SAMPAI di bilik penginapan,
Zulfikar merebahkan dirinya ke atas katil. Dia ingin merehatkan fikiran. Dia
cuba bertenang. Dia cuba melupakan semua kata-kata Shamira mahupun sikap kurang
ajar Shamira sebentar tadi.
‘Pergilah, kau... jauh... jauh... jauh...’ Dia berbisik dengan
mata yang berat.
“Bangunlah, Zul... kita tak boleh terus tunggu macam ni.”
Tiba-tiba Nik Anum muncul bersimpuh di sebelahnya. Dia bingkas. Wajah Nik Anum
direnungnya penuh rindu.
“Bila Anum sampai? Macam mana Anum tahu Zul ada di sini?”
“Ayah dah ceritakan hal pertemuan dia dengan Zul. Kemudian Anum ke
rumah Zul. Mak Zul kata Zul ke sini. Itu yang Anum datang. Zul tak suka?” Nik
Anum menghadiahkan senyuman.
“Anum, Tuhansaja
yang tahu betapa Zul gembira dengan pertemuan ini. Dah begitu lama Zul tunggu
saat ni, Anum.” Zulfikar membalas senyuman Nik Anum. Dia berasa amat bahagia.
“Kenapa Zul biarkan Anum tertunggu-tunggu?”
“Zul tak tahu macam mana nak cari Anum.”
“Hidup Anum merana Zul.” Nik Anum serta-merta tersedan.
Zulfikar terkedu. Seluruh rasa simpati mengalir deras dalam
hatinya.
“Zul tahu.”
“Macam mana Zul tahu? Sedangkan kita tak pernah bertemu sejak kita
terpisah dulu,”
“Anum sentiasa ada dalam hati Zul. Kalau Anum berduka, Zul akan
ikut rasa,” jawab Zulfikar, bersungguh-sungguh.
Nik Anum senyum sinis. “Anum tak percaya?”
“Entahlah. Anum semakin curiga dengan cinta lelaki selepas apa
yang berlaku pada Anum selama ini,” jawab Nik Anum perlahan. Dia tunduk, muram.
Hati Zulfikar bercelaru resah. “Anum, lelaki lain mungkin dusta
dalam bercinta. Tapi bukan Zul..”
“Zul, jangan bermain kata kalau sekadar untuk memujuk Anum.” Nik
Anum segera memintas cakap Zulfikar.
“Sejak dulu, Anum memang tak pernah yakin dengan cinta Zul. Apa
yang Anum nak Zul buat sebagai bukti kata-kata dan cinta Zul pada Anum tak
pernah padam?” Wajah Zulfikar berubah rona. Dia berkecil hati dengan kata-kata
Nik Anum yang dianggap meragui cintanya selama ini.
“Anum nak Zul terjun bangunan ni, boleh?” Nik Anum kerdipkan mata.
Zulfikar kebingungan. Ketika itu Nik Anum bangun dan berdiri di
tepi tingkap.
“Anum usah nak cabar Zul. Anum tak ingat dulu Zul pernah terjatuh
dari pokok kelapa, semata-mata nak buktikan cinta Zul. Sekarang, Zul akan
terjun bangunan ni kalau itu yang Anum nak,” jawab Zulfikar bersungguh-sungguh.
Nik Anum mengilai sinis.
Hati Zulfikar tercabar. Cara hilaian Nik Anum seolah-olah dia
pengecut dan tidak berani membuktikan cintanya.
“Kenapa Anum ketawa?”
“Sebab Zul takkan berani.”
“Betul Anum nak tengok?”
“Zul tak berani dan Zul tak cintakan Anum. Zul dah lupakan Anum.
Zul dah ada pengganti Anum.”
Bertubi-tubi Nik Anum mengasaknya. Dia hilang arah. Kejantanannya benar-benar
tercabar! Tanpa berfikir panjang dia bangun dan menuju ketingkap. Daun tingkap dibuka luas-luas. Dia berdiri melihat ke
bawah. Gayat melihat deretan kereta yang bergerak ibarat semut-semut kecil.
“Takut nak terjun, kan?” Nik Anum ketawa lagi. Suara itu bergema
dan meresap dalam hatinya, sakit!
Tanpa berlengah, Zulfikar memejamkan mata dan terjun ke bawah.
“Aduh!” Dia bingkas, terpinga-pinga mencari ke sekeliling.
“Anum! Anum!” panggil Zulfikar.
Diam. Tidak ada yang menjawab. Dia memandang lagi ke
sekelilingnya.
“Astaghfirullahalazim! Aku bermimpi rupanya,” ucapnya sambil
menggosok-gosok tubuhnya yang terasa sakit kerana terjatuh dari katil. Akhirnya
dia tersenyum, geli hati.