Pagi
itu selepas bersarapan, Nek Ros hanya berbaring sahaja. Sungguh lemah tubuh
badannya. Kepalanya juga masih pening. Teruk sangat mabuknya kali ini. Mungkin
sebab sudah lama tidak berjalan jauh.
Atuk
Jay masih tidak jemu memicit kepala Nek Ros dengan tangan kirinya. Sementara
tangan kanannya pula sibuk membelek dan membaca akhbar harian. Ada beberapa
berita yang menarik minatnya.
Ruang
tamu itu sepi. Hanya mereka berdua yang tinggal. Di luar rumah, kedengaran
suara Ezani melayan dua anaknya bermain.
“Mak,
kita ke klinik je. Mak perlukan rawatan ni,” kata Noor Hazuar, menantunya yang
mesra dengan panggilan Wawa. Dia keluar dari
bilik dan duduk di ruang tamu itu berhadapan dengan kedua-dua mertuanya.
“Tak
payahlah Wawa. Mak tak apa-apa. Mak cuma pening je. Dah makan panadol tadi.
Kejap lagi baiklah ni,” balas Nek Ros.
“Jangan-jangan
awak ni mengandung tak?” gurau Atuk Jay.
Nek
Ros celikkan mata. Dia kemudian mencubit tangan Atuk Jay yang sedang memicit
kepalanya.
“Aduh,
ada semut api kat sini. Sakitnya!” jerit Atuk jay dengan kuat.
Fauzan
Azim muncul di muka pintu.
“Atuk,
nape?” tanya Fauzan Azim dengan wajah
cemas.
“Abam,
nenek cubit atuk!” Atuk Jay segera menoleh ke arah Fauzan Azim. Dia berpura-pura kesakitan dan mengharapkan
simpati cucunya itu.
“Nek,
janganlah cubit atuk. Nanti atuk menangis. Abam tak ada gula-gula nak bagi atuk,”
kata Fauzan Azim dengan wajah marah.
“Atuk
yang kacau nenek dulu,” adu Nek Ros.
“Apa
pasal atuk kacau nenek?” Soalan Fauzan Azim bertukar arah.
“Sebab
atuk sayang nenek.” Atuk Jay tersenyum-senyum. Dia rasa seronok mengusik
cucunya yang semakin pandai bercakap itu.
“Kalau
atuk sayang nenek, cakaplah I love you. Macam papa selalu cakap pada mama,”
balas Fauzan Azim dengan selamba.
Atuk
Jay ketawa berdekah. Nek Ros ikut ketawa. Noor Hazuar tersipu malu.
“Kena
cakap macam tu ke?” Atuk Jay sengaja
menduga.
“Yalah.
Papa selalu cakap mama macam tu. Cuba atuk cakap,” suruh Fauzan Azim.
“Nak
cakap macam mana? Atuk tak pandailah....” Atuk Jay pura-pura merengek.
“Cakap
macam ni: Nenek, I love you!” ajar Fauzan Azim, selamba dan serius.
“Nenek,
I love you,” kata Atuk Jay sambil menarik tangan Nek Ros dan mengucupnya
lembut.
“Ha,
macam tulah. Dah, tak mahu gaduh-gaduh lagi. Abam nak pergi main dengan adik,”
kata Fauzan Azim dengan ketawa. Dia meninggalkan ruang tamu yang masih dipenuhi
suara ketawa mereka bertiga.
“Mak,
betul mak tak nak pergi klinik ni?” tanya Noor Hazuar.
“Tak
payahlah. Mak pening sikit je. Hilang mabuk ni hilanglah pening mak. Wawa
pergilah buat kerja. Barang-barang dah siap kemas ke?”
“Dah
mak. Sekarang tunggu lori datang ambil hantar ke kargo. Sementara tu, kita
bolehlah jalan-jalan keliling Bandar Kuching ni. Mak dan ayah, rehatlah. Wawa
siapkan makan tengah hari kita. Petang, mungkin abang nak bawa mak dan ayah
keluar.”
“Biar
mak ikut ke dapur,” kata Nek Ros cuba bangun. Tetapi dia terduduk semula.
“Tak
apa mak. Mak rehat je. Biar Wawa yang masak,” balas Noor Hazuar.
Nek
Ros duduk semula. Entah kenapa dia rasa seluruh bilik itu berpusing ligat.
“Rehat
sajalah. Awak tak pulih lagi ni,” kata Atuk Jay tanpa menoleh. Matanya masih
menatap berita yang ditulis di dada akhbar.
“Awak...
kita ni dah tua ya?”
“Siapa
kata kita tua?”Kali ini Atuk Jay menoleh. Wajah Nek Ros ditatap lama.
“Umur
kita dah 65. Sekejapnya masa berlalu. Daripada muda, berkahwin, beranak dan
sekarang kita dah bercucu. Mungkin saat kematian tu dah semakin hampir dengan
kita,” kata Nek Ros, separuh berbisik.
“Ish!
Apa awak merepek ni? Umur tu hanya angka. Kalau hati kita muda, kita akan tetap
muda. Kalau hati kita penuh cinta, kita akan sentiasa ceria. Kalau jiwa kita
penuh iman, kita akan aman,” tingkah Atuk Jay dengan kerdipan mata kasih.
“Tapi
saya dah mula sakit. Ini mungkin isyarat awal yang ALLAH beri.”
“Awak
cuma pening sikit sebab mabuk kapal terbang. Itu sahaja. Awak sihat.
Percayalah,” tingkah Atuk Jay.
Nek
Ros diam. Dia baringkan badan ke sofa dan cuba pejamkan mata untuk
menghilangkan pening.
Atuk
Jay merenung wajah Nek Ros. Hatinya rasa aman. Wajah Nek Ros yang tenang
dan lembut itu sentiasa membuatkan
hatinya bergetar rindu. Dari muda hingga ke tua, tak pernah surut rasa itu.
Hanya
sekali, dia pernah terlalai. Entah di mana silapnya, dia terlanjur jatuh cinta
kepada seorang gadis. Hampir dia terbabas mengahwini gadis itu. Namun, takdir
tidak membenarkan dia menyakiti hati wanita yang bernama Rosminah itu.
“Ros
ni tak ada apa-apa yang istimewa. Gadis itu cantik dan muda. Kalau abang nak
kahwin dengan dia, pergilah. Ros tak halang.”
“Ros
ikhlas?”
“Mana
ada perempuan yang ikhlas menerima wanita lain sebagai rakan kongsi kasih
suaminya. Tapi, Ros akan cuba memujuk hati.”
“Ros
tak sakit hati?”
“Bohonglah
kalau Ros tak sakit hati. Memang dah hancur berkecai-kecai hati ini. Dah lebur
jadi debu semuanya.”
“Habis,
kenapa Ros suruh abang kahwin dengan gadis itu. Kenapa Ros tak cuba halanag?
Kenapa Ros tak mengamuk?”
“Sebab
abang bukan budak-budak. Abang dah tua. Abang waras. Buat apa Ros nak halang
kehendak abang? Kalau abang fikir, berkahwin lain itu boleh buat abang gembira
apa lagi yang boleh Ros buat. Ros hanya perempuan yang lemah. ALLAH tak beri
pada isteri untuk melawan hukum.”
Ya
ALLAH! Betapa jahat perasaan cintanya ketika itu.
“Abang
dah lukakan hati Ros. Maafkan abang. Ros adalah bidadari abang di dunia dan
akhirat,” bisik Atuk Jay sambil menggenggam tangan Nek Ros. Tidak sanggup dia
membayangkan perpisahan dengan Nek Ros. Cukuplah sekali dia merajuk dan meninggalkannya
setahun lalu. Itupun, hanya kerana perkara yang sangat tidak logik untuk dia
merajuk dan melarikan diri berbulan-bulan.
“Abang
janji tak akan merajuk lagi. Abang janji tak akan lukakan Ros lagi...” bisiknya
ke telinga Nek Ros.
“Awak?
Ada apa ni?” Tiba-tiba Nek Ros tersentak dan merenung tepat ke wajah Atuk Jay.
“Tak
ada apa-apa.”
“Habis,
kenapa abang pegang tangan kita macam ni?”
“Abang
takut dia terbang. Abang tak mahu kehilangan dia. Abang takut nak hidup
sendirian tanpa dia,” jawab Atuk Jay, tulus.
Ezani
masuk bersama Farhan Iman di atas dukungannya. Kemudian dia duduk di sebelah ibunya.
“Ayah,
tadi Haji Azlan tanya ayah. Dia kata nak jumpa ayah sebelum ayah balik ke Semenanjung,”
kata Ezani kepada Atuk Jay.
“Ayah
pun memang nak jumpa dia. Ada bawa sedikit buah tangan untuk dia.”
“Siapa
Haji Azlan tu?” tanya Nek Ros pula.
“Dia
kawan abang selama merajuk hari tu. Dia tempat abang mencurahkan perasaan
abang. Dia yang tahu erti sebuah rindu,” jawab Atuk Jay dengan senyuman.
“Mak
tak tahu masa ayah rindukan mak,” sampuk Ezani pula.
“Syyy...
jangan cerita. Nanti mak ketawakan ayah. Ayah malu,” tegah Atuk Jay. Dia
memegang bahu Ezani dengan permintaan yang bersungguh-sungguh.
“Ada
rahsia apa ni? Adik?” Nek Ros mendesak. Namun ketika itu, Ezani tidak berani
untuk menceritakannya.
“Nak
cerita ke tidak?” tanya Nek Ros sambil mencubit paha Atuk Jaya. Cubitan itu
tidak dilepaskan.
“Aduh!
Sakitnya!” jerit Atuk Jay.
Ketika
itu juga Fauzan Azim masuk. Dia bercekak pinggang.
“Atuk
dan nenek gaduh lagi? ALLAH tak suka orang suka gaduh!”
Dengan
cepat Nek Ros melepaskan cubitannya.
“Taklah.
Kami tak gaduh. Kami gurau-gurau je,” kata Nek Ros dengan ketawa perlahan.
“Cepat
cakap I love you!” marah Fauzan Azim.
“Nenek,
I love you!” kata Atuk Jay sambil mencium pipi Nek Ros.
Fauzan
Azim ketawa mengekek. Wajahnya yang marah, mula ceria.