Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 11

11

FAIZAL termenung di jendela tingkap. Selama hampir seminggu ini dia dan Firdaus cuba menyesuaikan diri tinggal di tempat baru. Tanpa pengetahuan Atirah, dia dan Faizal secara diam-diam pergi mencari perlindungan di rumah anak yatim. Simpati pada nasib kakak yang tiada kesudahan, akhirnya dia dan Firdaus membuat keputusan untuk pergi. Dengan keputusan itu, diharap kakaknya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik tanpa sebarang bebanan. Bukan tidak rasa bersalah kerana pergi tanpa meningggalkan sebarang berita tetapi apakan daya, padanya, itu yang terbaik buat mereka bertiga.

“Kenapa angah?”

“Entah bagaimana agaknya keadaan along sekarang ni?”

“Angah menyesal ke?”

“Kita tak ada pilihan, abang,”

“Tapi abang rindukan rumah kita, rindukan along,”

Beritahu Firdaus, jujur. Sesungguhnya, walaupun dia juga ingin melihat kakaknya hidup lebih terurus, namun dia rindu sekali pada wajah Atirah. Selama ini, pada Atirahlah dia dan abangnya bergantung hidup sedangkan Atirah sendiri mengorbankan seluruh kehidupannya buat dia dan abangnya, juga pada arwah Aiman.

“Angah harap abang berpegang pada janji. Walaupun payah, kita kena cuba juga, demi along,”

Menitis air mata Firdaus ketika Faizal menuntut janjinya. Jika diikutkan hati, dia tidak mahu melakukannya. Tak ingin sama sekali, tetapi apakan daya. Dia juga ingin melihat kakaknya hidup bahagia tanpa bebanan.

“Abang ada angah. Kita di sini tak bermakna kita melupai along. Satu masa nanti, bila kita dah boleh berdikari, kita akan cari along sampai jumpa. Tapi angah tahu, dalam masa terdekat ni along akan jumpa kita cuma angah mahu abang kotakan janji.Walau susah macam manapun, kita tak akan berpatah balik,”

* * * * * * * *

SESUDAH menziarahi kubur arwah Hajah Asmah, Atirah mengayuh perlahan basikal tuanya menuju ke sekolah Faizal dan Firdaus yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumah mereka. Selain menunggu perkembangan dari pihak polis yang tidak pernah kunjung tiba, dia berusaha juga ke sana ke mari untuk mencari adik-adiknya. Ketika tiba di pondok pengawal, dia ditahan pula oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

“Cik nak ke mana?”

“Saya nak jumpa cikgu Ashraf. Ada hal penting,”

“Kat sini semua orang beritahu ada hal penting nak masuk ke dalam…Cik mungkin orang yang kesejuta beritahu benda yang sama,”

Tersentap Atirah mendengar sindiran pengawal keselamatan itu. Penampilannya mengundang marah orangkah? Mengapa setiap kali dia ke mana-mana hanya sindiran yang diterima? Dia sebaiknya cuba menjawab soalan tanpa sebarang prasangka tetapi yang selalu diterima semula ialah komen dan sindiran yang menyakitkan hati.

“Kalau boleh saya nak jumpa Cikgu Ashraf hari ni juga…mustahak sangat encik, tolonglah!”

Tidak peduli akan sindiran itu, dia merayu lagi.

“Awak ni nampak muda lagi, macam budak tak sekolah aje…Nak jumpa Cikgu Ashraf buat apa? Ada hutang dengan dia ke? Takkan awak tak tahu yang dia dah bertunang?”

“Saya tak peduli tentang urusan peribadi dia...Saya ke sini kerana urusan persekolahan adik-adik saya. Saya nampak macam hantu pun tak berkudis buat saya, janji saya dapat jumpa Cikgu Ashraf,”

Tegasnya lagi. Hanya kerana dia mahu bertemu dengan Cikgu Ashraf, jika tidak sudah lama dia memberi pelajaran kepada pengawal keselamatan itu. Bengkak hatinya mendengar sindiran tidak berasas pengawal keselamatan itu. Adakah dia dibayar gaji untuk mengutil semua rahsia peribadi kakitangan di sekolah itu?

“Tak boleh jumpa Cikgu Ashraf sekarang…Dia tengah mengajar. Lepas waktu sekolah nanti baru boleh jumpa,”

“Tak apa…saya tunggu,”

“Tak boleh tunggu sini…Nak tunggu, tunggu di luar!”

Atirah tidak menjawab, sebaliknya dia terus memusingkan basikalnya menuju ke luar pagar sekolah. Ada sebuah pondok menunggu bas di situ, lalu dia menongkat basikalnya dan duduk menunggu di situ. Seingatnya, dia keluar awal pagi menuju ke kubur arwah Hajah Asmah. Terik mentari pun belum menyengat tubuhnya, mungkin ketika itu baru pukul sepuluh pagi. Anak-anak remaja yang dari tadinya jarang kelihatan di sekitar kawasan sekolah mula memenuhi perkarangan sekolah. Tajam juga matanya mencari, kalau-kalau kelibat adiknya yang berdua itu ada di sekitar kawasan sekolah, biar pun hanya mencari dari jauh. Akhirnya, dia hanya mampu menghela nafas panjang-panjang.

Masa terus berlalu, dan dia hanya menyedarinya ketika dilihat ramai pelajar mula keluar dari pintu sekolah. Dicari juga kelibat adiknya yang berdua itu, mana tahu ada di celahan pelajar yang mula keluar dari kawasan sekolah. Lama mencari, akhirnya Atirah bangun mendapatkan semula pengawal keselamatan yang hanya duduk di pondok keselamatan sekolah sambil bergelak ketawa dengan beberapa orang pelajar perempuan.

“Minta maaf encik, saya nak berjumpa dengan Cikgu Ashraf, boleh?”

“Eh, dia ni lagi! Tak ada, tak ada! Cikgu Ashraf dah balik. Kalau nak jumpa dengan dia kena buat temujanji dulu. Kalau tak, tak boleh jumpa!”

“Pagi tadi encik kata saya boleh jumpa dia selepas waktu persekolahan….Lepas waktu sekolah, encik kata kena buat temujanji pula…Saya menunggu dari pagi tadi, encik!”

“Saya kata tak boleh, tak bolehlah! Awak ni tak faham bahasa ke? Ingat senang-senang orang luar boleh masuk ke dalam? Kata urusan sekolah adik-adik, entah-entah urusan hati tergadai body, tak?”

Sinis pengawal itu disambut gelak kecil pelajar-pelajar perempuan yang bersembang dengan pengawal itu. Hatinya yang memang sedia sakit dengan layanan yang diberi sejak pagi tadi bertambah parah rasanya. Wahai hati, bersabarlah!

“Saya memang tak faham bahasa…Saya tak belajar tinggi macam encik…Encik sekolah tinggi, kan? Berapa tingkat? Sepuluh tingkat? Seratus tingkat? Sebab terlalu cerdik, encik pun mohon kerja sini, kan? Dah dapat kerja bukan buat kerja tapi duduk berkipas sambil tergelak-gelak dengan anak dara orang,”

“Oi, mulut!”

“Apa hal ni?”

* * * * * * * *

ATIRAH memandang ke arah lain ketika Pengetua Sekolah Menengah Sri Tanjung memberi nasihat kepada pengawal keselamatan sekolah itu mengenai layanan buruk yang diberi terhadap pelanggan sekolah itu. Sebelum beredar, sempat juga pengawal keselamatan itu merenung tajam ke arahnya, seakan berdendam.

“Sebenarnya dah dua kali saya terima aduan mengenai pengawal keselamatan yang seorang ni…cuma kebetulan ia berlaku depan mata, nak bertindak berdasarkan cakap-cakap orang sebelum ni, saya kira tak adil untuk orang yang diadu….”

Beritahu pengetua yang bernama Abdul Rahman itu sebaik sahaja pengawal keselamatan yang tidak bernama itu keluar dari biliknya. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia hanya berkira di dalam hati tentang keperibadian lelaki separuh abad itu. Bicaranya yang tenang, senyuman yang terukir di bibir, sekurang-kurangnya itu petanda bahawa dia bisa membantu Atirah, setidak-tidaknya dengan membenarkannya bertemu dengan Cikgu Ashraf.

“Katanya cik nak berjumpa dengan Cikgu Ashraf?”

“Betul, saya ada hal penting tentang adik-adik saya…Dah seminggu adik-adik saya tak balik ke rumah. Sebab tu saya ke sini, kalau-kalau adik-adik saya masih ke sekolah,”

“Seminggu tak balik? Cik dah buat laporan polis?”

“Dah tapi belum ada apa-apa perkembangan…”

“Saya cuba panggilkan Cikgu Ashraf…itu pun kalau dia belum balik lagi,”

Beritahu Encik Abdul Rahman sambil menekan butang di telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian, terdengar bicara antara sang pemanggil dan penjawab panggilan.

“Nampaknya pihak sekolah belum dapat membantu cik buat masa ni, tambahan pula pelajar yang dimaksudkan belum hadir ke sekolah beberapa hari ini. Cikgu Ashraf pun dah pulang ke rumahnya,”

Hampa. Dia menerima jawapan yang diberi oleh pengetua itu dengan perasaan yang sangat hampa. Kalau adik-adiknya masih ke sekolah, dapat juga diikhtiarkan sesuatu untuk menjejaki mereka.

“Minta maaf cik kerana belum dapat membantu tapi saya beri jaminan bahawa pihak sekolah akan mencuba seboleh yang mungkin untuk membantu cik dalam hal ni…InsyaAllah, kalau ada sebarang berita mengenai mereka, saya sendiri akan maklumkan kepada cik,”

“Terima kasih banyak, encik,”

“Sama-sama,”

Atirah bangun lalu beredar dari bilik itu. Perlahan dia menuruni tangga blok yang menempatkan warga pentadbiran Sekolah Menengah Seri Tanjung. Dia hanya mengikut kaki melangkah kerana begitu penat dengan penantian yang begitu lama tetapi tidak membuahkan hasil itu.

“Dasar perempuan kabaret! Suka bermuka-muka,”

Atirah memandang wajah pengawal keselamatan yang berdiri di tepi pagar. Malas hendak memanjangkan sengketa, dia meneruskan langkahnya tanpa sebarang kata sehinggalah tiba di perhentian bas, tempat dia meninggalkan basikal tuanya.

Ketika baru mengayuh basikal, dia terasa seperti membawa beban. Apabila ditoleh ke belakang, mencari punca yang tidak kena, dia melihat tayar basikalnya kempis. Mindanya pantas terbayang wajah pengawal keselamatan yang berdiri di tepi pagar sebentar tadi. Hatinya cukup kuat mengatakan bahawa pengawal keselamatan itu yang memancitkan tayar basikalnya. Ketika dia menoleh ke belakang, wajah itu menghulur senyuman mengejek sambil mengangkat tangan melambainya. Tanpa reaksi, dia turun dari basikal lalu mengheretnya perlahan-lahan walaupun jarak sekolah itu hampir 15 kilometer dari rumah.

* * * * * * *

PAGI itu Faizal dan Firdaus mengikut warden mereka, Ustaz Izzuddin menuju ke Sekolah Menengah Sri Tanjung. Urusan persekolahan mereka mesti diselesaikan secepat mungkin memandangkan sudah lebih seminggu mereka tidak menghadirkan diri ke sekolah. Sudah lama Ustaz Izzuddin memujuk mereka berdua untuk menyelesaikan masalah yang sengaja mereka cipta tetapi mereka enggan kerana belum bersedia.

Akhirnya, pagi ini mereka berada semula di pekan Sri Tanjung. Pekan yang menyaksikan mereka bergelut untuk membesar. Pekan yang menyimpan segala macam memori luka semenjak mereka kecil lagi.

“Betul sekolah ni sekolah kamu?”

Tanya Ustaz Izzuddin, menyentap khayalan Faizal. Kemudian, dia hanya mengangguk sebelum mereka semua turun dari kereta. Tahu arah mana yang patut dihalanya, mereka tiba di pejabat beberapa minit kemudian.

“Assalammualaikum!”

“Waalaikumussalam…Hah, ni orang-orang yang mengemparkan sekolah dah sampai!”

Faizal hanya tunduk mendengar serangan tiba-tiba dari guru kelasnya, Cikgu Ashraf yang kebetulan berada di pejabat ketika itu. Firdaus merapati abangnya manakala Ustaz Izzuddin pula mendekati Cikgu Ashraf, menghulurkan tangan untuk berjabat salam.

“Saya Izzuddin dari Baiti Nur Firdaus…Saya mencari Cikgu Ashraf dan Cikgu Assyura…Kalau boleh nak bertemu empat mata dengan pengetua sekali,”

“Kalau mencari memang berjumpalah…saya Cikgu Ashraf. Jemput duduk dulu… Saya cuba tengok kalau pengetua dan HEP ada kelapangan sekarang,”

Tidak lama ditinggalkan di ruangan tamu pejabat, Cikgu Ashraf kembali mendapatkan mereka.

“Nampak sihat awak berdua ni, ye?”

Kuat suara guru itu bertanya. Ada nada sinis dalam pertanyaan itu. Faizal tidak menjawab. Firdaus apatah lagi. Malu sebenarnya dengan apa yang telah mereka lakukan tetapi mungkin inilah bayaran yang terpaksa mereka tanggung untuk mendapatkan apa yang mereka berdua mahu. Kehidupan sempurna buat Atirah, kakak kesayangan mereka dunia akhirat.

“Encik Izzuddin, pengetua menjemput encik ke biliknya. Rasanya lebih elok kita berbincang di bilik pengetua,”

“Baiklah, mari!”

* * * * * * * *

“KAMI nak tukar sekolah, cikgu,”

Beritahu Faizal, perlahan. Ada getaran di hujung suaranya. Sesungguhnya dia sangat takut melalui saat itu. Takut untuk menyatakan kebenaran yang sangat pahit. Tidak mahu memilih jalan itu sebenarnya tetapi tiada pilihan dirasakan buat mereka berdua.

“Kenapa kamu nak tukar sekolah?”

“Kami sekarang tinggal di Baiti Nur Firdaus, cikgu. Letaknya 50 kilometer dari pekan Sri Tanjung. Kami tak mampu mengharungi perjalanan jarak jauh setiap hari tanpa pengangkutan,”

“Oh, begitu…tapi cikgu nak tahu, kalau kamu tinggal di Baiti Nur Firdaus, kenapa ada pihak yang mengaku sebagai kakak kamu datang ke sekolah, bertanya tentang kamu berdua yang tak pulang ke rumah selama seminggu?”

Mereka berdua terus tunduk mendengar soalan Cikgu Ashraf. Firdaus mula menggigil. Penghawa dingin yang tadinya berasa nyaman terasa seperti tidak berfungsi. Panas. Peluh mengalir keluar dari celahan rambutnya. Kakinya pula menggeletar tanpa henti.

“Err…errr…kami tak tinggal lagi dengan kakak, cikgu,”

“Tak tinggal lagi dengan kakak? Kalau tak tinggal lagi dengan kakak, cuba kamu beritahu pada cikgu kenapa dia perlu menunggu untuk berjumpa dengan cikgu dari pagi hingga ke petang dua hari lepas hanya untuk beritahu yang kamu tidak pulang ke rumah selama seminggu? Kenapa dia tak datang jumpa cikgu untuk tukarkan kamu terus ke sekolah lain?”

Senyap. Suasana sepi dengan soalan yang tidak mampu dijawab terus oleh dua beradik itu.

Ustaz Izzuddin, pengetua dan Penolong Kanan HEP hanya mendengar dari jauh. Mereka sepakat mahu menyerahkan hal itu kepada Cikgu Ashraf sebelum masuk campur.

“Cikgu Rahman, saya minta izin cikgu untuk ke rumah dua beradik ni. Pada saya, kes dua beradik ni serius. Sebelum buat sebarang keputusan, saya rasa elok kita semua jumpa kakaknya,”

“Elok benar tu Cikgu Ashraf! Saya pun nak ke sana juga. Biar kita selesaikan hal ni bersama. Macam mana, Encik Izzuddin?”

“Yang elok, moleklah kita segerakan,”

“Kami tak mahu ikut!”

Tolak Faizal, kuat suara yang dilontarnya.

“Cikgu tak beri kamu sebarang pilihan, jadi kamu kena ikut!”

* * * * * * * *

DIA masih termenung di jendela. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya kerana dia sendiri sudah berputus harap. Terasa seperti tiada gunanya lagi dia menjalani kehidupan yang sangat sukar itu.

“Kakak tak beri kami makan…kadang-kadang kami teguk air masak untuk alas perut. Siang malam kena tolongnya buat kerja rumah...Siapa yang boleh tahan, cikgu?”

Tersentap saat mendengar luahan angah di hadapan beberapa orang guru sekolahnya. Atirah langsung membisu. Tidak dapat ditangkis serangan bisa yang langsung tidak diduga datang dari adiknya sendiri. Selama ini mereka jarang merungut, malah sentiasa sedia membantu tetapi dalam diam, rupanya bantuan yang mereka beri itu telah berubah menjadi nanah yang telah merebak dan tidak mampu untuk sembuh lagi.

“Kami tak tahan, cikgu…Kami dah tak tahan hendak tinggal bersama kakak lagi…orang lain balik sekolah ada peluang belajar tapi kami kena buat macam-macam kerja untuk hidup,”

“Sampai jumpa makanan tepi jalan pun, kadang-kadang kami dipanggil pencuri, dipukul, dimarah…tapi kakak? Kakak tak boleh buat apa-apa untuk melindungi kami. Janji kakak untuk jaga saya dan abang pada arwah mak dan ayah hanya tinggal janji,”

Firdaus yang mulanya menyepi juga menokok.

“Angah nak jadi doktor! Boleh along tunaikan? Abang nak jadi jurutera! Macam mana Along nak tunaikan cita-cita kami kalau along tak mampu nak uruskan pelajaran kami pun.Cuba cikgu ke dapur, cikgu tengok apa yang dia sediakan untuk kami kalau betul dia mahu kami berdua pulang ke rumah!”

“Along bukan yang terbaik buat adik-adik. Betul, along tak mampu beri apa yang adik-adik mahu. Along tak mampu lindungi adik-adik, cuma ingatlah, di rumah ini, tempat ini, walau di mana adik-adik berada, maafkan along kerana menjadi kakak adik-adik dunia dan akhirat. Encik, cikgu-cikgu, silakan! Jika itu yang mereka mahu, saya izinkan abang dan angah pergi,”

Cukup setakat itu. Dia tidak mampu menyingkap lagi episod semalam. Hatinya robek mengenang saat perpisahan yang harus dilaluinya. Sendu. Dia hendak menangis, mahu menangis sepuasnya dengan apa yang berlaku tetapi matanya degil, tidak mahu mengeluarkan walau setitik pun air mata.

“Atirah!”

Sapa seseorang, lembut. Lama dia tidak mendengar lembut suara itu menyapa. Lama. Dia menoleh dan mendapatkan Hajah Fatimah dan anaknya, Badli yang sudah berdiri di muka pintu.

“Kenapa Tirah termenung? Umi minta maaf sebab lama tak menjenguk Tirah. Umi ada urusan keluarga di Sabah. Apa perkembangan adik-adik? Ada berita dari polis?”

“Tirah dah jumpa adik-adik, umi!”

“Iya? Alhamdulillah, akhirnya doa kita dimakbulkan, Tirah. Mana adik-adik? Umi nak jumpa adik-adik,”

Atirah sekadar senyum, tetapi senyuman itu tiada nyawa. Kemudian, perlahan-lahan senyuman itu mati.

“Tak ada, umi. Adik-adik tak mahu tinggal dengan Atirah lagi. Kata mereka Tirah tak mampu jaga mereka, tak mampu beri apa yang mereka mahu,”

“Hah?”

“Astaghfirullahhalazim…”

Umi beristighfar, perlahan.

“Habis ke mana mereka sekarang? Ke mana mereka pergi selama ni?”

Atirah tidak menjawab soalan Badli secepatnya. Hajah Fatimah memandang wajah kusam seorang kakak. Sebagai seorang ibu dia faham apa yang dirasakan oleh anak gadis itu. Akhirnya Atirah memeluk dirinya, tetapi gadis itu tidak menangis. Seingatnya wajah itu tidak pernah menitiskan air mata di hadapannya. Yang selalu dilihatnya hanya wajah muram, wajah tegang, wajah tenang dan senyuman yang jarang-jarang.

“Mereka sekarang tinggal di Baiti Nur Firdaus…rumah perlindungan untuk anak-anak yatim piatu,”

“Tirah merelakan?”

“Apa lagi yang Tirah boleh buat, umi?Tirah tak mahu berpisah dengan adik-adik. Sepenuh hati Tirah sayangkan adik-adik tapi adik-adik tak mahukan Tirah lagi umi,”

* * * * * * * *

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.