Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 7

7

SELESAI menggantung pakaian baru, Atirah mengemas beberapa buah majalah yang agak berselerak di kaunter. Umi belum tiba lagi pagi itu. Oleh kerana semua kerja telah diselesaikannya, dia membaca salah sebuah majalah Wanita yang sudah disusunnya sebentar tadi. Dahulu, dia tidak punya peluang untuk membaca majalah seperti itu. Hendak membeli beras pun, ada masanya dia tidak mampu, inikan pula hendak membeli majalah. Tetapi semenjak bekerja dengan umi, pengetahuannya mula berkembang sedikit demi sedikit. Baru sehelai dua majalah itu dibeleknya, pintu utama butik itu ditolak seseorang.

“Umi mana, cik?”

“Umi? Mm, umi belum sampai lagi encik. Tapi biasanya masa ni umi dah sampai,”

Lelaki yang memanggilnya cik itu sudah berada di hadapannya. Orangnya kelihatan seperti dalam lingkungan dua puluhan.

“Oh, kalau macam tu, saya tunggu umi dekat sini, boleh kan?”

“Boleh,”

Jawab Atirah, ringkas. Tanpa sempat dipelawa lelaki itu terus duduk di hadapannya. Majalah yang telah disusunnya sebentar tadi diambil lelaki itu. Terpinga-pinga Atirah dibuatnya. Lelaki itu nampak begitu bersahaja, tidak kelihatan seperti pelanggan atau sahabat. Siapa lelaki itu sebenarnya? Anak umi? Jika lelaki itu anak umi, kenapa dia tidak pernah melihat wajah itu bersama umi. Setakat ini, dia hanya pernah bertemu dengan Dina, itupun cuma sekali, ketika mula-mula dia menjejakkan kaki ke butik itu.

“Cik tengok apa? Saya pakai baju terbalik ke?”

Tegur lelaki itu. Atirah tersentak dan segera menundukkan wajahnya. Terasa bahang panas naik ke mukanya. Ketara benar agaknya segala persoalan yang berlegar di dalam kotak fikirannya hingga kan lelaki itu menyedarinya.

“Err...tak,”

“Oh, bukan ye? Cik baru kerja dekat sini ke?”

Senyuman lelaki itu yang nampak ikhlas membuatkan dia terus menundukkan kepalanya. Dia berasa kekok dengan situasi seperti itu. Sukarnya untuk menjadi ikhlas seperti lelaki itu.

“Mm...saya baru kat sini,”

“Nampak macam muda lagi, baru habis SPM ke?”

“Saya belajar tak tinggi tu pun, encik. Setakat PMR aje,”

“Azlan! Anak umi!”

Belum sempat dia hendak membalas, terdengar namanya diseru. Dia menoleh ke belakang dan wajah umi dengan senyuman gembiranya nampak begitu ketara. Azlan bangun lalu mendapatkan uminya. Tangan uminya itu dikucup sebelum dia memeluk uminya. Sudah lama benar dia tidak datang menjenguk uminya. Baru hari ini kesempatan itu ada.

“Lan datang jugak jenguk umi,”

“Lan rindu kat umilah,”

“Kalau tak rindu, tak datang lah ye?”

Tanya, Hajah Fatimah, sekadar menguji anak lelakinya yang kedua itu. Jarak umur antara Badli dengan Azlan hanya setahun tetapi mereka tidak begitu rapat.

“Bukan macam tulah umi,”

“Habis tu macam mana? Cerita sikit dengan umi,”

“Mm...Lan kan anak umi, jauh mana pun Lan pergi, Lan akan balik jugak pada umi,”

Hajah Fatimah hanya mengangkat kening, tersenyum mendengar jawapan anak yang dirinduinya itu. Bahu anak lelakinya itu dipaut lalu mereka berjalan beriringan menuju ke arah Atirah.

“Tirah, kenalkan anak kedua umi, Azlan, abang kepada Dina....Lan, umi kenalkan Atirah, walaupun dia kerja dengan umi tapi umi sayangkan Tirah macam anak sendiri tau,”

Atirah mengangkat wajahnya memandang ke arah Hajah Fatimah. Wajah Azlan hanya dilihatnya sekali imbas, dengan sedikit senyuman, dia hanya mengangguk apabila dirinya diperkenalkan dengan anak lelaki Hajah Fatimah. Terjawablah sudah segala persoalan mengenai siapa lelaki itu.

“Oh, Atirah. Orangnya manis macam namanya juga kan, umi?”

Tersenyum Atirah mendengar usikan lelaki itu. Hajah Fatimah juga begitu, senang dengan sikap ramah anaknya.

“Atirah ada lesung pipitlah umi!”

Atirah malu terus diusik begitu oleh Azlan, lalu dia mengambil majalah dan pura-pura membaca majalah tersebut.

“Lan ni kuat sangat usik Tirah...tengok tu, dia dah malulah tu,”

“Lan salah cakap ke umi? Betul kan Tirah ada lesung pipit? Lan baru perasan,”

Atirah mendengar sahaja suara anak lelaki Hajah Fatimah berbicara mengenai lesung pipitnya. Entah apa yang istimewa dengan lekuk di kedua belah pipinya itu.

“Memanglah betul tapi Tirah tu perempuan, Lan tu lelaki. Malulah dia, Lan usik macam tu,”

“Yelah umi. Mmm, Lan lapar ni umi, kita pergi makan dulu, ya?”

“Kita ajak Tirah sekali, ya?”

Hajah Fatimah memberi cadangan. Atirah tersentak bila majalah yang sedang dibacanya itu ditarik perlahan oleh Azlan. Hajah Fatimah hanya ketawa melihat telatah anak lelaki yang dirinduinya itu.

* * * * * * *

SETELAH menjamah makan malam sebentar tadi, Atirah mendekati adik-adiknya yang sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. Hajah Asmah sudah lena sebentar tadi. Sejak akhir-akhir ini, keadaan Hajah Asmah nampak semakin teruk. Puas diajak ke hospital namun pendirian Hajah Asmah tidak pernah berubah walaupun Hajah Asmah tahu sakitnya semakin menjadi-jadi. Sudah hampir dua minggu dia berada di rumah Hajah Asmah. Walaupun berat hatinya juga hendak meninggalkan rumah peninggalan arwah ayah dan emaknya, namun demi Hajah Asmah, diketepikan perasaan berat itu. Hajah Asmah sudah terlalu banyak membantu Atirah dan adik-adiknya dan ini merupakan masa untuk membalas jasa Hajah Asmah.

“Along, makcik dah tidur ke?”

“Dah, baru je kejap tadi,”

Jawab Atirah, ringkas sahaja namun senyuman tetap terukir buat adik-adiknya.

“Kesian kat makcik, dah dekat dua minggu sakit, tak baik-baik pun lagi. Siang malam batuk. Kadang-kadang abang tengok makcik tersekat-sekat nak bernafas,”

Beritahu Firdaus sambil tangannya terus menulis kerja sekolah yang diberikan untuknya. Memang itu yang berlaku sejak dua minggu yang lalu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk Hajah Asmah lagi. Bukan dia tidak sanggup hendak menjaga Hajah Asmah tetapi selain kasih sayang, dia tidak punya apa-apa yang dapat membantu Hajah Asmah supaya kembali sihat seperti dahulu.

“Along dah cuba pujuk makcik pergi hospital tapi makcik tak mahu tinggalkan rumah ni.Tak apalah, kita sama-sama doakan makcik cepat sembuh, ya!”

Ujar Atirah, perlahan sambil menggosok bahu kedua adik lelakinya itu. Dalam mindanya ketika itu hanya terbayang wajah Hajah Asmah. Entah bila agaknya dia dapat melihat Hajah Asmah kembali bersemangat seperti dahulu.

“Along, esok angah dengan abang nak balik rumah kita kejap. Nak bersihkan apa yang patut...boleh kan, along?”

“Boleh, elok juga tu, tapi janganlah lama-lama sangat,”

Pesan Atirah. Belum sempat dia hendak menambah pesanan kepada adik-adiknya, terdengar batuk Hajah Asmah, tidak henti-henti. Atirah terus bergegas ke dalam bilik wanita itu.

“Makcik, kenapa ni? Minum air sikit, ya?”

Tanya Atirah terlebih dahulu. Kemudian Atirah menyuakan cawan berisi air masak itu ke mulut Hajah Asmah. Dengan payah, Hajah Asmah meneguk air itu. Sekejap cuma, dan wanita itu kembali pada peraduannya. Tidak sampai satu minit, tidur Hajah Asmah kembali nyenyak. Atirah membetulkan selimut yang menutup kaki Hajah Asmah. Ditariknya selimut itu perlahan, hingga menutup dada Hajah Asmah. Kemudian, dia duduk bersandar, tekun memerhatikan Hajah Asmah sehingga tidak sedar malam semakin larut. Akhirnya, dia tidur lena beralaskan dinding.

* * * * * * *

BADLI hanya tersenyum saat Lia membiarkan dirinya dipeluk erat. Dia tahu Lia tidak peduli dengan apa sahaja yang bakal dilakukan ketika itu. Perlahan, bibirnya merayap ke arah pipi wanita itu.

You tau tak Badli, dah lama sangat I tunggu nak berdua dengan you macam ni,”

Really? Kan Idah ada depan you ni...”

“Mmm...”

Balas Lia, manja. Dia sudah bersedia untuk menghabiskan masa yang ada ini dengan Badli. Bukan senang hendak mendapat peluang seperti ini. Maklum sahaja, selain dia, ramai lagi yang berusaha mendekati Badli dan semuanya mempunyai raut wajah yang jelita selain seksi dan bergaya. Dapat berada dalam dakapan lelaki itu buat seketika pun sudah cukup baginya. Dan ketika ini, dia hanya membiarkan sahaja bibir lelaki itu merayap di segenap inci wajahnya. Sukarnya hendak mempercayai apa yang sedang berlaku ketika itu. Apakata jika dia mengatur sesuatu yang lebih menarik buat lelaki itu. Lebar senyumannya ketika itu.

* * * * * * *

SELESAI menerima bayaran daripada pelanggan butik itu yang bernama Puan Rokiah, Atirah segera mendapatkan seorang wanita pertengahan tiga puluh tahun yang sedang membelek pakaian.

“Ada yang boleh saya tolong, puan?”

“Saya berkenan dengan baju kurung ni, warna dia lembut betul,”

“Oh, baju ni? Ni koleksi yang paling baru, puan. Ada banyak lagi pilihan, macam warna ungu ni, warna hijau pucuk pisang...mmm,”

Beritahu Atirah sambil mengeluarkan baju kurung dengan pilihan warna yang disebutnya tadi. Senyuman wanita itu nampak semakin lebar. Atirah turut tersenyum.

“Cantiknya warna ni, dik...kalau beli satu untuk mak akak pun, okay juga kan?”

“Mmm...baju ni sesuai untuk siapa-siapa pun, puan. Tapi saya rasa, kalau untuk mak puan, eloklah ambil warna ungu ni. Saya tengok warna ni sesuai untuk wanita pertengahan umur,”

“Mmm, kan? Saya pun rasa macam tu juga. Kalau macam tu, saya ambil dua ni lah ye?”

Atirah tersenyum menyambut dua helai baju yang dihulurkan wanita itu. Semenjak bekerja di butik itu, senyuman tidak pernah lekang dari wajahnya. Kata umi, senyum itu sedekah. Kalau kita mahu orang lain senang dengan diri kita, jangan lokek untuk senyum.

“Saya bungkuskan dulu kak, ye?”

Okay,

Atirah segera membawa baju kurung itu ke kaunter. Sehelai beg kertas dikeluarkan dan baju itu dimasukkan ke dalam beg kertas itu.

“Berapa dik?”

“Mmm...sekarang ni tengah diskaun kak, baju ni, lepas sepuluh peratus potongan...berapa ye?mmm... seratus setengah, kak,”

“Dua-dua ni seratus setengah?”

Atirah mengangguk dengan senyuman. Wanita itu juga menyambut senyumannya. Pantas sahaja wang dikeluarkan dari dompetnya.

“Terima kasih ye, kak. Datang lagi!”

“Sama-sama, dik!”

Jawab wanita itu sambil mencuit dagunya sebelum berlalu dari situ. Atirah yang tidak menyangka akan dicuit seperti itu, hanya menggeleng kepala sahaja sebelum mengukir senyuman lagi.

“Senyum seorang diri nampaknya!”

Atirah mengangkat muka apabila terasa kata-kata itu ditujukan buatnya. Azlan melangkah riang menghampirinya sedang Hajah Fatimah berjalan di belakang anaknya.

“Umi...”

Tegur Atirah, sambil mencapai tangan Hajah Fatimah sebelum mengucupnya. Azlan yang sudah berada di hadapannya tidak dipedulikan. Sejak seminggu ini, kerap juga Azlan datang membantu Hajah Fatimah dan Atirah di butik itu. Kata umi, Azlan merantau ke Perak. Sekali sekala sahaja, anaknya itu pulang menjenguknya, cuma kali itu sahaja anak itu bercuti panjang. Sebab itulah Azlan sering menemani uminya di butik.

“Umi...kenapa Tirah ni sombong sangat umi? Lan nak tengok lesung pipit dia aje umi. Esok lusa, Lan dah nak balik, tak kesian Lan ke Tirah?”

Atirah pura-pura tidak mendengar. Ketika dia memandang Hajah Fatimah, wanita itu hanya menepuk bahunya dengan sebuah senyuman manis.

“Lan nak kawan dengan Tirah tu. Boleh kan, sayang?”

Tanya Hajah Fatimah, seakan memahami perasaan anaknya. Dia tahu perasaan Atirah yang takut hendak berkawan. Apa yang dilalui oleh Atirah dan adik-adiknya membuatkan gadis itu sangat berhati-hati. Walaupun Atirah tidak banyak bercerita tentang kisah hidupnya, tetapi dari gerak geri dan tutur kata anak itu, dia tahu betapa banyak anak itu terluka. Lama Atirah menatap wajah keibuan Hajah Fatimah, kemudian dia beralih memandang Azlan. Lelaki itu bersandar di meja kaunter sambil memandangnya, seakan meminta jawapan.

“Umi, Tirah tak pandai nak kawan dengan orang,”

“Lan boleh tolong Tirah. Umi pun boleh tolong Tirah, betul kan umi?”

Pantas, lelaki itu menjawab. Atirah tidak terus bersuara. Bukan senang untuk dia menerima kehadiran seseorang dalam hidupnya, walaupun hanya kehadiran seorang kawan. Selama ini dia tidak pernah terfikir untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa pun. Diri dan keluarganya disisihkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehinggakan dia sudah lali hidup tanpa kawan.

“Tirah, bukan semua orang teruk macam yang Tirah sangka. Umi pernah cakap dengan Tirah kan? Dalam dunia ni, kat luar sana tu, ada ramai lagi orang yang ikhlas nak berkawan dengan kita. Mungkin Tirah belum ada peluang nak jumpa dengan kawan-kawan yang ikhlas tu, tapi apa kata Tirah lapangkan fikiran Tirah, InsyaALLAH, orang yang baik akan dapat kawan yang baik juga,”

“Entahlah umi, Tirah tak biasa. Selalunya, Tirah dengan adik-adik aje. Kalau ada yang ambil berat pasal kami pun, Makcik Asmah tapi sekarang pun makcik Asmah tengah sakit. Makan minum pun dah tak lalu. Puas diajak pergi ke hospital tapi makcik langsung tak mahu tinggalkan rumah tu,”

Azlan hanya mendiamkan diri. Memang niatnya ikhlas hendak berkawan dengan Atirah, tetapi sedikit cerita dari umi, dia tahu Atirah bukan mudah didampingi. Banyak yang pahit dalam hidupnya. Umi sendiri sukar hendak mendekati Atirah.

“Atirah sebut pasal siapa? Makcik Asmah? Yang Tirah pernah cerita pada umi tu ke? Dah lama ke dia sakit? Kenapa Atirah tak pernah beritahu pada umi?”

“Tirah tak mahu susahkan umi,”

“Kalau macam tu, umi tak mahu cakap panjang. Kita tutup kedai sekarang, umi nak tengok makcik Asmah. Lan, Lan drive, boleh kan?”

* * * * * * *

SELESAI menyapu halaman rumah Hajah Asmah, Atirah duduk di muka pintu. Kira-kira setengah jam yang lalu, Hajah Fatimah dan anaknya, Azlan baru pulang dari menziarahi Hajah Asmah. Ketika sampai di rumah itu tengah hari tadi, Hajah Asmah sedang duduk berehat di bawah pokok rambutan di halaman rumahnya. Sakit yang dialami tiga minggu yang lalu seakan sudah menjauh dari wanita itu.

“Assalammualaikum, along!”

Atirah mendongak, tersenyum ke arah Firdaus.

“Walaikumussalam, abang!”

Rambut adiknya itu diusap lembut ketika tangannya dicapai lalu dikucup oleh Firdaus. Sekejapan sahaja, Firdaus sudah duduk disebelahnya.

“Angah mana, long?”

“Angah balik rumah kita kejap. Angah kata nak tangkap ikan sikit, buat makan malam ni,”

“Makcik macam mana, along?”

“Makcik dah elok sikit...tengah hari tadi, makcik duduk elok aje kat bawah pokok rambutan tu,”

Firdaus memandang Atirah, lama, seakan tidak mempercayai kata-kata kakaknya. Selama mereka berada di rumah itu, Hajah Asmah tidak pernah menunjukkan perubahan positif sebaliknya hari demi hari, sakit Hajah Asmah nampak semakin teruk tetapi kini, semuanya seakan kembali seperti sedia kala.

“Betul ke, along? Makcik mana? Kalau macam tu, kita dah boleh balik rumah lah ye lepas ni?”

“Mmm...makcik tengah baring dalam bilik. Along rasa tak bolehlah abang. Kita kena duduk sini, jaga makcik. Along tak nak kita abaikan makcik macam dulu lagi. Abang tahu kan, makcik dah banyak tolong kita. Makcik tak ada sesiapa, cuma ada kita aje. Kalau apa-apa jadi, kita yang bersalah tau abang, sebab kita abaikan makcik dan sebab kita pentingkan diri sendiri. Along tak mahu macam tu, abang,”

“Abang rindu kat rumah kita, long,”

Bahu adiknya dipaut dengan mesra. Kalau adiknya rindu pada rumah mereka, dia berganda lagi rindu pada rumah peninggalan arwah emak dan ayahnya tapi begitulah putaran hidup. Adakalanya, kita terpaksa mengorbankan banyak perkara yang kita sayang.

“Assalammualaikum, along, abang!”

“Walaikumussalam!”

Atirah dan Firdaus menjawab hampir serentak. Wajah itu jelas menggambarkan keceriaan. Apa tidaknya, di tangan Faizal ada beberapa ekor ikan. Sekurang-kurangnya makan malam mereka hari ini masih sempurna.

“Lama angah balik rumah,”

“Angah kemas rumah kita sikit, along,”

“Terima kasih, angah. Baik hati adik-adik along ni! Mmm, kita naik rumah dulu ye, dah pukul berapa ni. Kejap lagi dah masuk maghrib,”

Ajak Atirah sambil mengambil ikan yang diserahkan oleh Faizal kepadanya. Dia terus mendahului adik-adiknya masuk ke dalam rumah.

* * * * * * *

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.