Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 20

20

AZLAN menyepak tayar keretanya sekali sebelum dia mengaduh kesakitan. Malang yang tidak berbau. Perjalanan yang baru dimulakan selama dua puluh minit terpaksa dihentikan kini. Baru bercadang hendak pulang menjenguk umi di Pekan Sri Tanjung namun timing belt keretanya yang putus menyebabkan keretanya rosak di simpang tiga jalan.

“Patutlah bunyi enjin pelik sangat, rupanya hantu ni yang dah nazak…menyesal aku tak checkawal-awal!”

Rungut Azlan sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Sekali, dua kali, tiga kali. Kemudian, berkali-kali dia menekan butang kekunci dengan kasar tetapi skrin telefon bimbitnya masih juga kabur.

“Telefon pulak!”

Marahnya semakin marak, terasa membakar seluruh badan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membaling telefon itu ke dalam longkang, selayak dengan layanan yang diterima ketika dia dalam kebuntuan tetapi akal waras melarang keras. Dia hendak mengadu tetapi kepada siapa?

Teringat akan alat pengecas kereta, Azlan tersenyum senang. Mudah benar dirinya ditimpa perasaan akibat situasi mencemaskan seperti itu. Dia membuka pintu kereta dengan cermat tetapi pintu itu tidak terbuka. Sekali lagi dia mencuba namun hasilnya tetap sama. Pintu itu tetap tidak mahu terbuka lantas dia meraba kunci kereta di dalam poket seluarnya, tidak ditemui juga. Azlan membongkokkan sedikit badannya sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di pipi kiri dan kanannya. Dia cuba mencari kunci keretanya di dalam sana tetapi cermin kereta yang sudah diwarnai hitam itu mengaburi penglihatannya.

“Sudah jatuh ditimpa tangga pula,”

Pon! Pon!

Kuat betul bunyi hon itu kedengaran di telinganya. Masih ada lagikah bunyi hon seperti itu pada zaman serba maju ini? Azlan berpaling ke belakang. Sebuah Volkswagen Beetle berwarna merah saga sudah mematikan enjin di belakang keretanya.

“Maisarah?”

Tanyanya perlahan, seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Besar, Maha Mengetahui segala yang di langit dan di bumi.

“Kenapa Lan?”

Timing beltputuslah…kereta tak boleh jalan,”

“Hai, sejak bila pulak kereta ada kaki ni? Siap nak berjalan lagi!”

Azlan ketawa kecil. Hilang tekanan yang mengganggu emosinya sebentar tadi. Gurauan Maisarah yang bersahaja sekurang-kurangnya mengubat badai marah yang melanda.

“Ketawa pulak dia…awak dah call mekanik ke ni?”

“Baru nak call, handset kehabisan bateri...nak dicaskan, charger dalam kereta, nak diambil, kunci tertinggal dalam kereta. Akhirnya, saya kebuntuan di sini, menanti apa yang akan terjadi seterusnya,”

Maisarah ketawa kecil. Kisah itu pernah berlaku padanya dua tahun lepas. Penamat kepada kisah itu, dia berjalan kaki sehingga lima kilometer sebelum berjaya meminta bantuan tukang baiki tiub motor yang sedang menukar tayar motor pelanggannya di tepi jalan.

“Lucu kan kisah saya hari ni?”

“Lucu? Sama-samalah kita ambil iktibar, Lan...Beringat sebelum terkena. Awak nak ke mana ni? Mari saya hantarkan!”

“Betul Mai nak hantarkan?”

“Betul!”

“Saya nak balik kampung ni, nak jenguk umi…Tapi kereta pulak yang buat hal…Alang-alang Mai nak hantarkan, tolonglah hantar saya sampai ke kampung,”

“Ha’ah…kereta yang buat hal, tuan punya kereta yang buat hal tak apa, ya? Dah tahu nak jalan jauh, hantarlah kereta untuk diservis dulu. Bila kereta meragam, kereta juga yang salah,”

Lembut tetapi berbekas sehingga merah cuping telinganya menahan malu akibat sindiran halus dari Maisarah. Wanita bertudung biru firus itu ketawa akhirnya.

“Nak hantar sampai ke kampung, ya? Habis kereta dan kuncinya macam mana? Nanti, bila balik semula ke sini, kereta tak ada, habuk pun tak ada!”

“Kereta dah kena sapu, sebab tu habuk tak ada,”

“Itu menyapu kereta!”

Balas Maisarah, pendek sebelum menuju semula ke keretanya. Dengan cermat dia menghidupkan enjin kereta tetapi semput sahaja bunyinya sebelum mati sendiri. Dia mencuba buat kali kedua, ketiga dan keempat. Akhirnya, tawanya meletus bila melihat wajah Azlan yang penuh tanda tanya.

* * * * * * * *

“BAD, saya nak ke kampung nelayan lagi hari ni, boleh tak?”

“Suka betul Atirah dengan kampung nelayan tu, ya?”

“Teringat pada adik-adik…”

Jawabnya perlahan. Walaupun pemandangan yang melatari sekelilingnya sangat cantik, tak jemu mata memandang namun pertelingkahan anak-anak nelayan itu lebih membahagiakannya.

“Jangan lupa bawa buah tangan sekali!”

“Saya boleh pergilah, ya?”

“Boleh…asalkan Atirah keluar dengan saya,”

“Hmm,”

Jawabnya ringkas lalu terus bersiap. Teringat akan nasihat Badli supaya membawa buah tangan kepada mereka, Atirah tidak jadi mengikat rambutnya. Dia mahu membawa buah tangan tetapi tidak punya duit. Hendak meminta, terasa malu.

“Emm…Bad. Macam mana nak bawa buah tangan tu?”

“Macam mana? Jom!”

Balas Badli sambil menarik tangannya keluar dari penginapan mereka. Hampir sepuluh minit berjalan, mereka tiba di Kampung Pulau Mabul. Atirah hanya menimati kedamaian suasana kampung itu tanpa sebarang bicara.

Sejujurnya, sejak keluar dari Kampung Sri Tanjung, perasaannya lebih bahagia walaupun belum lengkap sempurna tanpa adik-adik di sisinya. Memerhati cara hidup masyarakat di luar lebih membuka mindanya. Mungkin sudah tiba masanya dia menimba kembali ilmu yang terbengkalai di tengah jalan.

“Atirah tunggu sini kejap, ya!”

“Awak nak ke mana?”

“Nak ke kedai sekejap!”

“Okay,”

Jawabnya ringkas. Atirah menanti sambil memerhati sekelilingnya. Pada waktu petang begini, ramai kanak-kanak yang sudah mula berkumpul di sekeliling kawasan rumah mereka. Berkongsi permainan yang sesuai, mungkin.

“Nah!”

Beberapa beg plastik berisi makanan dan minuman ringan diserahkan kepadanya. Belum hilang kejutan yang diterima, satu lagi kejutan baru diterima. Baru beberapa saat memanggil, hampir semua kanak-kanak yang sedang bermain mengelilingi mereka berdua. Badli hanya ketawa melihat reaksinya.

“Kenapa ternganga?”

“Kakak mahu beri kami jajan, ya?”

“Hah! Ya, ya!”

“Saya mahu dua, kak!”

“Saya mahu dua juga!”

Seorang budak lelaki bermata coklat cair menghulurkan tangannya dari celah-celah rakan-rakannya dengan gelojoh.

“Saya juga!”

“Saya, kak!”

Okay! Okay!Sekejap...Siapa pegang telinga kakak bagi,”

Ujarnya apabila keadaan menjadi kelam-kabut. Keghairahan kanak-kanak itu untuk mendapatkan makanan membuatkan dia nyaris terjatuh. Ada yang menarik baju, ada yang menarik tangannya. Dia melirik mencari Badli tetapi kelibat lelaki itu tidak kelihatan.

“Dah bertenang semua?”

“Sudah!”

Jawab kanak-kanak itu, beramai-ramai. Atirah tersenyum cuma.

“Kakak bagi saya dulu, ya?”

Dalam kesunyian itu, tiba-tiba muncul satu suara. Atirah menoleh mencari pemilik suara itu. Apabila ditemui, dia melebar senyuman. Liza menghulur tangannya bersama sebuah renungan yang sukar ditafsir. Leka memandang wajah si kecil itu, dia menghulur sahaja seperti yang diminta. Kemudian, baru dia mengagihkan kepada kanak-kanak yang lain.

“Terima kasih kakak!”

Ucap mereka, kemudiannya sebelum masing menyambung kembali permainan yang ditinggalkan sebelum merebut makanan darinya.

* * * * * * * *

BADLI mengangkat tangan dari jauh apabila ternampak kelibat Atirah berjalan sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Mencarinya barangkali. Sengaja ditinggalkan Atirah bersendirian melayan keletah anak-anak kecil di kampung itu. Dia sebenarnya teringin sekali menikmati aktiviti nelayan, sama seperti yang pernah dilakukannya lapan tahun lalu, ketika menjalani program khidmat masyarakat. Dahulu dia bukanlah manusia perosak tetapi kerana keduniaan dan punya harta sendiri, dia mula menjadi liar dan lupa diri. Kini, dia kembali semula ke sini apabila dia menjadi dirinya yang asal.

“Awak buat apa ni?”

“Cuba Atirah teka, apa ni?”

“Ee, gelinya! Apa ni?”

Beritahunya lalu mengeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak menyukai apa yang dilihat. Badli ketawa kecil. Dia sedang membantu tiga orang nelayan mengasingkan rumpai laut yang baru dituai untuk dikeringkan.

“Amboi...cakap siang pandang-pandanglah! Ini rumpai lautlah,”

“Rumpai laut?”

Atirah mendekatkan mukanya dengan setangkai rumpai laut yang ditunjukkan oleh Badli. Lama dia menelek rumpai laut itu sebelum menyentuhnya perlahan-lahan.

“Cubalah pegang,”

“Rumpai laut ni untuk apa?”

“Banyak kegunaannya..seperti apa Pak Alim?”

“Bercerita macam jaguh…aku ingat kau tahu, rupa-rupanya omong kosong saja…Kalau kau nak tahu, rumpai laut ni kita keringkan. Nati ada orang akan datang membeli. Kau boleh guna rumpai laut ni untuk buat shampoo, buat spray, buat pengikat ubat juga boleh…nak dibuat makanan pun boleh!”

“Makanan?Err…”

“Hmm…Atirah pernah makan sushi? Pembalut sushi tu dibuat dari rumpai lautlah,”

“Tak pernah…”

Balas Atirah perlahan. Nama makanan itu seperti pernah didengar satu ketika dahulu tetapi bagaimana rupanya, dia tidak pasti.

“Tak apa…ada ruang dan peluang nanti, saya bawa Atirah makan sushi, ya?”

“Tak mahulah!”

“Kenapa pulak?”

“Nak makan rumpai laut?Ish...”

Pak Alim yang sedang sibuk mengasingkan rumpai laut untuk dikeringkan ketawa sambil memandangnya. Topi yang melindungi dirinya dari bahang mentari diangkat sedikit. Kecil mata itu memandangnya dalam tawa yang masih bersisa.

“Tak jadi makanan lagi memang geli, dah jadi makanan nanti baru rasa nak menambah,”

“Taklah, pakcik…Saya memang tak pernah makan sebarangan makanan,”

“Memang tak makan kalau tahu…kau Bad, nanti nak bagi dia makan, jangan beritahu dulu…tunggu dia habis makan baru cerita apa yang dia makan,”

Cadang Pak Alim, Badli ketawa besar sedang Pak Alim menyambung kembali kerjanya yang tertangguh. Ada beberapa guni rumpai laut lagi yang masih belum dijemur. Sesekali matanya melirik juga pada Badli dan pasangannya. Anak muda dan kekasihnya, barangkali nampak cocok bersama. Bagi dirinya yang hampir lima belas tahun menetap di kampung itu, kedatangan orang luar bukanlah sesuatu yang asing malah kampung mereka sentiasa dikunjungi pelancong, baik yang mahu berbulan madu ataupun yang gemar meneroka keindahan alam lautan.

“Cadangan baik tu, Pak Alim…Kalau dia tak suka, kita guna cara yang lebih halus, lebih bersopan,”

“Cubalah kalau berani,”

Balas Atirah, pendek. Dia membaling segenggam rumpai laut ke arah Badli sebelum bangun bersama tawa. Tidak menunggu reaksi Badli, Atirah terus berjalan ke arah kanak-kanak yang sedari tadi galak bermain di kawasan perkampungan mereka.

“Eh, main kotor pulak dia!”

* * * * * * * *

PERTAMA kali tiba di rumah Maisarah, Azlan melahirkan rasa kagum. Ada tiga buah Volkswagen Beetle dan di rumah gadis itu, masing-masing berwarna merah, merah jambu dan putih. Tidak ketinggalan juga tiga buah vespa berwarna merah jambu, kuning dan hitam.

“Ayah, ni kawan Mai di tempat kerja…Azlan!”

Beritahu Maisarah seraya mendekati ayahnya yang sibuk mengemas isi dalam Volkswagen hitam. Lelaki tua yang berusia enam puluh tahun mungkin, keluar dari perut kereta antik itu. Raut wajah tenang itu menghadiahkan sebuah senyuman buatnya.

“Assalammualaikum, pakcik! Apa khabar?”

“Waalaikumussalam, khabar baik...terima kasih! Mari, jemput masuk ke dalam!”

Bahunya dipaut mesra lalu mereka berdua berjalan beriringan memanjat anak tangga rumah asli penduduk Perak itu. Azlan berdiri tegak di muka pintu. Sekali lagi dia berasa kagum dengan isi dalam rumah itu. Walaupun zaman berinjak maju, namun tiada satu pun isinya buatan terkini. Kerusi rotan di ruang tamu masih utuh, malah nampak baru dengan penjagaan yang baik. Televisyen di rumah itu bukan televisyen LCD yang leper lagi nipis tapi ia adalah televisyen berwarna keluaran Singer. Masih dilengkapi dengan almari asalnya lagi, mempunyai pintu yang boleh ditolak dan ditarik. Televisyen itu bukan sekadar hiasan tetapi masih boleh digunakan lagi. Matanya beralih pada sebuah telefon antik berwarna hitam. Azlan suka melihat telefon itu, telefon antik buatan Holand pasti mencuri perhatian tetamu di rumah itu.

“Anak tak mahu duduk ke?”

“Terima kasih! Kagum saya dengan isi rumah pakcik! Semua ni koleksi peribadi pakcik ke?”

“Kebanyakannya memang pakcik yang punya tapi ada juga kepunyaan Maisarah. Abang Long dengan Maisarah pun suka menyimpan barang-barang antik,”

Jawab Haji Rahim, ramah. Setiap hari, selain berkebun, dia akan menghabiskan waktu terluang dengan membersihkan barang-barang antik yang terdapat di rumahnya. Dia akan memastikan tiada habuk yang mendiami barang-barang kesayangannya itu.

“Ayah, Lan…jemput minum!”

Pelawa Maisarah setelah siap menghidangkan minuman kepada ayah dan tetamu mereka. Dia duduk di sebelah ayah apabila diminta.

“Mula-mula saya ingat Maisarah aje yang pakai kereta antik. Tak sangka bila sampai sini, rupanya rumah ni sumber barang-barang antik. Kereta di luar tu, ada tiga…semua Volkswagen, ya?”

“Tiga kereta tiga pemilik, bukan pakcik seorang sahaja yang punya. Maisarah ada sebuah, abang Long pun ada sebuah,”

“Mesti yang merah jambu tu Mai yang punya.Ya tak pakcik?”

Haji Rahim ketawa kecil. Begitu juga dengan Maisarah. Meluahkan rasa gelihati atas dugaan Azlan.

“Merah jambu tu abang Long yang punya…Mai punya yang selalu dia bawa tu, Lan! Warna merah lada,”

“Oh, saya salah tekalah ni!”

Maisarah tidak dapat menahan lagi ketawanya. Jika tadi bunyinya hanya perlahan, kerana bimbang dimarahi ayah, kali ini letusan tawa itu meledak dengan kuatnya. Ditambah pula dengan reaksi Azlan yang tersipu malu, Maisarah ketawa sehingga ditegur secara halus oleh ayahnya melalui tepukan lembut di bahunya.

“Dia ingat orang perempuan aje yang suka merah jambu kot!”

Sendanya dalam tawa yang bersisa.

* * * * * * * *

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.