Dari
restoren Atuk Jay terus memandu ke sebuah pusat karaoke milik seorang
sahabatnya. Pusat itu bukanlah seperti pusat karaoke yang lain. Ia hanya sebuah
kedai biasa yang hanya dikunjungi oleh kawan-kawan rapat bersama keluarga.
Tidak ada bau rokok. Tidak ada unsur yang tidak sihat, apalagi arak.
Pemiliknya,
Encik Halil tidak mengenakan bayaran tertentu. Boleh menyanyi berapa banyak
lagu dengan sedikit sumbangan seikhlas hati.
“Wah,
dah lama atuk dan nenek tak datang. Ingat dah lupa kawan-kawan di sini,” kata
Encik Halil ketika menyambut ketibaan
mereka.
“Mana
boleh lupa. Inikan tempat kami bersantai. Awak apa khabar?” tanya Atuk Jay bersalaman
dengan Encik Halil.
“Alhamdulillah,
saya baik-baik je bang. Abang tu macam mana?”
“Abang
pun sama. Setakat ni, masih boleh nak pusing-pusing bandar JB dengan nenek cun
ni,” jawab Atuk Jay dengan ketawa.
“Eh,
bukan nenek rock ke?” Encik Halil ikut ketawa bersekah-dekah.
“Rock
dan cun,” jawab Atuk Jay di celah ketawanya yang girang. Amir Asyraf
tersengih-sengih. Fikirannya masih terheret dengan pertemuan tidak sengaja
dengan gadis di restoren tadi.
“Pandailah
kau orang semua kutuk akak ya!” balas Nek Ros dengan senyum senang. Sebenarnya
dia sudah terbiasa dengan usikan begitu. Yang datang ke situ semua kenalannya.
Jadi sudah biasa sangat dengan tempat itu.
“Saya
tak kutuk akak. Saya berkata benar. Tiada yang benar melainkan benar belaka.
Akak adalah yang terhebat. Buktinya? Dalam usia akak enam siri, akak masih
sihat dan rugged macam ni. Saya kagum dengan cara akak menjaga diri.
Sumpah, saya berkata jujur,” kata Encik Halil bersungguh-sungguh.
“Jangan
puji lebih-lebih. Terangkat-angkat nanti susah!” kata Atuk Jay, bergurau.
Dari
senyum, Nek Ros terus ketawa berderai.
“Kami
di sini dah lama rindukan suara nenek yang serak-serak itik tu. Jom kita
mulakan.” Encik Hairi membawa mereka
masuk ke sebuah bilik yang agak selesa. Ketika itu lampu dan muzik sudah sedia
terpasang. Sebuah lagu instrumental juga sedang dimainkan.
“Amir
nyanyi dulu,” suruh Nek Ros sambil menepuk belakang Amir Asyraf yang masih
termangu-mangu.
“Atuklah
dulu. Amir nak ambil mood dulu,” balas Amir Asyraf dengan senyuman.
“Wah!
Ambil mood segala! Mesti penyanyi kita ni nak buat lontaran habis-habisan ni!”
kata Atuk Jay, tersenyum senang. Dia berpaling kepada Nek Ros. Mereka berbalas
senyuman.
“Biarlah
nenek yang mula dulu. Dah lama nenek tak lontar suara. Dah lebih 6 bulan.
Sejak...” Nek Ros terhenti dan menoleh kepada Atuk Jay. Mata mereka bertentang
dalam rona yang redup pilu.
Tidak
lama, lagu kegemaran Nek Ros mula diputarkan. Encik Halil memang sudah maklum
akan lagu itu. Dia sudah menghafal lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh pengunjung
Cempaka Bistro miliknya itu.
Nek
Ros mula mengalunkan suaranya melalui lagu Sembilu nyanyian Ella, Ratu Rock
Malaysia.
Kelam
malam, sepi melamar kerinduan
Tak
terbatas ingatanku kepadamu
Dan
pada siapa harus kuadukan..
Amir
Asyraf diam mengikuti alunan muzik dan kelunakan suara Nek Ros. Gemersik lembut
irama lagu itu membuat dia terbuai seketika. Dia menyandarkan diri ke sofa yang
ada. Matanya dipejamkan. Bayangan wajah gadis di warung tadi menghantuinya.
Tiba-tiba dia rasa rindu. Tiba-tiba dia rasa ingin bertemu dan berbual-bual
dengan gadis itu.
‘Kenapalah
tadi aku tak pergi tegur dia. Bodohnya aku...’ keluh hatinya.
Atuk
Jay dan Nek Ros sudah bertukar-tukar lagu. Solo sudah. Berduet pun sudah. Lagu
Melayu berbagai rentak sudah dinyanyikan. Duet lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma pun
sudah dilagukan. Pendeknya atuk dan nenek sudah penat dan kehabisan lagu.
“Mir,
kami dah habis lagu. Takkan mood kamu tu tak muncul juga?” Atuk Jay meneguk air
mineral untuk membasahkan tekaknya yang
mula kering.
Amir
Asyraf membetulkan duduknya. Dia menepis
perasaan yang sedang merayap di hatinya. Tidak lama dia bangun untuk memilih
lagu yang akan dinyanyikannya.
“Siasatan
terpimpin akan bermula!” bisik Atuk Jay ke telinga Nek Ros. Bisikan itu
membuatkan Nek Ros tersenyum. Dia menyandar dan cuba merehatkan diri dan
bertenang.
Amir
Asyraf mula menyanyi. Lagu yang dipilih semuanya irama lembut mendayu dengan
lirik memuja kekasih.
Atuk
Jay dan Nek Ros berpandangan.
“Tengah
angau bercinta rupanya cucu kita,” bisik Nek Ros.
“Cinta
monyet ke ni?” soal Atuk Jay pula.
“Nanti
kita tanya lepas ni.”
Bunyi
muzik yang bergema menyebabkan mereka tidak dapat berbual panjang. Mereka
menunggu dan membiarkan Amir Asyraf leka
dengan lagu-lagu yang dipilihnya. Ternyata Amir benar-benar sedang menghayati
lagu-lagu yang didendangkannya.
Jam
sudah 12.00 tengah malam.
“Dah
tak nak menyanyi lagi ke atuk?” tanya Amir Asyraf, selepas selesai lagu yang
dinyanyikannya.
“Atuk
dah penat. Nak simpan sikit suara untuk azan di masjid pula,” jawab Atuk Jay,
menyengih.
“Amir
dah habis merintih?” tanya Nek Ros pula.
“Rintih
apa? Amir kan hanya menyanyi.”
“Tapi
nyanyian Amir menggambarkan perasaan hati Amir. Amir sedang jatuh cinta. Betul
tak?” Nek Ros cuba menduga.
Amir
Asyraf tunduk. Benarkah dia sedang jatuh cinta? Dia sendiri tidak pasti. Yang
pasti dia gelisah sangat. Yang terbayang di matanya hanya wajah Nor Hasmida. Gadis
itu ditemui semasa dia menjalani latihan di PLKN. Entah kenapa hatinya sangat
berkenan dengan liuk-lintuk dan tutur kata gadis itu.
“Amir,
janganlah malu-malu. Atuk tak marah kalau Amir memang dah jatuh cinta. Itu
perkara biasa untuk insan yang sempurna. Cucu atuk dah 17 tahun. Dah memang logik
untuk jatuh cinta. Kongsilah dengan kami,” kata Atuk Jay menepuk-nepuk belakang
Amir, sebagai memberikan semangat.
Wajah
Amir Asyraf semakin merah padam.
“Amir
nak tahu umur berapa atuk jatuh cinta pada nenek? Sama baya Amir ni. Nenek yang
lasak dan suka panjat pokok, buat atuk tertawan,” kata Atuk Jay mengenyitkan
mata kepada Nek Ros.
“Nenek
pula terpikat dengan atuk kerana rambut gondrong dan gigi emasnya,” balas Nek
Ros pula.
“Hah?
Atuk dulu pakai gigi emas?” Amir Asyraf mula ketawa. Di matanya terbayang
kilauan emas kalau disuluh cahaya lampu.
“Kerana
gigi itulah kami bercinta dan berkahwin. Cinta pertama kekal sampai kini,” kata
Atuk Jay.
“Habis,
mana gigi atuk tu?”
“Giginya
masih ada. Emasnya je yang dah tak ada. Lepas kahwin, atuk buka dan berikan
pada nenek sebagai tanda cinta.”
“Atuk?
Biar betul. Eee... gelinya. Hadiah paling tak patut pernah Amir dengar.
Teruknya atuk ni...” Ketawa Amir Asyraf terhenti. Wajahnya berubah. Tiba-tiba
dia rasa geli geleman.
“Tak
payah nak geli sangatlah Mir. Tukang emas tu sendiri tak geli pun.” Atuk Jay
menyengih-nyengih. Nek Ros tersipu-sipu. Wajah cucu mereka menjadi tatapan mata
nakal mereka.
“Atuk
hantar ke kedai emas? Atuk jual gigi itu?” Sekali lagi wajah Amir Asyraf berselirat keliru. Aduh! Dia membayangkan
wajah tukang emas yang dikatakan.
“Taklah.
Atuk jadikan gigi itu sebagai tanda cinta atuk pada nenek.”
Amir
Asyraf terdiam lama. Dia tunduk menelan
air liur. Benarkah apa yang didengar. Bolehkah neneknya menerima gigi emas
atuknya sebagai tanda cinta?
“Mir,
tengok ni...” kata Nek Ros sambil menunjukkan sebentuk cincin yang tersarung
cantik di jarinya.
Mata
Amir Asyraf tertumpu kepada jari Nek Ros. Dia menoleh kepada Atuk Jay. Lelaki
itu tersenyum dengan kerdipan mata.
“Inilah
pengikat cinta kami yang atuk cakap tu,” sambung Nek Ros. Mata Amir Asyraf
beralih kepada neneknya. Nek Ros pula mengerdipkan mata dengan sebuah senyuman.
Akhirnya,
ketawa Amir Asyraf berdekah memecah ruang. Baru dia faham. Gigi emas atuknya
dijadikan cincin yang terlekat manis di jari neneknya. Rahsia sebentuk cincin
dalam sebuah kisah cinta, sangat menyenangkan hatinya.
“Sungguh
manis kenangan cinta atuk dan nenek,” kata Amir Asyraf dengan senyuman senang.
“Cinta
itu memang manis, Mir. Kalau kita pandai menghargainya. Bercinta tak salah asal
kita pandai menjaganya,” kata Atuk Jay.
Amir
Asyraf angguk perlahan. Jauh di sudut hatinya, dia rasa amat kagum dengan
jalinan cinta Atuk Jay dan Nek Ros. Dari kecil, dia melihat kemesraan dan kasih
sayang yang tidak pernah berbelah bagi. Dia menjeling ke arah cincin di jari neneknya. Dia tersenyum. Alahai cincin nenek!