KAMILIA rasa bengang,
bingung dan berputar seluruh alam. Gelap seketika pandangan matanya. Lalu dia
letakkan gagang telefon dan mencari tempat untuk melabuhkan punggung seketika.
Terngiang suara di hujung talian.
“Minta maaf, Encik Nik
Arif sedang bercuti.Ada kenduri kahwin di kampung isterinya.”
Doom! Seperti ada benda berat yang jatuh di atas kepalanya.
Jantungnya terasa berhenti berdenyut. Tanpa disedari, air mata berjuraian
menuruni pipi. Nik Akmal dipeluk erat. Nik Aleya dan Nik Asila pula seperti
faham apa yang sedang berlaku, datang memeluknya erat. Perasaannya semakin
tergugat. Walaupun anak-anak itu tidak lahir daripada rahimnya, tetapi mereka
seperti faham apa yang sedang Kamilia tanggung.
“Ibu, janganlah menangis,” kata Nik Aleya yang memang petah
berkata-kata.
Kamilia menarik Nik
Aleya ke dalam pelukannya. Tangisannya semakin mendayu. “Sampai hati ayah buat
kita macam ni...” rintihnya. Dia benar-benar terluka. Sangat sakit. Untuk
pertama kali, dia mula mencurigai cinta suaminya. Cinta suaminya hanya
pura-pura!
Keesokannya, beras
dalam bekas simpanannya hanya tinggal segenggam. Tentunya tidak cukup untuk
mereka berempat. Dia memang boleh tahan lapar. Tetapi bagaimana dengan
budak-budak tu? Dia tidak akan membiarkan mereka menangis kelaparan. Tidak. Dia
tidak akan menjadi ibu tiri yang zalim.
Tiba-tiba tergerak di
hatinya untuk meminjam dari jiran sebelah. Namun, segera pula rasa malu muncul
di celah hatinya.
“Ibu, kakak lapar,” rengek Nik Aleya. Adik-adiknya masih tertidur lena.
Kamilia panik
seketika. Dia tiba-tiba hilang arah. Namun, dia menahan air matanya. Nik Aleya
tidak boleh melihat air matanya. Nik Aleya tidak boleh tahu akan kepayahan yang
sedang dilalui mereka ketika itu.
“Leya, pergi duduk kat
depan dulu ya. Nanti ibu masak,” pujuk Kamilia tanpa menoleh.
Anak itu patuh.Dia segera masuk dan berbaring di sebelah
adik-adiknya.
Sedang dia termenung
itu, tiba-tiba dia terpandangkan batas keledek dan rimbunan pokok ubi kayu yang
ditanamnya di belakang rumah. Sepantas kilat dia keluar ke belakang rumah.
Dengan sebilah parang dan cangkul, bertemankan air mata dia terus mencangkul
dan menggali ubi keledek dan ubi kayu itu.
Tidak lama, berhasil juga dia mengumpulkan enam ketul isi keledek dan beberapa
batang ubi kayu.
“Alhamdulillah, syukur
kepada-MU ya ALLAH kerana memberikan rezeki untuk mengenyangkan anak-anak yang
tidak berdosa itu,” ucap Kamilia sambil mendongak ke langit.
“Banyak ubinya Lia?”
Tiba-tiba dia ditegur
oleh Cikgu Halimah, jirannya.
“Ada juga cikgu,”
jawab Kamilia dengan senyum senang.
“Lia nak buat kuih ke?”
Kamilia gugup. Dengan cepat dia mengangguk. Cikgu Halimah terus
masuk ke dalam. Hati Kamilia lega. Sekurang-kurangnya orang tidak tahu bahawa
keledek dan ubi kayu itu adalah untuk mengisi perut tiga anak tirinya.
Kalau orang tahu, mungkin dia akan dituduh mendera anak tiri.
Sekarang bukan zaman Jepun dan bukan zaman darurat hingga terpaksa ubi dan
keledek.
Kamilia merebus keledek dan ubi kayu bersama segenggam beras yang
ada. Dia menambahkan sedikit garam dan sedikit gula. Nik Aleya dan Nik Asila
sedang menyanyi-nyanyi sambil menonton siri kartun Tom And Jerry kegemaran
mereka.
Hati Kamilia ikut terhibur. Walaupun sebenarnya jauh di sudut
hatinya dia amat sedih dengan apa yang sedang dilalui itu. Anak-anak itu masih
terlalu kecil untuk merasai semua itu. Mereka bukan anak orang susah. Mereka
anak pegawai kerajaan gred A. Namun bersama ibu tiri, mereka terpaksa makan
nasi campur ubi kayu.
“Ya ALLAH...” ucap
Kamilia dengan sebak.
Dalam remang cahaya
lampu mentol bulat, mereka duduk bersila mengelilingi hidangan nasi bercampur
ubi kayu itu. Sepinggan penuh mereka hadap bersama penuh selera. Kamilia
menyuap mereka bergilir-gilir. Sambil itu dia bercerita kisah Sang Kancil
Dengan Harimau. Tujuannya agar anak-anak itu terleka dan tidak menyedari mereka
sedang makan ubi.
“Sedapkan bu ubi ni?”
tiba-tiba Nik Aleya bersuara dengan mulut yang penuh.
Kamilia mengangguk
menahan pilu. Samada ubi itu memang sedap atau mereka sedang lapar, hanya
ALLAH sahaja yang Maha Tahu.
Makan malam pun itulah
hidangan yang ada.
‘Kalau
dia seksa aku, aku tak kisah sangat.Ini, dia seksa anak-anak dia yang tak berdosa.
Kalau mereka mati kebulur, tidakkah aku yang kena dakwa. Masyarakat tak akan
percaya kalau diberitahu, ibu bapa mereka pergi makan angin tanpa meninggalkan
sebarang pesan dan duit. Mesti ibu tiri juga yang disalahkan!’ Itu yang ada
dalam fikiran Kamilia ketika itu.
Selepas makan malam,
mereka tertidur dengan lena. Hanya Nik Akmal yang meragam dan merengek-rengek.
Badannya panas. Petanda dia akan demam. Kamilia segera ke dapur, mencari
panadol yang masih berbaki di botol.
Dengan sesudu panadol,
akhirnya Nik Akmal terlena dalam buaian. Semuanya sudah tertidur. Ketika itu
baharu Kamilia teringat untuk mengusap-usap perutnya.
“Sampai hati ayah buat ibu begini. Sampai hati dia jadikan kita penunggu rumah. Tak
apalah anakku. Lahirlah kau dengan selamat. Ibu tak kisah kau lelaki atau
perempuan. Yang penting, kita akan bersama-sama dalam suka dan duka ini...”
rintih Kamilia dengan usapan kasih sayang yang tulus.
Nasib baik Nik Akmal
tidak demam. Keesokan paginya dia kelihatan ligat bermain dengan
kakak-kakaknya. Dunia kanak-kanak memang tidak pernah susah. Mereka tidak
pernah kisah, ada beras atau tidak.
Kamilia mengambil
peluang itu untuk memcuci kain baju dan lampin. Di rumahnya tidak ada mesin
basuh. Dia mencuci menggunakan tangan. Setiap hari, dengan perut yang memboyot
dia terpaksa mengadap sebesan besar kain. Sungguh mencabar tugas sebagai ibu
kepada anak-anak yang bukan anaknya itu.
Dari dalam bilik air,
dia terdengar suara anak-anak riang berteriak memanggilnya.
“Ibu! Ibu! Cepat
datang, ayah dah balik. Yeah! Ayah balik!” Nik Aleya datang menarik tangannya.
Hati Kamilia berderau.
Terlalu banyak perkataan yang dia simpan dan disusun sejak semalam. Begitu
banyak juga air matanya yang masih berladung bersama hati yang terluka itu.
Namun, bolehkah dia keluarkan semuanya?
Dia keluar menyambut
suami yang pulang dengan penuh hormat.Tangan Nik Arif disalami dan dicium tanpa gerak cuak. Kemudian seperti
biasa pula Nik Arif memeluk dan mencium pipi Kamilia, tanpa rasa bersalah!
Nik Arif membawa
bermacam-macam makanan dan barang permainan untuk anak-anaknya. Mereka bergurau
dan bermain, namun Kamilia tetap berwajah muram dan bersikap dingin. Kamilia
sedang menahan sebuah lava marah yang yang bakal meledak, menunggu masa.
Nik Arif terus leka melayan anak-anaknya. Seharian dia bersantai di rumah Kamilia. Entah apa
alasan bohong yang diberikan kepada isterinya, fikir Kamilia. Nik Aleya, Nik
Asila dan Nik Akmal begitu riang bermain dengan mainan yang dibawakan oleh ayah
mereka.
Hanya Kamilia yang
menyepi diri.
“Abang tengok sejak
tadi, Lia diam dan muram aje.Kenapa?” Akhirnya Nik Arif perasan juga.
Kamilia rasa dia
diberi peluang untuk melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia tidak akan
menyimpan lagi. “Lia tak puas hati
dengan apa yang abang buat pada Lia,” kata Kamilia dengan suara yang bergetar.
Tiba-tiba Nik Arif memeluknya. Dia mengusap-usap kepala Kamilia dengan mesra.
Kamilia tahu itu cara
Nik Arif untuk menyejukkan hatinya. Namun kali ini, semuanya tidak berjaya.
Darah yang memang sudah berhari-hari panas tidak mungkin dapat disejukkan
dengan sikap kasih sayang Nik Arif yang dianggap pura-pura itu.
“Cuba berterus-terang
dengan Lia, kenapa abang berkahwin dengan Lia?” tanya Kamilia sambil cuba
melepaskan dirinya daripada pelukan Nik Arif. Tiba-tiba dia rasa mual dan muak
dengan pelukan itu.
“Kenapa ni?” tanya Nik
Arif dengan wajah hairan. Langsung tidak terasa dia sudah melukakan hati seorang
isteri.
“Kenapa apa? Baru
sekarang Lia sedar dan perasan semuanya. Abang kahwin dengan Lia sebab nak
balas dendam pada bekas suami Lia, kan? Abang tak pernah cintakan Lia pun!
Abang cuma berpura-pura aje selama ini. Atau abang kahwin dengan Lia kerana
abang nak jadikan Lia pengasuh anak-anak abang. Abang dengan isteri abang nak
cari jalan senang. Kahwin dengan Lia dan bawa budak-budak ni ke sini. Kemudian
biarkan Lia begitu aje!” kata Kamilia dengan suara yang semakin tegang.
Nik Arif merenung
wajah Kamilia yang merah padam. Ternyata, memang Kamilia sedang marah. Hati
Kamilia memang sedang terluka.
“Siapa cakap macam ni?
Abang tak pernah ada niat macam tu. Abang kahwin dengan Lia sebab abang memang
sayangkan Lia. Tak pernah ada niat lain. Percayalah,” kata Nik Arif, cuba
membuat Kamilia yakin.
“Kalau macam tu,
kenapa buat Lia macam ni?”
“Buat apa?” tanya Nik
Arif, membeliakkan matanya kepada Kamilia.
Ketika itu Kamilia
dihurung keliru. Nik Arif benar-benar tidak tahu kesilapannya selama ini atau
Nik Arif berpura-pura tidak tahu untuk menutupnya?
“Dah hampir setahun
kita kahwin, tapi abang masih sembunyikan status Lia sebagai isteri abang.
Abang masih berahsia dengan Kak Midah. Abang buat Lia macam tak ada harga
langsung!” Kamilia menjerit. Dia sudah tidak tertahan lagi. Dia mula menangis.
Hatinya seperti dihiris-hiris. Sakit. Pedih. Ngilu.
“Kan abang dah kata,
keadaan masih belum sesuai.Abang sedang menunggu masa yang baik. Abang
tak nak hal ini kecoh. Abang tak nak bergaduh. Jadi biarlah kita sabar dan
tunggu,” kata Nik Arif. Dia seperti sedang menagih simpati dari Kamilia.
“Nak tunggu sampai
bila? Sampai anak Lia dah berderet-deret?” Kamilia tidak mahu bersimpati.
Kesabarannya sudah berselerak, tidak mampu dikawal lagi. Seperti tangisnya
juga, tidak mahu berhenti.
“Tak lama lagi Lia
akan bersalin.Tentunya abang
tak akan ada di sisi Lia. Dengan siapa Lia nak mengadu kesakitan itu nanti?”
Nik Arif mendengus
kasar. “Takkan abang ni begitu zalim nak tinggalkan Lia sakit sendirian!”
Kamilia mengesat air
matanya. Dia tahu Nik Arif tidak akan menyerah salah. Lalu dia juga tidak akan
menyerah kalah.
“Itulah yang Lia akan
terima. Sekarang pun dah nampak contohnya. Sepuluh hari abang tak datang, abang
ke mana?” sambung Kamilia sambil merenung Nik Arif. Sengketa itu perlu selesai.
Dia tidak mahu menyimpan lama-lama dalam dirinya hingga ia menjadi kudis yang
busuk.
“Abang sibuk uruskan
majlis kahwin adik Kak Midah,” jawab Nik Arif selamba.
“Langsung tak beritahu
Lia. Langsung tak ingat ada tiga orang anak abang bersama Lia di sini?”
“Abang ingat. Mana
boleh abang tak ingat!” Suara Nik Arif
berubah, kasar.
“Kalau ingat, datang
tengok. Kalau ingat, sebelum pergi ke Melaka tinggalkan Lia duit dan makanan
yang cukup agar kami tak kebulur!”
“Mana Lia tahu abang ke
Melaka?” Nik Arif segera merenung tajam ke arah Kamilia. Ada rona marah pada
renungan mata itu.
“Lia telefon pejabat
abang.”