Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 17

17

BADLI menunggu kedatangan seseorang dengan sabar. Menghampiri waktu yang dijanjikan, dia membaca akhbar yang dibelinya tadi. Baru hendak membaca, bahunya ditepuk seseorang.

“Mimpi apa kau, Bad?”

“Mimpi ngeri, sama macam kau!”

“Aku percaya.Kalau tak ngeri, takkan kau cari aku.Kita ni nama saja sedarah daging, tapi hakikatnya kau-kau, aku-aku,”

“Aku nak kahwin hujung minggu ni, Lan!”

Azlan ketawa tiba-tiba. Perihal perkahwinan paling tidak disukai oleh Badli. Tidak suka komitmen katanya suatu masa dahulu. Tiba-tiba soal yang itu yang mula-mula disampaikan oleh Badli. Pasti sahaja hal itu kedengaran sumbang di telinganya.

“Datang nak jemput aku lah ni?”

Badli mengangguk sahaja. Jarak umur satu tahun antaranya dan Azlan nyata tidak langsung mendekatkan mereka. Kata Azlan, dia suka berseronok dan mempermainkan perempuan. Ya, tidak lama dahulu, kata-kata Azlan itu benar! Tetapi kini, dia bertekad untuk berubah.

“Hah, perkahwinan anak sulung Tuan Rosli dan Hajah Fatimah mesti besar-besaran, kan?

“Hakikatnya, majlis tu takkan dihadiri oleh ahli keluarga kita pun!”

“Kenapa pulak? Kau kena banned dengan ayah jugak ke?”

“Aku? Nasib aku lebih malang lagi dari kau.Sekurang-kurangnya kau keluar dengan maruah. Aku kena halau dengan ayah.Keluar dari rumah, keluar dari syarikat!”

“Anak harapan pun kena halau?”

“Anak harapan?Kata kau saja tu, ayah tak pernah hargai aku pun.Silap aku juga, dengar sangat kata ayah. Kalau dulu lagi aku keluar, aman damai dah hidup aku,”

“Takkan sebab tu aje kot?”

Badli senyum sahaja. Ada lagi yang mahu dikorek oleh Azlan rupanya. Padanya, Azlan mungkin tidak berminat dengan apa yang berlaku dalam hidupnya. Nyata sangkaannya meleset sama sekali.

“Ayah tak bagi aku kahwin dengan orang yang aku nak jadikan isteri, sebab Dina benci anak angkat umi tu!”

Azlan tersentak. Tiba-tiba, bayang wajah Atirah muncul dalam mindanya saat itu. Atirahkah yang menjadi pilihan buaya darat seperti Badli?

“Kau nak kahwin dengan Atirah ke Bad?”

“Kau kenal Atirah ke, Lan?”

Azlan tidak menjawab lagi. Kalau tadi, banyak juga soalan yang berputar ligat, menunggu masa untuk ditanya kepada Badli, namun segalanya mati apabila dia mengetahui apa yang dia tertinggal selama ini.

“Kau tebuk Atirah jugak ya, Bad?”

“Eh, kenapa lancang sangat mulut kau ni?! Kau ingat aku jahat sangat ke?”

“Habis tu? Kau baik ke?”

“Aku datang sini bukan nak bergaduh dengan kau, Lan!”

“Kau dengar baik-baik ya, Bad! Selama ni kau tidur dengan berapa ramai perempuan? Lepas tu kau nak kahwin dengan Atirah? Okay! Tapi kalau aku dapat tahu kau jahanamkan masa depan dia, kau jaga, Bad! Kalau umi dengan ayah tak mampu kawal kau, biar aku aje yang buat!”

Marah Azlan, tanpa diduga. Badli langsung tidak menyangka khabar tentang perkahwinannya mengundang marah Azlan, sehinggakan ada banyak pasang mata menoleh ke arah mereka berdua. Suka atau tidak, dia harus akur dengan kemarahan adiknya itu.

“Aku dah berubah, Lan!”

“Mulut manusia…Kau buktikan dulu! Baru aku percaya,”

* * * * * * * *

SYED AQID berpuas hati dengan sentuhan akhir Badli. Banglo mewah miliknya kelihatan ala hotel kini.

“Impressive Mr. Badli...Not only me but the whole family like your touch so much,”

“It’s not only me, Tuan Syed but the whole group is working hard to fulfill your wish. If the results suits your wishes, it’s a bonus for us,”

“I like your attitude, Bad! You are very humble but good in leading,”

“But the truth is I am not that good enough, Tuan Syed!”

Syed Aqid ketawa sahaja. Bukan mudah rupanya mengangkat anak muda itu ke atas. Kerja yang disiapkan itu katanya hasil usaha bersama. Betul, Badli memang sesuai mendukungi tampuk kepimpinan bagi apa-apa sahaja organisasi. Pasti pada akhirnya, dia mampu memajukan apa atau siapa sahaja yang dipimpinnya.

“Come Badli, I want to buy you drink!”

“Owh, I appreciate your kindness a lot Tuan Syed but I can’t make it today because I’m rushing back to Penang,”

“Penang? If I’m not mistaken your house is in Pekan Sri Tanjung, right?”

“Not anymore, Tuan Syed…I am a jobless now!”

“Sorry?!”

“A long story, Tuan Syed. Actually, interior is not my field…I am a marine engineering degree holder before…Perhaps this is the best time for me to move on…move into my line again,”

Beritahu Badli, serba ringkas. Sebolehnya, apa yang berlaku di dalam keluarganya tidak sampai ke pengetahuan orang luar. Sebab itu jika ditanya mengapa, dia rela memberitahu bahawa dia mahu kembali ke dunia asalnya. Dunia perkapalan, dunia lautan. Bukan dengan mencanang cerita bahawa dia dan ayahnya tidak lagi sependapat.

Unbelievable…I guess you are really interior designer, but now I am wrong…You are fake but honestly, your touch is totally true!”

“You praise me a lot, Tuan Syed!”

“A lot? You deserve to have much more, Badli! Hmm...actually, I know a lot of shipping people…If you are interested in, why don’t you go and find them?”

Badli menyambut beberapa keping kad nama yang dihulurkan oleh Syed Aqid. Dia membalasnya dengan senyuman. Padanya, besar erti mempunyai nama-nama individu yang terlibat dalam industri perkapalan.

“Just mention my name and they will understand!”

“Thank you, Tuan Syed! You helped me so much!”

* * * * * * * *

AZLAN merenung komputer di hadapannya. Semenjak semalam, dia tiada hati hendak menyiapkan kerjanya. Lama tidak menjenguk umi, dia ketinggalan pelbagai perkara termasuklah mengenai Atirah. Langsung tiada dalam fikirannya bahawa Badli akan mendekati Atirah kerana dia kenal benar sikap Badli yang hidung belang, mata keranjang itu. Pantang nampak perempuan cantik lagi seksi, semua akan menjadi mainannya. Kadang-kadang hairan juga, mengapa dalam sebegitu ramai perempuan yang ditiduri abangnya, tiada seorang pun yang hamil. Jika ada, pasti Badli akan belajar bagaimana menjaga maruah perempuan selepas apa yang dilakukan terhadap mereka.

“Aku dah berubah, Lan!”

Terngiang-ngiang lagi pengakuan itu di dalam benaknya sehingga kini. Sejauh mana benarnya pengakuan itu, dia tidak pasti. Apa yang dikesali sehingga kini, bagaimana Atirah yang pemalu itu mahu menjadi isteri Badli.

Sebenarnya, dia juga punyai hati terhadap Atirah tetapi belum tiba masanya untuk berterus-terang lagi. Baru bertemu beberapa kali, dia bimbang jika pertemuan yang singkat itu akan dijadikan alasan untuk menolak ikatan yang mahu dijalinkan bersama gadis itu. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar akibat melengah-lengahkan masa. Akhirnya, Atirah akan menjadi kakak iparnya. Sesungguhnya, biar sejauh manapun hubungannya dengan Badli, namun darah yang mengalir dalam badan mereka, tetap darah yang sama. Tak akan berubah waima dia meminum racun sekalipun.

Getaran dari meja mengejutkan lamunannya. Nama umi muncul dari skrin telefon bimbit lalu dia terus mengangkatnya.

“Assalammualaikum! Lan apa khabar?”

“Waalaikumussalam, umi…Lan sihat seadanya. Umi sihat?”

“Alhamdulillah, hari ni umi dapat lagi menghirup udara di bumi Allah ni,”

Azlan perasan akan kelainan kata-kata umi. Ada sendu dihujung kata-kata itu. Apa agaknya yang berlaku dalam keluarganya sejak akhir-akhir ini memandangkan hampir empat bulan dia tidak pulang menjenguk umi.

“Kenapa umi? Dina masih dengan keras kepalanya lagi ke? Atau soal ayah?”

“Bukan hanya Dina, anak-anak umi semua keras kepala…Entah di mana silap umi sampaikan begini sudahnya,”

Tersentap jantungnya mendengar luahan rasa ibunya. Luahan seorang ibu yang mencari kesalahan sendiri atas kedegilan anak-anaknya. Mengerti akan masalah dalaman ahli keluarganya yang tidak pernah sekata, dia hanya melepaskan keluhan.

“Lan minta maaf, umi! Lan anak yang degil,”

“Tak apalah, Lan! Mungkin ada hikmah yang besar buat umi disebalik kedegilan anak-anak,”

“Umi…”

“Lan, abang Bad nak kahwin hujung minggu ni…kalau boleh umi nak Lan hadir bagi pihak umi,”

“Err..tapi umi,”

“Kasihankan abang Bad, Lan! Dia nak kahwin dengan Atirah tapi ayah dengan Dina membangkang habis-habisan. Umi sendiri pun tak diizinkan ayah ke majlis abang Bad. Kasihan Atirah, sudahlah yatim piatu, dalam keluarga kita pun dia tak diterima. Entah apa dosanya pada Dina sampai dibenci begitu sekali. Akhirnya, Badli pun keluar sebab bersungguh-sungguh hendak memperisterikan Atirah,”

Azlan hilang kata-kata. Buntu hendak menolak permintaan umi. Walaupun tiada siapa yang tahu akan perasaannya terhadap Atirah, tetapi itu tidak bermakna dia boleh berpura-pura.

“Umi…Bad ada kursus-”

“Kursus hujung minggu? Azlan, umi tahu jauhnya hubungan Lan dengan abang Bad macam langit dengan bumi, tapi tak boleh ke dalam soal ni, Lan mengalah. Apa salahnya bagi sokongan pada abang Bad supaya dia tidak keseorangan. Apa perasaan Lan kalau Lan di tempat abang Bad?”

Lama dia menyepi sebelum bersetuju untuk ke majlis akad nikah Badli. Selepas menamatkan perbualan dengan uminya, Azlan menggosok mukanya berkali-kali. Marah dengan apa yang bakal dilaluinya hujung minggu nanti. Kesudahannya, dia yang teruk memendam rasa. Sudahlah terpaksa memendam rasa, terpaksa pula menonton kegembiraan Badli disamping Atirah.

* * * * * * * *

“KENAPA awak muram aje dua tiga hari ni?”

“Entahlah, banyak betul perkara yang berlaku di luar jangkaan!”

Maisarah duduk di hadapan Azlan walaupun tidak dipelawa. Sejak tiga tahun bekerja di bawah satu bumbung yang sama, walaupun bukan di bawah syarikat yang sama, Azlan ramah dengan kawan-kawannya. Mudah menghulur pertolongan apabila diminta. Tetapi hari ini, beberapa kali memanggil, namun Azlan langsung tidak menjawab.

“Kalau tak keberatan, apa yang berlaku di luar jangkaan tu?”

“Apa? Err…awak nak dengar ke cerita saya, Mai?”

“Apa salahnya,”

“Hmm…Ini mengenai dua dan satu…”

“Dua dan satu? Apa yang dua? Apa yang satu?”

“Bukan apa…siapa!”

“Hah!”

“Saya dan abang saya…dua…Atirah…satu!”

Maisarah ketawa. Dari tadi dia tertanya-tanya juga tetapi kini tidak lagi. Walaupun nampak muram, tetapi Azlan masih mesra bercerita. Masih cuba menghiburkan diri.

“Cinta tiga segi ke?”

“Tak ada segi pun…Cinta dua hala, saya aje yang menyibuk di tengah-tengah!”

“Maksudnya, syok sendiri?”

“Hah? Eh, buruknya bunyi…syok sendiri,”

Ulang Azlan, perlahan. Dia tersipu malu pula bila Maisarah berjaya mengungkai separuh dari rahsia hati yang tiba-tiba terpendam dan tiba-tiba terluah itu.

“Si polan berdua tu nak kahwin dah hujung minggu ni,”

“Oh…tu yang muram semacam aje tu, ya?”

“Hmm…mungkin salah saya jugak. Bila dah terlambat baru nak menyesal,”

“Apa kata awak ikut teori terkemuka ni?!”

“Teori apa?”

“Redhalah Azlan dengan ujian yang diberi pada awak…Sesungguhnya apabila awak redha, hilang segala sakit di dada, tenang rasa di jiwa…Apalah sangat dengan sedikit rasa kecewa berbanding penderitaan mangsa pelarian yang tempat tinggalnya di bom setiap hari,”

Tersentak dengan nasihat yang menyusup masuk begitu halus ke dalam saraf telinganya, Azlan kehilangan kata-kata buat seketika. Tak semena-mena dia malu dengan Maisarah. Apalah sangat rasa kecewa yang sedang didepaninya hingga sanggup membiarkan orang lain menjadi beban dengan mendengar kisah yang tidak seberapa itu.

“Terima kasih atas nasihat yang cukup berkesan…malu saya pada awak,”

“Malu pada saya? Saya sama macam awak, Azlan…seorang manusia yang seringkali buat kesalahan demi kesalahan...Patutnya kita berasa malu pada Pencipta kita bila gagal menghadapi ujian yang diberi dengan sabar, kan?”

Azlan senyap lagi. Terasa diri kerdil pula bila berbual-bual secara peribadi dengan Maisarah. Banyak lagi yang belum dipelajari rupanya.

* * * * * * * *

FAIZAL menghampiri Firdaus yang menunggunya di tepi pondok pengawal. Memang setiap kali tamat persekolahan, mereka akan bertemu di situ sebelum sama-sama pulang.

“Abang rindukan along! Abang nak jumpa along!”

“Abang dah janji dengan angah, kan? Kita tak mahu susahkan along lagi...Ingat tak?”

“Abang tak kisah tangkap ikan hari-hari, janji kita hidup macam dulu dengan along,”

Faizal senyap sahaja. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu langsung menjejakkan kaki ke rumah perlindungan anak yatim seperti itu tetapi hatinya berasa sakit setiap kali melihat wajah Atirah. Rasa terkilan dan kecewa kerana menjadi beban kepada seorang gadis yang hanya berumur lapan belas tahun sedangkan Atirah sepatutnya menikmati waktu remajanya.

Batu-batu kecil yang menjadi peneman perjalanan mereka setiap hari disepak beberapa kali oleh Firdaus. Kemudian, dia berhenti sebelum menyepak sebiji lagi batu kecil sekuat-kuat hatinya, melepaskan rasa marah yang berbuku di dalam hati. Faizal menarik beg yang tergalas di bahu Firdaus sebelum menepuk lembut bahu itu.

“Orang lain semua ada keluarga tapi kita? Kenapa kita kena berpura-pura bencikan along? Kenapa angah? Kenapa kita tak boleh bebankan along? Kan kita memang tanggungjawab dia?!”

“Tak boleh, abang…Kita memang tak boleh bebankan dia…Abang tak simpati pada along ke? Sejak dari umur enam belas tahun dia jaga kita tiga beradik, tapi apa yang dia ada? Berhenti sekolah? Kerja? Abang tak cuba fikir ke macam mana masa depan along nanti bila dia terpaksa mendahulukan kita lebih dari diri sendiri. Abang tak pernah tengok along makan sisa makanan kita? Tak pernah?”

Firdaus berhenti berjalan. Dia duduk mencangkung di hujung pagar sekolah sambil menarik-narik rambutnya. Buntu memikirkan jalan keluar bagi masalah yang sedang dihadapi.

“Angah janji, bila habis aje sekolah nanti…kita sama-sama cari along! Tiga tahun aje lagi,”

“Along nak terima kita ke, angah? Angah tak ingat kita burukkan along macam-macam?!”

Faizal tidak menjawab, sebaliknya dia duduk seperti Firdaus. Merenung masa depan yang masih kelam. Alangkah baiknya jika mereka tidak perlu buat keputusan seperti itu. Tetapi dia tidak tergamak menjadi adik yang mementingkan diri. Jika boleh, dia sendiri yang mahu gantikan tempat along tetapi dia perlu lakukan sesuatu. Dia perlu belajar bersungguh-sungguh supaya mereka bertiga tidak perlu hidup daif selama-lamanya.

* * * * * * * *

“KITA nak ke mana, ustaz?”

“Kita nak ke Pulau Pinang…Along Atirah nak kahwin esok, jadi Faizal kena jadi wali pada majlis akadnya,”

“Along nak kahwin…”

Ulangnya perlahan sambil memandang Firdaus. Perasaan yang tersentak mula dihujani dengan rintik-rintik kesedihan. Hubungan yang mula renggang terasa kian jauh dengan berita yang disampaikan oleh Ustaz Izzuddin. Dia membuang pandang ke luar.

“Kenapa diam?”

“Saya layak jadi wali ke ustaz?”

“Apabila kamu sudah baligh, kamu layak dan seharusnya menjadi wali kepada kakak kamu selepas ayah kamu meninggal dunia,”

“Tapi saya masih bersekolah, ustaz!”

“Tiada masalah sama ada kamu masih bersekolah atau telah bekerja, atau kamu menganggur…Yang penting kamu memenuhi syarat menjadi wali, iaitu kamu sudah mencapai usia baligh, lelaki, merdeka dan adil,”

Faizal diam lagi. Kemudian dia memandang Firdaus yang langsung tidak berkata atau bertanya apa. Adiknya hanya menunduk apabila mata mereka bertemu.

“Macam mana kalau saya tak mahu jadi wali, ustaz?”

“Macam mana? Hadis riwayat Bukhari ada memberitahu mengenai sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: Apabila disia-siakan amanah itu, maka nantikanlah saat kehancuran… Ustaz tak mahu menjatuhkan boleh atau tidak boleh kerana menurut ustaz, hadis tadi sudah cukup untuk kamu dalami maksudnya sama ada boleh atau tidak boleh-”

Faizal tidak dapat menjawab. Hadis yang disampaikan oleh Ustaz Izzuddin cukup membuatkan bulu romanya tegak. Amanah Allah tidak sepatutnya dipersia-siakan oleh hambaNya. Jadi, mahu ringan atau berat beban yang dipikul, amanah yang tergalas di bahu harus dilaksanakan.

“Wali itu termasuk dalam rukun perkahwinan menurut Islam, Faizal, Firdaus…Kalau kekurangan salah satu rukun, maka tidak sahlah perkahwinan itu. Kamu mahu majlis pernikahan kakak kamu menjadi bahan bualan orang sebab walinya tidak mahu hadir? Perkahwinan itu kan satu ibadah...Perkahwinan itu juga satu amanah yang perlu kita laksanakan untuk menambah bilangan zuriat. Takkan kamu nak menghalang ibadah kakak kamu?”

Faizal menarik nafas, dalam-dalam lalu melepaskannya perlahan-lahan. Sukarnya membuat satu keputusan.

“Saya faham, ustaz…tapi saya minta satu sahaja. Selepas majlis akad tu, saya nak balik terus ke Baiti Nur Firdaus.

* * * * * * * *

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.