Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 12

12

DIA merenung bintang yang bertaburan di dada langit. Indah, pasti lebih indah andai Faizal dan Firdaus ada bersamanya. Betul kata adik-adik, dia tidak mampu menyediakan apa yang mereka mahukan. Bukan hanya pelajaran, bahkan makan minum juga sedangkan dia sudah berjanji dengan arwah emak dan ayah untuk menjaga adik yang bertiga. Akhirnya, kerana kesempitan hidup, adik yang paling kecil pula dipanggil mengadap Ilahi. Dan kini, dia harus menerima hukuman kerana kegagalan menunaikan janji yang telah diamanahkan kepadanya.

Lihatlah langit itu sepuas-puasnya tetapi jangan lagi bermimpi untuk melihat langit luas itu bersama adik-adiknya. Senyumlah tetapi jangan diangankan senyuman adik-adik berdua itu. Menangislah sepuas-puasnya kerana dia tidak mungkin melihat lagi wajah adik-adik yang dikasihi sepenuh hati.

Akhirnya dia memejamkan matanya rapat-rapat, mahu menikmati keindahan bersama keluarga biarpun cuma dalam mimpi.

“Kita nak makan apa esok, mak?”

Dari jauh suara si kecil tiba-tiba kedengaran. Aiman yang baru pulang dari mandi di sungai merapati Atirah dan ibu mereka yang sedang menganyam ketupat di atas pangkin. Hari itu merupakan hari terakhir umat Islam menyambut ramadhan. Setahun hanya sekali mereka dapat menjamu selera dengan juadah ketupat berkuahkan kacang. Biarpun tanpa pakaian baru, namun mereka sebenarnya tidak sabar menunggu hari yang penuh kegembiraan itu.

“Aiman rasa, kita makan apa esok?”

Tanya emak, lembut. Atirah memandang wajah adik itu, juga dalam senyuman. Pada usia lima tahun, Aiman sudah faham banyak perkara. Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya. Pun begitu, kenakalannya timbul juga sesekali.

“Ketupat dengan kuah kacang, ya?”

“Sedapnya, tak sabar nak tunggu esok!”

“Eh, adik boleh raya ke? Kan adik tak puasa hari ni,”

Celah Atirah, mengenyitkan mata pada emaknya. Emak membalas dengan senyuman sambil tangannya terus menganyam ketupat.

“Adik puasalah hari ni along, sekerat hari,”

“Oh.., puasa boleh sekerat-sekerat pulak, ya? Maksudnya adik raya esok pun sekerat jugaklah, sekerat lagi kena puasa. Tengok aje along, abang-abang dan mak makan sedap tau!”

“Mana acik,”

“Bukan mana acik, mana aci lah!”

Kata Firdaus sambil menarik seluar adiknya yang masih basah. Reaksi nakalnya yang tidak diduga mengundang tawa Atirah dan emak tetapi si kecil yang disakat itu mula mengejarnya, marah barangkali dengan usikan Firdaus.

“Abang, Aiman dapat abang nanti, Aiman londeh jugak seluar abang,”

Atirah ketawa kecil, tetapi bila dirasakan dirinya hanya mengenang sebuah memori, dia membuka kembali matanya. Tiada apa yang tinggal melainkan gelap malam yang hanya bercahayakan bintang-bintang.

* * * * * * * *

PAGI lagi dia sudah menunggu di hadapan butik kepunyaan Hajah Fatimah. Lebih dua minggu berada di rumah, cuba menyesuaikan diri dengan situasi baru, akhirnya dia kembali bekerja. Benar kata umi, dia tidak boleh meneruskan hidup dengan kenangan. Dia tidak boleh terperangkap dengan memori hingga mengabaikan keperluan diri sedangkan dia perlu meneruskan hidup.

Jika adik-adik telah memilih jalan hidup mereka, dia perlu menentukan kehidupannya juga. Walaupun hakikatnya dia inginkan kehidupan semalam, bersama adik-adik, tetapi dia perlu akur dan tidak boleh mementingkan diri kerana hakikatnya dia tidak mampu memberikan yang terbaik buat adik-adik.

“Assalammualaikum…Tirah dah lama sampai?”

“Baru aje, umi,”

“Jom kita masuk,”

Ajak Hajah Fatimah sambil memaut bahunya. Atirah membalas dengan senyuman.

“Siapa yang bantu umi selama Tirah tak ada?”

“Kadang-kadang Bad ada tolong umi..sekejap-sekejap dia datang, masa umi ke Sabah hari tu, memang butik tutup terus lima hari,”

“Tirah minta maaf ye, umi…Tirah banyak menyusahkan umi,”

“Umi yang patut minta maaf sebab tak dapat membantu Tirah perihal adik-adik,”

Ucap Hajah Fatimah sambil menggenggam erat kedua tangannya. Badli yang baru tiba di belakang Hajah Fatimah memaut bahu uminya sambil mengenyit mata buatnya.

“Bad maafkan dua-dua sekali,”

Atirah mahu ketawa tetapi dikemam mulutnya sebelum melirik ke arah Hajah Fatimah. Wanita separuh abad itu juga tersenyum bersamanya.

“Datang tiba-tiba, Bad?”

“Nak ketawa pun tahan-tahan…hmmm…Dari jauh Bad dah bau kegembiraan, wajah yang kembali ceria,”

Atirah tersipu malu. Dia tahu dirinya diusik Badli. Setelah meminta diri, Atirah memulakan kerjanya pagi itu. Perkara pertama, dia menjerang air sebelum Badli meminta air kopi darinya.

“Tak masuk office ke hari ni?”

“Ada visit site sekejap lagi, Bad minta tolong Hakim aje punchkan untuk Bad.Malaslah umi nak keluar masuk banyak kali ni,”

Boss besar tak marah ke?”

“Dia marah, tahan telinga ajelah umi,”

Hajah Fatimah sekadar menggeleng. Faham benar akan perangai anak lelaki sulungnya itu. Tidak memanjangkan topik itu, Hajah Fatimah duduk di atas sofa sambil menyemak akaun butiknya. Badli ikut duduk di sebelahnya. Tidak lama kemudian, Atirah mendatangi mereka berdua bersama dua cawan kopi.

“Jemput minum umi, awak!”

“Awak aje dia panggil Bad, umi!Kalau panggil Bad ke, abang Bad ke, sedap juga telinga ni dengar,”

“Perlu ke?”

Perlahan dia membalas, tetapi cukup untuk membuatkan Hajah Fatimah ketawa. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berbahasa dengan anak-anak lelaki Hajah Fatimah. Seribu macam kebimbangan bertamu dihatinya.

“Perlu ke? Berapa umur Tirah?”

“Perlu ke?”

“Perlu ke? Perlulah! Umur tu akan menentukan bagaimana nak berbahasa dengan orang sekeliling. Sekarang ni Bad nak tanya, berapa umur Tirah?”

“Umi, Tirah ke belakang dulu, ya,”

Pintanya terus meninggalkan Badli yang bertegas mahunya menjawab soalan yang difikirkan tidak perlu itu. Hajah Fatimah mengangguk lagi. Senyuman wanita itu terus mengikuti langkahnya.

“Oh, sombong!Tak apa! Kita tengok sejauh mana dia mampu sombong dengan Bad,”

“Perlu ke, Bad?”

Giliran Hajah Fatimah pula mengulang soalan itu kepada anaknya. Badli tercengang dengan reaksi uminya yang sudah ketawa.

“Umi pun?!”

* * * * * * * *

“SAYA hantar Tirah balik, ya?”

“Terima kasih. Saya ada basikal,”

“Sama-sama. Jomlah, saya hantarkan.Basikal tu boleh tinggalkan di sini dulu,”

Atirah tidak menjawab. Selama ini dia sudah biasa berbasikal. Sudah alah kakinya mengayuh basikal, beribu kali pengalaman terjatuh, malah mengheret basikal yang bertayar bocor juga sudah biasa diharunginya. Lalu, untuk apa dia menumpang lelaki itu sedangkan dia sudah biasa dengan keadaan ‘selalu’.

“Apa kata umi nanti?”

“Saya dah minta kebenaran umi tadi. Boleh kan, umi? Bad hantar Tirah balik?”

“Boleh, lagipun tak elok Tirah selalu berbasikal jauh, seorang diri pulak tu,”

Hajah Fatimah mengangguk sambil mengunci pintu masuk. Rambut Atirah diusapnya, lembut sebelum memberi sebuah ciuman buat anak itu.

“Atirah dah biasa macam ni, umi,”

“Biarlah Bad hantarkan Tirah, umi pun mahukan yang terbaik buat Atirah…Atirah tahu, umi selalu susah hati setiap kali umi tengok Tirah kayuh basikal sendirian…”

“Tirah dah biasa, umi,”

“Ada kebiasaan tu elok, Atirah. Ada sesetengah kebiasaan tu perlu kita jauhkan, perlu diubah, perlu dicari ikhtiar lain yang dapat menggantikan kebiasaan tu.Tirah ikut Bad, ya?”

“Basikal Tirah-”

“Jangan risau, tak ada orang yang akan ambil basikal Tirah ni,”

Kata Badli, geram sebenarnya dengan sikap Atirah yang selalu menolaknya, baik dalam pergaulan atau percakapan. Jika diikutkan hatinya hendak ditambah lagi mengenai basikal tua gadis itu tetapi bimbang lain pula jadinya.

“Bad pergi dulu ya, umi?”

Beritahu lelaki itu sambil mencium pipi uminya. Atirah ikut menyalami Hajah Fatimah sebelum mengekor langkah Badli yang sudah menghampiri keretanya. Setibanya di kereta Badli, dia membatu.

“Kenapa?”

“Saya tak pernah naik kereta,”

Badli ketawa kecil sebelum menghampiri Atirah. Nampak kaget sekali gadis itu berada di sebelah keretanya.

Okay, jemput masuk!”

Pelawa Badli selepas membuka pintu kereta buatnya. Atirah yang mula berasa suam sejuk masuk ke dalam perut kereta. Dia duduk dengan seribu macam perasaan. Ketika dia berpaling, Badli menundukkan wajahnya, begitu dekat sekali dengan mukanya. Mata mereka bertembung, tetapi cepat-cepat dibuang ke arah lain. Kemudian, terasa pula seakan tangan lelaki itu merayap hampir dengan pinggangnya. Debaran didada semakin kencang. Entah mengapa dia merasa begitu buat pertama kalinya.

“Pakai tali pinggang ya, Tirah!”

Lelaki itu mengenyitkan mata sambil menarik tali pinggang keselamatan yang berada di sebelah bahu kirinya. Merah mukanya menahan malu. Tangan yang disangkakan merayap itu rupanya cuba menyilangkan tali pinggang keselamatan untuk dikunci.

“Jangan lupa tutup pintu, takut tertinggal tengah jalan pulak nanti,”

* * * * * * * *

“DAH maju nampaknya,”

Tegur Badli selepas dia menutup pintu kereta. Tidak menjawab soalan itu, sebaliknya dia hanya membuang pandang ke luar.

“Dingin…tak ada respond langsung!”

Tambah lelaki itu, cuba menduga agaknya. Dia terus diam, sama seperti semalam.

“Kenapa Atirah macam ni, ya?”

“Macam ni macam mana?”

“Dingin, beku, tegang, sentiasa tertekan,”

“Saya selesa begini,”

Badli ketawa, menyambut jawapannya yang dingin juga, barangkali. Sesekali dia menoleh juga pada lelaki itu. Entah kenapa dia boleh terlibat, berdua bersama lelaki itu walaupun dia cuba sedaya upaya untuk mengelaknya.

“Selesa? Selesa ke tak senyum sehari suntuk? Selesa ke jadi patung? Bila tanya, senyap tak menjawab. Nak kata autisme, nampak normal...Nak kata perisik, tak nampaklah pulak ciri-cirinya. Kenapa Tirah suka mengasingkan diri dari orang lain?”

“Saya selesa dengan diri saya seadanya. Apa pandangan orang terhadap saya, pun saya terima juga,”

Badli senyap. Mindanya bekerja keras untuk merencanakan sesuatu. Bagaimana cara yang boleh dilakukannya untuk menarik gadis itu keluar dari kebiasaannya atau memang kebiasaannya sangat tegar sehingga tidak boleh diubah sama sekali. Belum pernah sekali dia berjumpa dengan individu begini. Sangat teguh dengan dirinya. Hanya sekali, dia mahu melihat gadis itu keluar dari sisi biasanya.

Pantas, brek kereta ditekan tiba-tiba dan seperti diduga, gadis itu terhenyak sedikit ke hadapan tetapi kerana memakai tali pinggang keselamatan, badan gadis itu kembali ke tempat asalnya. Tidak mengeluh tetapi gadis itu memandangnya. Badli membalas pandangan itu dengan sebuah senyuman nakal.

“Sengaja?”

Tanya Atirah, kemudiannya.

“Tak boleh ke?”

“Tak boleh? Boleh! Nak buat banyak kali pun boleh,”

“Betul ni?”

Tidak menunggu jawapan Atirah, Badli menekan pedal minyak. Apabila kereta sudah bergerak, dia menghentikan keretanya tiba-tiba dan Badli mengulangi perbuatan itu beberapa kali sehingga menimbulkan rasa marah Atirah terhadap lelaki itu.

“Dah puas?”

“Marah nampak, merah menyala muka!”

“Saya serik tumpang kereta awak,”

“I believe this is not the last time…Be prepared for the next meeting,”

“Jangan yakin sangat,”

“Yakin? Ya, itu memang prinsip saya sejak kecil…Selalunya saya akan dapat apa yang saya mahukan bila saya berusaha,”

“Awak seorang aje yang ada keyakinan diri?”

Wow…semakin menarik sekarang!”

Badli mengusiknya lagi. Atirah melepaskan nafasnya perlahan. Hendak dimarah lelaki itu, dia tidak nampak pula alasan kukuh untuk berbuat begitu. Hendak dibiarkan, rasanya lelaki itu mencuit juga perasaannya.

* * * * * * * *

SO… the final decision is you want me to decorate your house with hotel style ya, Tuan Syed?”

“Yup and I don’t want to change it anymore…This is final!”

“Let’s go inside…So, we can talk about your ideas and my ideas also,”

Badli hanya mengikut sahaja langkah lelaki yang bernama Syed Aqid itu. Walaupun usianya hampir enam puluh tahun, tetapi lelaki itu masih nampak gagah dan segak dengan pakaian korporatnya.

“So, this is living room. There are two living rooms actually…one is here and another one is upstairs. I want to use black, white and gray into this room…So, you have to make sure that the combination between the colors and the furnitures are well-done. For the second one, I want to use red and cream color,”

Badli mencatat ciri-ciri warna yang dimahukan oleh pelanggannya di dalam buku nota yang selalu dibawanya ke mana-mana. Sebelum dia meninggalkan ruang tamu itu, sempat juga dia mencuit Hakim, memberi isyarat kepada rakannya itu supaya mengambil gambar bahagian dalam rumah itu. Kemudian, mereka bergerak menuju ke bahagian dapur rumah agam itu. Dapur basah dan dapur kering, kedua-dua bahagian dapur itu sudah dirakam oleh Hakim sebelum dia sempat menyuruh. Setelah hampir dua jam berada di rumah Syed Aqid, mereka meminta izin untuk pulang.

“Hotel style, huh?Well, I can speak English better than you,”

Ejek Hakim dengan loghat England sebaik mereka berada di dalam Nissan Fair lady Z Nismo milik Badli.

“Bongok! Yang kau nak jadi tepung celup ni kenapa pulak?”

“Tak kisahlah jadi tepung celup pun…Tu si Syed tu, dah tak boleh cakap bahasa Melayu ke? Kalau dia muda ke…darah separuh-separuh ke..sedap jugaklah mendengarnya, ni…umah kata pigi dah, kubur kata lai,lai…keduniaan belum tinggal tu!”

“Uish, mengata orang! Kau dah tinggal keduniaan kau?”

“Kau?”

“Kenapa tanya aku pulak?”

Soal Badli kembali. Mereka sudah tiba di sebuah restoran tidak jauh dari rumah agam Syed Aqid. Hakim dahulu turun, diikuti oleh Badli.

“Kenapa? Kau dan aku sama aje, kan? Apa benda yang kau buat aku tak buat? Apa benda yang aku buat kau tak buat?”

Badli mencebik sambil menarik kerusi. Setiap kali makan di mana-mana, dia suka mencari meja yang letaknya hampir dengan laluan orang. Mencari apa yang mungkin tidak dicari oleh orang lain.

“Ada, aku dahulukan umi. Kau?Balik kampung sekali setahun, kan? Tu pun balik raya puasa. Raya Haji tak balik pun,”

Badli memesan makanan selepas puas dapat mengenakan Hakim. Rakannya cuma ketawa menyambut kata-katanya.

“Sebut pasal dahulu dan kemudian ni, kan, aku hairan tengok kau hari-hari pergi butik umi. Kadang-kadang setengah hari tak masuk office. Hari tu ayah kau bising…dahlah kau yang buat tahi, aku pulak yang kena,”

“Ayah aku bising?”

“Dia kata kau makan gaji buta. Badan tak ada, tapi tiap-tiap bulan gaji dibayar pada kau,”

“Aku tak ada pun, tapi kerja hantar on time. Clienttak pernah mengadu pasal aku pun. Lantaklah! Dia nak bising pun biarlah dia bising, dah memang hak dia sebagai boss. Aku ni macai aje,”

Luah, Badli. Padanya, kata-kata ayah bukanlah ancaman. Kalau benar ayah tidak berpuas hati dengannya, pasti sudah lama ayah bertemu empat mata dan bercakap mengenai hal itu sendiri kepadanya.

Macai pun anak dia! Harta dia nanti melambak kat kau jugak. Anyway, tolak cerita tu ke tepi. Pembantu umi mesti hebat, kan? Sebab tu kau melekat macam digam, kan?”

Badli mengangkat mukanya, sekejap cuma. Kemudian dia bermain dengan jari jemarinya. Teringat akan Atirah. Susah ditafsirkan mengenai gadis itu. Rambutnya yang hitam lebat selalu diikat kuda. Mukanya bujur sirih, hidungnya mancung terletak, bibirnya yang merah bak delima, kulitnya putih mulus. Punyai sepasang mata berwarna hazel yang redup lagi mendamaikan. Benar, Atirah punyai pakej yang sempurna tetapi gadis itu sukar untuk ditambat.

Comfirm!Boleh berangan pulak kat sini. Aku dah makan nasi separuh pun kau tak perasan lagi kan?”

“Eh?!”

“Apa eh-eh? Kau dah bersedia nak kahwin ke Bad?”

“Kahwin? Aku?”

* * * * * * * *

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.