5
“ALONG!
Ada orang nak
jumpa ni,”
Atirah yang sedang menjemur
pakaian di belakang rumah menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Faizal
segera menghampirinya. Atirah mengerutkan kening, tanda bertanya. Bimbang juga
jika tetamu itu tidak diundang.
“Angah tolong along kejap, ya,”
“Beres,”
Faizal mengangguk lalu mengambil
alih tugas kakaknya.Sekejap sahaja, Atirah berada di muka
pintu rumahnya. Saat terpandang wajah Hajah Fatimah, Atirah kaku di muka pintu
tetapi wajah yang baru ditemuinya semalam membalas sebuah senyuman mesra. Dia hairan
dan tertanya-tanya bagaimana Hajah Fatimah berjaya mencarinya sehingga ke rumah.
“Assalammualaikum, Atirah,”
“Waalaikumussalam,”
Perlahan sahaja Atirah menjawab.
Wajah Hajah Fatimah yang mesra itu ditatapnya dengan perasaan yang masih aneh.
“Jemputlah naik, puan,”
“Terima kasih,”
Ucap Hajah Fatimah, lembut.
Perlahan, Atirah beralih ke dalam rumahnya sementara Hajah Fatimah mengikut
dari belakang.
“Ini, umi ada bawakan buah tangan
buat Tirah dan adik-adik,”
Dua plastik besar barang yang
berupa makanan ditolak lembut ke arah Atirah. Atirah hanya memandang ke arah
palstik itu tetapi dia tidak pula menyambutnya.
“Macam mana puan boleh sampai ke
sini? Kenapa puan berminat sangat dengan saya? Kalau puan masih nak cakap pasal
semalam, saya dah maafkan anak puan. Saya pun tak berniat nak berkasar dengan
puan, tak berniat nak mengecewakan puan, tapi saya tak mampu nak terima
pemberian puan ni. Saya tak ada apa-apa nak ditukar ganti dengan barang-barang
yang puan bawa untuk keluarga saya ni,”
Beritahunya dengan jelas. Atirah
tidak mahu terhutang budi dengan sesiapa terutama orang yang tidak dikenalinya.
Pengalaman pahitnya terlalu banyak dan itu membuatkannya sentiasa berhati-hati.
Sesekali dia memandang Hajah Fatimah tetapi wanita tua yang membahasakan
dirinya sebagai umi itu tersenyum cuma. Langsung tidak ada riak kecewa terpamer
pada wajah itu.
“Umi minta maaf ya, Tirah. Umi tak
berniat nak buat Tirah susah hati. Umi datang dengan niat baik, nak kenal
dengan keluarga Tirah. Umi tak minta Tirah ganti apa-apa pun. Umi dah niat nak
bawa buah tangan buat Tirah dengan adik-adik. Umi harap sangat Tirah sudi
terima,”
“Puan jangan susahkan diri untuk
orang yang puan tak kenal. Lagipun saya ni miskin, puan, tak berbaloi puan
datang jauh-jauh semata-mata nak kenal dengan keluarga saya. Kami tak layak
berkawan dengan siapa-siapa pun,”
Ujarnya, sedikit tegas. Bukan
hendak meraih simpati tetapi itu hakikat yang dilaluinya selama bertahun-tahun.
Usahkan dengan orang yang berharta, dengan orang kampung yang lebih sedikit
taraf hidup dari mereka sekeluarga pun, tiada yang sudi mendekati mereka
sekeluarga kecuali Hajah Asmah dan kini, wanita yang membahasakan diri sebagai
umi pula cuba mendekati mereka atas sebab yang dia sendiri tidak mengerti.
“Tirah
jangan salah sangka dengan umi. Tirah tak mahu faham tak apa tapi Allah tahu
niat umi macam mana. Pertama kali umi jumpa Tirah semalam, umi rasa nak dekat
dengan Tirah. Umi nak kenal Tirah, agaknya Allah dah gerakkan hati umi,
anak-anak umi di rumah ni perlukan umi,”
Hajah
Fatimah menjawab dengan tenang. Itulah perasaannya sejak semalam. Dia sendiri
tidak tahu kenapa Atirah tetapi gerak nalurinya memberitahu bahawa anak gadis
itu perlukan perhatiannya. Atas alasan itu, dia mengikut Atirah sehingga anak
gadis itu tiba di rumahnya. Semalam, dia berniat hendak menziarahi keluarga
Atirah tetapi perbualan yang menyayat hati antara adik beradik itu menyentap
naluri keibuannya.
“Saya
tak tahu puan, saya tak tahu,”
“Tirah, tak semua orang nak jalinkan
silaturrahim sebab harta. Ada ramai lagi orang
yang ikhlas kat luar sana
tu. Cuma mungkin kita belum ada
kesempatan nak mengenali orang-orang itu. Apa kata kalau Tirah buka hati Tirah
selapang-lapangnya. Terima umi sebagai sebahagian dari kehidupan Tirah,”
* * * *
* * *
DINA
hanya memandang sahaja uminya.Sejak kebelakangan ini hubungan mereka
berdua semakin dingin. Ada sahaja gerak lakunya yang tidak disenangi umi.
Dahulu umi sering juga menegurnya tetapi ayah yang akan membelanya dan akhirnya
umi senyap, mungkin tidak mahu memanjangkan cerita.Cuma sejak akhir-akhir ini, umi
tidak lagi diam seperti dahulu.
“Dina dah solat?”
“Belum,”
“Bila nak solat? Dah tengah malam
dah ni,”
Dina tidak terus menjawab
sebaliknya dia terus menyelak halaman demi halaman majalah Jelita. Hajah
Fatimah hanya mampu beristighfar di dalam hati. Anak perempuannya yang seorang
itu kerap benar menduga kesabarannya.
“Dina dengar tak apa yang umi
cakap tadi?”
“Dengar!”
“Habis tu, nak tunggu apa lagi?
Nak tunggu sampai nyawa duduk dekat kerongkong baru ingat nak solat?”
Dina mendengus dan mencampakkan
majalah yang dibacanya sebentar tadi ke atas meja. Tersentap jantung Hajah
Fatimah dengan reaksi anaknya itu. Air matanya bergenang tetapi dia cuba untuk
tidak menumpahkan mutiara berharga itu. Dina berlalu tanpa memandang wajahnya.
Begitulah hasil asuhan yang tidak sempurna. Terlalu dimanjakan oleh suaminya
hingga anak itu suka membentak dan mementingkan diri sendiri. Hajah Fatimah
duduk di atas sofa untuk menenangkan dirinya. Baru dia hendak memejam mata,
untuk menenangkan perasaannya yang tercalar sebentar tadi, pintu utama rumahnya
dikuak seseorang. Beberapa saat kemudian, susuk tubuh anak sulungnya pun
kelihatan. Hajah Fatimah menghela nafasnya perlahan-lahan.
“Badli dari mana?”
“Keluar dengan kawan-kawan, umi,”
“Umi rasa, Badli keluar dengan
kawan-kawan tiap-tiap malam, kan?
Umi tak kisah Badli, umi pun faham tapi kalau boleh Badli baliklah ke rumah
awal sikit. Mana tahu, kot lah umi perlukan bantuan Badli,”
Tanpa disuruh anak sulungnya
mengambil tempat disebelahnya. Perlahan, bahunya dirangkul lembut oleh Badli.
Sejuk hati tuanya, hilang terus rasa marah pada Dina sebentar tadi.
“Bad
nak janji dengan umi tapi Bad takut mungkir janji. Macam ni lah umi, kalau ada
apa-apa hal, umi call aje Bad.Apa
saja untuk umi, Bad sedia menurut perintah, ya umi?”
“Yang tu, Badli boleh janji dengan
umi tak?”
“Boleh,
kalau umi minta Bad buat sesuatu, Bad
mesti buat! Ini janji Bad pada umi, cuma umi jangan lah minta Bad balik ke
rumah awal,”
Ujar Badli, bersama sebuah
senyuman. Hajah Fatimah menyambut senyuman anak bujangnya itu tanpa ragu dan
selepas itu, masing-masing mendiamkan diri.
“Dina dah tidur ke, umi?”
“Entah apa yang Dina buat, umi pun
tak tahu, pantang ditegur sikit. Bad pun tahu kan Dina tu macam mana?”
Badli tidak segera menjawab. Dia
menarik nafas sedalam yang boleh, kemudian, menghelanya perlahan-lahan. Wajah
Dina bermain di benaknya ketika itu. Anak manja! Itu yang digelarnya pada Dina
setiap kali mereka bersua.
“Umi jaga kesihatan umi baik-baik,
ya.Jangan fikirkan sangat pasal Dina tu. Esok, tahulah Bad macam
mana nak uruskan anak manja tu,”
“Umi
tak mahu Bad dan adik-adik bertegang urat.”
Pesan
Hajah Fatimah, lembut. Memang dia paling tidak suka anak-anaknya bertekak
tetapi ada masanya, dia tidak dapat menahan juga andai ada perbalahan yang
berlaku antara anak-anaknya.Bukan dia hendak membandingkan anak-anaknya, apatah lagi
memilih kasih tetapi yang selalu menaikkan amarahnya adalah Dina. Anak
perempuan tunggalnya itu sering sahaja menjadi punca rasa marah abang-abangnya
yang lain. Disebabkan pertengkaran yang dicetuskan oleh Dina, anak keduanya,
Azlan pergi membawa diri.
“Bad bukan nak bergaduh dengan
adik sendiri umi tapi Dina tu dah melampau sangat, besar kepala!Mentang-mentanglah
anak kesayangan ayah, kadang-kadang Bad rasa nak bagi tangan aje dekat muka dia
tu,”
Luah
Badli, menyatakan perasaannya. Hajah Fatimah cuma menggeleng.Menyesal pula rasanya kerana
membuka cerita tentang Dina. Bimbang juga jika berlaku pergaduhan pula antara
Badli dengan Dina. Walaupun Dina selalu mengecewakannya, tetapi anak itu tetap
anaknya. Apa yang terjadi sekalipun, anak itu tetap disayangi sepenuh hatinya.
“Sudahlah Bad. Jangan nak emosi
sangat tengah malam ni, pergilah uruskan apa yang patut dulu. Balik tengah
malam, bau pun dah masam,”
“E’eh umi ni. Bad wangi lagi ni. Perfume mahal ni umi, bau masam pun tak
berani nak lekat,”
Hajah Fatimah ketawa kecil. Badli
turut sama ketawa. Peha anak lelakinya itu ditepuknya beberapa kali.
“Bau masam lekat pada kita bukan
sebab kita tak pakai perfume tapi
tepuk dada dan tanya diri sendiri, badan tu, selalu kena air tak? Berapa kali
mandi sehari?”
* * * *
* * *
ATIRAH
duduk sahaja sambil memerhati gelagat adiknya yang sedang tekun menyiapkan
kerja sekolah mereka. Bertemankan lilin itu, masing-masing sibuk menelaah
semenjak pukul lapan malam tadi. Dua tiga hari kebelakangan ini rezeki berpihak
kepada mereka. Kedatangan Hajah Fatimah ke rumahnya yang tidak pernah diduga
membawa seribu erti. Allah telah membantunya dan melalui Hajah Fatimah sebagai
perantaranya, mereka tiga beradik dapat menjamah nasi semula. Benar kata Hajah
Fatimah, dia perlu melapangkan dada dan fikirannya. Bukan semua orang yang
hidup di dalam dunia ini teruk seperti yang dirasakannya. Dan akhirnya, dia
menerima Hajah Fatimah sebagai sebahagian dari kehidupannya kini.
“Along, minggu depan minggu
periksa...periksa percubaan PMR,”
Sapa Faizal tiba-tiba. Dia yang
ketika itu sedang menikmati indahnya bintang di langit menoleh ke arah
adik-adiknya.
“Iya ke? Kalau macam tu, along nak
angah buat yang terbaik ye. Angah dah janji dengan along kan...angah
janji nak belajar sungguh-sungguh...Angah nak dapatkan 8A, kan?”
Faizal mengangguk kemudian. Tidak
ada perbualan selepas itu. Lama juga mereka bertiga mendiamkan diri. Dia pun
tidak berniat hendak mengganggu masa ulangkaji adik-adiknya.
“Umi baik kan, along?”
“Ha? Apa dia?”
“Umi baik kan, along. Dia tak kenal kita tapi dia tak
lokek pun nak tolong kita,”
Atirah hanya tersenyum.
Adik-adiknya jarang sekali bertemu dengan orang yang baik seperti Hajah Asmah
dan Hajah Fatimah sebab itu sekali bertemu, pujian yang diberi tidak pernah
surut.
“Tapi angah, abang, macam mana
baik pun orang tu...kita tak boleh bergantung pada dia selalu...nanti tak ada
orang pun yang suka pada kita,”
“Tak tahulah along, kita dah
terbiasa sangat hidup bertiga aje. Sesekali aje kita jumpa dengan mak Mah.Kalau
orang tak suka dengan kita pun, kita dah lali dah semua tu, along,”
Jawab Faizal, perlahan. Atirah
hanya menarik nafasnya, panjang. Bukan niatnya hendak menyinggung perasaan
adiknya tetapi sebolehnya dia mahu adik-adiknya berpijak di atas kaki sendiri.
Adik-adiknya sendiri selalu dipinggirkan, sama seperti yang sering dilaluinya.
Bukan dia tidak mahu adik-adiknya berada dalam keadaan selesa tetapi dia
bimbang jika adik-adiknya ‘terjatuh’. Cukuplah, dia tidak mahu adik-adiknya
berasa sakit lagi.
“Along minta maaf ya, angah,
abang. Along tak dapat nak sediakan keperluan yang terbaik untuk abang dengan
angah. Along nak sangat bagi abang dengan angah hidup senang tapi buat masa ni
along tak mampu nak sediakan yang asas pun,”
“Angah faham, along. Angah tak
kisah pun. Sekurang-kurangnya kita hidup dalam satu keluarga lagi,”
Tulus kata-kata itu kedengaran di
telinganya. Atirah terus memejam mata, menahan air mata yang hampir mengalir.
“Abang pun tak kisah, along.Kita
adik beradik dah biasa hidup macam ni,”
“Terima kasih, abang, angah tapi
along akan usahakan jugak, sekurang-kurangnya, hidup kita tak macam ni
selama-lamanya,”
Ujarnya, cuba meyakinkan
diri dan adik-adiknya. Atirah tidak pernah meminta adik-adiknya memahami impian
yang sedang disulamnya, cukuplah sekadar ada senyuman yang terukir buatnya.
* * * *
* * *
PAGI
Ahad itu, selepas bersarapan, masing-masing mengambil tempat di ruang tamu.
Peluang untuk berkumpul sekali sekala memang akan dihabiskan dengan berbual di
ruang tamu itu. Badli dan Dina ada bersama, begitu juga dengan suaminya. Hanya
Azlan tidak bersama mereka. Sudah lebih setahun anak keduanya itu membuat
keputusan untuk keluar dari rumah itu. Wajah Azlan hanya akan kelihatan pada
pagi raya, itupun sekejap cuma. Selepas bersalaman dan menjamah makanan, anak
itu akan terus keluar dari rumah itu. Hanya sesekali Hajah Fatimah dapat
bertemu dengan Azlan. Itupun puas didesak agar anak itu datang untuk bertemu
dengannya.
“Hari ni semua orang lunch dekat rumah, kan?”
Soal Hajah Fatimah, membuka cerita
apabila dilihat masing-masing sibuk menonton siaran televisyen.
“Minta maaflah umi, Badli dah
janji nak jumpa kawan kejap lagi,”
“Nak keluar jugak ke hari ni? Tak mahu
makan di rumah dulu?”
Tanya Hajah Fatimah lagi. Badli
hanya menggeleng. Yakin dengan jawapan yang diberikan kepada emaknya.
“Eleh, kawan konon. Cakap ajelah
nak jumpa buah hati,”
Ejek Dina sambil mencebik. Badli
tidak menjawab sebaliknya dia mengambil kusyen kecil lalu membaling ke arah
Dina.
“Suka hati abang Bad lah nak jumpa
siapa pun! Yang Dina sibuk sangat tu kenapa?”
“Mahu tak sibuk, abang Bad
tiap-tiap minggu tukar partner, kejap
dengan girl ni, kejap lagi dengan girl tu pulak, kahwinnya tak jugak,”
Lancar sahaja Dina membocorkan
rahsia abangnya. Badli yang baru sahaja hendak berbaring di hadapan televisyen
itu tersentak dengan kata-kata adiknya. Telinganya terasa panas dengan sindiran
itu. Walaupun hakikatnya memang begitu tetapi dia malu dengan umi.
“Eh, suka hatilah abang Bad nak
kahwin ke tidak. Sibuk ambil tahu hal orang, diri sendiri pun tak terjaga. Asyik
nak menyusahkan orang aje,”
“Badli, betul ke apa yang Dina
cakap tu?”
Hajah Fatimah yang dari tadi hanya
mendengar mula bertanya. Kata-kata Dina benar-benar buat dia tidak senang duduk. Dia memandang pula ke arah Dina, meminta kepastian tetapi anak itu
hanya mengangkat bahunya.
“Umi dengar sangatlah cakap anak
manja tu...Badli keluar dengan kawan-kawan aje umi. Berkawan kena ramai kan, umi? Kawan dah ajak
keluar, takkan Badli nak tolak pulak?”
“Badli...berkawan biar ada batas.
Umi tak suka Badli usung anak dara orang sana
sini. Kalau Badli nak, bila-bila masa aje umi boleh pinangkan kawan Badli tu.
Kahwin terus, lagi senang. Badli pun dah masuk umur tiga puluh satu tahun. Nak
tuggu apa lagi?”
Nasihat uminya tidak diambil
peduli. Badli hanya memejamkan mata. Pura-pura tidur. Panas juga hatinya dengan
Dina. Jika bukan anak manja itu yang memulakan, pasti sahaja cerita itu tidak
sampai ke pengetahuan uminya.
“Awak ni kenapa pulak, Mah?Biarkanlah
Badli tu, dia kan muda lagi.Dia pun nak keluar jugak dengan kawan-kawan dia. Yang awak
nak sekat dia, suruh dia kahwin tu buat apa?”
“Abang macam nilah selalu. Bila
saya tegur aje anak-anak, abang pulak pertahankan anak-anak. Bila anak-anak
kesayangan abang ni pijak kepala abang satu hari nanti, abang janganlah
menyesal!”
Begitulah kesudahan mereka
berkumpul. Pasti penyudahnya, dia yang makan hati dengan sikap anak-anak dan
suaminya. Hajah Fatimah malas hendak bersuara lagi. Dia terus berlalu dari
ruang tamu itu.
* * * *
* * *