BILA ATUK MERAJUK
Selepas
sebulan menjadi suami isteri, tiba-tiba satu hari suaminya pulang dengan wajah
yang baru. Rambut gondrong ala afronya tidak ada lagi. Gigi emasnya juga. Yang
tinggal adalah kepalanya botak licin. Juga giginya yang sudah tidak mengerlip.
Dia
ketawa mengekek-ngekek melihat wajah baru itu. Rasa kelakar sangat.
“Abang?
Kenapa ni?”
“Saja
nak tukar rupa. Ros tak suka abang berwajah baru?”
“Ish,
apa pulak tak suka. Abang lebih kacak dengan fesyen botak look ni. Tapi,
mana gigi emas abang?”
“Abang
dah buka. Emas haram untuk lelaki. Ros marah?”
Dia
tersenyum.
“Kalau
Ros marah, abang pergi pasang semula.”
“Tapi,
abang juga kata emas haram untuk lelaki.”
“Abang
akan pasang gigi suasa. Kalau abang sengih, tetap akan berkilau. Kalau kena
cahaya lampu, ia memantul. Ros suka?”
Dia
tidak dapat menahan ketawa. Berdekah-dekah dia ketawa sampai keluar air mata.
Suaminya menarik tubuhnya dan memeluk mesra.
“Abang
gembira kalau Ros selalu ketawa macam ni. Abang ada hadiah untuk Ros,” bisik
suaminya.
Ketawanya
terhenti. Dia merenung wajah suami. Tiba-tiba suami mengeluarkan sebuah kotak
kecil dari saku seluarnya.
“Nah,
ini hadiah abang untuk Ros.”
“Apa
ni bang?”
“Bukalah.”
Dia
membuka kotak itu. Sebentuk cincin dengan huruf
RJ.
“Cantiknya
bang. Terima kasih bang,” katanya sambil mencium tangan suaminya sekali lagi.
“Mari
abang pakaikan.” Suaminya mengambil cincin itu. Serta merta dia menghulurkan
jari manisnya untuk disarungkan.
“Kalau
Ros teringatkan gigi emas abang, Ros tataplah cincin ini,” kata suaminya ketika
menyarungkan cincin itu ke jarinya.
Dia
tersentak.
“Maksud
abang?”
Suaminya
kerdipkan mata dengan senyum menguntum di bibir. Dia mula faham. Lalu dia ikut
tersenyum-senyum. Sejak hari itu cincin dengan huruf RJ itu tidak pernah dilucutkan dari jarinya.
Dan setiap kali dia melihat cincin itu, dia akan tersenyum.
Namun,
sejak enam bulan ini cincin itu dilucutkan dan dimasukkan semula ke dalam kotak
asalnya. Bukan dia tidak sudi memakainya,
tetapi dia tidak mahu menangungg rindu yang parah!
Kotak
itu diletakkan semula di tempat asalnya. Biarlah ia di situ. Selagi tuan cincin
itu tidak balik, dia sudah berikrar kepada dirinya dia tidak akan memakainya.
Dia
teringat kata-kata Darwis tadi. ‘Betulkah Atuk Jay rindukan aku seperti aku
sedang merindui dia?’ Itu yang terdetik di hatinya. Dia mengeluh perlahan. Biarlah. Dia akan tunggu dan lihat. Dia akan
tabah menahan hati.
Selepas
beberapa hari, Nurlisa muncul di muka pintu
selepas waktu pejabat.
“Mak
sihat ke?” tanya Nurlisa ketika Nek Ros membuka pintu. Dia terus bersalam dan
mencium pipi ibunya.
“Alhamdulillah,”
balas Nek Ros sambil memeluk Nurlisa seperti sudah bertahun-tahun tidak
bertemu. Walhal baru seminggu anak perempuannya itu tidak datang.
“Maafkan
Nur kerana lama tak tengok mak,” kata Nurlisa seperi tahu kerinduan ibunya. Dia
memimpin Nek Ros duduk di sofa.
“Alah...
baru seminggu. Budak-budak macam mana?”
“Semuanya
sihat mak. Ain dah balik ke asrama. Amir yang sedang berkemas nak ke PLKN.”
“Bila?”
“Minggu
depan, mak. Tu yang Nur datang ni. Kalau boleh nak ajak mak hantar Amir nanti.”
Nek
Ros angguk. Amir Asyraf, cucu keduanya sudah 17 tahun. Itulah cucu yang paling
rapat dengan atuknya.
“Mak,
Nur dah bawa ayah balik. Ezani risau tengok ayah di sana asyik demam,” kata
Nurlisa. Matanya mula mencari jawapan dari wajah Nek Ros.
“Ayah
ada di rumah Nur. Dia keletihan. Doktor kata tubuhnya kurang gula dan kurang
darah. Kalau mak nak, Nur boleh hantar dia balik ke sini,” kata Nurlisa
perlahan, bimbang akan menyakiti hati ibunya. Namun, kata-kata itu membuatkan
hati Nek Ros yang retak menjadi terbelah.
Dia
tunduk diam. Begitu kecil dirinya sebagai isteri. Rasa seperti tidak berguna
langsung.
“Mak,
macam mana?”
“Macam
mana apa?” tanya Nek Ros dengan suara yang pecah bergetar.
“Bolehkah
ayah balik ke sini?”
“Bila
pula mak lebih berkuasa dari dia? Bila
pulak mak yang halau dia dari sini? Bila pulak rumah ni rumah mak? Dia adalah
ketua keluarga ini. Mak tak pernah halau dia walau sekali. Ini rumah dia. Sebab
itu dia boleh pergi dan balik sesuak hatinya. Lainlah kalau dia memberi syarat,
tak akan balik ke sini selagi mak ada....” Kali ini, air mata sudah menitik.
Nurlisa
segera memeluk ibunya. Dia tahu hati kedua-duanya sedang merindu. Dia juga tahu
mereka bertahan dan tidak mahu mengalah.
“Nur
pun tak faham. Apa sebenarnya sebab, hingga ayah merajuk hati dan lari ke rumah
Ezani. Dan apa pula sebabnya mak tak nak memujuknya. Bila tanya ayah, dia
diamkan diri. Bila tanya mak, mak juga tidak menjawab. Akhirnya, kami anak-anak
yang gelisah. Belum pernah mak dan ayah berpisah begini lama. Enam bulan.
Sangat lama tu mak. Ayah dah cengkung. Mak juga dah pucat. Mak...
sudah-sudahlah tu. Salah seorang kena mengalah.”
“Mak
tak salah apa-apa. Buat apa nak mengalah. Mak sendiri tak tahu kenapa dia
begitu marah,” kata Nek Ros, teresak-esak.
“Mak,
ayah dah bertolak ansur dan setuju ikut Nur balik. Walaupun hanya setakat rumah
Nur. Namun Nur tahu rajuknya semakin sembuh.”
“Kalau
rajuknya semakin sembuh, dia pasti terus balik ke sini. Ini rumah dia. Mak ni
masih isteri dia!” sergah Nek Ros, sedikit meninggi.
“Mungkin
dia nak manja-manja dengan mak. Dia nak mak pergi sana ambil dia.”
Tangis
Nek Ros reda seketika. Dia menyeka air mata yang merembes.
“Mak,
sejak dulu ayah tu kan manja kalahkan anak-anak. Mak pergilah jemput dia.
Mungkin itu yang dia nak. Apa salahnya menunjukkan cinta kan? Mak juga yang
ajar kami semua agar bertolak ansur. Nur tahu mak sangat cintakan ayah. Sejak
kecil kami melihat cinta dan kasih sayang mak pada ayah,” tambah Nurlisa.
Bibir
Nek Ros menguntum senyuman. Kata-kata anaknya itu dirasakan sangat
mengasyikkan.
“Mak
dan ayah kan dah janji nak cinta sampai hujung nyawa? Sekarang, kenapa nak
mungkir janji. Mak, mak jemput ayah balik ya!” Nurlisa menggenggam tangan Nek Ros
dengan penuh harap.
“Mahukah
dia balik ke sini lagi?”
“Mak,
ayah tu sangat rindukan mak.”
“Dia
cakap macam tu?”
“Tak
payah dia nak cakap mak. Kami ni dah dewasa untuk faham. Kata Ezani ayah selalu
mengigau panggil mak. Sebelum dia demam teruk, dia menangis-nangis dalam sambil
menyebut nama mak. Itu maknanya rindu...”
Hati
Nek Ros semakin tersentuh.
“Bila
mak nak ambil ayah?” Nurlisa mengasak persetujuannya.
“Nantilah
mak fikir dulu.”
“Mak
janganlah fikir yang lain. Mak fikir keadaan ayah saja. Lagi cepat mak datang
ambil, lagi cepat ayah tu sembuh.”
“Kenapa
Nur desak sangat? Nur tak nak jaga ayah ke?” Giliran Nek Ros menduga anaknya.
“Mak
jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau boleh Nur nak jaga mak dan ayah sampai
bila-bila. Abang Arman pun izinkan kalau Nur nak bawa mak dan ayah tinggal
dengan kami. Tapi, mak juga yang tak nak keluar dari rumah ini,” jawab Nurlisa,
cepat.
Nek
Ros menarik nafas lega dan dia rasa semangatnya pulih. Nurlisa bangun.
“Nur balik dulu. Nur tunggu mak di rumah.
Bila-bila masa mak boleh datang. Datanglah dengan cinta mak,” kata Nurlisa
sambil memeluk tubuh Nek Ros dengan kemas.
Semakin
mekar rindu yang menjalar di hati Nek Ros.
“Oh
ya! Ini ada kiriman dari ayah.” Sebuah sampul surat kecil berbunga-bunga dihulurkan
oleh Nurlisa. Bibirnya menguntum senyuman.
Nek Ros
menerima huluran itu dengan dada yang berdebar. Sampul surat berbunga-bunga itu
menggamit kenangan lama. Semasa bercinta, hampir setiap minggu dia menerima warkah
rindu dalam sampul seperti itu.
Nurlisa
melangkah pergi.
Mata
Nek Ros masih terpaku kepada sampul di tangannya. Tiba-tiba matanya kembali berkaca...
Dengan
perlahan dan sedikit terketar, sampul surat itu dibuka. Dia menarik kertas yang
dilipat rapi. Harum bau bedak Cuticura menyerbu hidung. Senyum Nek Ros semakin menguntum.
Dia membaca
dengan hati girang warkah dari kekasih awal dan akhirnya:
Wahai adinda pengarang jantungku
Belahan jiwa kekasih hatiku
Gelak tawamu amat kurindu
Hingga terbayang dalam mataku.
Rindunya
hati bukan kepalang
Kepada adinda buah hati abang
Bilakah masa dapat kuulang
Bercanda denganmu adindaku sayang.
Setiap
hari kekanda menanti
Adinda
muncul menghibur hati
Namun kenapa adinda menyepi
Bencikah adinda di dalam hati?
Aduhai dinda jauh di mata
Di hati kanda tidaklah lupa
Entah bila dapat bersua
Berdoalah kita kepada YANG ESA.