Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 9

9

“UMI!”

Jerit Badli setelah melangkah masuk ke dalam butik uminya, Hajah Fatimah. Hampir tiga bulan tidak menjengah ke butik itu, banyak perubahan yang dapat dilihatnya walaupun dia tidak memerhati dengan teliti perubahan tersebut. Ah, pedulikan!

“Umi!”

Sedang dia melangkah terus ke hadapan, ada seorang gadis muda dilihatnya baru keluar dari stor belakang. Sebuah senyuman dihulur untuknya, namun, sekejap cuma dan senyuman itu mati perlahan-lahan.

“Boleh saya tolong, encik?”

“Boleh juga. Umi mana?”

“Umi?”

Badli mengangguk lagi. Gadis itu diperhatikannya dari atas ke bawah, dan Atirah pula, apabila terasa dirinya diperhatikan, dia terus bergerak ke meja kaunter. Melindungkan dirinya di sebalik meja itu. Selama dia bekerja di situ, belum pernah lagi dia bertemu dengan lelaki itu, dan pada amatannya, lelaki itu anak Hajah Fatimah yang paling tua.

“Umi mana?”

Atirah tersentak apabila lelaki itu memetik jari di hadapannya. Hilang terus satu kesimpulan yang dibuatnya sebentar tadi sebaliknya perasaan malu pula yang bertandang hingga wajahnya terasa panas berbahang.

“Oh, minta maaf encik, umi keluar sekejap. Kejap lagi umi balik semula. Kalau encik nak jumpa umi, encik duduk dulu, ya?”

Dalam kepayahan akibat menahan rasa malu, Atirah menjawab juga. Selepas menunjukkan lelaki itu dengan sofa yang terletak tidak jauh dari kauter itu, Atirah segera beredar semula ke stor. Kebetulan tidak ada pelanggan yang masuk ke dalam butik itu dan kerana rasa malu yang masih belum beransur pulih akibat memandang lelaki itu terlalu lama, lebih baik kiranya dia menghilangkan diri buat seketika. Lelaki itu pasti sahaja tidak mahu diganggu.

Kerja melekatkan tanda harga pada baju-baju baru diteruskan mengikut penerangan umi pagi tadi. Kerjanya lebih mudah ketika ini kerana pagi tadi dia telah mengasingkan baju-baju baru itu mengikut fesyen dan jenis kain. Apa agaknya kata lelaki itu kepadanya? Sudah dua kali dia terbabas ketika memerhati wajah lelaki. Kali pertama dahulu ketika bertemu wajah dengan Azlan, anak kedua Hajah Fatimah. Kali ini, dia terbabas lagi ketika memerhati wajah anak sulung Hajah Fatimah dan kedua-dua peristiwa itu disedari dua jejaka itu. Pandangannya terlekat pada wajah kedua anak lelaki Hajah Fatimah itu bukan kerana tertarik pada dua raut wajah tampan itu tetapi kerana pertama kali bertemu dan dia mencari persamaan antara dua wajah itu dengan wajah umi mereka dan padahnya? Ya, dia tertangkap dalam dua-dua peristiwa itu! Di mana dia hendak meletak mukanya? Di celahan susunan baju-baju itu? Di sebalik pasu bunga? Di sebalik pintu?

“Sampai hati awak tinggal saya seorang diri kat depan tu,”

Saat terdengar satu suara menegurnya, spontan, penanda yang berada di tangannya tercampak ke atas. Jantungnya yang berdegup laju akibat sapaan yang tidak disangka-sangka itu melemahkan semangatnya buat seketika. Pada masa yang sama, Atirah terdengar satu suara mentertawakannya. Ingin juga dia menghamburkan rasa marah kerana lelaki itu mentertawakannya tetapi disabarkan juga hatinya.

“Ada lagi yang saya boleh tolong ke encik?”

Soalan itu disusun sebaik mungkin walau perasaan marah masih belum reda. Perlahan-lahan Atirah bangun dan mengambil semula penanda yang tercampak di atas susunan baju baru itu.

“Ada jugak.Apa kata kalau awak buatkan secawan kopi ke untuk saya-”

Atirah tersenyum cuma, menutup rasa marah yang semakin menindihnya ketika itu. Jauh benar perbezaan antara anak sulung Hajah Fatimah dengan Azlan. Tanpa memberi sebarang jawapan, Atirah berlalu untuk memenuhi kehendak lelaki itu.

“Kopinya encik,”

“Terima kasih, duduklah dulu, kita sembang-sembang,”

Sambut Badli sambil menepuk sofa di sebelah kirinya. Dia tahu gadis itu pekerja baru uminya. Tidak ada niat untuk berkawan tetapi jika ada peluang untuk berhibur, rasanya tidak salah jika dia mencuba. Jika hendak dibanding gadis itu dengan wanita-wanita yang pernah didampingnya, perbezaan gaya mereka jauh bagai langit dengan bumi. Tiada apa yang boleh dibangga dengan gadis kampung itu, namun senyuman yang manis itu cukup untuk menyentak perasaannya.

“Tak apalah encik, terima kasih...saya ada kerja lagi nak dibuat dekat stor tu,”

Tolaknya, lembut walaupun mulutnya ringan hendak membalas ayat yang lebih menusuk kalbu.

“La...”

“Bad, dah lama ke Bad sampai?”

“Umi!”

Badli bangun setelah meletakkan cawan kopi ke atas meja yang terletak disebelahnya. Pipi uminya dicium penuh rasa hormat. Atirah yang berasa lega dengan kehadiran Hajah Fatimah ketika itu segera beredar ke stor.

“Atirah nak ke mana tu? Ke sini dulu Tirah, umi nak kenalkan Tirah dengan anak sulung umi ni,”

Perlahan dia mendekati Hajah Fatimah. Wajah anak lelaki Hajah Fatimah yang dipanggil Badli itu tidak pula dipandangnya.

“Badli, umi kenalkan Badli dengan Tirah.Tirah, ini Badli, anak sulung umi,”

Atirah sekadar melorekkan sedikit senyuman yang sengaja dipaksanya demi menjaga

hati umi. Jika tidak kerana umi yang memanggilnya, tidak mungkin dia mahu beramah mesra dengan Badli.

“Hai Tirah!”

Atirah sekadar mengangguk. Menjawab sapaan itu dengan sebuah lagi senyuman.

“Umi, Tirah ke belakang dulu, ya?”

“Umi?”

Tanya Badli kepada Hajah Fatimah. Panggilan yang biasa didengar dalam lingkungan keluarganya, mula didengar keluar dari mulut pembantu butik uminya. Teringin juga dia hendak tahu tentang sejauh mana eratnya hubungan dua orang wanita yang berada di dalam butik itu. Lama tidak menjengah ke butik itu, banyak juga maklumat yang dia telah ketinggalan.

“Umi yang suruh dia panggil umi macam tu. Umi sayang dia lah, Bad...sayang macam anak-anak umi sendiri,”

“Dina tahu ke umi? Umi bukan tak kenal dengan anak umi yang manja tu,”

Hajah Fatimah sekadar tersenyum. Bahu anak itu digosok dengan lembut beberapa kali. Maksud yang hendak disampaikan oleh anaknya itu amat jelas, namun sebagai seorang ibu, bukan semua perkara perlu melalui tapisan anak-anaknya, lebih-lebih lagi Dina.

“Dia cuma tahu Tirah kerja dengan umi aje. Umi taklah beritahu dia macam umi beritahu pada Lan dengan Bad. Hari tu dia siap bertekak lagi dengan Tirah. Entah apa salahTirah pada dia. Lepas bergaduh dengan Tirah, dia bertaki dengan Azlan pulak!”

Badli hanya mendengar. Sesekali raut wajah Dina terlukis dalam mindanya. Sesekali raut wajah Atirah yang baru ditemuinya sebentar tadi pula yang terlakar di ruang mindanya. Pasti Atirah punya kelebihan sehingga mendapat tempat di dalam hati uminya.

“Umi, Bad tanya sikit, umi janganlah marah, ya?”

Hajah Fatimah menggangguk.

“Apa lebihnya Tirah tu umi, sampai umi boleh jatuh sayang pada dia?”

“Bad kenal lah sendiri dengan Tirah kalau Bad nak tahu,”

Tidak berpuas hati dengan jawapan Hajah Fatimah, Badli menuju ke arah stor. Gadis yang bernama Atirah itu sedang sibuk menyiapkan kerjanya. Lama dia berdiri di pintu stor itu, memerhati gerak geri gadis itu mengikut kehendaknya. Tekun, cermat, lembut! Lembut? Kemudian, Badli kembali mendapatkan Hajah Fatimah. Belum sempat dia membuka mulut, tawa Hajah Fatimah kedengaran.

“Bad hantar umi ambil kereta dekat bengkel dulu, ya?”

Okay,tapi sekejap ya, umi,”

Hajah Fatimah mengangguk lagi. Terhibur dengan gelagat anak sulungnya ketika itu, sebuah senyuman terukir di bibir tuanya.

“Ehemm,”

Sekali lagi, sapaan yang datang tidak disangka itu menyebabkan satu susunan baju yang baru diangkat dari lantai, jatuh bertaburan. Badli ketawa gelihati melihat gelagat Atirah lalu terus meninggalkan gadis itu dengan kejutan yang masih bersisa pada wajahnya.

“Jom umi,”

“Nakalnya anak umi yang tua ni,”

“Tirah, jangan ambil hati dengan Badli ya, Tirah. Umi dah nak keluar dah ni. Tirah jaga diri baik-baik, ya. Apa-apa hal nanti, callumi ya, sayang,”

Atirah tersenyum cuma, kemudian dia mendapatkan Hajah Fatimah untuk bersalam dengan wanita yang dipanggil umi itu. Tangan yang dihulurkan Badli untuk bersalam tidak dihiraukannya, sebaliknya dia terus bergerak menuju ke arah kaunter.

* * * * * * *

BADLI mencari kelibat Hakim dalam samar cahaya disko Emperoritu. Sekejap sahaja, kelibat sahabatnya itu sudah berjaya dijejaki. Bukan susah hendak mencari Hakim. Sejak bertahun bersahabat dengannya, disko itulah yang selalu menjadi tempat rehat mereka walaupun adakalanya mereka bertukar angin ke tempat-tempat lain. Dari jauh, Badli dapat melihat teman baru di samping Hakim.

Meet my girl, Nadia!Nadia, ni kawan I,Badli,”

“Badli,”

Badli menyambut tangan yang dihulurkan oleh wanita yang bernama Nadia itu. Tidak lama berbual, Hakim meninggalkan Badli dan terus ke ruang tarian. Tidak lama dia bersendirian di bar itu, datang seorang gadis lalu duduk di sebelahnya.

Hi there!

“Hi!

Iselalu nampak youlepak kat sini. Kenapa seorang aje malam ni?”

“Kalau macam tu, youpun selalu lepak sinilah, kan? Taklah seorang pun, my close friend still with me,cuma dia tengah seronok menari tu,”

“Awak macam mana pula? Tak mahu menari?”

Badli hanya tersenyum. Dia tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan teman. Dia tahu, sekali pelawa sahaja, pasti gadis itu tidak akan menolaknya. Dan tidak sampai sepuluh minit berkenalan, mereka sudah berada di ruang tarian.

“Nice meeting you, Bad..Really enjoyed!”

“Of course my dear, you will enjoy more soon,”

Julia ketawa senang. Pertama kali berbual dengan lelaki itu, dia sudah merasakan bahawa

lelaki itu bakal menjadi miliknya kelak.

You ada apa-apa rancangan hujung minggu ni? Inak ke Tioman, nak berehat di sana, kalau you tak keberatan, you boleh ikut I. Really appreciate it!”

“Really, Bad?I love to join you!”

Akui Julia lalu terus memeluk erat lelaki itu. Sebuah kucupan hinggap di pipi Badli. Betapa berbunga hatinya mendengar pelawaan lelaki itu.

“Great, so, I call you later…I hope there’s no obstacles to have fun this week,”

* * * * * * * *

ATIRAH menongkat basikalnya di tepi rumah Hajah Asmah. Dari jauh dia dapat melihat wanita tua terbaring di atas pangkin, di bawah pokok rambutan. Dia mencari juga kelibat adiknya dengan ekor mata. Selalunya, dari jauh gelak ketawa mereka sudah dapat dikesan. Tertanya juga di dalam hati mengapa adik-adiknya membiarkan sahaja Hajah Asmah bersendirian tidur di atas pangkin itu, tambah pula senja semakin hampir melabuhkan tirainya. Perlahan, dia mendekati Hajah Asmah.

“Makcik, makcik...bangun makcik! Dah nak masuk maghrib ni,”

Diusap lembut tangan tua yang sejuk itu. Tiada jawapan. Atirah menarik nafasnya dalam-dalam. Sekali lagi dia mencuba. Perlahan-lahan mata itu dibuka. Hajah Asmah senyum melihatnya.

“Mari makcik, kita masuk ke dalam rumah, dah menginjak malam ni makcik,”

Ajaknya lagi. Wajah lesu itu hanya mengangguk. Atirah memegang kedua-dua bahu Hajah Asmah lalu menuju ke arah rumah.

“Maghrib awal kan, Tirah? Makcik nak mandi, nak solat maghrib awal,”

Atirah cuma menjawab dengan sebuah senyuman. Setibanya di dapur, Atirah meninggalkan Hajah Asmah sekejap di depan pintu bilik air lalu dia berpatah ke dalam bilik untuk mengambil tuala dan pakaian bersih Hajah Asmah. Apabila dia tiba kembali di hadapan bilik air, dilihatnya pintu itu sudah tertutup.

“Tirah letakkan tuala di atas para ni, makcik,”

“Iya,”

Jawab satu suara dari dalam. Kemudian, Atirah sibuk mengemas bahagian dapur. Selepas selesai menjerang air, Atirah membasuh beras pula sebelum menanaknya di atas dapur kayu.

Baru teringat akan beg plastik yang berisi sepasang baju buatnya masih tergantung pada handlebasikal. Hajah Fatimah bersungguh mahu dia menerima baju kurung itu tetapi dia berkeras tidak mahu menerimanya melainkan duit gajinya dipotong setiap bulan untuk melangsaikan harga baju itu. Padanya, baju bukan keperluan utamanya. Apa yang ada di dalam almari masih boleh dipakai walau telah lusuh. Yang penting padanya ialah persekolahan adik-adik. Beg plastik yang masih tergantung itu terus di bawa masuk ke dalam rumah. Ketika dia melintasi ruang tamu, Hajah Asmah sedang menunaikan solat maghrib.

* * * * * * * *

LEBIH sejam yang lalu, Hajah Asmah menunaikan solat maghrib. Ketika dia melalui ruang tamu, Hajah Asmah sedang bersujud. Kini, ketika dia melaluinya sekali lagi untuk membuang resah gelisah menanti adik-adik yang belum pulang, Hajah Asmah masih lagi begitu. Hendak dikejut, memang tidak wajar rasanya. Hendak dibiar, perasaannya berbelah-bahagi juga. Akhirnya,dia memutuskan untuk duduk sahaja di muka pintu, menanti adik-adik yang masih belum pulang sedang malam beransur gelap. Hajah Asmah pula mungkin akan menyudahkan solatnya sebentar lagi

“Bersabarlah wahai hati,”

Ucapnya perlahan. Ditoleh pula kepalanya ke arah Hajah Asmah, mahu memastikan bahawa wanita yang banyak berjasa kepada keluarganya itu dalam keadaan baik.

“Mana angah dan abang ni?”

Soalnya kepada diri sendiri. Jam di dinding dijeling pula. Hampir menginjak ke pukul sembilan malam. Selalu, jika adik-adiknya pulang ke rumah mereka pun, pasti mereka akan berada di rumah Hajah Asmah sebelum maghrib. Patutkah dia menurut mereka dan meninggalkan Hajah Asmah seorang diri? Sekali lagi dia memandang ke arah Hajah Asmah. Dia mengamati dari jauh tetapi hati memintanya mendekati wanita itu. Dengan langkah yang sangat cermat, dia menghampiri Hajah Asmah. Mengganggu atau tidak, dia perlu memastikannya dahulu daripada membiarkan dirinya gusar kerana berteka-teki.

“Makcik,”

Panggilnya perlahan. Tiada sebarang reaksi. Dalam masa yang sama, belakang Hajah Asmah digosoknya lembut. Mengharapkan ada tindak balas dari Hajah Asmah. Atirah mencuba lagi.

“Makcik, makcik tidur ke?”

Panggil Atirah lagi. Kali ini dia berniat untuk menggoyang sedikit badan Hajah Asmah. Dan ketika dia baru hendak memegang bahu Hajah Asmah, tubuh itu rebah dahulu di atas sejadah.

“Makcik!”

Kali ini lebih nyaring suranya memangggil. Lebih jelas dan lebih cemas. Datang perasaan yang tidak enak pula mengganggu benaknya ketika itu. Dengan tangan yang bergetar, dia meletakkan jari di bawah hidung Hajah Asmah, dengan niat mahu memastikan nafas itu masih seperti selalu. Gusar dengan penemuannya, dia mencuba cara yang sama sekali lagi.

“Apa yang kau buat ni hah? Kau ni siapa?”

Terkejut dengan sergahan yang datang secara tiba-tiba, Atirah menoleh ke belakang. Seolah-olah dia berada dalam satu dunia asing. Begitu ramai orang yang tidak dikenali tiba-tiba berada di rumah Hajah Asmah. Masing-masing memandangnya dengan seribu kerutan.

“Saya jiran makcik, duduk di hujung kampung. Saya minta maaf kak, dah hampir sebulan saya dan adik-adik tinggal dengan makcik,”

“Kak Long, mak!”

* * * * * * * *

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.