Selepas
solat isyak, Nek Ros dan Atuk Jay turun ke ruang tamu menunggu Amir Asyraf. Sementara menunggu, Nek Ros ke dapur dan
menyiapkan secawan kopi untuk Atuk Jay.
“Ros,
jemput-jemput yang pemalas tu ada lagi? Kalau ada bawa keluar sekali. Abang nak
buat dia jadi rajin sikit!” Laung Atuk Jay.
Nek
Ros membuka tudung saji. Petang tadi, memang dia menggoreng jemput-jemput
bawang dan sedikit udang kering yang dipanggil ‘jemput-jemput pemalas’ oleh
Atuk Jay. Dia menatang dulang yang berisi secawan kopi dan sepiring
jemput-jemput.
“Jemput
minum kekasihku,” kata Nek Ros ketika meletakkan dulang itu di hadapan Atuk
Jay.
“Terima
kasih jiwaku.” Dengan spontan Atuk Jay menjawab. Ketika itu kedengaran deruan
enjin motor kedengaran di luar rumah.
“Dah
sampai hero abang.” Nek Ros bangun dan menghala ke pintu.
“Assalamualaikum
nek!” sapa Amir Asyraf ketika pintu dibuka. Wajahnya ceria. Langsung tidak
nampak perubahan yang dikatakan oleh Nurlisa.
Mereka
berpelukan.
“Atuk
dan nenek dah siap ke?”
“Dah.
Tunggu Amir je. Kita nak naik apa? Mr Harley atau Cik Minah?” tanya Atuk Jay
sambil mengunyah jemput-jemput.
“Cik
Minah cuti hari ni. Mr Harley sakit gigi,” jawap Nek Ros selamba.
“Jadi
kita nak naik apa?” Mata Atuk Jay melorot ke arah Nek Ros.
“Abang
lupa pada buah hati abang tu?”
Atuk
Jay termangu-mangu. Lalu dia segera teringat kepada Proton Wira warna kelabu
yang ada di garaj. Kereta itu miliknya. Sebelum membeli motorsikal besar Harley
Davidson, kereta itulah yang dipandunya ke tempat kerja dan ke mana sahaja.
Namun, selepas ada motor dia jadi malas untuk memandu. Kereta itu hanya
dihidupkan enjin setiap dua hari sekali.
“Encik
Wira tu dah lama tak diajak berjalan-jalan bang. Takut nanti ia merajuk,” kata
Nek Ros.
Atuk
Jay angguk perlahan. Benar juga kata-kata isterinya itu. Apa salahnya
sekali-sekala memandu kereta. Lagipun mereka bertiga. Kalau menunggang motor
pun mesti kena dua buah motor.
“Amir
tak nak rasa ke jemput-jemput pemalas ni?” Atuk Jay menghulurkan sebiji kepada
Amir Asyraf.
Amir
Asyraf mengangakan mulutnya untuk menyambut huluran itu. Dengan perlahan dia
mengunyah sambil matanya meneliti tubuh nenek dari atas sampai ke hujung kaki.
“Apa
yang Amir tengok ni?” tanya Nek Ros sambil membelek dirinya.
“Kita
nak ke mana ni?”
“Eh,
nak ke karaokelah. Kenapa?”
Amir
Asyraf tersenyum. Hatinya tiba-tiba
digaru lucu ketika matanya menyapu cara Nek Ros berpakaian.
“Nenek
lawa kan Mir?” tanya Nek Ros ketika sedar akan erti senyuman Amir Asyaraf itu.
“Nek,
memang nenek sangat lawa dan cun. Seluruh Malaya tak boleh nak lawan nenek.
Tapi...” Amir Asyraf cuba menutup mulutnya dari ketawa.
“Amir!
Ada yang tak kena ke ni?” Nek Ros semakin cuak melihat Amir yang menutup
mulutnya.
“Nek,
kita cuma nak pergi karoke dan makan-makan santai. Tapi baju nenek ni... macam
kita nak pergi makan kenduri. Dah tak jadi santai kalau macam ni nek.” Amir
Asyraf melepaskan ketawanya yang ditutup itu.
Nek
Ros membelek dirinya sekali lagi. Dia rasa tidak ada salahnya berkebaya dan berkain
songket sulaman Trengganu. Ini pakaian orang Melayu. Walaupun bukan pakaian
kebangsaan Malaysia, tetapi ia pakaian kebanggaan orang Melayu sejak dahulu.
“Awak...
salahkah kita pakai baju ni?” Nek Ros berpaling kepada Atuk Jay dan cuba
mencari kepastian.
“Tak.
Memang tak salah. Ini pakaian yang sopan. Tapi...” Atuk Jay ikut tersenyum.
“Ia
tak kena pada tempat kan atuk?”
“Ya.
Ya. Baju ini terlalu formal untuk majlis santai kita ni,” kata Atuk Jay, menyokong
cucunya.
“Kenapa
tadi abang tak cakap? Kenapa sekarang baru nak cakap?” Nek Ros menjeling manja.
“Kita
takut dia merajuk. Kita takut dia tak jadi pergi...” jawab Atuk Jay berlagak
polos.
Ketawa
Amir Asyraf pecah lagi. Kali ini lebih kuat dan berderai. Ia disambut pula oleh
ketawa Atuk Jay.
Nek
Ros ikut ketawa.
Serentak
itu dengan langkah cepat dia melangkah naik ke arah biliknya. Dia menukar
pakaian. Selepas sepuluh minit, dia turun semula ke ruang tamu.
“Macam
ini boleh?”
Atuk
Jay dan Amir Asyraf menoleh. Nek Ros tersenyum. Dia melangkah gaya model sambil
menggayakan bajunya.
“Wow!
Ini Amir suka. Nenek macam ratu rock Malaya!” kata Amir Asyraf sambil mengangkat ibu jari.
“Atuk
pun suka. Nenek memang rock!” Atuk Jay bangun dan mendekati Nek Ros sambil
menarik tangannya. Nek Ros tersipu malu. Dia membelek pakaiannya. Seluar jeans
dengan kemeja serta skaf yang menutupi kepalanya membuatkan dia tersenyum. Dia
teringat masa mudanya yang lasak. Ketika anak-anak masih kecil, itulah
pakaiannya. Dengan motor Honda Cup 70cc, dia berjaja kuih ke sekeliling taman.
Semuanya demi membantu kewangan keluarga yang sentiasa tidak cukup.
“Nek,
jomlah. Tak sabar nak keluar dengan nenek yang cute ni!” Amir Asyraf menarik
tangan Nek Ros. Mereka berjalan ke pintu. Atuk Jay mengekori dengan senang
hati. Dia senang dengan wajah ceria cucunya Amir.
Dari
rumah, Atuk Jay memandu ke arah sebuah restoren.
“Kita
nak makan dulu?” tanya Amir Asyraf.
“Yalah
Amir. Kami belum makan. Nanti nak nyanyi pun tak ada tenaga. Amir dah makan
ke?” tanya Nek Ros pula.
Geleng.
“Kalau
macam tu, jom kita makan dulu. Atuk belanja siput sedut goreng belacan,” kata
Atuk Jay sambil menepuk bahu Amir Asyraf.
Kereta
yang dipandu diberhentikan di hadapan Restoren Ulam Raja. Mereka turun dan
mencari tempat duduk. Tidak lama, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Nek
Ros dan Amir Asyraf membiarkan Atuk Jay membuat pesanan. Mereka hanya mengikut.
Mata
Amir Asyraf tiba-tiba terpandang kelibat
seorang gadis yang sedang makan Di meja yang bertentangan dengannya. Gadis itu
kelihatan riang bersama keluarganya.
Hati
Amir Asyraf bergetar. Dia tunduk menahan
debaran.
Semangkuk
besar siput sedut goreng belacan, sayur campur, telor dadar dan nasi putih
bersama air sirap limau dihantar oleh pelayan. Bau belacan dari mangkuk yang
berasap itu menerjah hidung mereka.
“Wah!
Sedapnya Mir... ini makanan kegemaran Amir kan?” kata Nek Ros sambil menelan
air liur. Atuk Jay juga begitu. Mereka segera membaca bismilah.
Tanpa
menunggu lama, mereka terus menyedut isi siput dengan selera. Berdecit-decit
bunyinya.
Namun
Amir Asyraf hanya merenung siput yang berasap dalam mangkuk itu. Langsung dia
tidak menyentuhnya. Langsung seleranya terbantut. Dalam fikirannya hanya ada gadis
itu.
“Amir,
kenapa tak makan?” tanya Nek Ros dengan hairan. Wajah Amir Asyraf direnung.
Amir
Asyraf tersentak. Dia terpinga-pinga membetulkan dirinya. Dia angkat muka dan
menjeling ke arah gadis yang sedang ceria ketawa itu.
“Makan
cepat sebelum atuk dan nenek licinkan mangkuk ini,” tambah Atuk Jay pula.
Mulutnya masih ligat menyedut siput di hadapannya. Satu per satu kulit siput
diletakkan di dalam sebuah mangkuk kosong yang memang disediakan untuk
meletakkan kulit siput yang sudah disedut.
Namun,
wajah Amir Asyraf langsung tidak
memberikan reaksi positif.
“Amir...
kenapa potong selera atuk ni?” tanya Atuk Jay sambil menepuk bahu Amir Asyraf.
“Atuk,
Amir tak ada selera. Atuk makanlah.”
“Amir,
ini resepi kegemaran Amir. Kenapa pula tak ada selera. Kalau Amir tak nak
makan, atuk pun tak ada selera jugalah.” Atuk Jay menarik sehelai tisu dan
mengelap tangannya.
“Tuk,
janganlah macam ni. Makanlah. Mari, Amir sedutkan untuk atuk.” Tiba-tiba Amir
Asyraf rasa bersalah. Dia tidak mahu
atuknya tidak makan kerana dia. Dengan cepat dia menyedut sebiji siput.
“Nah,
Amir dah sedut untuk atuk,” kata Amir Asyraf sambil menyerahkan siput yang
sudah disedut dan isinya yang terkeluar dari kulitnya.
“Amir
makan dulu. Lepas tu baru atuk makan.”
Amir
Asyraf akur. Dia tidak mahu engkar hingga atuknya merajuk. Rona ceria malam itu
tidak mahu disurami. Dia menyedut sebiji lagi. Kali ini isi siput itu terus disuapkan
ke mulut Atuk Jay. Kemudian disedutnya lagi dan kali ini isi siput itu disuapi pula
ke mulut Nek Ros. Kedua-duanya akur menerima suapan itu dengan rasa terharu. Tidak
lama mereka saling menyedut siput dan saling pula suap-menyuapi. Siput sedut mula menjadi pengikat kasih. Siput sedut siput kasih...