Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 4~ Tak mengapa, Sayang

4

SEHARIAN dia mengelilingi pekan Sri Tanjung itu. Selama seharian itu, sudah puluhan buah kedai dimasukinya, demi untuk mencari sebuah pekerjaan yang halal. Rata-rata tuan kedai yang dijumpainya tidak bercadang untuk menambah bilangan pekerja mereka. Bukan sekali dua pula dia berasa hampa tetapi dia tidak mahu cepat patah semangat demi adik-adik tersayang. Akhirnya, dia mengheret basikal hingga kakinya berasa penat untuk melangkah lagi. Ketika itu hari sudah beransur gelap. Sekelilingnya terasa sunyi walaupun bingit kenderaan dan gema suara manusia masih kedengaran. Wajah adik-adik di rumah terbayang di layar minda. Kadangkala dia terasa mahu menyalahkan diri kerana tidak mampu memberikan kesenangan kepada mereka. Hajat mereka untuk bermain bola di padang kampung mereka pun tidak dapat ditunaikannya. Apa agaknya salah mereka hinggakan hendak bermain bola di kampung pun tidak diizinkannya. Lebih memeritkan, hajat itu rupanya hajat yang terakhir sebelum arwah Aiman menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tanpa disedari, air matanya sudah gugur hingga mengalir laju di pipinya. Sudah lama benar dia menahan air matanya dari mengalir tetapi dia tidak mampu menahan lagi untuk kali ini. Terasa penat benar menahan kesedihan itu seorang diri tetapi apalah dayanya. Dia insan kerdil yang tidak punya apa-apa. Dia hanya punya kekuatan tetapi nampaknya kekuatan itu juga bagai hendak menjauhkan diri darinya.

* * * * * * *

ATIRAH membuang pandang ke luar tingkap. Dari jauh dia dapat menangkap ketawa riang adik-adiknya. Dia ikut tersenyum walaupun dia tidak tahu apa yang menggembirakan mereka ketika itu. Baginya, cukuplah sekadar mendengar gelak ketawa mereka. Tidak ada apa yang lebih membahagiakannya melainkan melihat senyuman terlukis pada wajah adik-adiknya.

“Along, abang dapat ikan keli. Nanti abang panggang, kita makan sama-sama, ya?”

Atirah hanya tersenyum. Dia tidak mampu menjawab kerana sebenarnya dia berasa sayu. Sudah hampir seminggu mereka tidak menjamah nasi kerana duit simpanannya yang sudah habis. Selama ini, adik-adiknya tidak pernah merungut tentang kesempitan hidup mereka malah di sebalik kesukaran itu, masih ada senyuman dan gelak ketawa yang dapat dilihat dan didengar olehnya. Mungkin dia yang tidak cuba menyelami keperitan adik-adiknya. Ya, dia memang tidak berusaha mendengar suara hati adik-adiknya, tetapi jika dia cuba berbuat begitu, mampukah dia menjawab soalan demi soalan mereka?

Gelagat adik-adiknya yang sedang menyusun kayu api tidak jauh dari rumah terus menarik perhatiannya. Dia segera beredar dan melangkah menuruni anak tangga rumahnya lalu menghampiri adik-adik yang sibuk menghidupkan api.

“Abang dengan angah makan dulu, ya! Jangan tunggu along tau. Along nak pergi pekan kejap. Nak cari kerja,”

“Along makanlah dulu!”

“Along nak cepat ni, abang...kalau lambat keluar nanti lewat pulak sampai rumah,”

Balas Atirah, menolak dengan lembut. Kemudian, Atirah naik semula ke rumah untuk menukar pakaiannya. Dia memilih sehelai baju kurung berwarna putih yang dibuat dari kain kapas. Ada corak bunga-bunga kecil berwarna merah jambu menghiasi baju itu. Atirah membuka ikatan rambutnya. Rambut yang lurus dan hitam lebat separas dada itu disikat lalu diikat kuda, supaya nampak lebih kemas. Dia cuba pula untuk mengukir senyuman di hadapan cermin buruk itu. Ada lesung pipit terlukis di kedua belah pipinya. Manis juga! Dia ketawa kecil buat seketika tetapi akhirnya ketawanya mati begitu sahaja. Sudah lama benar dia tidak ketawa begitu. Selalunya dia hanya tersenyum sahaja. Itupun kerana mahu menutup rasa sedihnya dan selebihnya, dia tidak mahu air mukanya menjadi persoalan dan kebimbangan buat adik-adiknya. Dia tidak tahu bila sinar bahagia akan menyapa dirinya. Yang dia tahu dan sedar, gelak ketawa adik-adiknya itulah yang sering menjadi pengubat dukanya.

Setelah yakin dengan penampilannya yang serba ringkas itu, Atirah keluar dari biliknya.

“Along dah nak pergi ke tu?”

“Emm,”

“Cantiknya along hari ni,”

Sapa Faizal pula. Seperti biasa, hanya senyuman yang diukir buat mereka. Kemudia, rambut Faizal dielusnya dengan rasa kasih.

“Along nak cari kerja, angah. Kalaupun tak cantik, along kena nampak kemas kan, angah?”

“Siapa kata along tak cantik? Along cantiklah! Cantik macam arwah mak!”

Celah Firdaus yang duduk di atas anak tangga, menghadap Atirah dan Faizal. Tersentuh dengan pujian itu, Atirah melorekkan senyuman lagi.

“Along, angah nak kerja jugak. Boleh tak, along?”

Atirah yang baru hendak melangkah tersentak dengan soalan yang diutarakan oleh Faizal. Seketika kemudian, dia mengukir senyuman lagi.

“Angah pergi sekolah aje, along uruskan yang lain. Kan angah ada cakap kat along yang angah nak jadi doktor. Kalau kerja sekarang, nanti angah tak boleh bagi perhatian pada pelajaran. Nanti keputusan periksa angah jatuh. Tahun ni kan angah nak ambil PMR. Kalau angah tak bagi perhatian betul-betul masa belajar, macam mana nak buat yang terbaik masa periksa nanti? Macam mana nak masuk kelas Sains? Macam mana nak jadi doktor?”

“Along, angah boleh bahagi masa betul-betul. Angah cuma nak tolong along, angah kesian kat along,”

Balas Faizal, menyatakan alasannya. Atirah menggosok bahu adiknya dengan lembut. Dia tidak perlukan semua itu, yang dia mahu hanyalah kegembiraan adik-adiknya. Cukuplah dia seorang yang tidak berupaya menyambung pelajaran. Dia tidak mahu adik-adik mengikut jejak langkahnya yang satu itu walaupun mereka semua terpaksa mengikat perut.

“Angah sayang along, kan? Angah kesiankan along, kan?”

Angguk.

“Kalau macam tu, angah kena janji dengan along, angah kena belajar rajin-rajin, angah mesti dapat 8A dalam PMR nanti. Angah tak mahu semua orang gelakkan kita lagi, kan? Angah janji dengan along, ya?”

Jawab Atirah, cuba menolak dengan lembut. Lama Faizal memandang wajahnya. Dia tahu adiknya mahu memberitahunya sesuatu tetapi dia yakin juga adiknya yang seorang itu tidak pandai membantah. Akhirnya, hanya air mata Faizal yang tumpah sebelum mulut adiknya mengiakan permintaannya. Pilu rasa hati melihat air mata jantan Faizal mengalir tetapi seperti selalu, dia perlu lebih tabah dan tenang. Sebelum memujuk Faizal, dia perlu memujuk dirinya terlebih dahulu.

“Along sayang angah. Along nak tengok angah berjaya. Angah jangan jadi macam along, belajar tak pandai, kerja pun tak lekat. Hidup kita pun terumbang-ambing sebab along tak kerja,”

“Along dah banyak korbankan masa along untuk angah dengan abang sedangkan along tak ada apa-apa untuk diri sendiri pun. Orang lain yang sebaya along, ada yang masuk universiti, ada yang belajar dekat kolej tapi along? Dua puluh empat jam masa along, along korbankan untuk angah dengan abang. Kenapa along tak hantar angah dengan abang dekat rumah kebajikan aje?”

Soal Faizal lagi. Atirah membuang pandang ke arah lain. Bimbang benar jika air matanya tumpah. Dia memejam matanya untuk seketika. Entah jawapan apa yang patut diberikan buat adiknya yang seorang itu.

“Along pernah cakap pada angah dengan abang yang along sayang sangat pada angah dan abang. Along ada tenaga, along kan muda lagi. Selagi along hidup, along akan jaga angah dengan abang macam mana arwah mak dengan ayah jaga abang dengan angah. Along tak kan biarkan siapa pun usik angah dengan abang. Along janji!”

Atirah mengangkat tangan kanannya sebagai isyarat berjanji dengan Faizal. Air mata Faizal disekanya dengan lembut dan apabila dilihatnya air mata itu semakin laju mengalir di pipi adiknya, Atirah segera memeluk Faizal.

“Along, angah, ikan panggang dah si-...errr,”

Laung Firdaus, memanjat mata tangga itu sekali lagi namun laungannya terhenti sebaik melihat Faizal dan Atirah saling berpelukan. Atirah hanya melempar senyuman apabila laungan Firdaus menyapa telinganya. Firdaus yang serba salah dengan situasi itu hanya mengangkat mukanya sekali, tanda bertanya apa yang terjadi kepada abangnya. Atirah hanya menggeleng dalam senyuman.

“Kita makan, ya! Kejap lagi along dah nak keluar,”

* * * * * * *

“BUTIK MELAYU SRI TANJUNG!”

Sebaris nama kedai itu dibacanya perlahan. Harapannya hanya satu, semoga kali ini ada rezeki yang berpihak kepadanya. Sebelum menolak pintu butik itu, Atirah membaca Bismillah dan berdoa, moga ada kerja yang bakal diperolehinya.

“Cari apa cik? Baju baru ke?”

Seorang gadis yang berusia lebih kurang dua puluhan menyapanya dengan sebuah senyuman, yang dikiranya hanya dibuat-buat. Raut wajah itu nyata tidak menyenangi kehadirannya di situ. Atirah menggeleng sambil tersenyum.

“Saya datang nak tanya, ada kerja kosong tak di sini?”

“Kerja kosong? Minta maaf la, ya. Butik ni tempat jual baju aje. Kerja kosong tak jual. Buang masa aje, ingatkan datang nak beli baju. Dahlah, malas nak layan!”

Balas gadis itu, kasar. Atirah tersentak dengan jawapan yang diberi namun cepat-cepat dipujuk hatinya supaya bersabar sahaja mendepani layanan seperti itu.

“Dina, kenapa kasar sangat ni cakap dengan orang? Umi dah pesan banyak kali, kan? Sesiapa yang datang, tak kira nak beli baju ke, nak minta derma ke, atau apa sekali tujuannya, layan dengan baik. Dina tak pernah nak dengar cakap umi!”

Belum sempat dia hendak meminta diri, ada satu suara menegur sikap gadis tadi di belakangnya. Gadis yang dipanggil Dina itu pula hanya menjeling dan mendengus sebelum bergerak ke kaunter. Atirah tidak mahu memanjangkan cerita, lalu dia segera mengundur diri. Wanita yang berusia lebih kurang Hajah Asmah itu dihadiahkan sebuah senyuman sebelum dia menarik pintu untuk keluar.

“Tunggu dulu, anak ni cari apa sebenarnya? Cari baju ke? Umi minta maaf ya pasal tadi. Dina tu anak umi tapi dia ni manja sikit. Tak reti nak layan orang,”

“Umi ni kenapa? Kenapa nak minta maaf pada orang yang umi tak kenal ni. Dahlah tu, umi cerita pula yang bukan-bukan pasal Dina. Kalau dia datang nak mencuri macam mana, umi?”

Atirah hanya tersenyum. Sudah lali benar perkataan mencuri itu dilemparkan ke arahnya dan adik-adik. Wanita yang membahasakan dirinya sebagai umi itu pula melempar pandangan tajam ke arah anaknya, barangkali tidak senang dengan sikap anaknya namun bukan urusannya untuk ikut campur.

“Dina! Umi bagi satu peluang aje lagi. Kalau sekali lagi umi dengar Dina cakap bukan-bukan lagi pada siapa-siapa pun depan umi, semua kemudahan yang umi bagi pada Dina, umi tarik balik. Jangan berangan nak keluar ke mana-mana pun. Umi serius kali ni. Jangan ingat umi tak berani sebab Dina anak emas ayah,”

“Dina tak hairanlah dengan ugutan umi tu! Kalau umi nak tarik, umi tariklah semuanya!”

“Irdina!”

“Minta maaf puan, saya mengganggu. Saya balik dulu ya, puan,”

“Tunggu!”

Panggil wanita tua itu, kuat. Atirah tidak jadi melangkah apabila tangannya dipegang erat oleh umi. Wajah wanita di pertengahan abad itu direnungnya sekali, menyejukkan hati.

“Umi minta maaf lagi sekali, ya? Anak ni siapa nama? Datang sini sebab nak cari kerja, ya?”

“Atirah....tak apalah puan. Saya faham.,Agaknya saya dah salah tempat. Saya balik dulu ya, puan. Terima kasih banyak-banyak,”

Balas Atirah, mengundur diri sekali lagi sebelum terus melangkah keluar dari butik itu. Kelu lidah Hajah Fatimah bila melihat langkah Atirah yang lesu keluar dari butiknya. Dia ingin menahan lagi tetapi dia tidak berdaya melakukannya. Entah mengapa, hatinya sayu melihat wajah gadis yang baru beberapa minit ditatapnya itu. Perlahan, Hajah Fatimah melangkah ke arah anaknya.

“Dina tak pernah bersyukur kan ada harta bertambun. Tak pandai nak hargai anugerah Allah sampai jadi bongkak macam ni. Umi kesal betul dengan Dina. Umi kesal betul!”

“Takkan nak layan semua orang baik sangat, umi? Nak buat baik pun berpada-padalah! Butik kita ni bukan rumah kebajikan. Orang nak derma, bagi, nak cari kerja pun, bagi,”

Balas Dina, bersahaja. Hajah Fatimah menggeleng kesal. Anak itu terlampau dimanjai suaminya sehingga menjadi manusia yang pentingkan diri sendiri. Akhirnya, yang menjadi mangsa, insan yang lemah seperti Atirah. Tak terbayar penghinaan yang dilempar oleh Dina kepada anak gadis itu. Hajah Fatimah menarik nafasnya dalam-dalam. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk keluar dari butik itu.

“Umi harap, satu hari nanti Dina kesal dengan perbuatan Dina sekarang. Masa tu, baru Dina tahu langit ni tinggi ke rendah,”

“Umi ni, suka besar-besarkan benda yang kecil lah!”

“Semua benda kecil pada Dina. Tak apalah. Kita tengok ajelah nanti, benda apa yang kecil, benda apa yang besar. Umi keluar dulu. Kalau umi lambat, Dina tolong tutup kedai ni. Kita jumpa dekat rumah aje nanti. Assalammualaikum!”

Belum sempat dia hendak bertanya, uminya sudah melangkah keluar dari butik itu. Akhirnya, dia duduk keseorangan di butik itu.

* * * * * * *

ATIRAH duduk di bawah pokok ketapang yang ditanam di tepi jalan itu. Perutnya sudah terasa pedih, minta diisi dengan makanan tetapi apalah yang ada pada dirinya. Kerja pun tidak ada, bagaimana dia hendak mengisi perutnya dengan nasi? Bagaimana dia hendak menyara adik-adiknya jika dia sendiri tidak punya apa-apa?

“Belum rezeki aku lagi agaknya,”

“Assalammualaikum!”

“Waalaikumussalam...”

Jawab Atirah, perlahan. Siapa agaknya? Atirah segera berpaling apabila dirasa dirinya sedang didekati. Wanita separuh umur yang membahasakan dirinya sebagai umi tadi sedang duduk di sebelahnya. Atirah hanya tersenyum, selebihnya dia masih berasa terkejut dengan kehadiran wanita itu ketika ini.

“Syukurnya! Dapat jugak umi jumpa Atirah lagi sekali,”

“Apalah sangat jumpa saya ni, puan,”

“Setiap pertemuan tu, mesti ada makna kan, Atirah?”

“Orang miskin macam saya ni puan, tak beri makna pada sesiapa pun, hidup pun cuma menyakitkan mata yang memandang aje,”

Perlahan sahaja Atirah menjawab. Memang itu yang dirasakannya sejak dahulu lagi. Selain Hajah Asmah, tidak ada sesiapa yang menyenangi kehadiran dia dan adik-adiknya di tempat tinggal mereka sekarang ini.

“Atirah...”

“Puan, terima kasih sebab sudi duduk dengan saya. Saya undur diri dulu ya, puan, Assalammualaikum,”

“Waalaikumussalam,”

Atirah terus meninggalkan wanita yang membahasakan dirinya sebagai umi itu dan dia segera menaiki basikalnya untuk pulang ke rumah. Hajah Fatimah tidak mampu berkata. Dia hanya mampu memerhatikan tindakan Atirah menjauhinya walaupun nalurinya mahukan anak itu berada di hadapannya ketika itu.

* * * * * * *

ATIRAH mengheret basikalnya apabila sudah hampir dengan tangga rumahnya. Ketika itu, rembang senja semakin menghilang. Rumahnya terang dengan nyalaan pelita. Mungkin adik-adiknya sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib.

“Assalammualaikum!”

Ucapnya, lembut. Cukup untuk memberitahu kepulangannya. Tidak sampai beberapa saat, salamnya bersahut dan adik-adiknya pun terjengul di muka pintu. Atirah terus menghadiahkan senyuman buat mereka.

“Along dah balik? Macam mana, along?”

“Along bersiap dulu, ya? Dah lewat ni. Along tak solat pun lagi,”

Atirah terus berlalu, cuba berlengah dari menjawab soalan adiknya. Sebolehnya dia tidak mahu mengecewakan adik-adiknya dengan kegagalan lagi tetapi entah sampai bila dia mampu bertahan seperti itu.

“Malam ni kita makan ikan panggang lagi ya, along. Abang dengan angah dah bakar siap dah tadi,”

Atirah hanya mengangguk dan menggosok bahu kedua-dua adiknya. Tidak tahu perkataan apa yang patut diucapkan buat mereka.

* * * * * * *

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.