu
serik nak merajuk lagi. Kan kak long?” Ezani menyambut berita itu dengan
ketawa.
Kepulangan
Atuk Jay juga menggembirakan Pati Lakshmi. Sebagai jiran dan rakan baik, dia memang selalu
berdoa agar yang keruh itu akan jernih. Sepi halaman rumahnya tanpa Atuk Jay.
Biasanya setiap pagi, balik dari jogging
lelaki itu akan singgah menyapanya di luar pagar.
“Jay!
Akhirnya awak balik jugak. Awak tahu, awak tak ada saya rasa sunyi. Ros tu tak
macam awak. Dia jarang nak tengok saya. Asyik berkurung je...” kata Pati
Lakshmi dengan senyum gembira ketika melihat Atuk Jay di hadapan pagar
rumahnya.
Atuk
Jay ketawa panjang.
“Awak
sihat ke Lakshmi?”
“Awak
tengoklah. Kaki saya ni dah semakin lemah. Lutut saya ni dah tak kuat dah.
Kalau saya jalan banyak, malam sakit tak boleh tidur. Begitu juga tumit kaki
saya ni.”
“Awak
tak makan suppliment?”
“Ada.
Tapi tak adalah macam dulu. Masa Murthy ada, dia yang rajin jaga ubat dan suppliment untuk saya. Dia dah tak ada ni, susah saya.
Kena suruh budak-budak beli. Nak keluar sendiri dah tak kuat,” jawab Pati
Lakshmi.
Atuk
Jay diam. Sejak Tata Murthy pergi, memang dia nampak sangat keuzuran Pati Lakshmi.
“Itu
yang saya kata pada Ros. Dia sangat beruntung kerana masih ada awak. Tak macam
saya ni...” kata Pati Lakshmi, mula sebak.
Hati
Atuk Jay ikut hiba.
“Lakhsmi, janganlah sedih. Kami ni ada. Bila-bila masa
awak boleh panggil Ros datang temankan awak, kalau awak sunyi. Saya tak kisah.”
Pati
Lakshmi menoleh dan merenung tepat ke wajah Atuk Jay. Kemudian dia ketawa
menyeringai. Terserlah giginya yang rompong.
“Kenapa
awak ketawa? Tak percaya?”
“Percaya.
Tapi awak tu kuat merajuk. Nanti awak merajuk sekali lagi, Ros juga yang susah
hati. Saya kasihan tengok dia tu. Hari-hari mengadu dengan si Temah dan Kudin,”
jawab Pati Lakshmi. Kali ini dia mengilai. Gigi rongaknya ditutup dengan kedua tapak
tangannya.
Timbul
belas di hati Atuk Jay. Timbul pula rasa bersalah yang amat sangat terhadap Nek
Ros. Berbulan-bulan dia tinggalkan isterinya dalam keadaan sedih.
“Jay,
awak jangan buat lagi tau!”
“Buat
apa?” Atuk Jay terpinga-pinga seketika.
“Merajuk
macam budak-budak,” jawab Pati Lakhsmi.
Atuk
Jay tersenyum. Kata-kata Pati Lakshmi seperti satu tamparan ke mukanya. Namun
dia tidak marah. Memang itu benar. Dia merajuk pada perkara yang amat kecil.
“Lakhsmi,
saya rindukan tosai dan vadeh awak,” kata Atuk Jay cuba melarikan tajuk.
“Ya
ke? Nanti saya buatkan untuk awak. Awak nak kari apa?” Mata Pati Lakshmi
bersinar.
“Apa-apa
pun boleh. Tapi kalau ada idli pun sedap juga.” Atuk Jay ketawa berdekah. Namun
tidak lama, ketawa itu terhenti. Wajahnya muram serta merta.
“Kenapa
pula?”
“Kalaulah
Murthy ada...” keluh Atuk Jay, mendesah pilu.
“Oit!
Awak rindu dia?”
“Di
taman ini, saya hanya rapat dengan dia. Sejak dia pergi, saya dah tak ada teman
bercakap hal-hal lelaki.”
“Awak
buat saya sedih semula Jay,” kata Pati Lakhsmi, sebak semula.
Diam.
Masing-masing tunduk melayan rasa. Selepas itu, kaki Atuk Jay melangkah berat
meninggalkan halaman rumah mendiang Murthy yang lebih dikenali sebagai Tata
Murthy oleh warga taman itu.
“Kudin,
kau jangan nak jahat sangat. Asyik nak bergaduh je ni kenapa?”
Telinga
Atuk Jay sempat mendengar leteran Nek Ros di tepi akuarium. Dia berdiri melihat
gelagat isterinya dengan senyum senang. Hilang semua pilu bersama Pati Lakhsmi
tadi.
“Ros,
kenapa?”
“Ni,
laki bini ni ayik nak bergaduh je. Habis ekor si Temah di gigit Kudin. Saya
rasa macam nak pisahkan kedua-dua ni,” jawab Nek Ros sambil menaburkan makanan
ikan yang baru dibeli.
“Nasib
mereka bergaduh je. Dan Kudin tak merajuk. Kalau Kudin merajuk, habislah
Temah...” gurau Atuk Jay. Nek Ros mengekek ketawa.
“Apa
khabar girl friend abang tu?” Nek Ros bertanya selamba.
“Lakhsmi? Nampaknya dia dah semakin uzur.”
“Dia
uzur lahir batin,” balas Nek Ros tanpa menoleh. Matanya masih lagi menatap dua
ekor ikan talapia yang berenang berkejar-kejaran berebut makanan itu.
“Apa
maksud Ros?”
“Biasalah
bang. Kalau dah tua, anak-anak pun dah tak sudi nak ambil tahu.”
Atuk
Jay diam termenung. Tiba-tiba dia rasa dadanya berdenyut senang dan bahagia.
Anak-anaknya penyayang dan baik. Ezani dan isterinya Noor Hazuar telah
menjaganya dengan baik selama enam bulan dia di rumah mereka.
Nurlisa
dan suaminya Arman juga sangat baik. Begitu juga dengan Darwis dan Marni.
Kadang-kadang dia rasa keenam-enam mereka
adalah anaknya. Dia langsung
tidak rasa dia ada menantu, melainkan anak-anak.
Sejak
dia sudah kembali ke rumah itu, Nurlisa dan Darwish semakin kerap membawa
keluarga mereka bermalam di rumah itu. Mereka tidak lagi menunggu cuti sekolah
untuk datang.
“Awak...
awak... tengah hari ni nak makan apa?” Nek Ros berlagak manja. Semua ingatan
Atuk Jay kepada anak-anaknya relai. Lengguk suara Nek Ros amat disenanginya.
“Ros,
awak masih secantik dulu,” kata Atuk Jay dengan kenyitan nakal.
“Awak!”
Nek Ros tersipu malu. Pujian itu menggetarkan hatinya. Lelaki itu tetap macam
dulu, suka memuji.
“Saya
tanya awak nak makan apa? Bukan suruh awak puji saya begitu,” kata Nek Ros
selepas lama terdiam.
Atuk
Jay masih merenung Nek Ros. Rasa cintanya mengalir tulus jauh di sudut hatinya.
“Cukuplah
awak merenung saya. Nanti saya cair kat sini. Sekali lagi nak tanya, awak nak
makan apa? Saya nak ke dapur ni.”
“Masak
lemak nangka dengan tetel. Pencuci mulutnya, cucu buah melaka. Ondeh-ondeh,”
kata Atuk Jay, selamba.
“Awak!”
jerit Nek Ros sambil menerkam dan mencubit paha Atuk Jay.
“Aduh!
Ada ketam batu merayap dalam rumah!” jerit Atuk Jay pula. Ketawa mereka pecah
berderai. Girang dan gembira.
Nek
Ros berjalan ke dapur. Bibirnya masih menguntum senyuman. Memang kalau disebut
nama dua menu itu, hatinya bagai dicuit-cuit. Geli hati sangat. Nangka muda
masak lemak bersama tetel? Biasa sahaja. Apa yang lucunya?
Yang
buat ia lucu kerana cara ia dimasak. Kenangan itu sudah lama terjadi. Ketika
itu dia baru menjadi isteri. Bulan puasa pertama dia berpuasa bersama seorang
suami.
“Ros,
ini abang belikan nangka muda dan tetel,” kata Atuk Jay ketika pulang dari
kerja.
“Nak
masak apa ni?” Dia tergamam seketika. Seumur hidupnya dia tidak pernah masak
nangka.
“Masak
lemak. Campur tetel ni. Kemudian abang rasa teringin nak makan ondeh-ondeh,”
kata Atuk Jay.
“Ondeh-ondeh?”
“Ya.
Cucu buah melaka tu. Yang kecil-kecil sebesar ibu jari tu,” terang Atuk Jay
bersungguh-sungguh.
Nek
Ros angguk perlahan. Walau tidak tahu, dia malu untuk bertanya. Kemudian dia
berlagak lebih pandai dari chef sebenar.
Nangka
dan tetel disiang dan dibersihkan. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Bawang
dan ikan bilis ditumbuk lalu dicampakkan ke dalam periuk tadi. Kemudian dia
masukkan santan sebelum dimasak di atas dapur. Lama mendidih dan semua bahan
sudah dimasukkan, dia mengangkat dan menghidangkannya.
Selepas
itu tepong pula segera diuli dengan air daun pandan. Sudah sebati, tepong itu
digentel sebesar ibu jari, kemudian meletakkan secubit gula melaka di
tengah-tengahnya. Sudah siap, ia direbus hingga masak terapung. Kemudian ia
digolek di atas kelapa parut yang putih berseri.
Sambil
menghidang dia bernyanyi-nyanyi. Dia rasa sungguh bangga kerana sudah pandai
memasak. Petang itu mereka akan berbuka puasa dengan penuh berselera. Dia
bayangkan senyuman lebar suaminya ketika menikmati juadah kegemarannya itu.
Namun...
“Apa
yang Ros masak ni? Nangka ke kayu? Tetel ke batu? Ondeh-ondeh ni... boleh buat
peluru lastik burung!” Suara suaminya Jais, terjerit.
Nek
Ros tunduk diam. Dia merenung mangkuk lauk dan piring kuih dengan mata keliru.
Apa salahnya?
“Kenapa
bang? Inikan menu yang abang cakap tadi. Ros masak ikut apa yang abang nak,”
katanya dengan wajah kurang senang.
“Tapi,
kenapa semuanya keras! Macam mana abang nak makan? Nasib baik gigi emas abang
dah tak ada. Kalau tak, melantun keluar
gigi abang tu!” Suara suaminya bertukar nada. Dia cuba bergurau. Ketawa
mengiringi butir katanya.
Dia
tidak berpuas hati dengan kata-kata suaminya. Lalu dia mengambil sebiji
ondeh-ondeh dan memasukkan ke mulut. Matanya terbeliak. Ya ALLAH! Kerasnya.
Langsung tak boleh digigit.
Kemudian
dia mencuba pula seketul nangka. Boleh digigit, tetapi sedikit keras. Seketul
tetel pula dimasukkan ke mulut. Liat macam tiub basikal buruk!
Akhirnya
dia terteleng-teleng, bingung.
“Ros
guna tepong apa?”
“Tepong
gandum.”
“Macam
mana Ros masak gulai nangka ni?
“Macam
masak sayur biasa. Siang dan masukkan dalam periuk. Perah santan dan masak atas
dapur.”
“Tetel?”
“Masukkan
sekali dengan nangka. Dah mendidih lama sikit, Ros angkat.”
Suaminya
ketawa berdekah-dekah. Sampai keluar air mata. Dia pula tercengang-cengang. Langsung
dia tidak tahu kenapa suaminya ketawa begitu.
“Ros,
abang tahu Ros tak pandai masak. Lain kali, kalau tak pandai jangan nak mengaku
pandai. Tak tahu, tanya. Kerana malas nak bertanya, jadilah macam ni,” tunjuk suaminya
kepada hidangan di hadapan mereka.
Dia terkulat-kulat.
Akhirnya, mereka terpaksa berbuka puasa dengan telor goren mata lembu! Hanya itu
yang dia mahir.