10
ATIRAH
hanya melihat dari jauh. Sejak kembalinya Hajah Asmah ke rahmatullah maghrib
tadi, tidak habis-habis dia dimaki hamun oleh ahli keluarga Hajah Asmah. Maki
hamun itu belum lagi datang dari penduduk kampung Sri Tanjung. Ketika mereka
semua berkumpul di dalam rumah untuk bacaan tahlil, dia hanya mengikuti bacaan
itu dari bawah pokok rambutan. Air matanya sudah lama kering, bertahun dahulu
air matanya telah mati untuk cacian dan maki hamun penduduk kampung itu.
“Apa kau buat kat sini perempuan
sial?Jangan-jangan kau yang racun Hajah sampai mati!”
“Mati sesuai untuk orang yang
berperut boroi dan tak berperikemanusiaan macam Pak Samad, untuk orang yang
mulia macam Hajah Asmah, saya doakan dia ditempatkan di kalangan orang-orang
yang beriman.”
“Celaka budak ni, memang anak
kalau tak beribu ayah...buruk benar perangainya,”
“Insaflah Pak Samad, di atas sana ada jenazah yang
menunggu masa untuk dikebumikan, Pak Samad tak ambil iktibar ke,
sekurang-kurangnya bersedekah doa pada yang sudah pergi? Atau mungkin Pak Samad
tak kisah dimaki hamun juga pada hari Pak Samad menjadi jenazah nanti,”
Lancar dia membalas serangan mulut
orang tua berhati busuk seperti Pak Samad itu. Biar tiada sekuman perkara pun
yang menjadi pokoknya, Pak Samad akan tetap mencari pasal dengannya setiap kali
bersua muka.
“Budak bodoh nak berkhutbah...kau
ingat aku seram dengan kata-kata kau? Cari adik-adik kau dulu. Jangan sampai
kau menangis air mata darah...menyesal sebab berlagak pandai dengan aku,”
“Cari adik-adik? Sedang elok...kalau
terjadi sesuatu pada adik-adik saya, Pak Samad orang pertama yang saya cari!”
Garang dia memberi peringatan.
Atirah bergegas meninggalkan rumah Hajah Asmah. Amaran Pak Samad membuatkan
kerisauannya pada adik-adik yang masih belum menampakkan wajah menjelma semula.
Walaupun dia ingin menatap wajah Hajah Asmah yang banyak berjasa kepada
keluarganya buat kali terakhir, terpaksa dipendam juga keinginan itu apabila
penduduk Sri Tanjung mula berkumpul di situ.
*
* * * * * *
ATIRAH menunggu di dalam
kegelapan dengan perasaan gundah-gulana. Ke mana adik-adiknya pergi? Walaupun
malam sudah menginjak ke pagi, berdikit-dikit hari berganti, kelibat
adik-adiknya masih belum kelihatan lagi. Sudah puas dicari sekeliling kampung,
namun yang dicari itu tiada juga kelibatnya. Hairan kerana tidak pernah begitu
jadinya. Marahlah bergantang-gantang kepada Faizal dan Firdaus, akhirnya si
adik yang memohon maaf, namun untuk pergi tidak kembali tidak pernah lagi
mencatat sejarah buatnya.
Perasaan sedih kerana
ditinggalkan oleh arwah masih belum hilang malah berganda pula dengan
‘kehilangan’adik-adiknya. Sudahlah tidak dapat menatap wajah arwah buat kali
terakhir, wajah adik-adik pengubat hati juga tiba-tiba hilang dari pandangan.
“Assalammualaikum,”
Seakan terdengar sayup satu suara
memberi salam, Atirah mengerutkan keningnya. Mustahil ada yang mencari
keluarganya pada hening pagi itu.
“Assalammualaikum,”
Sekali lagi sapaan itu mengusik
gegendang telinganya, malah kali ini ia diikuti dengan bunyi ketukan pada daun
pintu. Bingkas, dia segera bangun lalu menuju ke arah pintu. Antara yakin dan
keliru, dia membuka juga daun pintu itu.
“Umi!”
Dia hampir menjerit apabila
melihat wajah Hajah Fatimah berada di anak tangga yang paling atas. Walaupun
hati meronta ingin melakukannya, namun, seakan mengerti akan perasaannya, umi
segera memeluknya erat-erat.
“Entah kenapa umi rasa resah,
bimbang, gusar. Agaknya Atirah perlukan umi...Sebab tu umi rasa serba tak kena.
Bila umi ke rumah Hajah Asmah, baru umi tahu apa yang berlaku sebenarnya,”
*
* * * * * * *
“BAD tak percaya umi sanggup
susahkan diri umi semata-mata kerana seorang gadis yang tak ada kaitan dengan
darah daging umi..Bad rasa dengan Bad dan adik-adik pun umi tak begini,”
Tegur Badli yang hanya mengikuti
perjalanan malam semalam dengan beribu soalan yang sangat sarat di dalam
kepalanya. Atirah sudah tertidur agaknya. Sejak sejam yang lalu, Hajah Fatimah
tidak henti-henti mengelus lembut rambut gadis yang bernama Atirah itu. Hajah
Fatimah tidak segera menjawab, menoleh pun tidak pada anak teruna yang telah
dikerah untuk membawanya ke sini dengan tiba-tiba. Bukan hanya Badli, dia
sendiri tidak mengerti akan perasaan keibuannya pada Atirah. Mengapa Atirah
juga masih belum ditemui jawapannya sehingga kini.
“Jujur Bad...umi sendiri tak
mengerti kenapa begitu besarnya rasa kasih umi pada Atirah...Mungkin Allah
‘menggerakkan’ hati umi untuk menjaga anak yang penuh dengan kesulitan ini.
Kalau kita tak ke sini, Atirah bagaimana, Bad? Boleh Bad bayangkan apa akan
jadi kalau Bad berada di tempat Atirah?”
Soal Hajah Fatimah pula kepada
anaknya. Badli hanya bersandar pada dinding usang rumah itu. Tidak terjawab
pula dia dengan soalan umi. Sebenarnya dia tidak pernah membayangkan langsung
berada di tempat gadis itu. Kehidupannya sangat selesa sejak kecil. Bayangan
yang umi soalkan padanya itu tidak pernah langsung terlintas di layar mindanya.
Akhirnya dia hanya menjungkit bahu, memerhati gadis itu dari hujung kepala
hingga ke hujung kaki.
“Bad membandingkan kasih sayang
yang umi bagi pada Bad dan adik-adik tapi Bad sedar tak umi sendiri tak pernah
berasa disayangi dan dihargai oleh anak-anak umi sendiri,”
“Sampai umi rasa lebih baik umi
hidup di rumah usang ini dengan anak-anak yang tidak terbela daripada umi hidup
dalam rumah agam, tanpa kasih dari suami dan anak-anak,”
Tajam, menghiris kata-kata umi
buatnya. Pantas dia menundukkan muka, tidak tahu apa yang patut disua buat
penyejuk hati umi. Sejenak dia membayangkan wajah ahli keluarganya seorang demi
seorang.
Umi, seorang wanita
penenang hati, memberi sepenuh kasih sayang buat mereka sekeluarga. Tidak
pernah sekali pun dia melihat umi dengan wajah masam mencuka. Ayah, baginya,
ayah di rumah dan ayah di pejabat tidak ada sekuman beza pun, seorang ketua yang
sangat tegas, tidak pernah memberi muka kepada sesiapapun untuk menentangnya
melainkan Dina seorang. Dina bisa mencairkan marah ayah. Kerana Dina juga ayah
mampu melakukan segala-galanya. Rasanya, tidak pernah pun dia melihat ayah
menghormati dan menghargai umi sebagai insan yang sentiasa berada di
sampingnya. Err, betulkah? Azlan, adiknya itu sangat susah untuk diduga. Jarak
umur antara mereka hanya setahun tetapi mereka tidak rapat walaupun jarang
berselisih pendapat. Baginya, antara mereka bertiga, Azlan sangat menghormati
dan menyayangi umi. Dia keluar dari rumah pun kerana marahkan ayah yang
menangkan Dina walaupun Dina biadap dengan umi. Dia pula? Ah, dunianya hanya
inginkan hiburan dan wanita. Selain dari itu, tiada apa lagi yang difikirkan
olehnya. Dia tidak pernah terbeban dengan sebarang persoalan atau kesulitan.
Semua yang dimahukan sudah berada dalam genggamannya. Sebab itu soalan umi
tidak dapat dijawabnya kerana tiada sekelumit rasa untuk memikirkannya.
*
* * * * * * *
“UMI rasa lebih baik kita buat
laporan polis...dah lebih 24 jam ni adik-adik belum balik,”
Atirah hanya mendiamkan diri.
Terasa berat sungguh masalah yang sedang dihadapinya ketika itu. Bersama umi
dan Badli, sudah beberapa kali mereka mengelilingi kampung dan kawasan pekan
Sri Tanjung namun kelibat adik-adiknya yang berdua itu cukup sukar untuk
dicari.
“Tirah dengarlah nasihat umi
tu...kita tak cukup tenaga nak mencari adik-adik Tirah...kita serahkan pada
polis pasal adik-adik Tirah dan dalam masa yang sama kita cari mereka juga,”
Badli mencelah apabila dia melihat
wajah yang suram itu masih menyepi. Entah mengapa dia sanggup pula menemani umi
sehari dua ini sedangkan bukan sikapnya membantu orang yang tidak dikenali,
malah jika dikenali sekalipun, belum tentu dia akan membantu.
“Atirah, dengar kata umi ye...kita
buat laporan polis?”
Akhirnya dia hanya mengangguk.
Mungkin itu yang terbaik buat dirinya kerana selain ingin menyelesaikan masalah
itu, dia tidak mahu lagi menyusahkan keluarga umi yang sangat banyak membantu
dirinya dan adik-adik selama ini.
*
* * * * * * *
BADLI
hanya memandang telefon bimbit yang tak berhenti menyanyi sejak setengah jam
yang lalu. Nama Nadia tertera pada skrin telefonnya. Mungkin mahu mendapat
kepastian mengenai percutian mereka di Tioman esok. Lama telefon itu berdering
dan akhirnya, ia mati sendiri. Tidak lama, ia berbunyi kembali.
“Hello Nad, Idalam meeting ni,”
“I don’t think we can make it this week lah honey, I busy…tapi kalau you boleh bersabar...I will make sure kita ke
Phuket nanti. You can keep my words,
honey....Betul...Okay, bye for now,”
“Tak percaya aku,”
‘Tak percaya apa?”
“Kau sanggup cancel honeymoon minggu ni...rezeki tu!”
“Entahlah Hakim…mungkin umi lebih
perlukan aku sekarang ni,”
“Atau ada sesuatu yang aku tak
tahu,”
“Ha-ha…aku tak ada mood nak
melayan gedik perempuan minggu ni,”
Jelas Badli, malas. Dia mengambil briefcase lalu keluar meninggalkan Hakim
bersendirian di situ.
“Oi, malam ni?”
“Malam ni cancel!”
Ketika dia melangkah beberapa
tapak keluar dari ruangan biliknya, terdengar suara ayah memanggilnya.
“Kau nak ke mana, Bad?”
“Nak balik rumah, rasa macam tak
sihat aje,”
“Emm, sebelum tu ayah nak jumpa
kau kejap,”
Badli terus mengikut langkah
ayahnya tanpa sebarang suara. Selepas seminggu berada di Itali, itulah hari
pertama mereka bersua. Bukan di rumah tetapi di pejabat. Ruangan pejabat yang
besar itu cukup selesa buat seorang pemilik syarikat seperti ayahnya. Walaupun
tidak bergelar datuk, tetapi itu bukan masalah untuk ayah melebarkan empayar
perniagaannya.
“Kau ke mana dengan umi dua tiga
hari lepas?”
“Cerita yang panjang ayah…Bad
pendekkan, kami pergi menolong orang yang memerlukan pertolongan,”
“Sejak bila kau ambil kisah pasal
orang lain ni, Bad?”
“Sejak bila? Teruk sangat ke Bad
ni, ayah? Bad mungkin tak peduli pasal orang lain, tapi umi tu satu-satunya ibu
Bad, ayah!”
Balasnya, cuba
memberitahu kebenaran. Walaupun dia tidak berminat untuk menilai sejauh mana
ketegangan secara senyap antara umi dan ayah tetapi sebagai seorang anak, dia
dapat merasakannya. Mungkin dia bukan anak yang terbaik untuk bercerita
mengenai hal itu tetapi sesekali dia terpanggil juga untuk membuka cerita itu.
“Bad tak tahu apa pendapat ayah
mengenai umi, kerana sebagai anak, Bad tak layak menilainya…Cuma Bad harap ayah
lebih percayakan dan hargai umi lebih dari orang lain,”
“Kau tak perlu ajar ayah, Bad! Kau
mentah lagi, tak tahu apa-apa mengenai perkahwinan…Kau tak tahu lagi mengenai
tanggungjawab sebagai ketua keluarga,”
“Ayah tak salah sikit pun pasal
Bad, that’s why I’m talking about my
responsibility as a son toumi…Bad mungkin tak layak bercerita perihal
perkahwinan tapi Bad tau apa yang Bad perlu buat sebagai anak,”
“Kalau ayah tak ada apa-apa nak
dibincangkan lagi dengan Bad, Bad nak minta izin balik awal hari ni, ayah,”
Badli terus bangun tanpa menunggu
reaksi dari ayah. Jarang sebenarnya mereka berdua berkomunikasi secara berdua
selama tiga puluh tahun ini. Ayah tidak pernah peduli akan semua perkara yang
dilakukannya, melainkan jika perkara itu bersangkut dengan Dina atau perkara
itu berkait dengan perihal syarikat.
Perbualan antara anak dan ayah tidak pernah
berlaku dalam hidupnya. Semenjak kecil, dia tidak pernah meminta dari ayah. Apa
yang dimahukannya hanya diutarakan kepada umi jika dia tidak mampu melakukannya
sendirian. Umi yang sering menjadi orang tengah. Sebab itu dia tidak pandai
hendak berhadapan dengan ayah. Bagaimana sepatutnya seorang anak berbahasa
dengan ayahnya, bagaimana dia patut berbicara dengan ayah, bagaimana dia hendak
mengajak ayah makan, semua itu dia tidak tahu melakukannya.
*
* * * * * * *
TANPA
diduga dia sudah berada di hadapan rumah usang itu. Tiada paksaan atau dorongan
dari sesiapa, keretanya sudah berhenti di hadapan rumah itu dan dia hanya sedar
mengenai keberadaanya di situ apabila dia melihat seorang gadis sedang duduk di
atas pangkin. Seingatnya, dia mahu pulang ke rumah awal kerana merasakan
dirinya berserabut tetapi antara sedar dan tidak dia berada jauh dari rumah
agamnya. Mungkin dua tiga hari berulang alik ke rumah Atirah menyebabkan dia
tiba-tiba berada di situ.
“Atirah, err hai,”
“Awak buat apa kat sini?”
“Emm…umi minta saya tengokkan
Tirah,”
“Saya baik lagi, masih hidup dan
masih boleh meneruskan hidup. Jangan susahkan diri awak untuk orang seperti
saya,”
Pantas dia membalas. Musibah yang
menimpanya seakan menarik simpati orang lain sedangkan dia tidak mahukannya.
Tidak mahu menagih simpati orang.
“Atirah tak perlu risau, saya tak
berasa susah hanya untuk melihat keadaan Tirah. Atirah masih hidup dan masih
boleh meneruskan hidup…Saya rasa umi mesti gembira mendengarnya,”
“Saya sangat berterima kasih pada
umi dan awak juga sebab banyak memberi bantuan kepada saya, tapi saya dah tak
berupaya menerima sebarang bantuan lagi,”
“Oh, iya? Kalau begitu saya
perlukan bantuan Atirah…perut saya laparlah…Dari pagi belum sempat menjamah
makanan…Boleh saya menumpang makan?”
Atirah hanya memandang wajah
selamba itu. Tidak tahu apa yang patut dibalasnya. Sebenarnya dia ingin sekali
melihat wajah itu beredar dari rumahnya tetapi untuk menghalau dia tidak
sanggup. Kini Badli sekan mahu mengujinya sekali lagi. Jangankan nasi, air pun
masih belum dijamahnya hari itu.
“Kenapa Tirah?”
“Boleh menunggu? Sanggup makan
nasi dengan garam?”
“Belum pernah rasa lagi…macam
menarik, kan?
Boleh cuba
tu,”
Atirah menarik nafas panjang. Dia
menolak secara halus pun masih belum dapat dikesan oleh Badli. Agaknya pemuda
bandar memang begitu, cakap mesti jelas. Akhirnya dia melepaskan nafas
sepanjangnya, meninggalkan Badli untuk melihat apa yang boleh disediakan buat
anak sulung Hajah Fatimah itu. Sesudah menanak nasi, dia menuju ke sungai di
belakang rumah. Walaupun tidak sekerap adik-adiknya menangkap ikan tetapi dia
tahu di kawasan mana ikan banyak berkumpul. Agaknya bagaimanalah keadaan
adiknya yang berdua itu. Sihat atau sakit? Susah
atau senang?
“Pandai ke tangkap ikan, Tirah?”
“Nak hidup…tak perlu pandai…tapi
perlu ada usaha,”
Badli menyambut jawapannya dengan
ketawa yang meletus kecil. Dia duduk di sisi Atirah dengan hanya bersila di
atas tebing sungai itu. Baju kemeja yang masih kemas ketika tiba di rumah gadis
itu sudah bertukar rupa. Dilipat lengan baju sependek-pendeknya, malah baju
kemeja yang kemas di dalam seluar ditariknya keluar. Tali leher sudah
dicampaknya di atas pangkin sebentar tadi, malah dua butang baju yang paling
atas pun sudah dibukanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja ditanggalkan
kemejanya tetapi ada rasa segan yang bertandang, tambah pula dia berada di
kawasan kampung yang rata-rata pemikiran penduduknya masih bersih dan suci.
“Kenapa Atirah sentiasa sinis
dengan saya?”
“Bukan dengan awak seorang tetapi
dengan sesiapa sahaja…”
“Kenapa?”
Atirah tidak menjawab. Bubu yang
diletakkan di celah dahan tumbang itu seakan menunjukkan hasilnya lalu dia
menarik bubu itu ke atas.
“Pernah makan ikan puyu?”
Tanya Atirah sambil mengeluarkan
dua ekor ikan yang berjaya ditahannya hari itu. Badli menggelengkan kepalanya
sambil ketawa. Seperti baru memulakan hidup baru, segala yang dilakukannya pada
hari itu baru malah tidak pernah langsung dilakukannya sebelum itu. Bagaimana
dia terdorong melakukan semua itu pun masih belum ditemui jawapannya.
*
* * * * * * *