3
RAMBUT
Aiman sudah basah dengan air daun bunga raya namun tidak ada perubahan juga.
Sehingga hari ini, sudah tiga hari Aiman tidak berdaya untuk bergerak. Semenjak
peristiwa Aiman menangis kerana memohon maaf darinya, Aiman terus rebah kerana
demam panas.
“Makan bubur ni sikit, dik!”
Entah kali yang keberapa dia
memujuk adiknya supaya menjamah sedikit makanan, namun setiap kali itu juga dia
hampa. Aiman akan menggeleng dan menoleh ke arah lain.
“Adik sayang along tak?”
Angguk.
“Kalau sayang, adik makan sikit,
ya? Along mintak adik makan sikit aje.”
Aiman menggeleng lalu memusingkan
badan dan membelakanginya. Atirah melepaskan nafasnya, perlahan-lahan. Entah
cara apa yang patut digunakan untuk mendapatkan adiknya yang sihat seperti
dahulu. Adakalanya dia sendiri berasa putus asa untuk memujuk si bongsu itu
untuk makan kerana hasilnya tidak pernah positif namun digagahkan juga
perasaannya. Sedaya upaya dia cuba
melawan rasa putus asa itu. Akhirnya, Atirah meletakkan bubur nasi yang masih
panas itu disisinya. Selimut yang sudah koyak di sana sini itu ditarik sehingga menutupi
bahagian dada adiknya. Leher Aiman disentuh perlahan-lahan dan seperti semalam,
tidak ada perubahan pada si bongsu itu. Semalam, Faizal telah membawa pulang
ubat dari klinik yang dibeli di pekan. Bersusah payah dia memujuk Aiman yang
enggan makan ubat, dan bila berjaya, demam Aiman tidak juga kebah malah panas badannya
menjadi-jadi pula.
“Angah, abang! Pergi makan
dulu....Tak payah tunggu along. Along lewat sikit makan malam ni,”
“Angah dengan abang nak makan
dengan along!”
“Hari tu dah janji nak ikut cakap
along, kan?
Pergi makan dulu. Kalau makan lewat, nanti perut masuk angin,”
Kata Atirah, memberi arahan buat
dua lagi adiknya yang sedang menyiapkan kerja sekolah. Derap kaki yang
kedengaran menuruni anak tangga itu mengajaknya untuk menoleh seketika ke arah
dapur. Kemudian, dia berpaling semula menghadap Aiman yang sedang berbaring.
“Kak Tirah, Aiman nak tidur atas
riba akak, boleh? Aiman tidur dulu, ya? Assalammualaikum,”
Atirah tidak menjawab sebaliknya
dia mengangguk sambil tersenyum. Dibiarkan hatinya menjawab salam itu. Ada air mata yang
bergenang di lopak matanya, namun dikeraskan hatinya, dikuatkan semangatnya
untuk tidak menangis. Dia tidak mahu nampak lemah pada pandangan adik-adiknya.
Hanya dia tempat mereka bergantung harap dan kasih. Atirah membantu mengalihkan
kepala Aiman ke atas ribanya dan sekejap sahaja si bongsu itu sudah lena.
Setiap inci wajah Aiman diperhatikannya. Ada
senyuman terukir dibibir adiknya walaupun ketika itu Aiman sudah lena
dipangkuannya. Terasa seperti baru semalam Aiman dilahirkan oleh arwah emaknya.
Seketika kemudian, dia berasa hampa dengan diri sendiri. Dalam keadaan seperti
itu, dia sepatutnya membawa Aiman ke hospital tetapi kerana masalah
pengangkutan, hajat hanya tinggal hajat yang tidak kesampaian. Kesempitan hidup
yang ditanggung mereka berempat bertambah meruncing sejak akhir-akhir ini. Duit
simpanannya hanya tinggal dua puluh ringgit sahaja sedangkan banyak lagi
keperluan yang perlu dibelinya.
* * * *
* * *
KEDINGINAN subuh menyedarkannya dari lena. Atirah
menggosok matanya beberapa kali. Faizal dan Firdaus yang tidur disebelahnya
dikejut perlahan-lahan. Sayup-sayup, alunan azan subuh berkumandang, memecah
kesunyian pagi yang hening.
“Angah, abang! Bangun...dah subuh
ni. Kejap lagi angah nak pergi sekolah, kan?”
Bahu Faizal digeraknya, lembut.
Atirah tidak dapat bergerak banyak ketika itu memandangkan kepala Aiman masih
berada di atas ribaannya dan ketika dia cuba membetulkan kedudukannya
ketika itu, terasa leher adiknya sejuk seperti ketulan ais. Atirah menyentuh
muka adiknya pula dan nyata, muka itu juga sejuk, tidak seperti beberapa jam
sebelum ini. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdetak kencang. Ada yang dirasakan tidak kena pada Aiman.
“Adik, adik! Bangun, dik! Angah,
bangun cepat!”
Jerit Atirah, keras. Semerta
Faizal dan Firdaus terjaga dari tidur mereka.
“Kenapa long?”
Tanya Firdaus dengan mata yang
masih layu. Adiknya yang seorang itu mahu menyambung kembali tidurnya namun,
belum sempat badannya berada di atas lantai, tangannya direntap kasar oleh
Atirah.
“Sakitlah along, abang mengantuk
lagi,”
“Along cakap bangun, bangunlah!”
Jerkahnya lagi, semakin kuat.
Walaupun suaranya hanya bergema dalam rumah usang itu namun ia masih belum
mampu mengejutkan Aiman yang masih lena itu. Wajah Aiman yang pucat itu
ditenungnya dengan rasa cemas.
“Adik! Adik! Bangun dik! Adik,
bangun!”
“Kenapa along kejut adik,
jerit-jerit pulak tu! Adik kan
demam lagi tu? Kesian kat adik!”
“Adik! Bangun! Along cakap bangun,
bangunlah! Bangun dik! Tolong along, dik! Jangan buat along macam ni...bangun
dik!!!”
Muka si bongsu itu ditamparnya
sekuat hati dan berkali-kali namun tiada sedikit pun tindak balas dari Aiman.
“Along, adik?”
Firdaus dan Faizal saling
berpandangan. Dia pada ketika itu hanya mampu menangis.
“Pergi panggil Makcik Asmah.
Cepat!!!”
* * * *
* * *
ATIRAH
duduk berteleku di hadapan pusara arwah adiknya, Aiman. Sudah dua hari arwah
kembali kepada PenciptaNya, namun hakikat itu masih tidak dapat diterimanya
hingga ke saat ini. Semalam, seharian dia duduk di situ, memerhati pusara yang
masih merah itu dari awal dinihari sehingga berlabuhnya tabir senja dan dia
hanya pulang apabila Hajah Asmah menarik tangannya.
“Along, Makcik Asmah ajak balik,”
Faizal yang setia menemaninya dari
awal pagi tadi membuka mulutnya, lambat-lambat. Atirah hanya menggelengkan
kepalanya. Dia tidak mahu meninggalkan Aiman yang baru berusia lapan tahun
sendirian di situ dan jika diizinkan, dia mahu menemani perjalanan Aiman yang
seterusnya. Sakit yang ditinggalkan semenjak pemergian arwah adiknya masih
berbekas lagi. Semangat terasa hilang semuanya. Tidak disangka, hanya sekejap
itu dia diberi peluang untuk melihat Aiman membesar di depan matanya.
Perlahan-lahan dan tanpa dipaksa, air matanya jatuh lagi.
* * * *
* * *
“ALONG
nak pergi kubur kejap!”
Katanya sambil membetulkan
selendang yang membalut rambutnya. Wajah Faizal dan Firdaus langsung tidak
ditatap dan tanpa menunggu jawapan, Atirah menuruni anak tangga utama rumahnya,
perlahan-lahan.
“Along!”
Dia menoleh pada wajah yang
diyakini memanggil namanya sebentar tadi.
“Abang lapar, dari semalam kita
tak makan apa-apa,”
Atirah tidak menjawab sebaliknya
dia melangkah masuk semula ke dalam rumahnya. Kendi yang berisi air mawar dan
surah Yassin diletakkan di atas para. Ketika dia melintasi Firdaus, adiknya itu
leka memandangnya.
“Tak ada apa, along! Beras dah
habis... Satu apa pun tak ada!”
Beritahu Faizal, sayu. Atirah
tidak meneruskan langkahnya sebaliknya kakinya kaku di muka dapur itu.
“Angah tolong along cabut ubi
dekat belakang, ya? Kita makan ubi dulu hari ni, boleh?”
“Tadi angah dah pergi tengok, tak
boleh nak ambil lagi, ubi tu dah kena sodok dengan babi!”
Atirah yang tidak percaya dengan
cerita adiknya terus berlari anak menuju ke belakang rumah mereka dan seperti
yang diceritakan oleh adiknya, beberapa batang pokok ubi yang ditanam di atas
tanah sekangkang kera itu rosak sama sekali. Atirah mengeluh lemah. Apa lagi
yang tinggal untuk dia dan adik-adiknya? Semalam, mereka tidak menjamah makanan
kerana dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa selain berada seharian di tanah
perkuburan. Hari ini, dia mula sedar banyak perkara yang telah diabaikan
semenjak pemergian arwah adiknya. Yang tinggal dan hidup perlu diberi perhatian
dan yang telah pergi pula harus diterima dengan redha.
* * * *
* * *
“ATIRAH!”
Dia menoleh ke arah suara yang
memanggilnya. Perlahan, Hajah Asmah melangkah ke arahnya. Bahu Atirah diraihnya
dan digosok lembut. Hajah Asmah tahu, walaupun Atirah kuat dalam menghadapi
liku-liku hidupnya, namun dia pasti, sedikit sebanyak, hati gadis muda itu
pasti terluka dengan rentetan peristiwa buruk yang menimpa keluarganya sejak
akhir-akhir ini.
“Makcik datang sebab nak ajak
Tirah dengan adik-adik tinggal dengan makcik,”
Atirah tidak menjawab. Semenjak
arwah adiknya meninggal dunia seminggu yang lepas, setiap hari Hajah Asmah datang ke rumahnya
dengan usul yang sama. Akhirnya Atirah menggeleng perlahan.
“Terima kasih makcik! Selama ni,
kami adik beradik dah banyak menyusahkan makcik. Kalau kami duduk dengan
makcik, siapa nak tengokkan rumah ni?”
“Bukan susah pun, Tirah. Siang,
kalau Tirah dengan adik-adik nak duduk rumah ni sekejap, duduk ajelah...tapi
bila malam, balik rumah makcik. Tirah pun tahu kan, makcik tinggal seorang aje kat rumah
ni. Anak-anak pun jarang sangat balik... Kalau ada Tirah dengan adik-adik, makcik
rasa lega sangat,”
Cadangan Hajah Asmah bermain-main
di dalam kepalanya. Bukan dia tidak mahu menerima cadangan Hajah Asmah
memandangkan masalah yang menghimpitnya setiap hari tetapi dia sudah tidak
sanggup untuk membebankan Hajah Asmah lagi. Selama tiga tahun ini, begitu
banyak jasa Hajah Asmah terhadap mereka empat beradik. Walaupun dia dibenci dan
dihina, Hajah Asmah tidak pernah membiarkan mereka terkapai-kapai malah Hajah
Asmah lah yang sering melindungi mereka.
“Terima kasih, makcik! Selama ni Tirah
dengan adik-adik dah banyak menyusahkan makcik. Buat masa ni, Tirah dan
adik-adik tak terfikir lagi nak tinggalkan rumah ni. Makcik jangan bimbang, ya!
Tirah dan adik-adik akan akan datang jenguk makcik selalu, ya?”
*
* * * * * *
“ALONG
baru balik dari kubur, ya?”
Soalan itu menyapanya ketika dia
sedang menongkat basikal. Atirah menghadiahkan sebuah senyuman untuk Faizal dan
Firdaus yang sedang duduk di atas pangkin yang terletak di bawah pokok kedondong
itu.
“Emm,”
Angguknya, mendekati sebelum duduk
bersama adik-adiknya. Memang itu rutinnya sejak hampir dua minggu ini.
Berulang-alik ke kubur untuk menemani arwah Aiman di sana.
“Esok along nak ke pekan kejap, nak
cari kerja!”
“Atirah!!!!”
Laungan yang datang secara
mengejut itu mengajak Atirah dan adik-adiknya yang lain untuk sama-sama menoleh
ke arah tuan empunya diri. Pak Samad berdiri tegak bersama dua orang lelaki dan
seorang perempuan. Muka tua yang sentiasa nampak bengis itu menimbulkan
beberapa soalan di dalam mindanya. Kenapa lelaki tua itu ada di rumahnya? Apa
lagi salah yang dilakukan oleh dirinya dan adik-adiknya?
“Elok sangatlah adik-adik kau ada
kat sini. Ni, orang Kebajikan Masyarakat datang nak ambil adik-adik kau. Kau
tak mampu nak bagi makan minum kat adik-adik kau, kan?”
Beritahu Pak Samad, tidak berselindung.
Menyirap darah Atirah mendengar perkhabaran itu lantas dia bangun, dia berdiri
tegak, bersedia untuk menghadapi tetamu yang tidak diundang itu. Faizal dan
Firdaus juga turut berdiri di sebelahnya.
“Ini adik-adik saya. Jangan siapa
pun berani kacau adik-adik saya. Selagi saya hidup, saya yang akan tanggung
adik-adik saya. Bukan Pak Samad, bukan kebajikan masyarakat! Sesiapa pun tak
boleh kacau adik-adik saya!”
Jeritnya sekuat hati, sehingga
tetamu tak diundang yang dibawa oleh Pak Samad itu tersentak dengan jeritannya.
Faizal dan Firdaus terus ditarik hampir kepadanya.
“Saya tak jemput Pak Samad dan
encik-encik ni datang sini. Sebelum saya kurang ajar, baik sangatlah kalau
semua keluar dari sini!”
“Kalau kau tak cakap pun aku
memang tahu kau memang kurang ajar, sebab tu adik-adik kau pun jadi kurang ajar
macam kau! Dari yang paling kecil sampai yang paling besar, semua samseng! Aku
tak kira, kau nak ke tak nak ke, adik kau mesti duduk kat rumah kebajikan
masyarakat!”
Balas Pak Samad sambil melangkah
beberapa tapak mendepani Atirah. Dari dulu lagi, dia memang benci melihat
keluarga Hamidon. Semuanya kerana pinangan yang ditolak oleh ibu Atirah sewaktu mereka masih muda. Semenjak
itu, dia bertekad untuk membalas terhadap terhadap keluarga itu biarpun hanya
anak-anak yang tinggal.
“Along, kami tak nak! Abang dengan
angah nak duduk dengan along,”
“Dengar tak tu?! Jangan nak kacau
hidup kami adik beradik lagi. Pak Samad boleh berambus sekarang!”
Matanya bulat memandang tiap
pasang mata yang berada di hadapannya. Atirah tidak menghiraukan sesiapa lagi
pada saat itu. Dia pernah berjanji dengan arwah emak dan ayahnya untuk menjaga
adik-adiknya sehingga titik nafas akhirnya. Walau apa cara pun, adik-adiknya
tetap akan dijaga dan dilindungi. Tak kira apa jua rintangan yang datang.
“Encik dengar tak tu? Sebab tu lah
saya panggil encik-encik semua ni datang kat sini. Encik tengok sendiri keadaan
budak-budak yang dah terbiar tiga empat tahun ni. Atirah ni bukannya kerja pun
encik. Sehari dua bolehlah nak bertahan...esok lusa nak makan apa? Makan
pasir?”
“Pak Samad bawa bersabar kejap, ya.
Atirah, kami harap Atirah faham dengan tanggungjawab kami. Adik-adik Atirah perlukan
bantuan. Atirah nak tengok adik-adik Atirah gagal dalam hidup disebabkan sikap
Atirah yang terlalu mengikut hati?”
Wanita yang berumur pertengahan
tiga puluhan, mungkin, cuba
mendekati Atirah dan adik-adiknya. Selama tiga belas tahun berkhidmat di
Jabatan Kebajikan Masyarakat, pelbagai kes telah dihadapinya. Dia faham mengapa
anak gadis itu begitu mempertahankan adik-adiknya tetapi telah menjadi
tanggungjawabnya untuk memastikan masa depan anak-anak ini terjamin apabila
berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat kelak, apatah lagi mereka mendapat
aduan tentang kelakuan adik-adik Atirah yang suka mencuri. Sebuah senyuman
ikhlas dihadiahkan buat gadis manis itu dan adik-adiknya namun Atirah dilihat
berundur beberapa tapak sedang dia mahu didekati, bukan dijauhi.
“Puan baliklah, ya! Saya tak nak
tengok muka puan lagi kat sini. Saya boleh jaga lagi adik-adik saya. Kami tak
pernah kebulur pun sebelum ni,”
“Atirah, Atirah sayangkan
adik-adik Atirah, kan?
Mesti Atirah tak mahu tengok adik-adik Atirah hidup menderita, pelajaran pun
tak tentu hala, kan?
Kami janji akan jaga adik-adik Atirah. Bila kami jaga, tak bermakna Atirah
berpisah dengan adik-adik Atirah. Atirah boleh datang jenguk adik-adik Atirah
selalu. Nanti, bila adik-adik Atirah dah besar, dah umur lapan belas tahun,
Atirah boleh duduk dengan adik-adik semula,”
Pujuk wanita itu lagi sambil cuba memegang
bahunya. Dengan kasar Atirah menepis tangan wanita itu, tetapi wanita itu hanya
membalas dengan senyuman sehingga dia pula yang serba salah kerana bersikap
kurang sopan dengan wanita yang lebih tua darinya.
“Along, angah tak mahu pergi! Angah
nak duduk dengan along! Angah sayang along. Along jangan bagi dia orang ambil
angah dengan abang ya, along?”
Beritahu Faizal di celah-celah
ketegangan itu. Air matanya mula bergenang saat mendengar permintaan Faizal.
Tidak pernah sekali pun terdetik dihatinya untuk meninggalkan adik-adiknya
apatah lagi melepaskan mereka ke tangan orang lain.
“Adik-adik hak saya, tanggungjawab
saya! Puan dan kawan-kawan puan tak berhak nak ganggu saya dan adik-adik saya.
Pak Samad pun jangan cuba
sekali pun lagi nak pisahkan saya dengan adik-adik kalau tak nak saya ganggu
hidup keluarga Pak Samad pulak. Jangan cabar saya!”
“ Angah, abang! Naik rumah cepat!”
“Tengoklah sendiri, puan, encik! Kan saya dah cakap,
budak-budak rumah ni memang jahat! Dah tak boleh nak lentur pun! Kalau dibiar
ni...”
Luah Pak Samad belum berputus asa
untuk memisahkan Atirah dan adik-adiknya. Mendidih perasaannya mendengar hinaan
Pak Samad terhadap dirinya dan adik-adik. Mulut lelaki tua itu tidak pernah
senyap dari melontarkan kata-kata yang buruk terhadap mereka bertiga. Tanpa
dipaksa, dia mengambil seketul batu kecil dan membalingnya terus ke arah Pak
Samad. Pak Samad yang tidak menyangka akan diserang seperti itu di hadapan
pegawai kebajikan masyarakat mengetap bibirnya sambil memegang kepalanya yang
terasa sakit akibat terkena batu kecil itu. Pegawai kebajikan yang berada di
situ tergamam dengan tindakan spontan Atirah yang telah berada di muka pintu
rumahnya.
“Atirah! Kurang ajar betul budak
ni. Melampau betul engkau ni, ya...siap kau, Atirah!”
“Itu pengajaran untuk orang tua
yang kurang ajar, dan tak reti nak hormat orang. Jangan sampai saya nampak lagi
muka Pak Samad atau encik-encik semua ni!”
* * * *
* * *