Walaupun
hajat awal Ezani ialah untuk menghantar Atuk Jay dan Nek Ros bercuti mengikut
pakej percutian Kuching Damai 3 hari 2 malam, namun hajat itu terpaksa
dibatalkan.
“Mak
minta maaf, dik. Mak memang tak kuat sangat nak berjalan. Tak tahu kenapa,
badan ni rasa letih semacam. Lain kali dik ya,” kata Nek Ros kepada Ezani dan
Noor Hazuar.
“Lain
kali tu entah bila mak.”
“Habis
tu macam mana. Mak bimbang kalau jadi apa-apa pada mak di sana. Tak apalah, mak
anggap tak ada rezeki.”
Akhirnya
Ezani harus akur pada keadaan kesihatan ibunya. Malah dia juga terpaksa akur
pada kehendak kedua-duanya untuk pulang awal ke Semenanjung.
“Kami
tunggu adik di sana.” Itu kata Atuk Jay ketika akan menaiki pesawat ke Johor
Bahru. Ketika itu hati Nek Ros memang sangat berdebar. Pengalaman semasa datang
menghantuinya. Dia takut muntah lagi.
Syukurlah,
dia tidak muntah. Hanya pening sikit.
“Nasib
baik kita tak muntah, awak. Kalau tidak, malu kita,” kata Nek Ros semasa dalam
perjalanan pulang ke rumah.
“Hari
tu masa pergi nenek muntah?” tanya Amir Asyraf yang datang menjemput mereka di
lapangan terbang.
“Bukan
setakat muntah je Mir, nenek tak bangun beberapa hari.”
“Habis,
program cuti yang busu anjurkan tu tak jadilah?”
“Nak
pergi macam mana kalau nenek kamu tak boleh nak kira sampai sepuluh. Dia kalah TKO.
Asyik pejam je. Daripada dok baring kat sana, lebih baik baring kat rumah,
kan?” Atuk Jay mencelah.
“Tak
apa. Kita pergi bercuti dalam negeri saja nek ya!” kata Amir Asyraf.
“Amir
dengan budak tu macam mana?” Nek Ros sengaja menukar topik. Rasa bosan pula
dengan topik mabuk dan muntah sejak hari-hari terakhir ni.
“Budak
mana nek?” Amir Asyraf menjeling Nek Ros yang duduk di tempat duduk belakang
dari cermin.
“Alamak,
buat tak faham pulak. Budak yang Amir terjatuh cinta tu lah. Amir ada jumpa
dia?”
Amir
Asyraf tersengih-sengih malu. Atuk Jay merenungnya, senang.
“Ada
nek. Sekali je.”
“Kat
mana? Kamu pergi rumah dia?” Nek Ros teruja.
“Ish!
Takkan Amir nak pergi rumah dia. Kami jumpa di Restoren Mak Embun.”
“Berdua
saja?” Atuk Jay pula ikut teruja.
“Taklah.
Ramai. Hampir sepuluh orang. Semuanya dari bekas pelatih PLKN tu.”
“Amir
dah cakap dengan dia pasal hati Amir?” tanya Atuk Jay lagi.
Geleng.
Amir Asyraf terus memandu. Atuk Jay dan Nek Ros tidak bertanya lagi. Mereka membiarkan
Amir Ashraf melayan fikirannya.
Setengah
jam kemudian, kereta yang dipandu Amir Asyraf sampai ke halaman rumah mereka.
“Saudara
nenek dah tunggu tu!” tunjuk Amir Asyraf dengan senyuman. Nek Ros menjengah
kepala dari tingkap.
“Ros!
Ros!” Pati Lakshmi melambaikan tangan dengan ketawa girang.
“Rindulah
tu...” kata Atuk Jay dengan ketawa kecil. Dia tahu hubungan dua hati antara
kedua sahabat itu sangat erat. Ia mengalahkan hubungan keluarga sendiri.
Nek
Ros turun dari kereta dan segera berjalan ke arah Pati Lakshmi yang berdiri di
hadapan rumahnya. Mereka berpelukan.
“Awak
apa khabar Lakshmi?”
“Saya,
macam nilah. Awak tak ada, saya rasa macam dah mati,” kata Pati Lakshmi dengan
suara sedih.
“Ish,
awak ni... janganlah cakap macam tu.”
“Betul
Ros. Dah lama awak tak tinggalkan saya. Rasanya lepas Murthy tak ada, ini kali
pertama awak pergi lama. Susah saya nak hidup tanpa awak,” kata Pati Lakhsmi,
bersungguh-sungguh.
Nek
Ros rasa sebak dan terharu. Ada air mata yang bergenang di matanya. Namun tidak
diizin air mata itu mengalir keluar.
“Saya
minta maaf kerana tinggalkan awak, Lakshmi. Sekarang, saya dah balik. Awak
jangan sedih lagi ya!”
“Lakshmi,
sampai hati awak,” sampuk Atuk Jay yang berjalan ke arah mereka.
Pati
Lakhsmi segera menoleh kepada Atuk Jay. Wajahnya nampak bimbang.
“Kenapa
Jay. Apa yang saya buat pada awak?”
“Awak
langsung tak rindu saya. Kesian saya tak ada orang rindu!” jawab Atuk Jay
dengan ketawa, santai.
“Ish,
kalau saya rindu awak, lebam muka saya kena tumbuk dengan Ros!” balas Pati
Lakhsmi, ikut ketawa.
“Lakshmi,
saya tak akan marah. Malah, saya sanggup bermadu dengan awak,” kata Nek Ros
pula, masih ketawa.
Pati
Lakhsmi terteleng keliru. Dia nampak bingung.
“Kenapa
pula ni?” tanya Nek Ros menepuk bahu Pati Lakshmi.
“Mana
saya nak cari madu? Lagipun, saya tak suka madu. Sejak dulu saya tak suka.
Manis sangat!” jawab Pati Lakshmi sambil mencebik.
Nek
Ros dan Atuk Jay berpandangan. Kemudian mereka ketawa serentak.
“Eh,
apa pasal awak dua orang ketawa ni?” Pati Lakhsmi semakin bingung.
“Lakshmi,
saya kata bermadu itu maknanya kita berdua berkongsi kasih Jay. Maknanya, awak
menjadi isteri kedua Jay,” jawab Nek Ros, masih ketawa.
Wajah
Pati berubah kelat sekelat gambir. Matanya melorot ke arah Nek Ros. Bibirnya
diketap, geram.
“Ros,
apa awak cakap ni? Saya ni kawan baik awak. Murthy kawan baik Jay. Kita dah
hidup macam adik beradik sejak dulu. Kenapa awak nak cakap macam ni pada saya?”
marah Pati Lakshmi.
Nek
Ros terdiam dan terpaku. Dia nampak kemarahan yang jelas pada mata sahabatnya
itu.
“Lakshmi,
jangan salah sangka. Apa yang Ros nak cakap dengan awak, dia sangat sayangkan
awak. Apa saja yang jadi miliknya, sanggup dikongsi dengan awak. Itu kiasan
sahaja.” Atuk Jay cuba meleraikan kemarahan Pati Lakshmi.
“Itu
saya tahu. Tapi saya tak suka awak bergurau macam tu. Jay dah macam saudara
saya. Murthy pernah kata, dia hanya percayakan Jay,” kata Pati Lakhsmi
bersungguh-sungguh.
“Lakshmi,
maafkan saya. Lain kali saya tak buat lagi,” kata Nek Ros sambil menarik tubuh
Pati Lakhsmi ke dalam pelukannya.
“Dahlah.
Mari kita masuk dulu. Esok, saya bawa awak berdua makan tosei di Restoren Majid
yang terkenal tu,” kata Atuk Jay. Dia berjalan balik ke arah rumahnya diekori
oleh Nek Ros. Sementara Pati Lakshmi pula masuk ke rumahnya.
“Temah,
Kudin, apa khabar kau?” tanya Nek Ros kepada dua ekor ikan talapia di dalam
akuarium. Berkelok-kelok ekor Temah dan Kudin mendekati dinding kaca itu.
“Temah
dan Kudin sihat saja. Tapi, yang saya heran dah lama kita bela mereka ni tetap
tak ada zuriat,” rungut Atuk Jay.
“Mandullah
tu!” Nek Ros mengekek.
“Siapa
yang mandul? Kalau benar mandul, kita boleh carikan pasangan lain. Yang saya
bimbang, Temah ni dah menopause!” Atuk Jay pula ketawa mengekek.
Mereka
masuk dan duduk di sofa, membuang lenguh.
“Atuk
dan nenek nak minum apa? Panas ke sejuk?” Tiba-tiba Amir Asyraf muncul dari
dapur.
“Baiknya
cucu atuk hari ni. Ada apa-apa ke ni? Atau nak rasuah atuk?”
“Atuk
ni. Amir kan sayang atuk dan nenek. Amir nak jadi cucu mithali. Kalau bukan
Amir yang jadi, siapa lagi?” Amir Asyraf tersengih-sengih.
Ketawa
Atuk Jay semakin segar. Nek Ros hanya tersengih-sengih. Dia sebenarnya bangga
dengan cucunya yang seorang ini. Dia amat prihatin. Kalah cucu-cucu perempuan
yang lain.
“Kalau
macam tu, atuk terima sayang Amir tu. Buatkan atuk kopi O panas.”
“Nenek
juga.”
“Nenek
ni suka ikut selera atuk. Apa, nenek ingat Amir tak pandai nak buat yang lain?
Nenek order je. Amir akan buat.”
“Betul
ke ni?”
Amir
Asyraf angguk penuh yakin.
“Kalau
macam tu, nenek nak teh cinta.”
“Nenek,
janganlah merapu dan minta benda yang tak ada...” rengek Amir Asyraf, manja.
“Eh,
apa pulak tak ada. Nenek pernah minum dengan atuk masa kami pergi Kelantan. Kan
atuk?” Nek Ros berpaling mencari jawapan dari Atuk Jay.
“Ha,
betul. Atuk punya sukakan rasanya, sampai order dua gelas. Gelas dia besar pulak
tu!” jawab Atuk Jay, bersungguh-sungguh agar Amir Asyraf yakin.
Amir
Asyraf terteleng-teleng. Dia keliru antar benar atau bohong semua yang didengarnya.
Teh cinta...