Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 6

6

“TIRAH, apa kata kalau Tirah kerja di butik umi?”

Soalan yang baru didengarnya sebentar tadi membuatnya menoleh pantas ke arah Hajah Fatimah. Atirah inginkan kepastian dari raut wajah itu dan hanya senyuman yang bermain di bibir Hajah Fatimah.

“Puan,”

“Umi, Tirah panggil umi, ya?”

Hajah Fatimah membetulkan panggilan Atirah buat dirinya. Dalam masa yang sama, dia mengusap rambut anak gadis itu.

“Mm...umi, Tirah tak tahu macam mana nak balas jasa umi pada Tirah dengan adik-adik. Kalau boleh Tirah tak mahu susahkan umi tapi Tirah memang perlukan kerja, umi,”

Atirah menjawab perlahan. Kali ini dia memang tidak dapat menolak permintaan Hajah Fatimah. Dia sangat perlukan kerja. Kerja itu bukan untuk dirinya tetapi buat adik-adiknya. Dia perlukan sumber pendapatan untuk menyara adik-adiknya.

“Kalau macam tu, Tirah datang butik umi esok pagi, ya? Lebih kurang pukul sembilan setengah pagi, boleh?”

“Terima kasih banyak, umi. Tirah hargai sangat jasa umi pada Tirah dengan adik-adik,”

Ucap Atirah sambil mencapai tangan Hajah Fatimah. Tangan wanita di pertengahan abad itu dikucupnya dengan rasa terharu. Hajah Fatimah tidak menjawab sebaliknya rambut anak gadis itu diusapnya dengan rasa sayang. Sama seperti sayang seorang ibu kepada anaknya.

“Umi tak buat apa-apa pun, Tirah. Umi cuma nak dekat dengan Tirah dan adik-adik aje,”

* * * * * * *

PETANG itu dia mengayuh basikal tuanya perlahan-lahan. Menuju ke arah rumah Hajah Asmah. Sudah lama benar rasanya dia tidak menjenguk Hajah Asmah yang sering membantunya itu. Ketika dia tiba di hadapan rumah Hajah Asmah, dilihatnya rumah itu agak suram. Halaman rumah Hajah Asmah tidak lagi ceria seperti dahulu. Atirah segera menongkat basikalnya.

“Assalammualaikum,”

Ucapnya, agak kuat. Lama juga Atirah menanti, hingga dia membuat keputusan untuk pulang sahaja tetapi baru hendak melangkah, namanya diseru.

“Atirah, nak ke mana tu? Naik dulu nak,”

Panggil Hajah Asmah perlahan, tetapi cukup kuat untuk membuatkan dia menoleh ke arah muka pintu. Keadaan Hajah Asmah yang tidak begitu terurus menimbulkan pelbagai persoalan di dalam mindanya. Dengan pantas, Atirah mendekati Hajah Asmah. Tangan wanita tua itu dicapai lalu dikucupnya dengan penuh rasa hormat.

“Makcik kenapa? Tak sihat ke?”

“Orang tua, Tirah, macam ni lah.Silap makan sikit, sakit. Silap itu, sakit, silap ini pun sakit,”

Jawab Hajah Asmah sambil mengurut dadanya perlahan-lahan. Timbul rasa simpati pada Hajah Asmah. Tanpa dipinta, dia menggosok belakang Hajah Asmah walaupun dia sendiri tidak tahu bantuan itu meringankan sakit Hajah Asmah atau tidak.

“Makcik nak rehat ke? Nak Tirah bawak makcik masuk dalam rumah?”

“Tak apa Tirah, makcik boleh jalan lagi ni, elok lagi,”

Tolak Hajah Asmah, lembut. Atirah hanya menggeleng, kemudian dia memapah Hajah Asmah ke dalam rumah tanpa disuruh.

“Makcik kena banyak berehat, jangan buat kerja berat-berat, takut sakit makcik melarat nanti,”

Pesan Atirah sambil menyelimutkan Hajah Asmah. Dia berkira untuk pulang tetapi dia bimbang hendak meninggalkan Hajah Asmah dalam keadaan begitu. Sudahlah Hajah Asmah tinggal seorang diri, sedang sakit pula. Kalau berlaku sesuatu ke atas Hajah Asmah, dia yang bertanggungjawab sepenuhnya.

“Makcik dah makan ke ni?”

“Makcik tak larat nak masak, Tirah. Dari semalam lagi makcik tak sihat. Dada ni rasa sesak aje,”

Perlahan benar suara Hajah Asmah memberitahu. Atirah tidak tahu bagaimana hendak berkata-kata lagi. Dia merasakan dirinya zalim kerana sudah lebih seminggu dia tidak bertanya khabar Hajah Asmah. Bukan dia tidak mahu tetapi masalah kesempitan hidup yang dilaluinya sejak kebelakangan ini menghalangnya untuk menziarahi Hajah Asmah. Dia sangat bimbang jika kedatangannya ke rumah Hajah Asmah dianggap serong oleh orang lain. Atirah bimbang jika ada yang menuduh dia dan adik-adiknya mengambil kesempatan ke atas Hajah Asmah. Sebab itu dia melarang adik-adiknya mendekati rumah Hajah Asmah tanpa alasan. Tetapi lain pula yang terjadi. Dia terlupa akan kesihatan wanita tua yang baik hati itu. Akhirnya, wanita itu terlantar sakit tanpa menjamah makanan.

“Tirah minta maaf makcik sebab dah lama tak datang jenguk makcik kat sini. Makcik ikut Tirah balik rumah Tirah, ya? Boleh Tirah tengokkan makcik,”

“Makcik nak hidup mati dekat rumah ni, Tirah. Ini rumah peninggalan arwah suami makcik. Makcik takut sangat kalau mati di tempat lain. Makcik pun dah tua, masa makcik akan sampai bila-bila masa aje. Makcik nak mati di rumah ni, Tirah!”

Tolak Hajah Asmah, perlahan. Buat seketika, dia hanya mendiamkan diri tetapi tangannya masih setia memicit-micit tangan dan kaki Hajah Asmah silih berganti. Dia faham dengan perasaan Hajah Asmah tetapi jika dibiarkan begitu, bimbang pula jika sakit Hajah Asmah melarat.

“Kalau Tirah ajak adik-adik teman makcik kat rumah ni, boleh ke makcik?”

“Tirah tak takut ke kalau makcik susahkan Tirah?”

Dengan susah payah Hajah Asmah menuturkan pertanyaan itu. Simpati benar Atirah dengan keadaan Hajah Asmah ketika itu. Sesekali dia mengucup tangan tua itu.

“Tirah tak pernah rasa susah makcik...Tirah nak sangat jenguk makcik selalu, jaga makcik selalu, tapi ada masa, Tirah tak mampu buat semua tu makcik. Tapi kali ni, Tirah nak sangat jaga makcik. Makcik bagi tak Tirah dengan adik-adik duduk rumah makcik sampai makcik betul-betul sihat?”

Hajah Asmah tidak menjawab sebaliknya hanya kepalanya sahaja yang mengangguk tanda bersetuju.

“Makcik rehat dulu, ya. Tirah ke dapur sekejap, masakkan sesuatu untuk makcik. Tengah hari nanti, Tirah balik sekejap nak beritahu adik-adik ya, makcik?”

Tanpa menunggu jawapan dari Hajah Asmah, Atirah terus meninggalkan wanita tua itu sendirian di dalam biliknya.

* * * * * * *

HARI pertama bekerja, Atirah tiba awal dari yang dijanjikan. Ketika Hajah Fatimah sampai di hadapan butiknya, dilihatnya Atirah sudah berada di situ. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buatnya. Anak gadis itu memang manis!

“Assalammualaikum...Dah lama ke Tirah sampai?”

Sapa Hajah Fatimah sambil menyambut tangan yang dihulurkan Atirah untuk bersalam dengan dirinya.

“Waalaikumussalam...baru jugak sampai umi,”

Jawab Atirah, lembut. Hajah Fatimah menepuk lembut bahunya dan terus membuka kunci pintu utama butiknya.

“Anak perempuan umi mana?”

“Dina? Sesekali aje dia datang tolong umi...tu pun kalau dia bosan duduk kat rumah. Hari-hari lain dia tolong ayah dia dekat pejabat,”

“Maknanya umi seorang je lah yang jaga kedai ni?”

“Dulu ya, sekarang kan umi dah ada Tirah...”

Jawab Hajah Fatimah dengan sebuah senyuman. Atirah menyambut senyuman itu dengan hati yang lapang. Sudah lama benar dia tidak melihat senyuman yang begitu ikhlas selain daripada senyuman ikhlas adik-adiknya dan Hajah Asmah.

“Terima kasih umi...sebab bagi kerja ni pada Tirah,”

“Tirah ni...dah berapa kali Tirah berterima kasih pada umi...Umi terima dengan selapangnya kasih Tirah pada umi,”

Atirah tersenyum lebar dengan usikan Hajah Fatimah. Tidak disangka pula umi pandai bergurau.

“Umi pun perlukan pembantu, Tirah, dah tua-tua ni, umi tak larat macam dulu nak terkejar ke sana ke sini. Bila ada Tirah kat sini, sekurang-kurangnya umi tak risau nak tinggal kedai,”

“Umi percaya ke nak tinggal kedai ni dengan Tirah?”

Hajah Fatimah tidak segera menjawab sebaliknya hanya senyuman yang terukir di wajahnya.

* * * * * * *

KETIKA sampai di rumah Hajah Asmah petang itu, Atirah segera masuk ke dalam bilik wanita itu. Dia mahu melihat keadaan Hajah Asmah. Semenjak seminggu yang lalu, wanita itu terlantar sakit. Tidak tahu apa puncanya. Beberapa kali dia memujuk Hajah Asmah untuk ke hospital namun wanita tua itu tetap tidak mahu keluar dari rumahnya. Akhirnya, dia hanya melepaskan nafas, mahu mengaku kecewa.

“Makcik...macam mana hari ni?”

“Macam nilah Tirah...orang tua,”

Jawapan itu sudah dapat dihafalnya. Setiap kali dia bertanya tentang kesihatan Hajah Asmah, jawapan itu yang sentiasa diterimanya. Dia sebagai seorang yang rapat dengan Hajah Asmah perlu memberi sokongan. Tanpa dipinta, dia terus memicit-micit tangan dan kaki Hajah Asmah.

“Tirah harap makcik cepat sembuh. Makcik tahu kan Tirah sayangkan makcik,”

Dahinya dikucup perlahan. Buat seketika dia berasa pilu. Masa untuknya pergi sudah hampir sampai. Bila-bila masa sahaja dia akan menghadap PenciptaNYA. Mungkin sekejap lagi, mungkin esok atau malam ni. Bekalannya entah cukup entahkan tidak. Yang paling membimbangkan hati tuanya adalah meninggalkan anak-anak yatim piatu itu bersendirian mengharungi pahit manis hidup ini. Tidak ada sesiapa yang menjaga mereka tambahan pula kelibat mereka tidak disenangi penduduk kampung itu. Ke mana haluan anak-anak itu jika dia tiada nanti? Dadanya terasa sebak mengenangkan perkara itu. Ditarik nafasnya perlahan-lahan tetapi nafasnya tersekat. Kasar sahaja bunyi nafas yang cuba ditariknya itu. Atirah yang melihat keadaannya ketika itu nampak sedikit cemas.

“Makcik, kenapa ni?!”

Dengan pantas dia mendudukkan Hajah Asmah. Belakang Hajah Asmah digosoknya berkali-kali, mengharapkan cara itu dapat melegakan Hajah Asmah.

“Kita pergi hospital ye,makcik?”

“Tak mahu! Makcik nak hidup mati di rumah ni,”

“Makcik tak boleh macam ni. Makcik sakit. Kita jumpa doktor, nanti doktor periksa makcik, kita boleh tahu makcik sakit apa...biar doktor yang rawat makcik, ya?”

“Makcik tak mahu,”

Atirah terus menggosok belakang Hajah Asmah. Bukan dia tidak mahu menjaga Hajah Asmah tetapi wanita tua itu sakit. Di hospital, kemudahan jauh lebih baik daripada minyak panas yang ada di rumah Hajah Asmah. Bukan dia tidak tahu Hajah Asmah akan menolak cadangannya tetapi dia tidak mahu berputus asa.

“Makcik, Tirah nak makcik sihat selalu.Kita pergi hospital, ya? Di sana nanti, hari-hari Tirah datang jenguk makcik,”

“Makcik tak mahu. Tirah jangan desak lagi, ya?”

Atirah tidak memujuk lagi. Dia hanya mendiamkan diri sahaja, akur pada kehendak Hajah Asmah walaupun dia tidak mahu begitu. Dia menuang air masak buat Hajah Asmah. Air itu disua perlahan-lahan ke mulut Hajah Asmah. Atirah menggosok lagi belakang Hajah Asmah sebelum membaringkan kembali wanita itu.

“Atirah ke dapur kejap, makcik! Tirah nak siapkan makan malam,”

* * * * * * *

BAD, I miss you so much! Bila dapat jumpa you ni?”

Suara manja Lia menyapa telinganya. Badli hanya tersenyum, tak perlu susah mencari, sudah ada yang datang menyerah.

“Boleh...If you want, kita boleh jumpa weekend ni. I rasa macam nak makan angin sejuklah...You nak join I? Kita spend time dekat Genting,”

Great! I like that, Bad! Dah lama tau I nak spend time dengan you...You bawalah ke mana pun, I akan ikut,”

Tidak menunggu lama, Lia terus bersetuju. Sudah lama benar dia mencari masa yang sesuai untuk bertemu dengan lelaki kacak itu tetapi peluangnya tidak ada. Kadang-kadang, apabila bertemu, lelaki itu didampingi wanita lain pula. Tetapi dia tahu, lelaki itu memang gemar berhibur tak kira siapa temannya dan dia pula, peluang yang ada ini akan digunakan sepenuhnya untuk mendampingi lelaki itu, biarpun sekadar untuk berseronok.

Really? Baguslah you ni, tak cerewet. So, I anggap you setuju join me on this weekend. Okay Lia, gotta go, nanti I call you back malam ni ye? Bye,”

“I tunggu your call, Bad! Bye,”

Badli tersenyum sebelum menekan butang merah di telefon tangannya. Wajah gadis yang putih melepak itu terbayang dalam layar ingatannya. Orangnya cantik, tinggi dan seksi. Oleh kerana sebelum ini mereka tidak pernah meluangkan masa berdua, bagus juga jika mereka menghabiskan hari Sabtu dan Ahad bersama-sama.

“Oi, senyum sorang diri? Kau buang tabiat ke tabiat buang kau?”

“Apa yang berbelit sangat ayat kau tu, Hakim?”

“Saja, nak kusutkan lagi keadaan,”

Badli hanya menggeleng. Di wajahnya sudah terlukis sebuah senyuman. Hakim menarik kerusi lalu terus duduk tanpa dipelawa. Sahabatnya itu sudah dikenali hampir dua sepuluh tahun lamanya. Sebab itu dia tidak pernah berahsia dengan Hakim dan selalunya mereka menghabiskan masa bersama jika tidak ditemani pasangan masing-masing.

“Bulan depan, cawangan baru kita kat Johor Baru nak dirasmi, lepas tu kita kena monitor cawangan tu,”

“Kenapa kita pulak? Kan kau seorang aje yang kena transfer ke Johor, aku tak terlibat,”

Hakim mengingatkan. Badli tidak segera menjawab sebaliknya dia hanya mengangguk. Ada beberapa perkara yang telah berubah dan semua itu telah diuruskannya, mungkin Hakim sahaja yang belum dimaklumkannya.

“Itu dulu....couple months ago. Sekarang ni ada beberapa perkara yang dah berubah. I will not go if you refuse to join me to monitor that branch and my father agreed with me. How’s that sound?”

Hakim mengecilkan matanya sedang Badli ketawa mengejeknya. Dia mahu menunjukkan reaksi terkejut dengan kenyataan sahabat baiknya itu tetapi entah mengapa, dia tidak berasa apa-apa dengan perubahan itu. Bukan dia tidak kenal akan Badli. Apa yang berlaku, mesti dia akan dilibatkan sama.

How’s that sound?Teruknya! Takkan dah tua bangka ni kau nak berkepit dengan aku lagi?Malulah weh! Kau tu laki, takkan nak berteman juga kot ke sana ke sini,”

“Aku tak ada semangat kalau tak tengok muka kau sehari.Kau sumber inspirasi aku, tempat aku berpaut.Tak ada kau, mati aku, sayang!”

“Cit! Geli aku...kau kalau nak kena hempuk dengan aku, cakap lagi macam tu!”

Hakim mengingatkan. Badli tidak ambil hati dengan kata-kata sahabatnya sebaliknya dia ketawa besar dengan gelagat Hakim. Marah Hakim bukan ke mana pun, lagi pun mereka sama-sama bergurau.

“Wah, marah nampak! Nak bermanja sekali sekala pun tak boleh,”

“Gila kau ni, Bad!”

Kata Hakim sambil membaling sebuah buku berkulit tebal yang berada di hadapannya ke arah Badli. Sahabatnya itu sempat menyambut dengan ketawa yang semakin besar. Tidak lama, akhirnya Hakim turut sama ketawa dengan Badli.

So, macam mana? Kita handle sama-sama branch kat JB tu, kan?”

“ Iyalah darling! Kalau I tak teman you, siapa lagi, kan? Nanti you menangis, susah pulak I nak pujuk,”

“Hantu!”

“Mana hantu? Belakang aku ke?”

Tanya Hakim dengan ketawa mengejek. Badli turut ketawa bersama sahabatnya itu.

“Kau tu yang hantu. Okaylah, stop cakap mengarut ni, kejap lagi aku nak keluar jumpa Encik Rahman, dia nak tengok kita punya design. Kau dah kemaskan apa yang patut, kan?”

“Dah beres lama dah, cuma tak tahulah dia nak terima ke nak reject lagi,”

“Tak apalah, terima tak terima, tu cerita kedua, yang penting sekarang, sketching tu dah siap,”

Hakim cuma mengangguk. Hampir tiga tahun dia bekerja di firma reka bentuk dalaman ayah Badli, sudah banyak perkara yang dipelajarinya. Walaupun dia dan Badli gemar berhibur tetapi dalam soal kerjaya, mereka sangat komited. Masing-masing punya impian yang ingin dicapai.

“Kau pergi seorang aje lah jumpa Encik Rahman tu, aku ada hal lain petang ni. Bos suruh aku pergi tengok site dekat Banting,”

Beritahu Hakim. Badli pula hanya mengangguk. Sememangnya dia bercadang hendak mengajak Hakim menemaninya tetapi tidak mengapalah. Dia melihat jam di tangannya, sudah menginjak ke angka satu petang. Perutnya pun sudah terasa lapar.

All right! Jomlah, kita lunch dulu,”

“Okay, kau belanja!”

Pantas sahaja Hakim menyambut. Badli ketawa lalu memaut bahu sahabatnya.

“Aku belanja, tapi guna duit kau, kan?”

“Ha’ah. Duit aku, tapi aku kena pinjam duit dari kau dulu, sebab aku tinggal wallet kat rumah,”

“Tak jadi masalah, kita balik rumah kau dulu, ambil wallet kau, lepas tu baru kita pergi makan,”

* * * * * * *

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.